Thursday, March 23, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 4




MEGAT TALHAH menutup pintu sebaik sahaja dia membolos masuk ke dalam rumah itu. Rumah yang bergelap dia pandang dengan dahi yang berkerut. Ke mana pulak semua orang pergi? Ah macam ramai saja dalam rumah ni. Mak Wan mesti dah balik lepas selesai kerjanya semua, selalunya bila dia balik dari kerjanya memang Mak Wan dah tak ada kecuali bila dia balik awal atau Mak Wan ada kerja yang masih perlu diselesaikan.
            Megat Talhah membuka lampu rumah dan tersentak saat melihat Qisya berada di ruang tamu di atas kerusi rodanya namun dia sekadar diam tidak berkutik.
“Qisya, kenapa duduk dalam gelap ni? Qisya tidur ke?” soal Megat Talhah bertalu-talu sambil dia berjalan mendekati Qisya.
Qisya berpaling memandang satu-satunya bapa saudaranya itu dan perlahan dia mengukir senyum walau kelihatan tawar tidak berperisa.
“Taklah. Belum tidur, saja duduk dalam gelap.”
Megat Talhah menghela nafasnya, lega melihat anak saudaranya itu tidak apa-apa.
“Macam-macamlah kamu ni, Qisya. Dah, jom pak su hantar ke bilik.” Megat Talhah menolak kerusi roda Qisya, mahu menghantar anak saudaranya itu ke biliknya yang terletak di bahagian bawah berdekatan dapur. Sejak gadis itu tidak boleh berjalan dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak, bilik kecil itulah yang dia terpaksa jadikan bilik Qisya untuk memudahkan gadis itu bergerak.
Qisya memegang tangan Megat Talhah yang sedang menolak kerusi rodanya.
“Tak apa, pak su. Nanti Qisya masuklah bilik.” Qisya senyum lagi.
“Dah lewat ni, Qisya. Qisya tidur sekarang ya, esok Qisya nak ke hospital untuk check up kan?”
Qisya mengangguk.
“Nanti Qisya pergi dengan pak su ya? Nanti pak su suruh Pak Kahar hantarkan ke hospital.”
“Eh tak payahlah pak su, buat susah Pak Kahar saja nanti nak ambik Qisya pulak. Tak apa, Qisya boleh drive sendiri pergi hospital.”
Megat Talhah mengeluh perlahan, anak saudaranya walaupun sebegitu tetapi lebih berdikari dari dirinya, langsung tak nak susahkan sesiapa.
“Kalau macam tu tak apalah, tapi kalau ada apa-apa, Qisya beritahu ya.”
“Okay pak su, jangan risau ya.”
Megat Talhah sekadar mengangguk sebelum menyorong kerusi roda itu masuk ke dalam bilik. Dia membantu Qisya naik ke atas katil sebelum dia menyelimutkan anak saudaranya itu.
“Sudah, tidurlah ya.” Megat Talhah bingkas bangun, mahu meninggalkan bilik itu tetapi sempat Qisya mencapai tangan bapa saudaranya itu.
“Pak su ada masalah ke?” soalnya lembut, seolah bisa menebak rasa hati Pak sunya itu.
Megat Talhah menggeleng laju.
“Tak ada apalah, kenapa Qisya tanya macam tu?”
Qisya menarik senyum segaris.
“Nampak... wajah pak su macam tak ceria.”
Megat Talhah ketawa kecil.
“Tak ada apalah, Qisya. Biasalah serabut kerja, banyak masalah dekat butik tu.” Megat Talhah cuba berdalih walaupun hakikatnya ada masalah lain yang asyik membelenggu jiwanya saat itu.
“Tak macam serabut kerja pun, macam serabut soal hati.” Megat Talhah terkedu, pandai saja Qisya membuat andaian dan andaiannya betul pulak tu.
“Hesy, mana ada. Tak ada apalah.”
“Pak su bergaduh dengan Melissa ya? Kenapa, dia tak nak kahwin lagi?”
Megat Talhah menghela nafas untuk kesekian kalinya. Susah betul hendak menyembunyikan apa-apa dari anak saudaranya itu.
“Mesti sebab Qisya kan?”
“Hesy jangan cakap macam tu. Tak ada kaitan dengan Qisya pun.” Megat Talhah pantas menukas.
Qisya tersenyum tipis.
“Kalau pak su nak kahwin, kahwin sajalah, Jangan risaukan Qisya ya. Kalau Melissa tak selesa dengan Qisya, Qisya boleh duduk tempat lain.”
“Jangan cakap macam tu, Qisya. Selagi pak su bernafas, selagi tu pak su akan jaga Qisya, jangan pernah terfikir nak duduk tempat lain.”
            “Tapi, sebab Qisya, Melissa tak nak kahwin dengan pak su kan?”
            “Bukan sebab Qisya. Lagipun, kalau dia tak nak kahwin dengan pak su, biar jelah, pak su dah tak larat nak memujuk merayu.”
            “Janganlah macam tu, pak su. Qisya tahu pak su sayang dia sangat. Jangan korbankan kebahagiaan pak su tu sebab Qisya.” Suara Qisya semakin lirih.
            Megat Talhah menggelengkan kepalanya sebelum dia mengelus bahu Qisya lembut.
            “Kebahagiaan pak su bila Qisya pun ada sama dengan pak su.” Megat Talhah bersuara sambil memandang wajah Qisya dengan penuh kasih sayang.
Qisya melorek senyum walau hatinya dipagut gundah, kasihan dengan pak sunya yang sudah banyak berkorban untuk dirinya sehingga sanggup membujang sehingga sekarang semata-mata kerana menjaga dirinya. Bila Pak sunya sudah bersedia nak kahwin, kekasih hatinya pula asyik bagi macam-macam alasan.
“Sudahlah, Qisya tidur ya. Pak su pun nak siap-siap, nak tidur ni, dah penat.” Megat Talhah meminta diri setelah lama sepi menemani mereka.
            Qisya mengangguk perlahan sebelum memejamkan matanya. Megat Talhah keluar dari bilik itu dengan hatinya yang sendat dengan gelodak jiwa.

