~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Sunday, January 28, 2018

Novel: Jodohku Jejaka Jelita bab 7



AKU terkesima melihat keadaan di dalam dewan yang berhias cantik dan meriah dengan tetamu, memang macam majlis perkahwinan, bukan sekadar majlis pertunangan biasa. Mungkin memang begini artis-artis bertunang gamaknya, tak mainlah takat majlis biasa-biasa.
            Bakal tunang Indra segak mengenakan gaun labuh berwarna keemasan dan bertudung rona sama yang bagi aku bukan macam busana pertunangan tapi lebih kepada busana perkahwinan. Orangnya cantik sekali, memang sesuai jadi artis terkenal tetapi penampilannya yang sopan membuatkan mata aku ni tak jemu memandang dia. Haih, pandai Indra cari. Aku tersenyum sendiri.
            “Tahniah, Raian. Lepas ni jangan nak sibuk kerja sangat, kena fikir pasal kahwin pulak.” Andra sempat berpesan kepada Indra sebaik Aunty Zahirah menyarungkan cincin ke jari manis Aliyah yang sedang duduk di atas pelamin berhias indah. Aku yang berada berdekatan mereka di meja keluarga sebelah pihak lelaki dapat mendengar dengan jelas. Emak, abah, dan Ayie sedang menumpukan perhatian ke arah pelamin dan upacara yang sedang berlangsung ketika itu.
            “Insya-Allah. Kau tu pun sama, kalau boleh carilah calon. Takkan kau nak membujang sampai tua?”
            “Kalau jumpa calon yang sesuai nanti, yang boleh terima aku seadanya, aku kahwinlah.”
            “Bukan dia kena terima kau, kau tu yang kena berubah dulu. Takkan selamanya kau nak lembut macam ni?” Menusuk sekali kata-kata yang Indra lontarkan, membuatkan aku ikut terkesan. Andra melorek senyum walau tampak pahit.
            “Aku nasihatkan saja sebab kau tu kembar aku. Aku sayang kau, ingat tu.” Indra bersuara sambil menepuk bahu Andra beberapa kali sebelum dia bangun apabila Aliyah kelihatan melambai ke arahnya dan meminta dia pergi ke atas pelamin itu. Mungkin untuk sesi bergambar atau sesi temuramah dengan wartawan barangkali. Aku pun tak tahu.
            Aku memandang Andra yang masih kelihatan terkesan dengan kata-kata Indra sebelum dia berpaling ke arahku tiba-tiba membuatkan mata kami bertaut. Alamak kantoi aku tengah perhatikan dia. Aku gelabah biawak sebelum automatik menarik sengih.
            Andra sekadar tersenyum pahit, seolah menandakan yang dia tahu yang aku mendengar segala perbualan dia dan Indra tadi. Mesti dia segan kan? Apa aku nak buat ni? Aku gusar tetapi belum sempat aku berfikir, Andra sudah melarikan pandangannya ke arah lain.

