~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Friday, February 16, 2018

Novel Jodohku Jejaka Jelita bab 13



BUNYI nada dering yang kedengaran pagi itu membuatkan aku tersedar daripada tidur dan segera mengambil telefon bimbitku di atas meja tepi katil.
            Mataku membulat. Nama yang tertera di skrin, aku baca semula. Sah, nama Andra yang kelihatan. Apa pulak jejaka seorang ni nak pagi-pagi buta ni? Jam di tepi meja, aku pandang. Okay dah pukul sembilan pagi Ayesha, pagi buta apanya ni. Aduh!
            Okay kawal diri Ayesha. Jangan bunyi macam baru bangun tidur sangat. Aku berdeham berkali-kali untuk menghilangkan serak suaraku.
            “Assalammualaikum.” Aku bersuara setelah yakin serak suaraku sudah hilang.
            “Waa’laikumussalam. Saya ada dekat bawah. Cepatlah turun, sarapan sama-sama.”
            “What?” aku menjerit kecil.
            “Saya ada dekat bawah. Cukup-cukuplah tidur tu, tak elok anak dara tidur sampai tengah hari.” Dia sempat mengomel membuatkan aku mendengus geram. Kenapalah dia selalu datang bila aku nak terlajak tidur sikit? Kacau betullah dia ni.
            Tapi kenapa tiba-tiba, tak ada ribut, tak ada taufan, dia datang sini pulak? Tak pernah-pernah pun dia datang sebelum ni, entah-entah rumah abang Ayim pun dia tak tahu dekat mana. Ini mesti emak yang bagitahu alamat rumah ni. Hesy susah la kalau emak pun menyokong usaha dia nak kahwin dengan aku.
            Okay jangan fikir banyak, Ayesha. Nanti kau turun lambat, lagi kena kecam.

“HAH, turun pun tuan puteri. Ni lama Andra tunggu!” Abang Ayim yang sedang duduk di ruang tamu, menjerit ke arahku macam aku duduk sebatu dari dia.
            “Ye, orang tahulah.” Aku mencebik ke arah abang Ayim dan memandang ke arah Andra pula. Dia sedang memerhatikan aku dengan senyuman di bibirnya.
            “Nak apa datang rumah orang pagi-pagi ni? Selama ni tak pernah pun nak datang sini. Kacau je.” Aku mencebik.
            “Tak baik cakap macam tu dekat Andra. Tengok, dia siap bawak nasi lemak tau untuk kita. Baik bakal adik ipar abang ni.” Abang Ayim tersengih membuatkan Andra menunduk malu.
            “Abang!” mataku mencerlung memandang abang Ayim. Belum apa-apa dah berani panggil Andra, adik ipar ya.
            “Saya nak breakfast sama-sama awaklah. Dan nak jumpa abang Ayim jugak. Lama sangat tak jumpa.” Andra menjelaskan.
            “Haah, banyak abang nak temuramah Andra ni. Kakak jangan sibuk.” Giliran abang Ayim mencebik kepadaku.
            “Sudah, jangan diusik sangat dia orang ni, nanti segan pulak Andra.” Kak Hani, kakak iparku yang baru muncul dari dapur, menegur abang Ayim.
            “Tak apa, kak. Saya tak segan pun.” Andra menjawab. Kemain lagi dia ni ya.
            “Dahlah, jom duduk dekat meja makan. Akak dah hidangkan nasi lemak yang Andra bawak tadi. Jom sarapan.”
            Aku segera membawa langkah ke meja makan berdekatan ruang tamu itu. Malas hendak melayan usikan abang Ayim lagi.
            “Amboi laju sungguh tuan puteri nak makan nasi lemak yang Andra bawak. Tadi jual mahal sangat sampai tak puas hati Andra datang rumah.” Suara abang kedengaran di belakang tetapi aku buat muka toya saja.
            “Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari, abang jangan cakap banyak, nanti ada yang makan kaki.” Aku bersuara membalas sebaik abang Ayim ikut duduk bersebelahanku.
            Andra yang baru mengambil tempat di hadapanku sudah ketawa tanpa suara sambil tangannya yang melentik menutup mulut dengan sopan. Aku pun tak ketawa macam tu, ayu nau!

