~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, April 23, 2012

Novel : Kalimah Cinta Bab 29



Aku merenung telefon bimbitku lama, berkira untuk mengaktifkan semula telefon itu, dan menghubungi Iman. Lama aku merenung telefon itu kerana hati masih teragak-agak untuk berbuat demikian.
Ya Allah! Apa yang aku cuba buat ni? menghubungi Iman hanya akan membuatkan hati Iman goyah untuk meneruskan pernikahannya yang berbaki dua minggu lagi. Aku tidak sepatutnya menjadi batu penghalang pada sebuah masjid yang akan dibina. Sekalipun aku sedar, Iman kini mencintai aku, tapi aku tak bisa melukakan hati Ida yang begitu teruja dengan pernikahan itu. Aku sedar yang selama ini, Ida juga terlalu mencintai Iman dan aku takkan mungkin jadi perampas Iman dari Ida. Ya Allah, aku tak mahu jadi perampas ya Allah. Takkan sama sekali.
Ya aku tidak boleh pentingkan kebahagiaan aku sendiri, sedangkan Ida menderita di sana. Kalau aku bertemu dengan Iman, pasti ada kemungkinan yang Iman akan membatalkan pernikahan itu. Aku tidak boleh turutkan rasa hatiku sendiri.
Air mataku berlinangan, saat aku mengambil keputusan untuk tidak lagi menghubungi Iman. Ya benar, hatiku perit sekali, tapi aku sudah terbiasa ditinggalkan, aku pasti mampu harungi dugaan ini. Sedangkan Ida, dia takkan mampu bertahan andai Iman meninggalkannya. Aku redha ya Allah, berikanlah aku kekuatan.
Aku ambil telefon bimbit itu dan kusimpan ke dalam laci semula, sebelum aku bangkit, keluar dari bilikku itu.
-------------------------------------------
“Kenapa dengan Ila ni? Sejak balik ke kampung ni, sampailah sekarang, Mak Teh nampak Ila macam tak ceria. Macam menyimpan sesuatu dalam hati Ila.” Mak Teh menyoal aku saat aku duduk dengannya di beranda sambil menghirup teh panas di waktu petang itu.
Aku tersenyum pada Mak Teh, wajah tua itu pasti punya terlalu banyak pengalaman, hingga senang sekali dia menebak hatiku.
“Tak ada apalah Mak Teh. Ila cuma penat, asyik bekerja saja, sebab tulah Ila ambil peluang bercuti di kampung, nak hirup udara nyaman.”
“Sebersih manapun udara kat kampung ni, takkan tenangkan hati yang dalam kesakitan, Ila.” Mak Teh mengusap bahuku lembut. Ah aku memang tidak reti sembunyikan perasaan aku pada sesiapa.
“Ini mesti pasal lelaki kan?” Mak Teh menelah sambil menghirup teh di dalam cawannya.
Aku melepas pandangan ke luar, melihat langit petang yang sudah dipalit warna jingga. Ya benar, keindahan dan kedamaian kampung ini masih tidak bisa menenangkan hatiku yang sentiasa terfikirkan Iman.
“Iman...” secara spontan mulutku menuturkan bicara.
“Iman?” dahi Mak Teh berkerut.
Aku mengangguk.
“Nama dia Iman. Ila kenal dia masa zaman kolej lagi Mak Teh. Lama sebelum Ila kenal arwah Safwan lagi. Dia tu... cinta pertama Ila.”
Mak Teh mengangguk-angguk.
“Cinta pertama... ya memang susah nak lupakan cinta pertama.” Mak Teh membuang pandangannya ke arah depan, mungkin sedang mengimbau kenangan lalu.
“Habis tu, kenapa dengan dia Ila?” Mak Teh tiba-tiba memandang aku, tidak sabar pula hendak mendengar kisah aku yang tidak seindah mana ini.
“Lepas bertahun tak jumpa, Ila bertemu dia semula secara kebetulan. Lepas tu, pasti ada saja perkara yang membuatkan kami bertemu kembali. Tanpa sedar, kami menjadi kawan.”
Aku menghela nafas. Rasa lain macam pula bila menceritakan kisah cinta sendiri pada orang lain.
“Dulu masa dekat kolej, Ila pernah luahkan rasa cinta pada dia, tapi apa yang Ila dapat sebagai balasan, cumalah dimalukan di depan kelas. Lepas bertahun tak jumpa, Ila sangat berharap yang dia tidak mengenali Ila sebagai Ila yang dulu. Ila malu. Tapi rupa-rupanya dia memang sudah cam Ila dari awal pertemuan kami. Dia juga menyesali perbuatannya dan minta maaf atas segalanya. Dia cakap yang dari dulu dia cintakan Ila, cuma dia malu hendak mengaku. Lepas bertahun hal ni berlaku, barulah dia berani minta maaf, dan mengakui perasaannya. Tapi...”
“Tapi apa?”
Aku pandang wajah Mak Teh seraya tersenyum pahit.
“Tapi semuanya dah terlambat masa tu Mak Teh. Dia dah pun bertunang.”
Wajah Mak Teh berubah riak, ada simpati terpamer.
