Friday, April 27, 2012

Novel : Kalimah Cinta Bab 32 -Tamat-



Aku termenung sendirian, merenung dasar tasik yang entah berapa dalam. Kedamaian yang menerjah, masih tidak bisa membuang segala keresahan dalam hati. Iman... Kenapa tidak habis lagi dia menyeksa hati ini? Melihat inai di jemarinya saja sudah cukup membuatkan hatiku pedih, apatah lagi melihat dia bersama Ida, berpimpinan tangan sambil bergelak tawa penuh rasa bahagia saat sudah bergelar suami isteri. Ya Allah, aku memang tidak sanggup menyaksikannya.
“Ila,” getar suara dari belakang bagaikan panah yang menusuk ke jantungku. Darahku bagai berhenti mengalir. Aku gagahi jua untuk berpaling walaupun aku sudah boleh agak, siapa gerangan insan itu.
Iman berdiri tegak, sambil melemparkan senyuman yang tawar.
“Awak buat apa dekat sini Iman? Siapa beritahu awak, saya ada dekat sini?” aku menyoal tegas, namun Iman cuma terdiam kaku, memerhati aku.
“Ya Allah... kenapa kemana saja saya pergi, awak harus ada Iman? kenapa? Apa salah saya sampai awak nak hantui hidup saya? Pulanglah ke pangkuan isteri awak, bukannya datang pada saya!” aku jadi hilang sabar. Baru saja aku ingin mencari ketenangan, Iman datang meragut semula ia pergi.
“Ila, ada sesuatu yang perlu awak tahu, awak kena dengar dulu apa yang saya nak cakap. Awak dah salah faham.”
Air mata yang sudah bercucuran turun di pipiku, aku seka pantas. Tidak mahu nampak lemah di depan Iman.
“Apa lagi awak nak cakap, Iman? saya dah letih dengan semua ni.” aku mendengus geram. Sungguh aku penat, melayan rasa hati yang tidak pernah dijengah bahagia.
“Ila...” satu suara pula memanggil, membuatkan aku pantas menoleh. Ida! Aku gumam.
Perlahan Ida menghampiriku dan tersenyum. Getarku kian bertambah melihat kehadiran Ida secara tiba-tiba, takut dia salah faham akan kedudukan yang sebenarnya. Aku tidak mahu dikatakan pengganggu rumah tangga orang.
Ida gapai tanganku, lalu digenggam erat. Inai yang masih merah di semua jemarinya membuatkan aku mengetap bibir, cuba mengawal emosi.
“Ila. Ila dah salah faham.” Ida tersenyum sambil menoleh ke arah Iman.
“Salah faham? Apa yang saya salah fahamkan, Ida?” aku tidak mengerti.
Ida pandang wajah Iman, memberi isyarat untuk Iman membuka mulut. Aku hanya menanti penjelasan keduanya.
“Sebenarnya Ila... Iman dan Ida, sebenarnya kami... kami belum kahwin.” Iman bersuara.
“Dan takkan berkahwin.” Ida menyambung pantas, membuatkan mulutku hampir terlopong, aku menutup mulutku sambil menggelengkan kepala. Enggan percaya.
“Apa semua ni, Iman, Ida? Saya.. saya tak faham.” Air mataku hangat membasahi pipi.
Ida menguatkan genggaman tangannya pada jemariku yang sudah sejuk menahan getaran dalam dada.
Iman diam. Matanya sudah berkaca, dia mengalih pandang ke arah lain. Ida ukir senyum, walaupun wajahnya keruh. Ida melihat Iman, mereka berbalas pandangan sebelum Ida memberi isyarat sesuatu pada Iman. Iman pantas bergerak meninggalkan kami, berdiri sedikit jauh untuk memberi peluang untuk aku dan Ida berbicara, barangkali.
 Ida alih matanya ke arahku semula sebelum menghela nafas.
“Ila, selama ni, Ida nampak semuanya. Layanan Iman pada Ila, rasa ambil berat dia pada Ila. Kalau Ila jatuh sakit, dialah orang pertama yang akan datang menemui Ila, dia yang akan cemas lebih dari orang lain, dan dia orang yang paling berusaha untuk pulihkan Ila, hinggakan waktu shift bekerja orang lain pun dia sanggup gantikan, asalkan dia ada masa untuk jenguk Ila. Ida nampak semua tu. Ida belum buta.” Aku menelan liur, terkejut dengan kenyataan yang keluar dari mulut Ida itu.
“Tapi... Ida cuba butakan mata, pekakkan telinga dan enggan percaya pada kenyataan yang sangat jelas depan mata Ida. Ida fikir, dengan membiarkan saja seolah perkara ini tidak wujud, akan membuatkan Iman setia pada Ida. Ya memang benar, Iman setia dengan Ida, hingga saat kami hampir bernikah. Tapi...”
Ida seka air matanya yang sudah membasahi pipi. Aku gumam, tidak mampu bersuara.
“Tapi Ida yang tidak sanggup. Ida terasa seolah merebut cinta lelaki, yang tidak pernah cintakan Ida. Iman terima Ida selama ini, kerana keluarga kami yang menetapkan perhubungan ini sedangkan Iman, dia tidak pernah cintakan Ida... Selama ini, dia cuma anggap Ida sebagai sahabat karibnya, tak lebih dari itu. Iman tak sanggup hampakan permintaan keluarganya walaupun dia sendiri punya cinta pada insan lain yang dia pendam selama ni.”
Ida mengeluh pendek, sebelum memandang aku.