“AYESHA...” Aunty Zahirah yang entah bila duduk di sebelah aku, tiba-tiba menegur membuatkan aku laju menyahut.
“Ya, aunty.” Aku berpaling menghadap mama kepada Andra dan Indra itu yang telah lama aku kenal sedari aku kecil. Dulu-dulu setiap hari Aunty Zahirah akan datang menghantar Andra dan Indra ke rumah aku untuk diasuh oleh emak dan setiap petang mengambil mereka sambil membawa makanan yang enak-enak atau mainan yang mahal-mahal untuk aku, abang Ayim dan Ayie.
            Dulu, keluarga aku tidak berkemampuan sangat, abah berpendapatan kecil dan emak sekadar mengambil upah mengasuh budak-budak, itupun mengasuh Andra dan Indra semata. Jadi sebagai anak kecil, pastilah aku suka pada orang yang memanjakan aku, dan dalam kes ini, pastinya orang itu adalah Aunty Zahirah yang aku sudah anggap seperti ibuku sendiri.
“Terima kasih sebab datang, aunty tak sempat bertegur sapa dengan kamu tadi sebab sibuk dengan urusan majlis.”
“Tak apa, aunty. Saya faham.”
“Lama aunty tak jumpa kamu, dah makin cantik aunty tengok.” Aunty Zahirah memuji membuatkan aku hampir saja tersedak. Cantik? Ni puji ke perli? Nak banding dengan bakal menantu Aunty Zahirah dekat atas pelamin tu, macam langit dengan bumi. Haha.
“Merepeklah, aunty. Saya masih macam dulu je, aunty sihat ke?”
“Alhamdulillah, sihat. Sakit sikit-sikit tu adalah, biasalah orang tua.” Aunty Zahirah tersenyum, wajahnya masih cantik macam waktu dia muda-muda dahulu walau dirinya sudah berusia.
“Aunty jaga diri sama, jangan buat kerja banyak sangat.” Aku sempat berpesan sambil mengelus lembut jemari Aunty Zahirah.
Aunty Zahirah tersenyum sambil mengangguk kecil.
“Insya-Allah. Kamu pun sama, emak kamu cakap kamu asyik busy saja. Jaga diri tu sama.”
“Mana ada, aunty.” Aku ketawa kecil sebelum menjegilkan mata ke arah emak yang memang sedang mencuri dengar perbualan kami. Emak cepat-cepat buat muka tak bersalah sebelum melarikan pandangannya dari memerhati kami.
“Emak kamu tu dah lama tunggu nak dapat menantu. Kalau kamu asyik sibuk kerja, macam mana nak bagi menantu dekat emak kamu?” Aku hampir tersedak lagi mendengar kata-kata Aunty Zahirah. Emak ni, dengan aku tak ada pulak nak sebut pasal menantu-menanti ni, dengan Aunty Zahirah lain pulak halnya. Hesy!
“Saya ingatkan dapatlah jadi menantu aunty, sekali Indra dah bertunang pulak.” Aku buat-buat sedih, sengaja mengusik. Mujur emak sudah menghilang entah ke mana, aku syak emak ke meja buffet, barangkali mengambil kuih-muih. Kalau emak ada, mesti aku dah kena karate sebab cakap yang bukan-bukan.
“Lah ye ke, kalau tahu kamu suka Indra, dah lama aunty suruh Indra pinang kamu.” Aunty Zahirah bernada kecewa. Adoi aku main-main jelah, serius pulak Aunty Zahirah ni. Dah la cakap pasal Indra di hari pertunangan dia. Haha.
“Saya bergurau jelah, aunty. Tak pernah terniat pun.” Aku ketawa kecil, cuba mengembalikan suasana kekok itu kepada normal. Itulah Ayesha, bergurau tak kena gaya.
Aunty Zahirah terdiam lama sebelum memandang aku semula.
“Aunty yang serius sebenarnya. Aunty memang dah lama berkenan dengan kamu cuma aunty dapat tahu kamu dah ada yang punya dan Indra pun masa tu dah berkawan dengan orang lain. Aunty frust tau, tak dapat bermenantukan kamu.” Aunty Zahirah mengelus bahu aku lembut membuatkan aku tergamam. Serius betul kata-kata Aunty Zahirah saat itu, tapi aku rasa tak sanggup nak percaya.
Aku menantu idaman Aunty Zahirah? Heh. Menyesal tak mengorat Indra. Hahaha. Okay tak lawak Ayesha. Cukup!
Aku sekadar tersenyum kepada Aunty Zahirah, tidak tahu bagaimana hendak memberi reaksi kepada kata-katanya tadi sebelum pandangan mataku jatuh ke arah Andra sekali lagi. Dia sedang memandang ke arah aku dan Aunty Zahirah dengan matanya yang sayu dan dia cepat-cepat melarikan pandangannya saat dia menyedari aku juga sedang memandang ke arahnya. Aku menghela nafas perlahan, terasa sesak dada tiba-tiba.

“TAK nak singgah rumah dulu ke, Andra?” emak menyoal saat Andra menghantar kami pulang ke rumah kami semula usai menghadiri majlis pertunangan Indra tadi. Andra menggeleng perlahan.
“Tak apalah, emak. Malam nanti Andra dah nak balik KL, Andra nak balik kemas barang dulu.”
“Hmmm yelah, nanti balik elok-elok. Jangan fikir nak cepat je, bukan jauh mana pun KL dengan Shah Alam ni. Kamu tu suka bawak kereta macam pelesit.”
“Ya, baik emak.” Andra tersengih. Amboi kena bebel pun muka bahagia je dia, tak macam dekat majlis tadi.
“Saya balik dulu.” Andra tiba-tiba bersuara kepada aku, membuatkan aku yang sedang memerhati dia jadi tergamam. Aduh kantoi lagi!
“Baliklah!” Aku buat muka tak bersalah walau dalam hati rasa macam nak maki diri sendiri sebab asyik kantoi merenung anak teruna orang walau anak teruna yang ini nampak lebih macam anak dara. Haha.
“Awak jaga diri sama, nanti dah balik KL datanglah jumpa saya.”
“Nak buat apa jumpa awak?” aku mencebik sambil memeluk tubuh. Emak sudah membawa langkah masuk ke dalam rumah, begitu juga Ayie dan abah yang macam keletihan.
“Sajalah lepak-lepak, sembang-sembang.” Dia ketawa.
“Eiii tak kuasa saya.” Aku buat jual mahal.
“Alah sombongnya. Mentang-mentanglah mama saya sayang dekat awak, siap nak buat menantu. Siapalah saya ni.” Aku terkedu mendengar kata-katanya itu. Laju aku memandang ke arahnya semula dan dia sekadar tersenyum tawar.
Walau dia sekadar bergurau tetapi aku tahu sedikit sebanyak hatinya terusik melihat kemesraan Aunty Zahirah denganku tadi, kerana Aunty Zahirah tidak pernah melayannya dengan mesra sebegitu.
“Saya minta maaf kalau awak terganggu pasal hal tadi.”
“Taklah, saya tak terganggu pun, apatah lagi nak cemburu. Saya suka tengok wajah mama yang tersenyum bila dia berbual dengan awak. Dah lama mama tak senyum macam tu dekat saya.” Andra melepaskan keluhan, membuatkan aku kehilangan kata sekali lagi.
Sebuah kereta yang berhenti betul-betul di hadapan kereta Andra saat itu membuatkan fokus kami berdua terganggu. Aku pantas mengangkat muka dan memandang ke arah kereta tersebut.

Mataku membuntang. Takkanlah dia cari aku sampai ke sini?!

Suka? =)

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!