BANGLO mewah itu masih kelihatan sama seperti
dulu, tak banyak benda yang berubah dan tetap terjaga, kemas dan bersih. Aunty
Zahirah yang sedang duduk menghadap aku di atas sofa di ruang tamu ketika itu,
tampak elegan seperti biasa.
Sudah
lama sepi menemani kami sejak aku datang ke banglo ini tadi, selepas menerima
panggilan telefon daripada Aunty Zahirah yang meminta aku bertemu dengannya di
rumahnya ini. Aku tahu tujuan Aunty Zahirah memanggilku kerana pasti Andra
sudah memberitahu mamanya tentang niat kami untuk berumahtangga setelah aku
memberikan persetujuan kepadanya tempoh hari. Namun sampai detik ini, Aunty
Zahirah cuma merenungku lama sambil menghirup air teh di dalam cawannya.
“Aunty
dah dengar daripada mulut Rian, sekarang Aunty nak dengar daripada mulut Ayesha
sendiri.” Aunty Zahirah bersuara tiba-tiba membuatkan hati aku terasa sedikit
kecut. Dah macam menghadiri temuduga saja lagaknya.
“Betul
ke Ayesha nak kahwin dengan anak aunty? Ayesha tak menyesal ke?” soal Aunty
Zahirah dengan dahinya yang berkerut.
Aku
menggumam. Menyesal? Belum jadi macam mana aku nak menyesal, tapi aku harap aku
tak menyesal dengan keputusan aku ni. Insya-Allah!
“Ya,
betul aunty. Saya memang... nak kahwin dengan... Andra...” Gugup aku berbicara.
Keluhan
kedengaran daripada mulut Aunty Zahirah sebelum dia mendekati aku dan menarik
tanganku ke dalam genggamannya.
“Aunty
bukan apa, Ayesha. Aunty tak kisah Ayesha jadi menantu aunty, malah aunty lagi
suka. Tapi kenapa mesti Rian?”
“Kenapa
pulak tak boleh, aunty?” soal aku tanpa niat untuk kurang ajar, cuma sungguh
aku tak mengerti.
Aunty
Zahirah melarikan pandangannya.
“Rian...
berbeza Ayesha. Dia tak macam Raian. Dia sangat berbeza daripada Raian. Aunty
takut Ayesha menyesal nanti. Tolonglah pertimbangkan kembali keputusan Ayesha
ni.” Aunty Zahirah bersuara seolah merayu.
Aku
renung wajah Aunty Zahirah yang kelihatan gusar sebelum tangannya aku elus
lembut.
“Insya-Allah
saya tak menyesal, aunty. Aunty janganlah risau.” Aku senyum, memujuk hati
Aunty Zahirah walau sejujurnya aku sendiri gusar, memikirkan masa depan yang
tidak pasti.
Aunty
Zahirah cuma diam, dan aku tahu dia masih tidak bisa menerima hakikat itu.
“MAMA cakap apa dengan awak tadi? Mama halang
kita kahwin ke?” Andra tiba-tiba duduk di sebelahku dan menyoal aku yang baru
saja menarik nafas lega setelah melihat Aunty Zahirah yang macam dah reda
dengan keputusan aku. Dia membawa dirinya ke atas tanpa berkata apa lagi sebaik
melihat kelibat Andra masuk ke dalam rumah.
Aku
menoleh ke arah Andra dan menggeleng perlahan.
“Taklah.
Aunty tak halang pun.” Aku bersuara selembut mungkin, cuba menenangkan hati
Andra.
‘Tapi aunty juga tak kata dia sokong,’ aku
menyambung sendiri dalam hati.
“Alhamdulillah.” Andra mengukir senyum yang
paling manis.
“Dah, tak payah nak seronok sangat. Awak nak
kahwin cepat sangat kan? Banyak persiapan kita nak kena buat. Dah tak ada masa
nak relaks-relaks ya.” Aku menjegilkan mata ke arahnya membuatkan Andra ketawa.
