BUNYI nada dering yang kedengaran pagi itu
membuatkan aku tersedar daripada tidur dan segera mengambil telefon bimbitku di
atas meja tepi katil.
Mataku
membulat. Nama yang tertera di skrin, aku baca semula. Sah, nama Andra yang kelihatan.
Apa pulak jejaka seorang ni nak pagi-pagi buta ni? Jam di tepi meja, aku
pandang. Okay dah pukul sembilan pagi Ayesha, pagi buta apanya ni. Aduh!
Okay
kawal diri Ayesha. Jangan bunyi macam baru bangun tidur sangat. Aku berdeham
berkali-kali untuk menghilangkan serak suaraku.
“Assalammualaikum.”
Aku bersuara setelah yakin serak suaraku sudah hilang.
“Waa’laikumussalam.
Saya ada dekat bawah. Cepatlah turun, sarapan sama-sama.”
“What?”
aku menjerit kecil.
“Saya
ada dekat bawah. Cukup-cukuplah tidur tu, tak elok anak dara tidur sampai
tengah hari.” Dia sempat mengomel membuatkan aku mendengus geram. Kenapalah dia
selalu datang bila aku nak terlajak tidur sikit? Kacau betullah dia ni.
Tapi
kenapa tiba-tiba, tak ada ribut, tak ada taufan, dia datang sini pulak? Tak
pernah-pernah pun dia datang sebelum ni, entah-entah rumah abang Ayim pun dia
tak tahu dekat mana. Ini mesti emak yang bagitahu alamat rumah ni. Hesy susah
la kalau emak pun menyokong usaha dia nak kahwin dengan aku.
Okay
jangan fikir banyak, Ayesha. Nanti kau turun lambat, lagi kena kecam.
“HAH, turun pun tuan puteri. Ni lama Andra
tunggu!” Abang Ayim yang sedang duduk di ruang tamu, menjerit ke arahku macam
aku duduk sebatu dari dia.
“Ye,
orang tahulah.” Aku mencebik ke arah abang Ayim dan memandang ke arah Andra
pula. Dia sedang memerhatikan aku dengan senyuman di bibirnya.
“Nak
apa datang rumah orang pagi-pagi ni? Selama ni tak pernah pun nak datang sini.
Kacau je.” Aku mencebik.
“Tak
baik cakap macam tu dekat Andra. Tengok, dia siap bawak nasi lemak tau untuk
kita. Baik bakal adik ipar abang ni.” Abang Ayim tersengih membuatkan Andra
menunduk malu.
“Abang!”
mataku mencerlung memandang abang Ayim. Belum apa-apa dah berani panggil Andra,
adik ipar ya.
“Saya
nak breakfast sama-sama awaklah. Dan nak jumpa abang Ayim jugak. Lama
sangat tak jumpa.” Andra menjelaskan.
“Haah,
banyak abang nak temuramah Andra ni. Kakak jangan sibuk.” Giliran abang Ayim
mencebik kepadaku.
“Sudah,
jangan diusik sangat dia orang ni, nanti segan pulak Andra.” Kak Hani, kakak
iparku yang baru muncul dari dapur, menegur abang Ayim.
“Tak
apa, kak. Saya tak segan pun.” Andra menjawab. Kemain lagi dia ni ya.
“Dahlah,
jom duduk dekat meja makan. Akak dah hidangkan nasi lemak yang Andra bawak
tadi. Jom sarapan.”
Aku
segera membawa langkah ke meja makan berdekatan ruang tamu itu. Malas hendak melayan
usikan abang Ayim lagi.
“Amboi
laju sungguh tuan puteri nak makan nasi lemak yang Andra bawak. Tadi jual mahal
sangat sampai tak puas hati Andra datang rumah.” Suara abang kedengaran di
belakang tetapi aku buat muka toya saja.
“Rezeki
jangan ditolak, musuh jangan dicari, abang jangan cakap banyak, nanti ada yang
makan kaki.” Aku bersuara membalas sebaik abang Ayim ikut duduk bersebelahanku.
Andra
yang baru mengambil tempat di hadapanku sudah ketawa tanpa suara sambil
tangannya yang melentik menutup mulut dengan sopan. Aku pun tak ketawa macam
tu, ayu nau!
“SHA! Keluar Sha!” suara seseorang menjerit
dari luar rumah ketika itu membuatkan aku terpisat-pisat. Siapa pula yang
datang buat kecoh pagi-pagi nan permai ni? Baru je nak tambah nasi lemak lagi
sebungkus. Sedap ni, entah dari mana Andra beli. Jangan dia letak mandrem
dalam ni sudah. Haha.
“Kejap
abang pergi tengok.” Abang Ayim menawarkan dirinya. Mungkin risau kalau aku
yang pergi jenguk dulu.
Tidak
berapa lama kemudian, abang Ayim masuk dengan langkah tergesa-gesa. Mata kami
semua tertumpu ke arahnya.
“Siapa,
bang?”
“Rizwan.
