Aku
merenung telefon bimbitku lama, berkira untuk mengaktifkan semula telefon itu,
dan menghubungi Iman. Lama aku merenung telefon itu kerana hati masih
teragak-agak untuk berbuat demikian.
Ya
Allah! Apa yang aku cuba buat ni? menghubungi Iman hanya akan membuatkan hati
Iman goyah untuk meneruskan pernikahannya yang berbaki dua minggu lagi. Aku
tidak sepatutnya menjadi batu penghalang pada sebuah masjid yang akan dibina.
Sekalipun aku sedar, Iman kini mencintai aku, tapi aku tak bisa melukakan hati
Ida yang begitu teruja dengan pernikahan itu. Aku sedar yang selama ini, Ida
juga terlalu mencintai Iman dan aku takkan mungkin jadi perampas Iman dari Ida.
Ya Allah, aku tak mahu jadi perampas ya Allah. Takkan sama sekali.
Ya
aku tidak boleh pentingkan kebahagiaan aku sendiri, sedangkan Ida menderita di
sana. Kalau aku bertemu dengan Iman, pasti ada kemungkinan yang Iman akan
membatalkan pernikahan itu. Aku tidak boleh turutkan rasa hatiku sendiri.
Air
mataku berlinangan, saat aku mengambil keputusan untuk tidak lagi menghubungi
Iman. Ya benar, hatiku perit sekali, tapi aku sudah terbiasa ditinggalkan, aku
pasti mampu harungi dugaan ini. Sedangkan Ida, dia takkan mampu bertahan andai
Iman meninggalkannya. Aku redha ya Allah, berikanlah aku kekuatan.
Aku
ambil telefon bimbit itu dan kusimpan ke dalam laci semula, sebelum aku
bangkit, keluar dari bilikku itu.
-------------------------------------------
“Kenapa
dengan Ila ni? Sejak balik ke kampung ni, sampailah sekarang, Mak Teh nampak
Ila macam tak ceria. Macam menyimpan sesuatu dalam hati Ila.” Mak Teh menyoal
aku saat aku duduk dengannya di beranda sambil menghirup teh panas di waktu
petang itu.
Aku
tersenyum pada Mak Teh, wajah tua itu pasti punya terlalu banyak pengalaman,
hingga senang sekali dia menebak hatiku.
“Tak
ada apalah Mak Teh. Ila cuma penat, asyik bekerja saja, sebab tulah Ila ambil
peluang bercuti di kampung, nak hirup udara nyaman.”
“Sebersih
manapun udara kat kampung ni, takkan tenangkan hati yang dalam kesakitan, Ila.”
Mak Teh mengusap bahuku lembut. Ah aku memang tidak reti sembunyikan perasaan
aku pada sesiapa.
“Ini
mesti pasal lelaki kan?” Mak Teh menelah sambil menghirup teh di dalam
cawannya.
Aku
melepas pandangan ke luar, melihat langit petang yang sudah dipalit warna
jingga. Ya benar, keindahan dan kedamaian kampung ini masih tidak bisa
menenangkan hatiku yang sentiasa terfikirkan Iman.
“Iman...”
secara spontan mulutku menuturkan bicara.
“Iman?”
dahi Mak Teh berkerut.
Aku
mengangguk.
“Nama
dia Iman. Ila kenal dia masa zaman kolej lagi Mak Teh. Lama sebelum Ila kenal
arwah Safwan lagi. Dia tu... cinta pertama Ila.”
Mak
Teh mengangguk-angguk.
“Cinta
pertama... ya memang susah nak lupakan cinta pertama.” Mak Teh membuang
pandangannya ke arah depan, mungkin sedang mengimbau kenangan lalu.
“Habis
tu, kenapa dengan dia Ila?” Mak Teh tiba-tiba memandang aku, tidak sabar pula
hendak mendengar kisah aku yang tidak seindah mana ini.
“Lepas
bertahun tak jumpa, Ila bertemu dia semula secara kebetulan. Lepas tu, pasti
ada saja perkara yang membuatkan kami bertemu kembali. Tanpa sedar, kami
menjadi kawan.”
Aku
menghela nafas. Rasa lain macam pula bila menceritakan kisah cinta sendiri pada
orang lain.
“Dulu
masa dekat kolej, Ila pernah luahkan rasa cinta pada dia, tapi apa yang Ila
dapat sebagai balasan, cumalah dimalukan di depan kelas. Lepas bertahun tak
jumpa, Ila sangat berharap yang dia tidak mengenali Ila sebagai Ila yang dulu.
Ila malu. Tapi rupa-rupanya dia memang sudah cam Ila dari awal pertemuan kami.
Dia juga menyesali perbuatannya dan minta maaf atas segalanya. Dia cakap yang
dari dulu dia cintakan Ila, cuma dia malu hendak mengaku. Lepas bertahun hal ni
berlaku, barulah dia berani minta maaf, dan mengakui perasaannya. Tapi...”
“Tapi
apa?”
Aku
pandang wajah Mak Teh seraya tersenyum pahit.
“Tapi
semuanya dah terlambat masa tu Mak Teh. Dia dah pun bertunang.”
Wajah
Mak Teh berubah riak, ada simpati terpamer.
