Saturday, March 14, 2015

Novel : Miss You Mr. Arrogant Bab 12



“JIJAH masak apa ni?” Zaara menyapa Jijah, pembantu rumah barunya saat dia masuk ke dapur pagi itu. Jijah yang kelihatan terkejut, pantas tersengih memandang Zaara.
“Eh tak ada apa, Puan. Saya cuma buat bihun goreng. Puan dan tuan makan kan?”
Zaara tersenyum seraya mengangguk sebelum mengambil duduknya di meja dalam dapur itu. Bahan-bahan masakan yang tersedia di atas meja, dipandang Zaara satu persatu. Sayur sawi yang masih belum terusik, segera dicapai Zaara sebelum dipatah-patahkan dan dipotong dengan pisau dapur.
“Eh tak payahlah susah-susah, puan. Saya bisa buat sendiri.” Jijah yang terkejut melihat Zaara membantunya, dengan segera bersuara sambil dia mencapai sayur sawi di tangan Zaara. Zaara berkalih memandang Jijah sebelum sawi itu diambil semula.
“Ala tak apa, Jijah. Biar saya tolong sama. Saya ambil awak bekerja untuk tolong saya uruskan rumah. Bukan jadi alasan untuk saya langsung tak masuk dapur, tak pegang pisau, periuk belanga semua.”
“Tapi puan…” Jijah kelihatan serba salah.
“Dah, tak payah nak buat muka risau macam tu. Saya tak kisahlah.” Zaara ligat menyambung kerjanya yang tertangguh tadi. Perlahan senyuman terukir di bibir Jijah.
“Terima kasih, puan.”
Zaara senyum, membalas ucapan terima kasih dari Jijah itu. Pembantu rumahnya itu dipandang, gadis sedikit gempal itu baru berusia dua puluh tahun, berasal dari Acheh, Indonesia dan pelat Indonesianya tidaklah sepekat warga Indonesia yang lain, jadi agak mudah untuk memahami percakapannya.
“Jijah gembira ke, kerja dekat sini?” Zaara menyoal, enggan membiarkan sepi antara mereka.
“Ya, gembira sekali puan. Puan baik, tuan pun baik, walaupun tuan itu jarang sekali berbicara.”  
Zaara ketawa. Irham itu kalau orang tak tahu, mesti ingat dia bisu.
“Dia memang begitu, Jijah.”
“Tapi saya tahu tuan dan puan baik orangnya. Saya senang sekali dapat bekerja di sini.”
“Alhamdulillah. Saya gembira kalau awak cakap macam tu.”
Jijah senyum girang.
“Masak apa?” Irham tiba-tiba muncul di belakang Zaara buatkan Zaara hampir saja membaling sayur sawi itu ke lantai.
“Ish awak ni!” Zaara menarik nafas, menstabilkan kembali denyutan jantungnya yang hampir saja berhenti berdetak tadi.
“Eleh, macam tu pun nak terkejut. Awak tu yang kuat melatah, salahkan saya pulak.” Irham menarik muncung sebelum berlalu ke ruang tamu. Zaara menghela nafas, kerja memotong sayur sawi itu disudahkan dahulu sebelum dia bingkas bangun, mencari kelibat Irham.