“Ila takkan sanggup rosakkan kebahagiaan orang lain. Sebab tu Ila ambil keputusan untuk terima cinta arwah Safwan dan setuju menikahinya, tapi Allah lebih sayangkan dia. Allah jemput arwah sebelum sempat Ila menjadi isteri dia. Ila redha Mak Teh, cuma perkara ni buatkan Ila tak mampu untuk membuang cinta Iman dalam hati Ila. Ila kusut Mak Teh. Ila masih cintakan dia, tapi Ila tak sanggup rosakkan kebahagiaan dia. Lagi beberapa hari dia akan menikah, sebab tu dari awal lagi, Ila lari balik ke kampung supaya Ila dapat mengharungi hari-hari ni dengan tenang, supaya segalanya selesai saat Ila pulang nanti. Tapi Ila silap, perasaan Ila tak pernah tenang Mak Teh.” Air mataku sudah laju menuruni pipi tika aku bercerita pada Mak Teh.
Mak Teh gumam.
“Kalau macam tu, barangkali memang Ila sudah tidak berjodoh dengan dia Ila.” Tiba-tiba Mak Teh bersuara setelah lama berdiam membuatkan air mataku lebih laju turun. Aku seka air mata itu dengan hujung lengan sebelum tersenyum pada Mak Teh.
“Ila sudah redha, dan yakin dengan kenyataan itu Mak Teh. Cuma, Iman...”
Aku menghela nafas.
“Iman masih tidak berhenti mencari dan menghubungi Ila.  Baru-baru ini pun dia ada telefon dan mendesak Ila bertemu dia.”
“Habis, apa tindakan Ila? Ila nak bertemu dia ke?”
Aku menggeleng laju.
“Tidak. Ila tak mahu bertemu dia dah, selagi dia belum sah menjadi suami orang. Ila tak mahu dia berpaling dari keputusan dia. Ila dah biasa ditinggalkan, tapi bakal isteri Iman tu... dia pasti akan sedih dan tak dapat menanggung kesakitan tu.”
Mak Teh tiba-tiba saja memeluk bahuku.
“Mak Teh bangga dengan Ila. Ila buat keputusan yang baik, dengan tidak memikirkan kepentingan diri Ila semata. Ila masih berfikir perasaan orang lain, di saat Ila hampir mengecap bahagia. Tak apalah Ila, pengorbanan Ila ini pasti ada hikmah yang tersedia. Allah itu Maha Adil Ila. Percayalah.”
Aku senyum, hatiku rasa lapang mendengar kata-kata Mak Teh.
“Ila percaya Mak Teh. Ila percaya.”
-------------------------------------------------------
Esok, Iman bakal melangsungkan pernikahannya dengan Ida. Seksanya menghadapi hari-hari yang mendatang ini tidak usah dicerita, peritnya lain macam. Semakin tiba detik itu, hatiku jadi semakin sakit. Ya Allah, tenangkanlah hatiku ini...
Aku berjalan sendirian di kawasan kampung itu, cuba mengalihkan fokusku yang asyik memikirkan Iman, memikirkan persiapannya, memikirkan baju yang bakal dipakainya esok, pasti dia tampak kacak sekali. Ah! Segalanya harus kubuang dari ingatan ini!
Bunyi burung yang berkicauan riang, tetap tidak bisa membikin hatiku turut sama gembira. Entah ke mana arah harus kutuju, aku pun tidak tahu. Aku hanya mengikut langkah kakiku.
Saat sedang melangkah di tepi jalan, aku melihat sebuah kereta sedang menghampiri. Ya biasalah, andai kereta melalui jalan itu, namun yang membuatkan jantungku hampir terhenti adalah kerana kereta itu sama seperti kereta Iman! Mitsubishi Lancer berwarna putih itu kian mendekati aku. Di dalam hati, aku berdoa agar pemandu kereta itu bukanlah sama dengan apa yang aku fikirkan. Ah tak mungkin dia! Pasti ada saja orang kampung atau anak mereka yang memiliki kereta itu. Lagipun esok Iman sudah hendak bernikah, tidak mungkin dia ke sini, tidak mungkin dia tahu kampung aku. Ah tidak mungkin!
Kereta itu melintasi aku dengan laju, membuatkan jantungku yang hampir terhenti degupannya kembali berdegup normal. Aku menarik nafas yang teramat lega.
Aku pulang ke rumah Mak Teh setelah puas berjalan sekeliling kampung, dan termenung di tepi sungai tadi. Macam orang gila saja lagaknya. Haih!
Ya Allah! betulkah apa yang kulihat ini? Takkanlah! Lututku rasa menggeletar hendak melangkah memasuki perkarangan rumah. Aku tidak kuat untuk hadapinya... ya Allah...

Suka? =)

4 comments:

  1. ececece.... Iman ke? hehehe...

    ReplyDelete
  2. sje jerk tinggalkan kemuncak macam tue...
    cepat la upload g ye...

    ReplyDelete
  3. aduh..... siapa tu..... adakah Iman atau Ida yg mencari Ila.... suspen sungguh....

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!