“MACAM
mana? Seronok kerja?” Fiz menyoal saat Zaara datang mengambil Iman di taska
yang sama dengan Adra, petang itu. Sudah seminggu Zaara mula bekerja namun pada
hari ini baru mereka berdua berselisih di taska itu.
“Bolehlah,
Fiz. Penat.” Zaara menghela nafasnya. Pandangannya dihala ke arah Adra dan Iman
yang sedang asyik bermain di taman permainan berhadapan taska itu. Zaara dan
Fiz mengambil kesempatan untuk berbual di bangku batu yang tersedia di situ.
“Aik
baru mula kerja dah rasa penat? Kau dah lama sangat tak kerja ni. Itu yang
cepat penat tu.” Fiz mengomel.
“Ish
mana ada. Aku penat bukan sebab apa. Aku penat sebab asyik kena buli.”
“Buli?
Officemate kau buli kau ke?” Fiz
mengangkat keningnya. Zaara menggeleng perlahan.
“Bukanlah.
Bukan dia orang.”
“Habis
tu?”
Zaara
senyum tawar.
“Mamat
arrogant tulah. Siapa lagi.” Zaara
mencebik. Fiz mengerutkan dahinya sebelum ketawa tiba-tiba setelah dapat
menangkap siapakah gerangan yang dimaksudkan Zaara.
“Suami
kau tu ke? Irham?”
Zaara
mengangguk laju.
“Siapa
lagi.”
“Aik
dekat rumah dah buli, dekat office
pun sama?” Fiz menyoal pelik. Zaara bersandar pada bangku itu sebelum memeluk
tubuhnya.
“Biasalah
dia. Dekat mana-mana pun nak membuli aku je kerjanya.”
Fiz
ketawa lagi.
“Padanlah
dengan muka kau. Kahwin lagi dengan pembuli.”
“Kau
ni bukan nak kasihankan aku, aci gelakkan aku pulak.” Zaara menjuihkan
bibirnya, sebal.
“Eleh,
dah kau yang nak dulu kan, terima ajelah. Mr.
Arrogant tu jugak yang kau tergilakan dulu kan?”
“Bukan
aku yang nak, tapi dia yang paksa.” Zaara teringat kisah lamanya, ketika dia
dipaksa untuk mengahwini Irham kerana jejaka itu tidak mahu berkahwin dengan
pilihan mamanya. Tak pasal-pasal dia terperangkap dengan mamat berlagak gila
itu.
“Dia
paksa kahwin, tapi kau yang rela cintakan dia. Kan?” Fiz mengusik buatkan Zaara
kematian kata.
“Yelah.
Kau menanglah, Fiz.” Zaara menyerah kalah akhirnya. Nak buat macam mana, memang
itu hakikatnya. Memang aku gila, sebab cintakan kau yang berlagak gila, tapi
apa lagi nak dikata kalau hati dah cinta.
“Tapi
tak sangka kan, kita berdua dah kahwin dah ada anak dah pun.” Fiz pula mengalih
pandang ke arah taman permainan. Adra dan Iman sedang asyik bermain
jongkang-jongket.
“Itulah,
tak sangka cepat betul masa berlalu.” Zaara menghela nafasnya.
“Tapi
perangai sengal kau tetap tak berubah kan?” Fiz menyengih.
“Ish
apa aku pulak. Kaulah! Sengal!” Zaara dan Fiz saling menuduh sebelum masing-masing
hanyut dalam ketawa saat mereka mengimbau kenangan silam.
“Ehem.
Saya menganggu ke?” suara seseorang yang menerjah buatkan Zaara dan Fiz
masing-masing mendongak. Hadry sedang berdiri di hadapan mereka dengan senyuman
yang manis.
“Eh
abang datang sini buat apa?” Fiz menyoal tika melihat suaminya di hadapan mata.
Fiz bingkas bangun menghampiri suaminya lantas bersalam dan mencium tangan
suaminya itu.
“Abang
tunggu dekat rumah, anak isteri abang tak balik-balik lagi, itu yang abang
singgah dekat sini. Tak sangka pulak ada Zaara sekali. Apa khabar Zaara?” Hadry
menyoal setelah pandangannya dihala ke arah Zaara.
“Alhamdulillah.
Saya sihat je, Hadry.” Zaara mengukir senyuman.
“Allah,
sorry abang. Iza lupa nak bagitahu
abang, Iza nak sembang dengan Zaara kejap. Iza tak sedar langsung yang dah lama
kami bersembang. Sorry sangat-sangat.
Ampun!” Fiz menarik tangan suaminya itu lalu disalaminya sekali lagi.
