AKU meletakkan muk yang terisi jus oren ke
atas meja semula setelah menghirupnya sedikit. Pandanganku jatuh ke arah Dila
yang masih fokus memandangku.
“Jadi
sebab itulah kau putus dengan Rizwan ya?”
Aku
mengangguk laju.
“Kurang
asam jawa punya Rizwan. Dekat pejabat boleh dia berlakon macam dia mangsa
keadaan.” Dila mengomel, tidak puas hati.
“Mangsa
keadaan?” sekarang aku pulak yang rasa tak puas hati. Perkara tak betul apa
pulak yang Rizwan sebarkan dekat pejabat tu.
“Ye,
beb. Dia cakap kau putus dengan dia sebab ada kekasih baru. Dia kata kau kantoi
dengan dia sebab tu kau tak berani muncul dekat pejabat dah. Aku memang tak
percaya langsung dengan apa yang dia cakap. Tapi kau tahulah orang dekat
pejabat macam mana, lagi-lagi dengar daripada sebelah pihak. Memang dia orang
aci percaya jelah cakap Rizwan tu.”
“Ular
lidah bercabang-cabang punya lelaki! Dia yang ada perempuan lain, dia main
tuduh aku pulak?” Muka aku dah berubah merah.
“Sebab
itulah beb, kalau aku jadi kau aku tak berhenti kerja. Lantaklah dekat dia,
takkan sebab dia aku sampai hilang punca pendapatan? Tengok sekarang jadi apa,
dia fitnah kau macam-macam pulak sedangkan kau tak boleh balas balik kata-kata
dia tu.”
Aku
menggumam sebelum menggeleng perlahan.
“Tak bolehlah beb. Bila aku ingat yang dia dah
tipu aku dan buat aku bazirkan hidup aku selama dua tahun ni, aku jadi bengang
sangat. Perasaan cinta aku dekat dia dulu dah bertukar jadi perasaan marah tau.
Aku risau kalau aku masih kerja dekat situ, tak aman pejabat tu aku kerjakan.”
Dila ketawa.
“Kau ni macam-macamlah. Tapi betul jugak, kau
yang rasa sakit hati tu, aku tak alami benda tu bolehlah cakap tak nak
berhenti. Cuba jadi dekat aku.” Dila tersengih, mungkin dia sudah bisa memahami
perasaan aku saat itu.
“Tahu pun.” Aku menjelirkan lidah.
“Habis tu sekarang macam mana? Apa plan
kau?”
“Pasal apa? Kalau pasal masa depan, hari ni
aku baru saja balik daripada interview, kalau ada rezeki adalah.” Aku
menarik senyum.
“Kalau pasal Rizwan, kau tunggu jelah nanti
apa aku nak buat. Dia fikir aku tak ada dekat pejabat, dia boleh suka hati
burukkan aku? Memang silap besarlah dia sebab cari pasal dengan Ayesha Humaira.
Ayesha yang dia kenal tak sama dengan Ayesha yang sebenarnya okay. Depan dia
dulu bolehlah aku berlembut, sayang punya pasal. Sekarang sayang dah melayang,
siaplah!” aku menggenggam penumbuk, menandakan aku betul-betul bengang.
Dila menepuk lembut pahaku, membuatkan aku
kembali fokus memandangnya.
“Aku
lega sebenarnya tengok kau okay macam ni walaupun baru putus cinta.” Kata-kata
Dila membuatkan aku termangu-mangu.
“Macam ni kau kata okay? Aku ni tak habis lagi
tau sakit hati dekat Rizwan tu, lagi-lagi lepas apa kau cerita ni.” Dila menarik
sengih melihat wajahku yang cemberut saat itu.
“Ya aku tahu. Tapi sekurang-kurangnya kau tak
adalah nampak merana atau frust menonggeng. Tak semua orang mampu cepat
pulih daripada putus cinta macam kau ni tau.”
Aku tergamam. Cepat pulih? Ye ke?
“Jadi aku rasa sama ada kau sebenarnya tak
berapa sayang pun Rizwan tu atau kau dah jumpa pengganti. Mana satu betul? Baik
kau mengaku cepat!”
Mataku membulat.
“Hesy apa kau merepek ni? Boleh tak kau bagi
banyak sikit pilihan jawapan? Contohnya sebab aku ni seorang wanita yang tabah
dan kuat ke, atau aku ni dipenuhi sifat-sifat mahmudah ke?”
Dila
ketawa semakin kuat membuatkan aku ikut ketawa dengan jawapanku sendiri. Yelah,
tabah sangatlah kau Ayesha kalau berapa hari berkurung dalam bilik, tak lalu
makan, menangis bila sendirian. Lama gila nak pulihkan hati ni, okay!
SELAMAT malam, Ayesha. Mimpikan saya tau. Saya doakan hati awak terbuka
untuk terima saya sebagai suami. Saya tunggu jawapan daripada awak.
