Thursday, February 15, 2018

Novel Jodohku Jejaka Jelita bab 12

AKU meletakkan muk yang terisi jus oren ke atas meja semula setelah menghirupnya sedikit. Pandanganku jatuh ke arah Dila yang masih fokus memandangku.
            “Jadi sebab itulah kau putus dengan Rizwan ya?”
            Aku mengangguk laju.
            “Kurang asam jawa punya Rizwan. Dekat pejabat boleh dia berlakon macam dia mangsa keadaan.” Dila mengomel, tidak puas hati.
            “Mangsa keadaan?” sekarang aku pulak yang rasa tak puas hati. Perkara tak betul apa pulak yang Rizwan sebarkan dekat pejabat tu.
            “Ye, beb. Dia cakap kau putus dengan dia sebab ada kekasih baru. Dia kata kau kantoi dengan dia sebab tu kau tak berani muncul dekat pejabat dah. Aku memang tak percaya langsung dengan apa yang dia cakap. Tapi kau tahulah orang dekat pejabat macam mana, lagi-lagi dengar daripada sebelah pihak. Memang dia orang aci percaya jelah cakap Rizwan tu.”
            “Ular lidah bercabang-cabang punya lelaki! Dia yang ada perempuan lain, dia main tuduh aku pulak?” Muka aku dah berubah merah.
            “Sebab itulah beb, kalau aku jadi kau aku tak berhenti kerja. Lantaklah dekat dia, takkan sebab dia aku sampai hilang punca pendapatan? Tengok sekarang jadi apa, dia fitnah kau macam-macam pulak sedangkan kau tak boleh balas balik kata-kata dia tu.”
            Aku menggumam sebelum menggeleng perlahan.
“Tak bolehlah beb. Bila aku ingat yang dia dah tipu aku dan buat aku bazirkan hidup aku selama dua tahun ni, aku jadi bengang sangat. Perasaan cinta aku dekat dia dulu dah bertukar jadi perasaan marah tau. Aku risau kalau aku masih kerja dekat situ, tak aman pejabat tu aku kerjakan.”
Dila ketawa.
“Kau ni macam-macamlah. Tapi betul jugak, kau yang rasa sakit hati tu, aku tak alami benda tu bolehlah cakap tak nak berhenti. Cuba jadi dekat aku.” Dila tersengih, mungkin dia sudah bisa memahami perasaan aku saat itu.
“Tahu pun.” Aku menjelirkan lidah.
“Habis tu sekarang macam mana? Apa plan kau?”
“Pasal apa? Kalau pasal masa depan, hari ni aku baru saja balik daripada interview, kalau ada rezeki adalah.” Aku menarik senyum.
“Kalau pasal Rizwan, kau tunggu jelah nanti apa aku nak buat. Dia fikir aku tak ada dekat pejabat, dia boleh suka hati burukkan aku? Memang silap besarlah dia sebab cari pasal dengan Ayesha Humaira. Ayesha yang dia kenal tak sama dengan Ayesha yang sebenarnya okay. Depan dia dulu bolehlah aku berlembut, sayang punya pasal. Sekarang sayang dah melayang, siaplah!” aku menggenggam penumbuk, menandakan aku betul-betul bengang.
Dila menepuk lembut pahaku, membuatkan aku kembali fokus memandangnya.
 “Aku lega sebenarnya tengok kau okay macam ni walaupun baru putus cinta.” Kata-kata Dila membuatkan aku termangu-mangu.
“Macam ni kau kata okay? Aku ni tak habis lagi tau sakit hati dekat Rizwan tu, lagi-lagi lepas apa kau cerita ni.” Dila menarik sengih melihat wajahku yang cemberut saat itu.
“Ya aku tahu. Tapi sekurang-kurangnya kau tak adalah nampak merana atau frust menonggeng. Tak semua orang mampu cepat pulih daripada putus cinta macam kau ni tau.”
Aku tergamam. Cepat pulih? Ye ke?
“Jadi aku rasa sama ada kau sebenarnya tak berapa sayang pun Rizwan tu atau kau dah jumpa pengganti. Mana satu betul? Baik kau mengaku cepat!”
Mataku membulat.
“Hesy apa kau merepek ni? Boleh tak kau bagi banyak sikit pilihan jawapan? Contohnya sebab aku ni seorang wanita yang tabah dan kuat ke, atau aku ni dipenuhi sifat-sifat mahmudah ke?”
            Dila ketawa semakin kuat membuatkan aku ikut ketawa dengan jawapanku sendiri. Yelah, tabah sangatlah kau Ayesha kalau berapa hari berkurung dalam bilik, tak lalu makan, menangis bila sendirian. Lama gila nak pulihkan hati ni, okay!