Dia kata nak jumpa kakak untuk kali ni je.”
Aku
tersentak. Buat apa dia datang ke sini pulak?
“Sebelum
ni dia pernah jugak datang ke sini tapi kakak tak ada.” Abang Ayim menambah
membuatkan aku menggumam.
“Abang halau jelah dia pergi, kakak dah tak
nak tengok muka dia. Semak perut je.” Aku bersuara setelah lama berjeda
sendiri. Tak ada hati nak tengok muka Rizwan lagi.
“Abang dah suruh dia balik, tapi katanya
selagi kakak tak keluar, dia tak nak balik.”
“Eleh, main ugut pulak dia. Kalau macam tu
biar jelah dia dekat situ, kakak nak tengok lama mana dia mampu bertahan.” Aku
bersuara sebal.
Andra yang berada di hadapanku sekadar diam
memerhati dengan wajahnya yang tampak gusar.
“Pergi jelah jumpa dia kejap kakak, lagi lama
dia duduk depan rumah kita, lagi tak elok. Nanti jiran fikir yang bukan-bukan
pulak.”
Aku mendengus kasar sebelum bingkas bangun. Baik,
nak jumpa sangat kan? Mari kita buat perhitungan terakhir. Huh!
“AWAK nak apa lagi?” aku memeluk tubuhku saat
memandang dia yang sedang bersandar di keretanya. Dia membuka kacamata hitamnya
dan berjalan mendekati aku.
“Kita
kena bincang, Sha.”
“Nak
bincang apa lagi. Kan semuanya dah jelas dan kita dah putus?”
“Abang
tahu tu tapi kenapa sampai Sha perlu letak gambar pertunangan abang dekat
Facebook? Apa yang Sha cuba nak buktikan?”
Aku
terdiam, mengingati tindakanku semalam yang memuatnaik gambar pertunangan
Rizwan di timeline Facebooknya dan mengucapkan tahniah kepadanya.
“Balas
dendam.” Aku tersenyum sinis, puas hati aku. Wajah Rizwan berubah riak, aku
tahu dia sedang marah.
“Jadi
Sha sengaja nak malukan abang kan?” nadanya sudah naik seoktaf.
“Awak
malu ke bertunang dengan Zarina?”
Dia
terdiam. Pandangannya dilarikan.
“Saya
cuma beritahu kebenaran kepada dunia, terutamanya dekat budak-budak pejabat
kita, supaya dia orang tahu siapa benar siapa salah. Awak ingat saya tak tahu
awak sebarkan fitnah pasal saya. Awak nak buat macam saya yang bersalah kan?”
“Dila
ke yang bagitahu Sha pasal ni?”
“Siapa
bagitahu tak penting, Encik Rizwan. Tapi sekarang, setelah dua tahun, baru saya
nampak belang awak satu persatu. Dulu saya memang bodoh sebab tak sedar
langsung awak dah ada perempuan lain walaupun banyak benda awak rahsiakan
daripada saya. Sekarang boleh tak awak jangan ganggu lagi hidup saya dan jangan
muncul lagi depan muka saya?”
“Abang
minta maaf, Sha. Abang janji takkan buat lagi. Abang cuma geram sebab Sha
putuskan hubungan kita macam tu saja lepas dua tahun. Abang masih sayangkan
Sha.” Rizwan bernada syahdu dengan matanya yang berkaca.
Aku
sekadar mendiamkan diri. Tidak ada rasa hendak membalas. Hatiku yang selalu
rapuh aku cuba kentalkan kali ini.
“Tolonglah,
Sha. Janganlah macam ni. Tolong terima abang balik, abang tak boleh hidup tanpa
Sha. Tolonglah!” Rizwan merayu sambil menarik lenganku tiba-tiba.
“Ish
lepaslah! Awak ni dah tak betul ke? Perangai macam gila talak!” aku menjerit,
bengang.
“Ya,
abang dah gila talak! Abang sayang Sha. Abang sanggup tinggalkan Zarina kalau
itu boleh buat Sha terima abang semula. Tolonglah!”
“Saya
tak boleh terima awak dah. Kalau awak tinggalkan Zarina pun saya takkan terima
awak! Tolonglah jangan kacau saya lagi. Saya merayu!” aku bersuara sebak,
hampir menangis.
Melihat
Rizwan yang macam hilang akal itu, hampir membuat aku jatuh kasihan kepadanya
tetapi aku tidak mahu jadi Ayesha yang dulu, yang lembut hatinya hingga reda
dengan apa jua keadaan. Aku takkan biarkan lelaki macam dia permainkan hati aku
lagi. Takkan!
“Tolonglah
Sha, jangan macam ni. Abang cuma cinta Sha seorang.” Rizwan sudah terduduk,
melutut di hadapan aku sambil tangannya masih kuat memaut lenganku.
“Sudahlah,
jangan jadi bodoh Rizwan. Tolonglah lupakan saya.” Aku menarik lenganku dengan
segala kudrat yang ada hingga terlepas dari pautan Rizwan akhirnya.