IRHAM tersentak, saat merasakan seseorang memeluknya dari belakang. Dengan pantas dia menepis dan berpaling ke belakang.
“Ish apa awak buat ni?” Irham menyoal ketika melihat isterinya yang berdiri di belakangnya waktu itu. Mujur pagar rumahnya itu ditutup rapi, kalau tidak, bikin malu saja pada jiran-jiran jika terlihat adegan sebegitu di halaman rumahnya.
Zaara sengih sebelum memeluk Irham dari belakang semula.
“Saya minta maaf, awak.” Lembut Zaara bersuara.
“Mintak maaf pasal apa pulak ni? Tak kuasalah saya nak merajuk pasal awak melatah tadi.” Irham mengomel namun dia hanya membiarkan Zaara memeluknya sekali lagi.
“Bukan pasal tu aja.” Zaara lambat-lambat bersuara.
“Habis tu?” Irham menyoal kembali.
“Pasal semalam jugak. Masa saya tanya awak soalan pelik tu.” Zaara menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pautannya pada Irham segera dilepaskan, buatkan Irham kembali berpusing menghadap dirinya.
“Saya minta maaf.” Zaara meminta kembali.
“Tak ada apalah. Dah, masuk!” Irham melangkah masuk, hilang moodnya hendak keluar berjogging hari ini lepas dapat pelukan percuma tadi. Dia lekas meninggalkan Zaara terpinga-pinga keseorangan di luar rumah.
“Eh awak, tunggulah saya!” Zaara berlari masuk ke dalam rumah semula bersama senyuman yang terukir di bibir.
Pagi tadi, saat bangun dari tidur, dia terus saja rasa menyesal dengan soalan yang terpacul dari bibirnya semalam. Entah syaitan mana yang merasuknya sampai boleh menyoal soalan maut itu pada Irham. Mungkin akibat terlebih cemburu melihat kemesraan Fiz dan Hadry serta keadaan hormonnya yang tidak stabil.
Mujurlah dia cepat tersedar, bukankah dia sendiri yang redha memilih lelaki berhati kering itu menjadi suaminya dulu? Kenapa sekarang dia hendak mengungkit tentang ketidakromantisan suaminya itu? Kerana itu rasa bersalahnya begitu menebal buatkan dia sudah hilang rasa malu untuk memohon maaf pada Irham.