“SHA! Keluar Sha!” suara seseorang menjerit dari luar rumah ketika itu membuatkan aku terpisat-pisat. Siapa pula yang datang buat kecoh pagi-pagi nan permai ni? Baru je nak tambah nasi lemak lagi sebungkus. Sedap ni, entah dari mana Andra beli. Jangan dia letak mandrem dalam ni sudah. Haha.
            “Kejap abang pergi tengok.” Abang Ayim menawarkan dirinya. Mungkin risau kalau aku yang pergi jenguk dulu.
            Tidak berapa lama kemudian, abang Ayim masuk dengan langkah tergesa-gesa. Mata kami semua tertumpu ke arahnya.
            “Siapa, bang?”
            “Rizwan. Dia kata nak jumpa kakak untuk kali ni je.”
            Aku tersentak. Buat apa dia datang ke sini pulak?
            “Sebelum ni dia pernah jugak datang ke sini tapi kakak tak ada.” Abang Ayim menambah membuatkan aku menggumam.
“Abang halau jelah dia pergi, kakak dah tak nak tengok muka dia. Semak perut je.” Aku bersuara setelah lama berjeda sendiri. Tak ada hati nak tengok muka Rizwan lagi.
“Abang dah suruh dia balik, tapi katanya selagi kakak tak keluar, dia tak nak balik.”
“Eleh, main ugut pulak dia. Kalau macam tu biar jelah dia dekat situ, kakak nak tengok lama mana dia mampu bertahan.” Aku bersuara sebal.
Andra yang berada di hadapanku sekadar diam memerhati dengan wajahnya yang tampak gusar.
“Pergi jelah jumpa dia kejap kakak, lagi lama dia duduk depan rumah kita, lagi tak elok. Nanti jiran fikir yang bukan-bukan pulak.”
Aku mendengus kasar sebelum bingkas bangun. Baik, nak jumpa sangat kan? Mari kita buat perhitungan terakhir. Huh!

“AWAK nak apa lagi?” aku memeluk tubuhku saat memandang dia yang sedang bersandar di keretanya. Dia membuka kacamata hitamnya dan berjalan mendekati aku.
            “Kita kena bincang, Sha.”
            “Nak bincang apa lagi. Kan semuanya dah jelas dan kita dah putus?”
            “Abang tahu tu tapi kenapa sampai Sha perlu letak gambar pertunangan abang dekat Facebook? Apa yang Sha cuba nak buktikan?”
            Aku terdiam, mengingati tindakanku semalam yang memuatnaik gambar pertunangan Rizwan di timeline Facebooknya dan mengucapkan tahniah kepadanya.
            “Balas dendam.” Aku tersenyum sinis, puas hati aku. Wajah Rizwan berubah riak, aku tahu dia sedang marah.
            “Jadi Sha sengaja nak malukan abang kan?” nadanya sudah naik seoktaf.
            “Awak malu ke bertunang dengan Zarina?”
            Dia terdiam. Pandangannya dilarikan.
            “Saya cuma beritahu kebenaran kepada dunia, terutamanya dekat budak-budak pejabat kita, supaya dia orang tahu siapa benar siapa salah. Awak ingat saya tak tahu awak sebarkan fitnah pasal saya. Awak nak buat macam saya yang bersalah kan?”
            “Dila ke yang bagitahu Sha pasal ni?”
            “Siapa bagitahu tak penting, Encik Rizwan. Tapi sekarang, setelah dua tahun, baru saya nampak belang awak satu persatu. Dulu saya memang bodoh sebab tak sedar langsung awak dah ada perempuan lain walaupun banyak benda awak rahsiakan daripada saya. Sekarang boleh tak awak jangan ganggu lagi hidup saya dan jangan muncul lagi depan muka saya?”
            “Abang minta maaf, Sha. Abang janji takkan buat lagi. Abang cuma geram sebab Sha putuskan hubungan kita macam tu saja lepas dua tahun. Abang masih sayangkan Sha.” Rizwan bernada syahdu dengan matanya yang berkaca.
            Aku sekadar mendiamkan diri. Tidak ada rasa hendak membalas. Hatiku yang selalu rapuh aku cuba kentalkan kali ini.
            “Tolonglah, Sha. Janganlah macam ni. Tolong terima abang balik, abang tak boleh hidup tanpa Sha. Tolonglah!” Rizwan merayu sambil menarik lenganku tiba-tiba.
            “Ish lepaslah! Awak ni dah tak betul ke? Perangai macam gila talak!” aku menjerit, bengang.
            “Ya, abang dah gila talak! Abang sayang Sha. Abang sanggup tinggalkan Zarina kalau itu boleh buat Sha terima abang semula. Tolonglah!”
            “Saya tak boleh terima awak dah. Kalau awak tinggalkan Zarina pun saya takkan terima awak! Tolonglah jangan kacau saya lagi. Saya merayu!” aku bersuara sebak, hampir menangis.
            Melihat Rizwan yang macam hilang akal itu, hampir membuat aku jatuh kasihan kepadanya tetapi aku tidak mahu jadi Ayesha yang dulu, yang lembut hatinya hingga reda dengan apa jua keadaan. Aku takkan biarkan lelaki macam dia permainkan hati aku lagi. Takkan!
            “Tolonglah Sha, jangan macam ni. Abang cuma cinta Sha seorang.” Rizwan sudah terduduk, melutut di hadapan aku sambil tangannya masih kuat memaut lenganku.
            “Sudahlah, jangan jadi bodoh Rizwan. Tolonglah lupakan saya.” Aku menarik lenganku dengan segala kudrat yang ada hingga terlepas dari pautan Rizwan akhirnya.
            “Saya dah boleh terima hakikat yang kita dah tak berjodoh, saya harap awak pun sama.” Aku bersuara untuk kesekian kali sebelum melangkah membelakangi Rizwan, mahu masuk ke dalam rumah semula.
            “Nanti Sha!” Rizwan sempat menarik lenganku kembali membuatkan aku terpaksa berpaling memandanngya.
            “Lepaslah! Sakit!” aku mendengus namun cengkaman tangan Rizwan tetap kuat seperti tadi.
            “Tak nak balik lagi ke?” satu soalan yang kedengaran membuatkan aku dan Rizwan sama-sama berpaling ke arah suara itu. Andra sedang menghampiri kami dengan tangan yang dicekak di pinggangnya. Gaya mak cik-mak cik nak ajak bergaduh.
 “Kau lagi, tak habis-habis kau menyibuk hal orang lain kan?” Rizwan melepaskan lenganku dan berjalan laju ke arah Andra membuatkan aku ikut berlari mendekati keduanya.
“Ya memang aku suka menyibuk. Yang kau tu tak tahu malu kenapa? Orang dah tak nak, kau terhegeh lagi.” Andra memulangkan paku buah keras.
“Kau ni memang nak kenalah, sotong!”
“Sudah. Jangan nak bergaduh macam hari tu. Kalau awak apa-apakan dia kali ni, saya akan call polis. Saya tak main-main Rizwan. Sekarang baik awak balik. Faham tak?” aku bernada separa menjerit apabila melihat Rizwan sudah mencekak kolar baju Andra.
Rizwan melepaskan kolar Andra perlahan sebelum dia berpaling memandangku dengan wajah tidak puas hati.
“Masalahnya, kenapa setiap kali mesti dia ada dengan awak? Siapa dia sebenarnya dan kenapa dia suka sangat menyibuk hal kita?”
“Dia bakal suami saya. Tak lama lagi saya akan kahwin dengan dia. Saya dah move on daripada awak. Harap awak pun macam tu.” Aku menjelaskan tanpa teragak-agak lagi membuatkan kedua Rizwan dan juga Andra terpempan memandang aku.

