AKU terkesima melihat keadaan di dalam dewan
yang berhias cantik dan meriah dengan tetamu, memang macam majlis perkahwinan,
bukan sekadar majlis pertunangan biasa. Mungkin memang begini artis-artis
bertunang gamaknya, tak mainlah takat majlis biasa-biasa.
Bakal
tunang Indra segak mengenakan gaun labuh berwarna keemasan dan bertudung rona
sama yang bagi aku bukan macam busana pertunangan tapi lebih kepada busana
perkahwinan. Orangnya cantik sekali, memang sesuai jadi artis terkenal tetapi
penampilannya yang sopan membuatkan mata aku ni tak jemu memandang dia. Haih,
pandai Indra cari. Aku tersenyum sendiri.
“Tahniah,
Raian. Lepas ni jangan nak sibuk kerja sangat, kena fikir pasal kahwin pulak.”
Andra sempat berpesan kepada Indra sebaik Aunty Zahirah menyarungkan cincin ke
jari manis Aliyah yang sedang duduk di atas pelamin berhias indah. Aku yang
berada berdekatan mereka di meja keluarga sebelah pihak lelaki dapat mendengar
dengan jelas. Emak, abah, dan Ayie sedang menumpukan perhatian ke arah pelamin dan
upacara yang sedang berlangsung ketika itu.
“Insya-Allah.
Kau tu pun sama, kalau boleh carilah calon. Takkan kau nak membujang sampai
tua?”
“Kalau
jumpa calon yang sesuai nanti, yang boleh terima aku seadanya, aku kahwinlah.”
“Bukan
dia kena terima kau, kau tu yang kena berubah dulu. Takkan selamanya kau nak
lembut macam ni?” Menusuk sekali kata-kata yang Indra lontarkan, membuatkan aku
ikut terkesan. Andra melorek senyum walau tampak pahit.
“Aku
nasihatkan saja sebab kau tu kembar aku. Aku sayang kau, ingat tu.” Indra
bersuara sambil menepuk bahu Andra beberapa kali sebelum dia bangun apabila
Aliyah kelihatan melambai ke arahnya dan meminta dia pergi ke atas pelamin itu.
Mungkin untuk sesi bergambar atau sesi temuramah dengan wartawan barangkali.
Aku pun tak tahu.
Aku
memandang Andra yang masih kelihatan terkesan dengan kata-kata Indra sebelum
dia berpaling ke arahku tiba-tiba membuatkan mata kami bertaut. Alamak kantoi
aku tengah perhatikan dia. Aku gelabah biawak sebelum automatik menarik sengih.
Andra
sekadar tersenyum pahit, seolah menandakan yang dia tahu yang aku mendengar
segala perbualan dia dan Indra tadi. Mesti dia segan kan? Apa aku nak buat ni?
Aku gusar tetapi belum sempat aku berfikir, Andra sudah melarikan pandangannya
ke arah lain.
“AYESHA...” Aunty Zahirah yang entah bila
duduk di sebelah aku, tiba-tiba menegur membuatkan aku laju menyahut.
“Ya, aunty.” Aku berpaling menghadap mama
kepada Andra dan Indra itu yang telah lama aku kenal sedari aku kecil.
Dulu-dulu setiap hari Aunty Zahirah akan datang menghantar Andra dan Indra ke
rumah aku untuk diasuh oleh emak dan setiap petang mengambil mereka sambil
membawa makanan yang enak-enak atau mainan yang mahal-mahal untuk aku, abang Ayim
dan Ayie.
Dulu,
keluarga aku tidak berkemampuan sangat, abah berpendapatan kecil dan emak
sekadar mengambil upah mengasuh budak-budak, itupun mengasuh Andra dan Indra semata.
Jadi sebagai anak kecil, pastilah aku suka pada orang yang memanjakan aku, dan
dalam kes ini, pastinya orang itu adalah Aunty Zahirah yang aku sudah anggap
seperti ibuku sendiri.
“Terima kasih sebab datang, aunty tak sempat
bertegur sapa dengan kamu tadi sebab sibuk dengan urusan majlis.”
“Tak apa, aunty. Saya faham.”
“Lama aunty tak jumpa kamu, dah makin cantik
aunty tengok.” Aunty Zahirah memuji membuatkan aku hampir saja tersedak.
Cantik? Ni puji ke perli? Nak banding dengan bakal menantu Aunty Zahirah dekat
atas pelamin tu, macam langit dengan bumi. Haha.
“Merepeklah, aunty. Saya masih macam dulu je,
aunty sihat ke?”
“Alhamdulillah, sihat. Sakit sikit-sikit tu
adalah, biasalah orang tua.” Aunty Zahirah tersenyum, wajahnya masih cantik
macam waktu dia muda-muda dahulu walau dirinya sudah berusia.
“Aunty jaga diri sama, jangan buat kerja
banyak sangat.” Aku sempat berpesan sambil mengelus lembut jemari Aunty
Zahirah.
Aunty Zahirah tersenyum sambil mengangguk
kecil.
“Insya-Allah. Kamu pun sama, emak kamu cakap
kamu asyik busy saja. Jaga diri tu sama.”
“Mana ada, aunty.” Aku ketawa kecil sebelum
menjegilkan mata ke arah emak yang memang sedang mencuri dengar perbualan kami.
Emak cepat-cepat buat muka tak bersalah sebelum melarikan pandangannya dari
memerhati kami.