“Eh
tak ada apalah. Abang cuma bimbang saja, abang tak marah pun.” Hadry bersuara
saat menggosok kepala isterinya itu. Pandangannya dihala pula ke arah Iman dan Adra
yang masih tidak jemu berulang alik menaiki tangga sebelum melusuri papan
gelongsor itu. Fiz mengangguk namun dari wajahnya masih jelas terpamer rasa
bersalahnya.
“Tak
apalah, sayang sembanglah dulu. Abang tengokkan budak-budak tu ya.” Hadry
bersuara kembali sebelum berlalu ke arah papan gelongsor di hadapan mereka.
Zaara
memandang ke arah Fiz semula setelah Hadry meninggalkan mereka, lama dia
merenung sahabatnya itu tanpa berkata apa, hanya senyuman terpamer di bibirnya.
“Apa?”
Fiz menyoal waktu dia menyedari pandangan pelik Zaara terhadap dirinya itu.
“Untunglah
orang tu.” Zaara bersuara datar.
“Untung
apa?” Fiz masih tidak mengerti.
“Untunglah
dapat suami romantik macam Hadry tu.”
“Ish
biasa je pun, mana ada romantik.”
“Eleh,
kau tak rasa la. Tapi dua biji mata aku yang melihat ni hampir menangis tau
tengok kau orang punya keromantikan terlampau.”
“Merepek
ajelah kau ni. Mana ada romantik, tapi mungkin sebab Irham kau tu tak romantik
langsung, sebab tu kau tengok Hadry, kau dah rasa macam dia tu romantik tahap
petala langit ketujuh.”
“Ish
mana ada.” Zaara mencebik, enggan mengakui.
“Dulu
kau jugak yang nak dekat mamat arrogant
tu, sekarang terimalah.”
Zaara
ketawa kecil. Ya memang dia yang sukakan Irham sebegitu. Sebelum kahwin, memang
dia alergi dengan lelaki-lelaki romantis, sebab itu jugalah cinta Faisal
ditolaknya dulu sampai lelaki itu jadi psiko. Nauzubillah!
Tapi
sekarang… bila dia melihatkan kemesraan Fiz dan Hadry, serba sedikit hatinya
terusik.
“Termenung
apa pulak tu, minah?” Fiz menepuk bahu Zaara buatkan Zaara hampir melatah.
“Ish
kau ni!” Zaara menampar bahu Fiz kembali.
“Dahlah
wei, aku nak balik ni. Kesian laki aku.” Fiz meminta dirinya.
“Hmm
yelah, hari pun dah lewat ni. Kang membebel pulak tuan besar dekat rumah tu.”
“Tau
takpe.” Fiz ketawa sebelum menggawangkan tangannya memanggil Hadry, Adra, dan
Iman untuk pulang.
“Dah
puas?” Hadry menyoal sambil mendukung Adra.
“Tak.”
Fiz mencebikkan bibirnya.
“Macam
tu sembanglah lagi.”
“Hesy,
awak jangan dengar cakap Fiz tu, Hadry. Mengada je dia tu. Lain kali sajalah
kami sembang lagi, dah lewat dah ni.”
Hadry
ketawa kecil.
“Hmm
yelah. Lain kali nak sembang, call
abang bagitahu dulu ya.” Hadry memicit lembut hidung isterinya buatkan Fiz
mendengus kecil.
“Dah
jom. Kami balik dulu ya, Zaara.” Hadry meminta diri sambil menggenggam erat
tangan isterinya. Zaara mengangguk laju sambil memerhati langkah mereka. Hadry
membuka pintu untuk Fiz sebelum meletakkan Adra di sebelah tempat duduk
pemandu, bersalaman dengan Fiz sebelum dia menutup pintu kereta Fiz dan kembali
ke keretanya di belakang kereta Fiz. Saat dua kereta itu bergerak meninggalkan
tempat itu, barulah Zaara membawa langkahnya sambil memegang tangan Iman.
ZAARA
mengucup Iman lembut setelah anaknya itu lena didodoikannya. Wajah tenang
anaknya itu dipandang tanpa jemu. Terasa hilang segala resah dalam hati sebaik
melihat seraut wajah itu.
“Maafkan
mama, sebab tak dapat bersama Iman macam dulu.” Zaara mengusap wajah Iman
dengan penuh kasih sayang sebelum wajah Iman dikucup kembali. Lampu yang
terpasang segera dimatikan sebelum Zaara keluar dari bilik Iman dengan langkah
berhati-hati, tidak mahu mengejutkan anaknya itu.
Sebaik
melintasi ruang keluarga, Zaara melihat Irham sedang asyik menonton televisyen.
Suaminya itu pantas didekati.
“Awak
tengok apa?” Zaara menyoal sebaik dia duduk di sebelah Irham.
“Tengok
tvlah. Takkan tengok awak pulak.” Irham menjawab tanpa memandang Zaara. Zaara
mencebik, bantal yang ada di sebelahnya diambil lalu dipeluk erat. Drama dalam
slot Zehra sedang bersiaran di TV3.