“Ila nak tahu, sebenarnya dulu Iman pernah cerita tentang kisah cintanya di zaman kolej dulu, dan betapa dia menyesal sebab melukakan hati perempuan yang cintakan dia itu, walaupun dia sebenarnya turut cintai perempuan tersebut. Dia cerita segalanya pada Ida, sebab Ida memang rapat dengan dia, cuma Ida tidak tahu, perempuan itu adalah Ila. Bila Ida dapat tahu, perempuan tu adalah Ila, barulah Ida tahu yang selama ni, Iman tak pernah berhenti cintai Ila. Tak pernah... walau sesaat.”
Aku menggeleng kecil.
“Tapi...” aku cuba bersuara walaupun aku masih tidak pasti untuk membalas apa.
Ida bergerak selangkah ke depan, membuang pandangnya ke dasar tasik yang menghijau.
“Sebenarnya Ila, Ida memang dah nekad untuk mengahwini Iman, walau apapun terjadi. Walau Iman mengakui rasa cinta dia pada Ila, Ida tak kisah! Yang penting, Iman harus jadi milik Ida, insan yang Ida cintai ini harus jadi milik Ida!”
Ida berpaling memandang aku.
“Tapi... saat Iman hampir melafaz akad, barulah Ida sedar, betapa Ida sangat pentingkan diri. Ida dapat lihat keruh di muka Iman dan kesedihan di matanya, di saat orang lain bergembira. Ida jadi tak sanggup!” Ida menyapu air mata di pipinya sebelum menghampiri aku. Tanganku digenggamnya semula.
“Ida tak sanggup menghancurkan dua jiwa, kerana hati Ida nan satu ini. Ida tak sanggup jadi kejam pada Iman, dan pada Ila, yang selalu layan Ida dengan baik dan tidak pernah cuba merampas Iman dari Ida. Ida tidak sanggup hancurkan hati dua insan yang terlalu baik, yang rela berkorban demi kebahagiaan Ida. Sekarang, pada waktu ini, saat ini, detik ini, Ida kembalikan cinta Ila. Terimalah Iman, dalam hidup Ila semula. Dia dah lama mengharapkan kemaafan dan cinta dari Ila. Tolonglah terima dia Ila.”
Aku mengetap bibir, sukar hendak mempercayai segalanya ini. Adakah aku bermimpi?
“Ila sudikan, terima Iman?” aku mengetap bibir, tergamam mendengar rayuan Ida itu. Air mataku tidak bisa lagi kukawal.
“Tolonglah, Ila...” Ida genggam lebih erat tanganku, mengharap.
“Tapi... macam mana dengan Ida?” aku gusar, aku tidak akan sanggup melihat dia menderita di saat aku menyulam bahagia.
Ida senyum biarpun air matanya belum kering.
“Haih, Ila fikir Ila saja ke kuat? Ida pun kuat jugak. InsyaAllah Ida ok. Ila janganlah risau. Kebahagiaan Iman adalah bersama Ila, bukannya Ida. Dan kebahagiaan Ida pulak dengan orang lain, bukannya dengan Iman.” Ida mengukir senyum. Aku kehilangan kata, susah hendak terima kenyataan yang tiba-tiba saja menjelma.
Ida tiba-tiba saja menarik aku menghampiri Iman yang menanti dengan sabar.
“Iman, Ida serahkan Ila pada Iman sekarang. Semoga kalian bahagia.” Ida bersuara. Iman yang terpana, mula mengukir senyum.
“Terima kasih Ida.” Dia bersuara, sebelum Ida melambai dan berlalu pergi tanpa berkata apa lagi. Aku dapat lihat, dia mengesat air matanya.
“Ila...” suara Iman membuatkan aku yang masih mengekor langkah Ida dengan mataku, perlahan mendongak memandang Iman.
Mata Iman yang berkaca, menitiskan air matanya.
“Ila, Iman tahu Ila sukar hendak menerima semua ni. Tapi percayalah, bukan Iman yang membatalkan pernikahan kami, Iman masih berpegang pada janji kita. Tapi Ila...”
Iman mengetap bibirnya.
“Tapi mungkin sudah ditakdir, walau sejauh manapun kita mengelak, kita memang punya jodoh Ila. Walau kita berdua nekad untuk tidak bersama, namun Allah tetap beri jalan untuk kita berjodoh. Iman memang terkejut bila Ida tiba-tiba bangun saat Iman baru hendak menjawab lafaz akad. Dia tiba-tiba saja nekad untuk tidak teruskan semua ini. Percayalah Ila, ini bukan ketentuan kita, tapi ketentuan Allah.”
Pipiku terasa hangat dibasahi air mata.
“Adakah apa yang terjadi ini betul Iman? Ila masih tak boleh percaya.” Aku gelengkan kepala, wajahku kututup rapat. Cuba mengusir mimpi indah ini, andai ia hanya sebuah mimpi.
“Ila...”suara Iman memanggil, kedengaran lembut di telinga ini, aku buka mata dan Iman masih di sini, tersenyum memandang aku. Ini bukan sekadar mimpi, ini kenyataan Ila!
“Iman cintakan Ila sampai syurga.” Iman berbisik, lembut menyapa telingaku.
Aku menangis semahunya hingga bahuku terhinjut, mendengar kalimah cinta dari Iman itu.
“Ila cintakan Iman, kan?” Iman menyoal.
Aku menyeka air mata, berjeda lama, membiarkan diriku hanyut dalam deraian air mata.
“Ila cintakan Iman, kan?” Iman menyoal kembali, tidak puas hati. Aku mengangguk seraya tersenyum padanya. Insan yang aku cintai sejak dulu, kini dan sampai syurga kelak. Muhammad Nurul Iman.
“Ila cintakan Iman.” aku akhirnya melafazkan kalimah cinta itu kembali bersama hangatnya air mata yang membasahi pipi dan deruan angin yang menghembus lembut membadai jiwa.
Iman tersenyum manis, kebahagiaan mula menyelinap masuk ke dalam hati-hati kami, bersama sekalung doa agar kebahagiaan ini bisa kekal selamanya, sampai syurga.
 