“Ila
takkan sanggup rosakkan kebahagiaan orang lain. Sebab tu Ila ambil keputusan
untuk terima cinta arwah Safwan dan setuju menikahinya, tapi Allah lebih
sayangkan dia. Allah jemput arwah sebelum sempat Ila menjadi isteri dia. Ila
redha Mak Teh, cuma perkara ni buatkan Ila tak mampu untuk membuang cinta Iman
dalam hati Ila. Ila kusut Mak Teh. Ila masih cintakan dia, tapi Ila tak sanggup
rosakkan kebahagiaan dia. Lagi beberapa hari dia akan menikah, sebab tu dari
awal lagi, Ila lari balik ke kampung supaya Ila dapat mengharungi hari-hari ni
dengan tenang, supaya segalanya selesai saat Ila pulang nanti. Tapi Ila silap,
perasaan Ila tak pernah tenang Mak Teh.” Air mataku sudah laju menuruni pipi
tika aku bercerita pada Mak Teh.
Mak
Teh gumam.
“Kalau
macam tu, barangkali memang Ila sudah tidak berjodoh dengan dia Ila.” Tiba-tiba
Mak Teh bersuara setelah lama berdiam membuatkan air mataku lebih laju turun.
Aku seka air mata itu dengan hujung lengan sebelum tersenyum pada Mak Teh.
“Ila
sudah redha, dan yakin dengan kenyataan itu Mak Teh. Cuma, Iman...”
Aku
menghela nafas.
“Iman
masih tidak berhenti mencari dan menghubungi Ila. Baru-baru ini pun dia ada telefon dan
mendesak Ila bertemu dia.”
“Habis,
apa tindakan Ila? Ila nak bertemu dia ke?”
Aku
menggeleng laju.
“Tidak.
Ila tak mahu bertemu dia dah, selagi dia belum sah menjadi suami orang. Ila tak
mahu dia berpaling dari keputusan dia. Ila dah biasa ditinggalkan, tapi bakal
isteri Iman tu... dia pasti akan sedih dan tak dapat menanggung kesakitan tu.”
Mak
Teh tiba-tiba saja memeluk bahuku.
“Mak
Teh bangga dengan Ila. Ila buat keputusan yang baik, dengan tidak memikirkan
kepentingan diri Ila semata. Ila masih berfikir perasaan orang lain, di saat
Ila hampir mengecap bahagia. Tak apalah Ila, pengorbanan Ila ini pasti ada
hikmah yang tersedia. Allah itu Maha Adil Ila. Percayalah.”
Aku
senyum, hatiku rasa lapang mendengar kata-kata Mak Teh.
“Ila
percaya Mak Teh. Ila percaya.”
-------------------------------------------------------
Esok,
Iman bakal melangsungkan pernikahannya dengan Ida. Seksanya menghadapi
hari-hari yang mendatang ini tidak usah dicerita, peritnya lain macam. Semakin
tiba detik itu, hatiku jadi semakin sakit. Ya Allah, tenangkanlah hatiku ini...
Aku
berjalan sendirian di kawasan kampung itu, cuba mengalihkan fokusku yang asyik
memikirkan Iman, memikirkan persiapannya, memikirkan baju yang bakal dipakainya
esok, pasti dia tampak kacak sekali. Ah! Segalanya harus kubuang dari ingatan
ini!
Bunyi
burung yang berkicauan riang, tetap tidak bisa membikin hatiku turut sama
gembira. Entah ke mana arah harus kutuju, aku pun tidak tahu. Aku hanya mengikut
langkah kakiku.
Saat
sedang melangkah di tepi jalan, aku melihat sebuah kereta sedang menghampiri.
Ya biasalah, andai kereta melalui jalan itu, namun yang membuatkan jantungku
hampir terhenti adalah kerana kereta itu sama seperti kereta Iman! Mitsubishi
Lancer berwarna putih itu kian mendekati aku. Di dalam hati, aku berdoa agar
pemandu kereta itu bukanlah sama dengan apa yang aku fikirkan. Ah tak mungkin
dia! Pasti ada saja orang kampung atau anak mereka yang memiliki kereta itu.
Lagipun esok Iman sudah hendak bernikah, tidak mungkin dia ke sini, tidak
mungkin dia tahu kampung aku. Ah tidak mungkin!
Kereta
itu melintasi aku dengan laju, membuatkan jantungku yang hampir terhenti
degupannya kembali berdegup normal. Aku menarik nafas yang teramat lega.
Aku
pulang ke rumah Mak Teh setelah puas berjalan sekeliling kampung, dan termenung
di tepi sungai tadi. Macam orang gila saja lagaknya. Haih!
Ya
Allah! betulkah apa yang kulihat ini? Takkanlah! Lututku rasa menggeletar
hendak melangkah memasuki perkarangan rumah. Aku tidak kuat untuk hadapinya...
ya Allah...
ececece.... Iman ke? hehehe...
ReplyDeletesje jerk tinggalkan kemuncak macam tue...
ReplyDeletecepat la upload g ye...
Iman ke???
ReplyDeleteaduh..... siapa tu..... adakah Iman atau Ida yg mencari Ila.... suspen sungguh....
ReplyDelete