ZAARA duduk di atas sofa sambil menghadap televisyen petang itu, ingin menonton filem Hindi di TV3. Iman yang duduk di sebelahnya, sedang khusyuk bermain permainan di dalam tablet.
“DAH ketepi sikit, asyik awak je conquer tv ni.” Irham menghimpit yang baru saja hendak khusyuk menonton. Zaara memandang Irham dengan kening terangkat sebelum dia kembali memandang kaca televisyen. Apa mimpi entah suaminya itu, selama ini tidak pernah pula dia kalut nak menonton masa Zaara hendak menonton filem Hindi.
“Awak janganlah kacau. Saya baru nak tengok cerita Hindustan ni. Kalau awak nak tengok cerita lain, awak tengoklah tv dekat atas.” Zaara bersuara namun matanya tidak lekang dari kaca televisyen. Walaupun dah berulang kali dia menonton filem ini tapi dia tidak pernah rasa jemu. Irham memandang Zaara yang langsung tidak memandangnya sebelum dia menghela nafas. Alat kawalan jauh yang baru dicapainya, diletakkan semula di atas meja kopi.
“Siapa cakap saya nak tengok cerita lain?” Irham menjeling namun dia tahu Zaara langsung tidak fokus padanya.
Hampir tiga jam berlalu dengan masing-masing khusyuk menonton tanpa sebarang kata sebelum terdengar bunyi Zaara menahan sebak. Tisu yang berada di atas meja kopi segera dicapainya sebelum dia mengesat air mata.
“Eh awak nangis ya?” Irham tiba-tiba bersuara mengusik. Iman yang tadinya berada di sebelah mereka, sudah terlena di atas sofa bersebelahan, tidak dapat menahan matanya yang mengantuk dek alunan lagu-lagu Hindi dari televisyen itu.
“Biarlah…” Zaara mencebik, sebab itu dia tidak suka menonton filem-filem sedih bersama Irham sebab akhirnya dia juga yang kena usik tanpa henti.
“Setakat tengok cerita macam ni dah sedih. Apalah.” Irham menjuihkan bibirnya. Lututnya diangkat rapat ke dada, memberi konsentrasi pada cerita di hadapannya itu semula.
“Cerita macam ni la lagi sedih, dari cerita cinta-cinta tu. Ini cerita pasal keluarga.” Zaara bersuara sebaik sebak di dadanya kian berkurangan. Dia pun tidak suka nampak cengeng di hadapan Irham. Irham diam, matanya masih fokus pada skrin televisyen.
“Kata dekat orang, awak pun dah bergenang mata tu.” Zaara ketawa bersama sebak yang masih bersisa sebaik melihat mata Irham yang kelihatan berkaca.
“Diamlah!” Irham membentak tanpa memandang Zaara.
“Eleh, malulah tu.” Zaara memuncungkan mulutnya sebelum kembali menghadap televisyen semula. Dia ketawa sendiri melihat keletah Irham yang masih nak tunjuk lagak padahal dalam hati ada taman.
“Mata saya masuk habuk la.”
“Ceh, alasan cliché sungguh!”
“Jangan bising boleh tak. Tengok ajelah tv tu.” Irham membentak, buatkan Zaara ketawa lagi.
“Ini bukan lagi jadi Mr. Arrogant, tapi dah jadi Mr. Arumugam.” Zaara berbicara sendiri dengan nada perlahan namun masih bisa ditangkap dek telinga Irham.
“Apa awak kata?” Mata Irham membulat.
“Apa?” soalnya, sengaja mengusik lagi.
Mr. Arumugam?” Irham mengangkat kening. Zaara tersengih malu sebaik menyedari Irham mendengar katanya tadi.
“Ni Mr. Arumugam, ini dia!” Irham bersuara sambil menggeletek Zaara tanpa belas kasihan membuatkan Zaara menggelupur menahan geli.
“Sudahlah awak! Tolong!” Zaara meminta simpati namun Irham masih ligat menggeletek. Seronok melihat isterinya itu terseksa.
“Nak sangat Mr. Arumugam kan. Ambik!”
“Sudahlah awak. Saya insaf. Saya tak kata apa dah.” Zaara menolak tangan Irham yang menggeletek tubuhnya dengan sepenuh tenaga tetapi masih tidak berhasil.
“Cakap lagi saya Mr. Arumugam ya!” Irham masih tidak puas hati.
“Tuan. Puan.” Irham terhenti menggeletek sebaik terdengar suara seseorang, Zaara juga ikut bangun duduk memerhati arah suara itu. Jijah yang sedang memegang sedulang minuman, terpempan sebaik melihat majikannya sedang bercanda begitu.
“Err letak saja dekat situ, Jijah.” Zaara bersuara walaupun wajahnya sudah merona merah menahan malu.
Jijah diam, namun laju-laju meletakkan dulang sebelum pantas berlalu ke dapur. Enggan mengganggu lagi.
“Awaklah ni!” Zaara lekas menampar bahu Irham, membuatkan Irham mengaduh kecil.
“Apa salah saya?” Irham menyoal sambil menggosok bahunya yang pedih.
“Tak malu ke buat macam tu depan orang.” Zaara menyoal dengan mulut yang sudah muncung. Malunya pada Jijah masih belum kebah.
“Buat apa?” Irham mengangkat keningnya.
“Tadi tulah.” Zaara memeluk tubuhnya.
“Aik, kena geletek pun nak malu.”
“Yelah, malulah saya.”
“Bukannya saya buat yang bukan-bukan.” Irham tersengih penuh makna sambil menghampiri Zaara perlahan. Mata Zaara membulat sebaik melihat Irham makin galak mendekatinya.
“Apa awak ni? Tak tahu malu ke?” Zaara menampar bahu Irham bertalu-talu buatkan Irham terus terhenti.
“Sakitlah!” Irham membentak sambil terus menggosok bahunya.
“Padan muka. Nak main-main lagi.” Zaara menjelirkan lidahnya.
“Yelah, kalau saya buat yang bukan-bukan macam ni, barulah awak patut malu. Ini takat geletek je pun nak malu.” Irham menjeling, sengaja hendak mengusik Zaara sebentar tadi.
“Ish malas saya nak layan awak ni. Perangai entah apa-apa. Dahlah, saya nak tengok tv ni.” Zaara mengomel sebelum pandangan matanya kembali tertancap pada kaca televisyen.
“Ala, dah habis dah. Awak la punya pasal ni.” Zaara mengeluh seketika sebaik menyedari siaran filem Hindi yang ditontonnya sebentar tadi sudah tamat.
“Ceh, semua nak salahkan saya.” Irham memeluk tubuhnya sambil menjuihkan bibir. Zaara diam, namun matanya jatuh pada wajah Irham yang sudah mencuka. Wajah Irham dipicit hingga mulutnya menjadi muncung.

“Zafriel Irham bin Tan Sri Zahir, CEO Irham Holding. Siapa sangka, CEO depan saya ni kuat merajuk kan?” Zaara ketawa kecil sebelum kepalanya dilentok pada bahu Irham. Irham berpaling, memandang Zaara di sisi namun mulutnya terkunci, tidak berniat untuk membalas kata-kata Zaara dan membiarkan saja keadaan mereka begitu.

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!