-Tamat-
------------------------------------------------------------------------------
p/s : Alhamdulillah, akhirnya selesai sudah, novel atau lebih sesuai disebut mini novel Kalimah Cinta ini (sebab pendek je). harapnya ending ini memuaskan hati semua pihak walaupun AK sebenarnya nak buat sad ending haha. segala kekurangan novel ini, AK pohon kemaafan. terima kasih pada semua yang sudi mengikuti novel ini dari awal cerita yang mula AK tulis pada tahun 2010. haha. lepas 2 tahun baru cerita ni tamat. =_=" kan AK dah kata, AK penulis pemalas. 

Sebagai bonus untuk semua, AK akan siarkan Epilog Kalimah Cinta yang akan memaparkan pengakhiran cerita ini, tidak berapa lama lg. AK tgh siapkan ni. kih3. ada rezeki, kejap lagi AK post, kalau tak sempat, minggu depan la eh. sebab esok AK dah offline, sebab turun KL untuk PBAKL. Salam sayang buat semua. bakal merindui Kalimah Cinta. T_T

9 comments:

  1. wah,menghayat hati betul.tapi,akak akan nantikan epilognya pulak.yelah,nak tahu jugak apa yang jadi lepas tu?

    ReplyDelete
  2. puiyooooo...sob3 cam cter drama dah..hehehe

    ReplyDelete
  3. ahahaha.. bestnyerrr... nak special N3

    ReplyDelete
  4. nasib baik heppy ending hehe..
    klu dah jodoh,tetap akan bersama..

    ReplyDelete
  5. Sedih pula kisah novel ne.. ape2 pon, ttp terbaekkk la akak ~ hee~

    ReplyDelete
  6. terbaik la....tersentuh hati nie....akhirnya ida sedar jgk...walaupun cinta boleh dipupuk...tapi mst amik masa utk die dan iman......iman pasti amik masa nk cintakan ida.....

    bgs la ida bg balik iman kat ila.....sbb pasti Allah dah tentukan yg terbaik buat diri ida...

    kalo dah jodoh...kita lari la ke hujung dunia pon....die ttp jodoh kita.......

    nice like...besttt...sad........happy ending.....

    ReplyDelete
  7. hahaha ada ke perempuan semulia ida...hhmmmm yang nyata, hakikat kehidupan tidak selalunya semanis tulisan...layan aje lah sebab stress duniawi hahahahahahahaha

    ReplyDelete
  8. Adoi... Tragis jer bc mini novel ni. Heroin yg penuh dgn emosi. Anyway, citer mmg best. Tahniah AK!!

    ReplyDelete
  9. Huhu..klu sed ending memang berdarah hati ni...

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!