Mesej di aplikasi Whatsapp itu aku baca pantas
sebelum mataku membuntang. Kenapa aku rasa geli sangat ni? Hesy!
Selamat
malam. Pergilah tidur. Jangan mimpikan saya.
Aku
membalas dengan wajah berkerut. Seram okay!
Aku
sekadar melihat Andra menghantar emoji ketawa dan tidak ada rasa hendak
membalasnya lagi.
Aku
tidak mahu memberikannya sebarang harapan di saat aku sendiri buntu hendak
menerima lamarannya ataupun tidak. Perkara ni bukannya boleh dibuat main, ini
soal hidup aku, masa depan aku. Aku kena berfikir semasaknya, bisakah aku
bersama dia sepanjang hayatku? Bisakah aku bahagia?
Bunyi
nada dering telefon membuatkan aku tersedar daripada lamunan. Erk, takkanlah
dia telefon pulak? Jangan macam-macam.
Aku
menarik nafas lega sebaik melihat nama lain yang tertera di skrin telefonku.
Laju aku mengangkat telefon tersebut.
“Wardah,
tolong aku!” aku menjerit kecil sebelum sempat Wardah berkata apa.
“ANDRA ajak kau kahwin?” suara Wardah
kedengaran terkejut. Iyalah, siapa yang tak terkejut, aku sendiri pun terkejut
macam apa lagi hari tu.
“Ya.
Gila kan dia?” pendek aku menyoal membuatkan tawa Wardah kedengaran dari
sebelah sana.
“Family
kau cakap apa?”
Aku
mengeluh sesaat.
“Dia orang macam tak kisah je. Emak lagilah
suka sebab Andra tu kan kesayangan dia. Yang lain-lain macam ikut je apapun
keputusan aku, janji aku bahagia. Abang Ayim pun dah tahu pasal apa yang Rizwan
buat dekat aku jadi dia pun kalau boleh nak aku cepat-cepat kahwin supaya aku
boleh move on.”
“Oh macam tu.”
“Aku tak nak buat keputusan terburu-buru, Dah.
Aku tak nak kahwin sebab nak lupakan Rizwan semata. Cara tu tak betul. Perkara
ni babitkan masa depan aku kot, dengan siapa aku nak habiskan seumur hidup aku
nanti.” Aku melepaskan keluhan lagi, terasa beratnya dadaku ketika itu.
“Aku pun tak mampu buat keputusan untuk kau
sebab macam kau cakap, ini masa depan kau kan. Tapi bagi aku, Andra tu walaupun
lembut, tapi dia berganda baik daripada lelaki-lelaki keras dekat luar sana.
Macam aku pernah cakap dekat kau dulu, orang macam dia tu lebih memahami
perempuan tau. Aku rasa beruntung kalau siapa dapat dia.”
Aku terdiam, memang Wardah pernah sebut pasal
hal ni dulu. Siap nak kenenkan aku dengan Andra. Tak sangka hal ni jadi
kenyataan sekarang. Ironi sungguh!
“Kau cuba solat istikharah, minta petunjuk
Allah. Kau kena ingat, kita kena letakkan segala kebergantungan kita dekat Dia,
sebab kita ni cuma hamba yang tak tahu apa-apa sedangkan Allah Maha Mengetahui.
Aku harap kau dapat jawapan yang kau nak, Sha.”
Aku mengetap bibir. Terasa mencengkam ke hati
aku. Betapa aku terlalu memikirkan hal ni sendiri sampai lupa siapa Pencipta
aku, siapa yang sepatutnya aku bergantung harap.
“Insya-Allah, Wardah. Terima kasih tau. Aku
rasa lega sikit dah cakap dengan kau.” aku bersuara syahdu, benar-benar
maksudkan. Terasa dadaku lebih lapang saat itu.
AKU meraup wajahku usai memberi salam kanan
dan kiri. Tanganku aku tadahkan untuk berdoa setelah selesai mengerjakan solat
istikharah malam itu.
“Ya Allah, aku tahu aku bukanlah hambaMu yang
baik. Aku selalu hanyut dengan dunia dan lupa kepadaMu. Tetapi hambaMu ini sedang
dalam kesusahan ya Allah. Aku tidak tahu apa lagi yang harus aku lakukan, ya
Allah. Dia hadir di saat yang aku langsung tidak duga. Dia ingin menjadikan aku
isterinya di saat aku terasa tidak mahu percaya lagi pada sebuah cinta. Andai
dia jodoh yang terbaik buatku, Kau bukakanlah pintu hatiku untuk menerimanya ya
Allah, namun andai dia bukan yang terbaik, aku reda ya Allah. Amin.”
Aku meraup wajahku untuk kesekian kalinya,
usai berdoa dan bingkas bangun untuk tidur. Mengharapkan hari-hari mendatang, akan
ada sebuah jawapan yang pasti untuk aku berikan kepada Andra yang masih
menanti. Mudah-mudahan.
Suka? =)
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!