Tuesday, May 29, 2012

Novel : Cinta Bersaiz XXL! Bab 8



Malam itu, rumah keluarga Hadif dipenuhi sanak saudara dari dekat dan jauh yang berhimpun bagi meraikan perkahwinan kami. Satu jamuan barbeku diadakan sebagai penghargaan kepada semua yang terlibat bagi menjayakan majlis perkahwinan ini.
Segan sungguh rasanya, untuk bergaul dengan ahli keluarga Hadif yang boleh tahan ramainya ini, bila berkumpul begini. Aku duduk di salah sebuah meja yang terletak di penjuru, sengaja mencari tempat yang agak tersorok, bukan aku sengaja ingin menjadi kera sumbang, tetapi aku memang sebenarnya amat malu.
“Deeba.” Hadif mengambil tempat di sebelah aku dengan membawa dua keping pinggan kertas yang terisi pelbagai juadah. Tadi dia sendiri yang menawarkan dirinya untuk tolong mengambil juadahnya padaku, kerana mungkin dia tahu aku segan. Hehe. Pandai noo. Suami siapalah ni?
 Aku tersenyum sebaik Hadif menyuakan pinggan kertas itu padaku. Aku sambut dengan rasa teragak-agak. Hadif letakkan pula satu pinggan lagi di hadapanku, kedua-dua pinggan kertas itu penuh terisi makanan, dengan ayamnya, daging bakar, bihun goreng, dan macam-macam lagilah. Aku tengok pun, aku dah semput. Wajah Hadif yang sedang khusyuk melihat keletah insan lain di hadapan kami, aku tatap dengan rasa tidak percaya. Setelah menyedari aku memandangnya, barulah Hadif berpaling.
“Kenapa sayang?” lembut Hadif menyoal. Aduh, rasa nak cair, tapi tak boleh! Kawal hati kamu Deeba, kawal!
“Kenapa dua-dua bagi dekat Deeba? Habis awak nak makan apa?” Aku rasa pelik yang amat. Iyelah, makanan itu langsung tidak disentuhnya, Hadif cuma minum air sedari tadi.
“Deeba makanlah dulu, nanti abang ambil untuk abang pulak.” Hadif bersuara acuh tak acuh sambil matanya masih tertumpu di hadapan.
“Banyak sangatlah ni. Tak habislah Deeba nak makan sorang banyak ni...” aku mencebik. Kecil hati tau, bila orang ingat aku ni makan banyak sangat, macam orang kebuluran.
Kening Hadif bertaut saat mendengar bicaraku. Pinggan kertas yang berada di hadapanku, dipandang seketika sebelum beralih ke wajahku.
 “Deeba diet ke?”
Aku pandang wajah Hadif, geram. Nak marah pun tak boleh. Sabar ajelah. Bukan semua orang faham kan... cool Deeba, cool!
Aku menghela nafas.
“Saya tak adalah makan sampai sebanyak ni...”
Hadif terdiam, mungkin merasakan kata-katanya tadi boleh membuatkan aku berkecil hati.
“Maafkan abang, abang ingat Deeba...” Hadif tidak jadi hendak menyambung ayatnya, wajahku yang sudah keruh, direnung lama. Ada sesal dalam hatinya yang dapat kuhidu. Ikhlas benarkah Hadif? ah sekali lagi hatiku meraguinya. Cis!
Aku tarik nafas dalam-dalam, cuba untuk tidak menyimpan perkara itu dalam hati, walaupun hati aku ini sebenarnya sensitif yang amat. Mudah rapuh gitu.
“Tak apalah. Saya tahu awak tak sengaja.” Aku akhirnya bersuara.
Hadif menggenggam erat tanganku, wajahnya masih risau.
“Maafkan abang ya, kalau abang buat Deeba terasa.”
Aku pandang wajahnya seraya tersenyum.
“Tak apa, saya dah lalui terlalu banyak kata-kata nista dan ejekan sampaikan kata-kata awak tadi langsung tak berbekas di hati saya. Kata-kata awak tak kecikkan hati saya pun.”