“Saya
dah boleh terima hakikat yang kita dah tak berjodoh, saya harap awak pun sama.”
Aku bersuara untuk kesekian kali sebelum melangkah membelakangi Rizwan, mahu
masuk ke dalam rumah semula.
“Nanti
Sha!” Rizwan sempat menarik lenganku kembali membuatkan aku terpaksa berpaling
memandanngya.
“Lepaslah!
Sakit!” aku mendengus namun cengkaman tangan Rizwan tetap kuat seperti tadi.
“Tak
nak balik lagi ke?” satu soalan yang kedengaran membuatkan aku dan Rizwan
sama-sama berpaling ke arah suara itu. Andra sedang menghampiri kami dengan
tangan yang dicekak di pinggangnya. Gaya mak cik-mak cik nak ajak bergaduh.
“Kau lagi, tak habis-habis kau
menyibuk hal orang lain kan?” Rizwan melepaskan lenganku dan berjalan laju ke
arah Andra membuatkan aku ikut berlari mendekati keduanya.
“Ya memang aku suka menyibuk. Yang kau tu tak tahu malu kenapa? Orang dah
tak nak, kau terhegeh lagi.” Andra memulangkan paku buah keras.
“Kau ni memang nak kenalah, sotong!”
“Sudah. Jangan nak bergaduh macam hari tu. Kalau awak apa-apakan dia kali
ni, saya akan call polis. Saya tak main-main Rizwan. Sekarang baik awak
balik. Faham tak?” aku bernada separa menjerit apabila melihat Rizwan sudah
mencekak kolar baju Andra.
Rizwan melepaskan kolar Andra perlahan sebelum dia berpaling memandangku
dengan wajah tidak puas hati.
“Masalahnya, kenapa setiap kali mesti dia ada dengan awak? Siapa dia
sebenarnya dan kenapa dia suka sangat menyibuk hal kita?”
“Dia bakal suami saya. Tak lama lagi saya akan kahwin dengan dia. Saya dah move
on daripada awak. Harap awak pun macam tu.” Aku menjelaskan tanpa
teragak-agak lagi membuatkan kedua Rizwan dan juga Andra terpempan memandang
aku.
AKU menghela
nafas lega sebaik Rizwan membolos masuk ke dalam keretanya dan memecut laju
walau riak wajahnya masih kelihatan tidak puas hati. Lantak dialah, nak emosi
kenapa? Dia yang mainkan perasaan aku dulu kan?
“Apa
maksud awak, cakap macam tu dekat Rizwan tadi?” suara lembut Andra yang
kedengaran membuatkan aku tersedar yang dia masih tercegat di sebelahku.
Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum
berpusing memandang dia.
“Saya betul-betul maksudkan kata-kata saya
tadi. Saya setuju nak kahwin dengan awak.”
Andra sekali lagi tercengang memandang aku
dengan matanya yang membulat membuatkan aku tidak dapat menahan ketawa. Hari tu
beria sangat nak kahwin dengan aku, aku dah setuju dia buat muka macam tak
percaya sangat pulak. Lempang nak?
“Betul ke ni, Ayesha? Awak bukan sengaja nak prank
saya kan?” Andra menyoal lagi. Tak puas hatilah tu.
“Entah, tadi saya rasa macam dah betul dah.
Tapi bila awak tanya banyak kali, saya rasa macam nak tarik balik je keputusan
saya tu.” Aku buat muka poyo.
“Hah, okay okay. Saya tak tanya dah.
Alhamdulillah.” Andra meraup wajahnya membuatkan aku tersenyum sendiri.
“Terima kasih, Ayesha. Sebab sudi terima
saya.” Suara Andra kedengaran begitu ikhlas menerjah gegendang telingaku
bersama senyuman manis yang terukir di wajahnya.
Aku ikut tersenyum, walau ada perkara yang
mengganggu benakku saat itu.
“Tapi Andra, saya nak awak tahu yang saya
bukannya baik sangat.” Aku bersuara setelah berjeda seketika. Andra terdiam
memandang aku.
“Saya sendiri hanyut dengan dunia selama ni. Saya
tak mampu nak bimbing awak sebab saya sendiri kena perbetulkan banyak perkara
tentang diri saya. Kalau awak perlukan pembimbing, memang bukan saya orang yang
tepat, Andra.” Sayu aku menjelaskan, mengharapkan dia faham dan tidak menaruh
harapan yang tinggi terhadap aku.
“Saya tak suruh awak bimbing saya, saya cuma
nak awak ada di sisi saya, sama-sama beriringan dengan saya dalam perjalanan
menuju reda Allah. Kita sama-sama perbaiki diri kita untuk jadi hamba yang
lebih baik. Boleh kan?” pintanya dengan senyuman, membuatkan hatiku terasa
begitu lapang. Perlahan aku mengangguk bersama senyuman yang ikut terlukis di
bibir.
Ya Allah, aku berharap keputusan aku menerima
jodoh ini adalah tepat. Amin!
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!