“Awak
ikut ke cerita ni? Tak pernah tengok pun selama ni. Awak bukan suka sangat
drama-drama melayu kan?” Zaara menyoal.
“Ikut
suka sayalah nak tengok ke tidak.” Nada Irham masih datar.
“Awak
ni kenapa?”
“Kenapa
apa?” Irham masih tidak memandang ke arah Zaara. Zaara menghela nafasnya, hatinya
dipagut sayu tiba-tiba. Mulalah dia terbayang aksi romantik antara Hadry dan
Fiz tadi yang tidak pernah dia rasai saat bersama Irham. Selama lima tahun
berkahwin, tak pernah sekalipun Irham memegang tangannya ketika berjalan. Zaara
sebak.
“Awak
masih sayang saya ke tidak?” soalan yang terpacul tiba-tiba dari mulut Zaara
setelah lama isterinya itu berjeda, buatkan Irham gumam. Butang mute segera ditekan sebelum dia
memandang Zaara yang hanya menunduk memandang lantai.
“Kenapa
tiba-tiba bagi soalan maut macam ni?” Irham menyoal. Baru saja dia hendak
bersenang-lenang menonton televisyen, tiba-tiba saja datang soalan tahap
membunuh begini. Takkanlah Zaara tak tahu apa yang ada di dalam isi hatinya dan
bukannya isterinya tidak tahu yang dia tidak gemar berbicara soal hati.
“Cakaplah.
Awak masih sayang ke tidak?”
Irham
dapat melihat mata Zaara yang berkaca. Isterinya itu memang perempuan cengeng
tahap tak ingat. Nampak saja brutal tapi air mata tu murah sangat macam boleh
jual dekat pasar lambak. Haish!
“Jangan
tanya soalan pelik malam-malam begini boleh tak?” Irham buat-buat tidak nampak
wajah Zaara yang sudah muram.
Zaara
diam, wajahnya menunduk. Asyik-asyik jawapan sedingin ais beku juga yang
diterimanya. Hatinya jadi terasa kerana Irham asyik bersikap dingin tidak kira
tempat. Entah apa salahnya dia pun tidak tahu. Walaupun sudah lali dengan
kedinginan Irham setelah lima tahun hidup bersama, namun adakalanya hatinya
tetap terusik.
“Awak
datang bulan, kan?” Irham menebak.
Bukan dia tidak tahu, bila isterinya datang bulan saja mesti datang mood syahdu
begitu. Zaara mencebik, tidak membalas tapi dari reaksi Zaara, Irham sedar
tekaaannya betul.
Chupp!
Satu kucupan hinggap di bibir Zaara membuatkan dia tersentak. Wajah Irham
dipandang, suaminya itu buat tidak tahu dan fokus ke arah televisyen setelah
butang mute ditekan semula,
membiarkan suara televisyen itu kembali kedengaran memecah sepi.
“Itu
jawapan saya. Dah sekarang pergi tidur, saya nak tengok Mega Movie ni.” Irham
bersuara seketika kemudian setelah melihat Zaara masih mendiamkan diri. Zaara
tergamam, tidak tahu hendak tersenyum atau tidak. Wajah Irham dipandang semula
sebelum dia bingkas bangun, dan berjalan macam orang kena rasuk, mengikut
arahan Irham yang menyuruhnya tidur.
‘Gila
punya suami! Aku minta jawapan lain, jawapan ini pula yang dibagi,’ Zaara
mengomel saat membawa langkahnya ke dalam bilik tidur.
IRHAM
masuk ke dalam bilik tidurnya saat jam menunjuk ke angka dua belas, selesai dia
menonton Mega Movie di televisyen. Zaara yang sudah terlena di atas katil
dipandang lama sebelum dia menghampiri katil itu lalu mengambil tempat dan
berbaring di sebelah Zaara.
Wajah
Zaara di sisi dipandang sekali lagi, lama tanpa berkedip. Wajahnya dirapatkan
dengan wajah Zaara hingga dahi mereka bersentuhan. Hembusan nafas yang lembut
menyapa wajahnya membuatkan Irham terasa hangat. Lama Irham membiarkan keadaan
sebegitu sebelum bibir isterinya itu dikucup lembut. Lama bibir mereka
bertautan tanpa Zaara sedari sebelum dia memeluk Zaara erat, rapat ke dada.
“Aku
cintakan kau, dari dulu, sampai sekarang, sampai ke syurga. Ini jawapan aku
yang sebenar.” Irham berbisik sebelum menutup matanya rapat. Zaara masih tidak
terusik, hanyut dalam lenanya yang dalam.
best cite ni suke sngat ,bilalah nak buat drama kat tv 3
ReplyDeleteso sweet..
ReplyDelete