Hadif pandang aku lagi, dalam-dalam sampaikan aku rasa mata aku hampir buta dek panahan matanya. Wah hiperbola sangat Adeeba! Tangan aku digenggam erat sebelum dikucup lembut.
“Abang akan cuba memahami perasaan Deeba lepas ni. Maafkan abang ya.”
Aku angguk perlahan. Hadif terlalu baik padaku, sampaikan aku tidak sampai hati langsung untuk terasa padanya.
 “Maafkan abang ya?” Hadif memohon lagi. Risau agaknya, kalau-kalau aku masih marah padanya.
Aku ketawa kecil. Beria pulak Hadif meminta maaf, padahal benda ni kecil aja pun, aku yang overreact. Haha!
“Saya tak marahkan awak la. Tak payah nak minta maaf lagi.”
Hadif senyum, mesti dia dah yakin dengan kemaafan aku ni.
“Tapi Adeeba dah buat abang marah ni...” Hadif tiba-tiba bersuara, buatkan aku yang baru saja nak rasa lega, penasaran semula.
“Buat awak marah? Apa yang saya dah buat?” laju aku menyoal.
 “Deeba tak panggil abang, ‘abang’ pun. Kecik hati abang tau!” Hadif memuncungkan mulut sambil memeluk tubuhnya tanda merajuk. Kiut pulak aku tengok. Haha.
Aku ketawa melihat telatah Hadif. Bukan aku tidak mahu memanggil panggilan ‘abang’ pada Hadif, tapi lidah aku jadi kelu, geli geleman setiap kali rasa nak sebut perkataan tu.
“Tak reti la nak panggil macam tu. Tak biasa.”
“Kena praktis la untuk biasakan diri. Lepas ni abang tak mahu dengar alasan Deeba dah. Deeba kena panggil abang, ‘abang’ jugak.”
Adeeba senyum simpul.
“Yelah, yelah.”
“Iyelah apa?” Hadif memegang telinganya, ingin mendengar perkataan itu dari mulut aku.
“Yelah, aa.. aa.. abang...” tergagap aku menuturkan kata-kata itu.
“Macam tu lah isteri abang!” Secara spontan, Hadif menarik aku dalam pelukannya, membuakan wajahku merona merah.
“Ish tak malulah abang ni!” aku mencubit paha Hadif membuatkan Hadif menjerit kecil.
“Sorry, sorry. Abang tak sengaja.” Hadif tersengih. Aku cuma diam, malu bercampur geram.
“Sorry...” Hadif merayu lagi, membuatkan senyumanku terukir jugak. Ish! Mulut ni, senang-senang pulak dia maafkan Hadif. Haih!
“Dok bersembang ni. abang rasa dahaga la pulak. Haha. Deeba duduk kejap eh, abang ambilkan air.” Hadif meminta diri seraya bangun lalu meninggalkan aku keseorangan di meja itu.
Aku menjamah makanan yang Hadif bawakan tadi perlahan, sesekali senyuman terukir di bibir apabila mengingati layanan Hadif yang terlalu baik.
Seketika kemudian dua orang gadis yang lebih kurang sebaya denganku muncul dan duduk di mejaku. Salah seorangnya aku pernah lihat sebelum ini. Siapa eh? Ahah! Sepupu Hadif yang menjeling aku dengan pandangan pelik tu!
“Oh inilah kakak ipar baru kita ya, Sara. Betul cakap kau, comel betul!” salah seorangnya berbicara sambil menjeling ke arah aku sebelum keduanya tertawa.
Aku cuba mengukir senyum kepada keduanya.
“Saya Nina, sepupu abang Hadif.” Gadis bernama Nina itu menghulurkan tangan.
“Adeeba.” Pendek aku memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan.
“Amboi montelnya tangan dia...” Nina mengusap-usap tanganku membuatkan aku berasa rimas.
 “Malang betul nasib abang Hadif kan?” Qaisara seakan memerli.
“Apa?” Aku kurang jelas.
“Eh tak ada apa-apalah. Mak Ngah tu, pandai pilih menantu. Boleh bagi hantaran timbang ikut kilo.” Qaisara menyambung.
Pecah ketawa antara mereka berdua.
“Kesian abang Hadif kan, entah-entah nak peluk pinggang pun tak lepas.” Nina bersuara dengan tawa yang masih bersisa.