SELAMAT malam, Ayesha. Mimpikan saya tau. Saya doakan hati awak terbuka untuk terima saya sebagai suami. Saya tunggu jawapan daripada awak.
Mesej di aplikasi Whatsapp itu aku baca pantas sebelum mataku membuntang. Kenapa aku rasa geli sangat ni? Hesy!
            Selamat malam. Pergilah tidur. Jangan mimpikan saya.
            Aku membalas dengan wajah berkerut. Seram okay!
            Aku sekadar melihat Andra menghantar emoji ketawa dan tidak ada rasa hendak membalasnya lagi.
            Aku tidak mahu memberikannya sebarang harapan di saat aku sendiri buntu hendak menerima lamarannya ataupun tidak. Perkara ni bukannya boleh dibuat main, ini soal hidup aku, masa depan aku. Aku kena berfikir semasaknya, bisakah aku bersama dia sepanjang hayatku? Bisakah aku bahagia?
            Bunyi nada dering telefon membuatkan aku tersedar daripada lamunan. Erk, takkanlah dia telefon pulak? Jangan macam-macam.
            Aku menarik nafas lega sebaik melihat nama lain yang tertera di skrin telefonku. Laju aku mengangkat telefon tersebut.
            “Wardah, tolong aku!” aku menjerit kecil sebelum sempat Wardah berkata apa.

“ANDRA ajak kau kahwin?” suara Wardah kedengaran terkejut. Iyalah, siapa yang tak terkejut, aku sendiri pun terkejut macam apa lagi hari tu.
            “Ya. Gila kan dia?” pendek aku menyoal membuatkan tawa Wardah kedengaran dari sebelah sana.
            “Family kau cakap apa?”
            Aku mengeluh sesaat.
“Dia orang macam tak kisah je. Emak lagilah suka sebab Andra tu kan kesayangan dia. Yang lain-lain macam ikut je apapun keputusan aku, janji aku bahagia. Abang Ayim pun dah tahu pasal apa yang Rizwan buat dekat aku jadi dia pun kalau boleh nak aku cepat-cepat kahwin supaya aku boleh move on.”
“Oh macam tu.”
“Aku tak nak buat keputusan terburu-buru, Dah. Aku tak nak kahwin sebab nak lupakan Rizwan semata. Cara tu tak betul. Perkara ni babitkan masa depan aku kot, dengan siapa aku nak habiskan seumur hidup aku nanti.” Aku melepaskan keluhan lagi, terasa beratnya dadaku ketika itu.
“Aku pun tak mampu buat keputusan untuk kau sebab macam kau cakap, ini masa depan kau kan. Tapi bagi aku, Andra tu walaupun lembut, tapi dia berganda baik daripada lelaki-lelaki keras dekat luar sana. Macam aku pernah cakap dekat kau dulu, orang macam dia tu lebih memahami perempuan tau. Aku rasa beruntung kalau siapa dapat dia.”
Aku terdiam, memang Wardah pernah sebut pasal hal ni dulu. Siap nak kenenkan aku dengan Andra. Tak sangka hal ni jadi kenyataan sekarang. Ironi sungguh!
“Kau cuba solat istikharah, minta petunjuk Allah. Kau kena ingat, kita kena letakkan segala kebergantungan kita dekat Dia, sebab kita ni cuma hamba yang tak tahu apa-apa sedangkan Allah Maha Mengetahui. Aku harap kau dapat jawapan yang kau nak, Sha.”
Aku mengetap bibir. Terasa mencengkam ke hati aku. Betapa aku terlalu memikirkan hal ni sendiri sampai lupa siapa Pencipta aku, siapa yang sepatutnya aku bergantung harap.
“Insya-Allah, Wardah. Terima kasih tau. Aku rasa lega sikit dah cakap dengan kau.” aku bersuara syahdu, benar-benar maksudkan. Terasa dadaku lebih lapang saat itu.


AKU meraup wajahku usai memberi salam kanan dan kiri. Tanganku aku tadahkan untuk berdoa setelah selesai mengerjakan solat istikharah malam itu.
“Ya Allah, aku tahu aku bukanlah hambaMu yang baik. Aku selalu hanyut dengan dunia dan lupa kepadaMu. Tetapi hambaMu ini sedang dalam kesusahan ya Allah. Aku tidak tahu apa lagi yang harus aku lakukan, ya Allah. Dia hadir di saat yang aku langsung tidak duga. Dia ingin menjadikan aku isterinya di saat aku terasa tidak mahu percaya lagi pada sebuah cinta. Andai dia jodoh yang terbaik buatku, Kau bukakanlah pintu hatiku untuk menerimanya ya Allah, namun andai dia bukan yang terbaik, aku reda ya Allah. Amin.”

Aku meraup wajahku untuk kesekian kalinya, usai berdoa dan bingkas bangun untuk tidur. Mengharapkan hari-hari mendatang, akan ada sebuah jawapan yang pasti untuk aku berikan kepada Andra yang masih menanti. Mudah-mudahan.

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!