AKU menghela nafas lega sebaik Rizwan membolos masuk ke dalam keretanya dan memecut laju walau riak wajahnya masih kelihatan tidak puas hati. Lantak dialah, nak emosi kenapa? Dia yang mainkan perasaan aku dulu kan?
 “Apa maksud awak, cakap macam tu dekat Rizwan tadi?” suara lembut Andra yang kedengaran membuatkan aku tersedar yang dia masih tercegat di sebelahku.
Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum berpusing memandang dia.
“Saya betul-betul maksudkan kata-kata saya tadi. Saya setuju nak kahwin dengan awak.”
Andra sekali lagi tercengang memandang aku dengan matanya yang membulat membuatkan aku tidak dapat menahan ketawa. Hari tu beria sangat nak kahwin dengan aku, aku dah setuju dia buat muka macam tak percaya sangat pulak. Lempang nak?
“Betul ke ni, Ayesha? Awak bukan sengaja nak prank saya kan?” Andra menyoal lagi. Tak puas hatilah tu.
“Entah, tadi saya rasa macam dah betul dah. Tapi bila awak tanya banyak kali, saya rasa macam nak tarik balik je keputusan saya tu.” Aku buat muka poyo.
“Hah, okay okay. Saya tak tanya dah. Alhamdulillah.” Andra meraup wajahnya membuatkan aku tersenyum sendiri.
“Terima kasih, Ayesha. Sebab sudi terima saya.” Suara Andra kedengaran begitu ikhlas menerjah gegendang telingaku bersama senyuman manis yang terukir di wajahnya.
Aku ikut tersenyum, walau ada perkara yang mengganggu benakku saat itu.
“Tapi Andra, saya nak awak tahu yang saya bukannya baik sangat.” Aku bersuara setelah berjeda seketika. Andra terdiam memandang aku.
“Saya sendiri hanyut dengan dunia selama ni. Saya tak mampu nak bimbing awak sebab saya sendiri kena perbetulkan banyak perkara tentang diri saya. Kalau awak perlukan pembimbing, memang bukan saya orang yang tepat, Andra.” Sayu aku menjelaskan, mengharapkan dia faham dan tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap aku.
“Saya tak suruh awak bimbing saya, saya cuma nak awak ada di sisi saya, sama-sama beriringan dengan saya dalam perjalanan menuju reda Allah. Kita sama-sama perbaiki diri kita untuk jadi hamba yang lebih baik. Boleh kan?” pintanya dengan senyuman, membuatkan hatiku terasa begitu lapang. Perlahan aku mengangguk bersama senyuman yang ikut terlukis di bibir.

Ya Allah, aku berharap keputusan aku menerima jodoh ini adalah tepat. Amin!

Suka? =)

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!