Sekali lagi mereka ketawa terbahak-bahak. Aku terasa panas hati, tapi aku tidak sanggup hendak membalas. Aku tidak mahu cari pasal di sini, apatah lagi aku ahli baru keluarga ini. Tidak elok andainya aku sudah bergaduh dengan mereka ini. Aku bingkas bangun meninggalkan meja dan juga majlis itu, tidak sanggup berlama, mendengar ejekan mereka.
Aku masuk ke dalam rumah, lantas naik ke bilik. Saat aku melabuhkan punggung di atas katil, kata-kata sepupu-sepupu Hadif kembali bermain-main di mindaku.
‘Hantaran timbang kilo! Peluk pinggang pun tak lepas!’ air mataku laju mengalir saat mengingati kata-kata itu. Memang aku sudah lali dengan semua kutukan padaku, namun hatiku masih cepat terusik dan bersedih, kan aku berjiwa sensitif. Huhu. Tapi daripada membuat kecoh di luar, aku lebih rela menangis sendirian.
Tiba-tiba aku dapat merasakan tangan seseorang melingkari pinggangku. Segera aku menoleh. Hadif sedang tersenyum padaku, membuatkan aku lekas menyeka air mataku, tidak mahu Hadif melihatku dalam keadaan sebegini.
“Abang peluk lepas aja,” tiba-tiba Hadif bersuara sambil mengeratkan pelukannya pada pinggangku. Aku tergelak kecil dalam esak tangis yang masih bersisa. Air mataku kuseka perlahan. Bila masa pulaklah dia dengar tadi? haish!
“Kenapa abang naik ni? Pergilah jamuan tu...”
“Tak mahulah, Deeba tak ada. Buat apa abang ada kat sana lagi. Tambah sakit hati bila tengok orang ejek isteri abang ni.” Hadif mencebik.
“Abang...” Aku bersuara perlahan.
“Hmmm...”
“Terima kasih.”
 “Tak perlu berterima kasih dengan abang.”
Aku merenung mata Hadif yang jernih itu dalam-dalam.
“Deeba berterima kasih sangat sebab abang boleh terima Deeba seadanya.” Aku bersuara lirih, benar-benar ikhlas meluahkan rasaku saat itu.
Hadif menarik tubuhku supaya menghadapnya. Wajahku direnung lama, sebelum perlahan dahiku dikucup lembut.
“Abang sayangkan Deeba. Biarlah apa sekalipun orang nak kata, abang tetap yakin Deeba adalah jodoh abang yang terbaik. Deeba pun kena yakin pada abang. Ya sayang?”
Air mataku terasa seperti ingin tumpah kembali, namun aku tahan habis-habisan. Ah jangan jadi cengeng sangat Deeba! Kau kena kuat! Aku mengangguk perlahan, mengiyakan kata-kata Hadif sebentar tadi.
Hadif senyum, dan menarik aku ke dalam rangkulannya, kejap dan erat.



9 comments:

  1. mmm...best2..tp cm pelik jek hadif tuh....

    ReplyDelete
  2. cian deeba... tak baik sungguh mereka... huish aku lak terasa... tak pe deeba..nanti dah ada baby... lepas bersalin pantang betul-betul...nanti kurus ...ramping pinggang kerengga...baru terkejut org dok syok yang ejek deeba.....

    ReplyDelete
  3. masih ragu2 ngan hadif!............

    ReplyDelete
  4. akhirnya....ada gak smbungan..heheheh...heharap lpas ni crita mkin menarik....nk lagi best kalau buat hadif 2 x ikhlas ke kahwin dgn deeba...bru umphhhh cerita..

    ReplyDelete
  5. Touching but macam ragu2 kat si hadif tu.. Betul ker dia tu ikhlas?

    ReplyDelete
  6. hadif tu nape baik sangat?

    ReplyDelete
  7. naper hadif bek sgt??pelikla hadif seolah2 xde kekurgn..

    ReplyDelete
  8. susahnya nak jumpa lelaki mcm hadif....

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!