SEORANG lelaki turun dari Honda Civic hitam
itu dan memandang tajam ke arahku, membuatkan darahku tiba-tiba rasa berderau
apabila telahanku tepat sama sekali.
Aku mendengus kasar sebelum berjalan
menghampirinya dengan sebal, tidak mempedulikan Andra yang masih berada di
dalam keretanya saat itu.
“Buat
apa datang sini?” Aku menyoal dengan lantang.
“Sha.”
Suaranya lembut kedengaran di telinga membuatkan hatiku hampir saja cair. Aku
menggelengkan kepala, cuba menyedarkan diriku sebelum aku memandang ke arah dia
semula.
“Kan
saya dah cakap yang kita dah putus. Apa lagi yang awak tak faham?”
“Dengan
mesej pendek macam tu tanpa beritahu apa punca Sha minta putus, Sha expect
abang nak faham?” suara dia pula sudah naik seoktaf. Ini sudah lebih!
“Awak
ingat saya sengaja ke nak minta putus kalau awak tak buat apa-apa salah. Awak
tanyalah diri awak sendiri, apa awak dah buat.” Jawabku tegas sambil menyilang
lengan rapat ke dada. Mahu dia sendiri menyedari apa salahnya yang selama ini
dia sembunyikan daripada aku.
“Apa
ni? Sha nak main teka-teki dengan abang ke? Ke Sha memang sengaja minta putus
sebab Sha dah ada orang lain?” Soal Rizwan sambil menjeling ke belakang aku.
Aku ikut memandang ke belakang dan melihat Andra sudah keluar daripada
keretanya dan menghampiri kami.
Apa?
Dia fikir aku pulak yang curang? Dengan Andra pulak tu? OMG!
“Awak
jangan nak tuduh saya yang bukan-bukan. Awak ingat saya macam awak ke?”
“Habis, kenapa Sha buat abang macam ni? Senyap
tanpa khabar. Dah berapa hari abang cuba contact Sha lepas Sha mintak
putus tapi tak dapat. Apa salah abang?” dahinya berkerut menyoal aku, masih
tidak mengerti.
Aku
menggumam. Cuba menahan sebak yang mula mengisi jiwa.
“Kenapa
Sha? Bagitahu abang.” Rizwan masih mendesak.
Aku
tunduk, teringatkan gadis yang bertemu dengan aku beberapa hari lepas, yang
telah membongkar segalanya dan mematahkan sekeping hati aku ini.
“Awak
kenal Zarina?”
Aku
memandang tepat ke wajahnya saat mengajukan soalan itu, mahu melihat reaksinya dan
sepertimana telahanku, wajah Rizwan ternyata berubah riak, pucat tidak
berdarah.
“SIAPA?” soal Rizwan dengan dahi berkerut. Pura-pura
tidak mendengar padahal aku pasti dia belum pekak sampai tidak dengar soalan
yang jelas aku tanyakan pada dia tadi.
“Awak kenal tak dengan Nur Zarina binti
Hashim, yang sama universiti dengan awak dulu?”
Rizwan
tunduk, enggan bertentang mata dengan aku.
“Kenal
ke tidak?” Nadaku sudah meninggi, bengang dengan dirinya yang pura-pura tidak
mengerti.
“Dia
ada jumpa Sha ke? Tolong jangan percaya apa yang dia bagitahu dekat Sha. Semua
tu dusta je, Sha. Abang sayang Sha seorang je.” Dia tiba-tiba bersuara tanpa
menjawab persoalanku tadi.
“Habis
tu, ini gambar apa?” aku menunjukkan sekeping gambar dari dalam telefon
bimbitku ke hadapan muka Rizwan, membuatkan wajah dia bertambah pucat tidak
berdarah. Gambar yang meyakinkan aku bahawa kata-kata gadis bernama Zarina yang
bertemu aku beberapa hari lepas adalah benar belaka dan akulah yang
diperbodohkan selama ini.
“Abang...
abang terpaksa... abang... cuma sayang Sha...” tergagap-gagap dia berbicara
membuatkan aku mendengus kasar.
“Dah, tak payah
nak bersayang-sayang dengan aku. Sekarang sayang kau tu dah tak laku. Kau fikir
aku bodoh ke? Kalau betul kau sayang aku, kenapa kau bertunang dengan perempuan
lain? Kenapa?”
Rizwan tunduk, wajahnya kelihatan
keruh.
“Abang minta maaf, Sha. Abang
terpaksa sebab dah janji dengan dia. Tapi dalam hati abang sekarang cuma ada
Sha seorang saja. Percayalah cakap abang.”
Aku merengus.
“Lepas kau bodohkan aku, bercinta
dengan dua orang perempuan dalam satu masa, kau fikir aku masih mampu ke nak
percaya cakap kau? Sudah la Hariz Rizwan, blahlah dari sini. Aku dah tak
nak tengok muka kau lagi, kita putus! Kau faham tak?”
“Sha tolonglah. Abang tak cintakan
dia dah, abang cuma cintakan Sha seorang. Abang terpaksa terima dia. Tolonglah
jangan buat abang macam ni.” Rizwan merayu lagi sambil cuba menarik tanganku
namun laju aku meloloskan diri.
“Sedara, tak faham ke dia
suruh blah?” suara Andra yang lantang dari tepi membuatkan aku segera
menoleh. Andra sudah berhadapan dengan Rizwan saat itu.
“Kau
tak payah sibuklah, mak nyah!” Rizwan mendengus sambil menolak Andra hingga dia
jatuh ke tanah.
“Andra!”
aku laju mendapatkan Andra sebelum memandang Rizwan dengan wajah tidak puas
hati. Tak sangka dia sanggup berkasar dengan Andra.
“Awak
okay ke, Andra?” aku menyoal Andra dengan risau. Dia ni dahlah lebih lembut
daripada aku.
“Saya
okay.” Andra bingkas bangun dengan senyuman pahit di bibir. Dia menepuk debu
yang terpalit pada seluarnya sebelum kembali merapati Rizwan yang kaku
memandang kami sedari tadi.
“Kalau
aku mak nyah sekalipun, sekurang-kurangnya aku bukan jantan dayus macam kau
yang sanggup duakan perempuan. Baik kau yang jadi mak nyah!”
“Eii
meluatnya aku dengan mak nyah ni, mari sini kau!” Rizwan mula hilang sabar dan
mencekak leher Andra, membuatkan aku laju berlari mendekati keduanya.
“Sudahlah!
Saya cakap sudah! Berhenti!” Aku menjerit saat Rizwan sudah melepaskan satu
tumbukan ke muka Andra hingga membuatkan dirinya kembali tersungkur ke tanah.
“Ni
kenapa kecoh-kecoh ni?” suara garau abah yang tiba-tiba kedengaran membuatkan
Rizwan tersentak dan dia laju melarikan diri ke dalam keretanya dan memecut
laju.
Dasar jantan dayus!
salam, AK mcm mana nak baca bab yg awal yer
ReplyDeleteKena tekan previous post dkt bawah sekali ni sbb AK blom letak bab by bab dekat side bar. Nanti ak letak kt tepi tu ye. Sorry
Delete