“Ya saya tahu. Awak jangan risau, insya-Allah
saya akan lakukan persiapan sebaik mungkin. Janji awak kahwin saja dengan
saya.”
Aku memandang wajah Andra yang masih penuh
pengharapan.
“Iyalah, kan saya dah setuju.” Aku mencebik.
“Janji tau. Jangan tiba-tiba tak jadi pulak.”
“Yelah, saya tahulah Encik Andra Arrian oi!
Saya ni bukan jenis yang tarik balik keputusan bila saya dah buat. Hergh!”
Andra ketawa lagi. Dia ni tiap benda aku cakap
mesti dia nak ketawa. Aku pun tak tahu apa yang lucunya.
“Dah. Saya nak balik. Tak manis pulak kita
duduk berduaan macam ni. Mama awak dah naik atas.” Aku bingkas bangun,
menyedari kealpaan aku yang boleh bersantai dekat situ dengan dia.
“Iyalah, saya hantar awak ya.”
“Tak payah. Saya boleh drive sendiri.
Tu alasan awak nak jumpa emak kan?” aku menuding jari ke arahnya, sengaja
menuduh.
“Mana ada!” Dia angkat tangan macam pesalah
diacu senapang.
Aku sekadar menjulingkan mata ke atas dan
terus berlalu keluar ke keretaku yang diparkir di depan halaman banglo yang
luas itu. Andra ikut mengekori langkahku sampai ke kereta.
“Dah. Pergilah masuk, saya balik dulu.” Aku
bersuara sebaik membolos masuk ke dalam kereta.
Dia sekadar mengangguk.
Aku menghidupkan enjin kereta sebelum
teringatkan sesuatu.
“Eh saya lupa nak tanya, Indra dah tahu ke
pasal ni?” aku lekas menyoal sebelum sempat Andra melangkah pergi.
“Dah.” Pendek Andra membalas.
“Dia cakap apa?”
“Kenapa awak nak tahu?” Andra menyoal dengan
muka tidak puas hati.
“Lah, saya nak tahulah. Dia terkejut ke,
gembira ke, tak suka ke?”
“Dia okay je.”
“Oh... dia tak marah awak nak potong line
dia untuk kahwin dulu?” keningku terjungkit. Yelah Indra yang bertunang dulu, tup-tup
Andra buat keputusan nak kahwin dalam masa yang terdekat tanpa bertunang. Aku
pun tak tahu kenapa Andra nak cepat-cepat sangat kahwin tapi aku pun dah
bersetuju sebelum tahu hal ni. Nak buat macam mana, ikut jelah. Janji dia uruskan
hal perkahwinan ni sebaiknya.
Andra menggeleng.
“Tak. Dia okay je. Lagipun dia terlalu sibuk
untuk fikirkan hal perkahwinan dalam waktu terdekat ni jadi dia tak kisah kalau
saya nak kahwin dulu.”
“Bagus kembar awak tu kan? Memahami.” Aku
tersengih.
“Dah, jangan tanya lagi pasal dia.” Andra
mencebik, membuatkan dahiku berkerut. Dah kenapa dia ni?
“Yelah, saya tak nak tanya apa dah. Awak tu
ingat tau, saya nak majlis yang sederhana je. Tak mahu grand-grand macam
majlis pertunangan Indra hari tu.” Aku memberikan amaran. Serius aku tak selesa
dengan majlis mewah sebegitu, rasa membazir. Aku bukan lahir daripada keluarga
yang senang jadi daripada kecil aku dididik untuk tak membazir.
“Ya, saya tahu. Awak jangan risau. Saya dah
bincang semua dengan emak.”
“Yelah, saya balik dulu. Assalammualaikum.”
Aku menjuihkan bibir sebelum menutup pintu kereta yang kubiar terbuka sedari
tadi.
“Bawak kereta elok-elok. Waa’laikumussalam.”
Andra melambai ke arahku dengan senyuman manis di bibirnya.
Haih, betul ke dia ni bakal jadi suami aku? Jejaka
yang jelita kalah perempuan ni? Aku tak bermimpi kan?
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!