“Emak kamu tu dah lama tunggu nak dapat
menantu. Kalau kamu asyik sibuk kerja, macam mana nak bagi menantu dekat emak
kamu?” Aku hampir tersedak lagi mendengar kata-kata Aunty Zahirah. Emak ni, dengan
aku tak ada pulak nak sebut pasal menantu-menanti ni, dengan Aunty Zahirah lain
pulak halnya. Hesy!
“Saya ingatkan dapatlah jadi menantu aunty,
sekali Indra dah bertunang pulak.” Aku buat-buat sedih, sengaja mengusik. Mujur
emak sudah menghilang entah ke mana, aku syak emak ke meja buffet, barangkali
mengambil kuih-muih. Kalau emak ada, mesti aku dah kena karate sebab cakap yang
bukan-bukan.
“Lah ye ke, kalau tahu kamu suka Indra, dah
lama aunty suruh Indra pinang kamu.” Aunty Zahirah bernada kecewa. Adoi aku
main-main jelah, serius pulak Aunty Zahirah ni. Dah la cakap pasal Indra di
hari pertunangan dia. Haha.
“Saya bergurau jelah, aunty. Tak pernah
terniat pun.” Aku ketawa kecil, cuba mengembalikan suasana kekok itu kepada
normal. Itulah Ayesha, bergurau tak kena gaya.
Aunty Zahirah terdiam lama sebelum memandang
aku semula.
“Aunty yang serius sebenarnya. Aunty memang
dah lama berkenan dengan kamu cuma aunty dapat tahu kamu dah ada yang punya dan
Indra pun masa tu dah berkawan dengan orang lain. Aunty frust tau, tak
dapat bermenantukan kamu.” Aunty Zahirah mengelus bahu aku lembut membuatkan
aku tergamam. Serius betul kata-kata Aunty Zahirah saat itu, tapi aku rasa tak sanggup
nak percaya.
Aku menantu idaman Aunty Zahirah? Heh.
Menyesal tak mengorat Indra. Hahaha. Okay tak lawak Ayesha. Cukup!
Aku sekadar tersenyum kepada Aunty Zahirah,
tidak tahu bagaimana hendak memberi reaksi kepada kata-katanya tadi sebelum
pandangan mataku jatuh ke arah Andra sekali lagi. Dia sedang memandang ke arah
aku dan Aunty Zahirah dengan matanya yang sayu dan dia cepat-cepat melarikan
pandangannya saat dia menyedari aku juga sedang memandang ke arahnya. Aku
menghela nafas perlahan, terasa sesak dada tiba-tiba.
“TAK nak singgah rumah dulu ke, Andra?” emak
menyoal saat Andra menghantar kami pulang ke rumah kami semula usai menghadiri
majlis pertunangan Indra tadi. Andra menggeleng perlahan.
“Tak apalah, emak. Malam nanti Andra dah nak
balik KL, Andra nak balik kemas barang dulu.”
“Hmmm yelah, nanti balik elok-elok. Jangan
fikir nak cepat je, bukan jauh mana pun KL dengan Shah Alam ni. Kamu tu suka
bawak kereta macam pelesit.”
“Ya, baik emak.” Andra tersengih. Amboi kena
bebel pun muka bahagia je dia, tak macam dekat majlis tadi.
“Saya balik dulu.” Andra tiba-tiba bersuara
kepada aku, membuatkan aku yang sedang memerhati dia jadi tergamam. Aduh kantoi
lagi!
“Baliklah!” Aku buat muka tak bersalah walau
dalam hati rasa macam nak maki diri sendiri sebab asyik kantoi merenung anak
teruna orang walau anak teruna yang ini nampak lebih macam anak dara. Haha.
“Awak jaga diri sama, nanti dah balik KL
datanglah jumpa saya.”
“Nak buat apa jumpa awak?” aku mencebik sambil
memeluk tubuh. Emak sudah membawa langkah masuk ke dalam rumah, begitu juga
Ayie dan abah yang macam keletihan.
“Sajalah lepak-lepak, sembang-sembang.” Dia
ketawa.
“Eiii tak kuasa saya.” Aku buat jual mahal.
“Alah sombongnya. Mentang-mentanglah mama saya
sayang dekat awak, siap nak buat menantu. Siapalah saya ni.” Aku terkedu
mendengar kata-katanya itu. Laju aku memandang ke arahnya semula dan dia
sekadar tersenyum tawar.
Walau dia sekadar bergurau tetapi aku tahu
sedikit sebanyak hatinya terusik melihat kemesraan Aunty Zahirah denganku tadi,
kerana Aunty Zahirah tidak pernah melayannya dengan mesra sebegitu.
“Saya minta maaf kalau awak terganggu pasal
hal tadi.”
“Taklah, saya tak terganggu pun, apatah lagi
nak cemburu. Saya suka tengok wajah mama yang tersenyum bila dia berbual dengan
awak. Dah lama mama tak senyum macam tu dekat saya.” Andra melepaskan keluhan,
membuatkan aku kehilangan kata sekali lagi.
Sebuah kereta yang berhenti betul-betul di hadapan
kereta Andra saat itu membuatkan fokus kami berdua terganggu. Aku pantas
mengangkat muka dan memandang ke arah kereta tersebut.
Mataku membuntang. Takkanlah dia cari aku
sampai ke sini?!
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!