MEGAT Talhah memandu keretanya sambil berbual rancak dengan abang iparnya di sebelah dan kakak serta anak saudaranya, Qisya di belakang. Perjalanan ke Terengganu yang memakan masa agak lama, membuatkan mereka mengisi kebosanan dengan bersembang pelbagai perkara.
            “Lepas konvo ni, Qisya nak kerja dekat mana?” soal Megat Talhah tiba-tiba.
            “Lepas konvo, Qisya nak rehat dulu aci tak?” Megat Talhah memandang Qisya yang tersengih melalui cermin pandang belakang.
            “Amboi bukan main lagi, nak rehat lama mana lagi? Ke Qisya nak kahwin terus je?” Megat Talhah memerli.
            “Alah pak su ni, Qisya gurau jelah. Qisya tak fikir pun lagi, teruja nak konvo je ni. Lepas konvo baru nak fikir kerja dekat mana. Takpun Qisya kerja dengan pak su sajalah.”
            “Pak su pun kerja dengan orang, Qisya. Lagipun kerja pak su, tak ada life sikit. Busy memanjang.”
            “Sebab tulah sampai sekarang, pak su Qisya ni membujang lagi. Nak cari calon pun susah.” Kamal, bapa Qisya menyampuk tiba-tiba.
            “Itulah bang, kita nak tolong carikan dia tak nak pulak.” Puteri Baiti, ibu Qisya pula bersuara seraya ketawa mengusik Megat Talhah.
            “Alah kak, bukan tak nak tapi Tal belum sedia lagi. Tal asyik busy saja sampai nak makan pun tak sempat dekat office tu, kadang-kadang kena turun site, outstation berhari-hari. Macam manalah Tal nak fikir pasal kahwin kak, kesian bini Tal nanti, makan hati saja tengok Tal sibuk.”
            “Tal pun janganlah sibuk kerja sangat, fikir pasal diri Tal sama. Umur Tal tu bukan makin muda, ikut umur Tal tu dah terlebih layak nak kahwin tau, nasiblah Tal lelaki, kalau perempuan memang orang dah chop andartu.” Puteri Baiti mengomel.
            “Alah kak, senang cakap belum sampai jodoh lagi. Nanti dah sampai jodoh, adalah tu.” Megat Talhah tersenyum sendiri sambil matanya masih fokus di hadapan.
            “Tak apalah, kami doakan je semoga Tal cepat-cepat bertemu jodoh, biar ada orang nak jaga makan minum Tal tu.”
            “Kan sekarang kakak dengan abang dah jagakan makan minum Tal.” Megat Talhah ketawa.
            “Amboi, sampai bila nak harap kami saja jaga Tal, kenalah ada jugak isteri untuk temankan Tal.”
            “Alah tak apa kak, abang. Ada akak, abang dan Qisya sekarang pun dah cukup bagi Tal. Tal dah cukup bahagia macam ni.”
            “Kami ni takkan sama dengan ada seorang isteri, Tal.” Kamal bersuara tiba-tiba membuatkan Megat Talhah berpaling ke tepi.
            “Tapi dah cukup buat Tal.” Megat Talhah melorek senyum sebelum tiba-tiba saja satu bunyi letupan kedengaran dan Megat Talhah tidak dapat mengawal kenderaannya.
            “Pak su!” jeritan Qisya menyerbu telinga Megat Talhah saat lelaki itu melanggar pembahagi jalan sebelum kereta berpusing di atas jalan raya.
            “Astaghfirullah hal a’zim!” Megat Talhah terjaga dengan badan yang sudah bermandi peluh, dadanya berombak mencari nafas. Wajahnya diraup berkali-kali, cuba menyedarkan dirinya ke alam nyata. Mimpi ngeri yang merenggut lenanya membuatkan Megat Talhah tidak lagi mampu memejamkan matanya, hatinya tidak bisa tenang.

            “Maafkan Tal, kak. Maafkan Tal, abang... Maafkan, Tal...” dia bersuara lirih sendiri saat air mata jantannya terbit di tubir mata. Perlahan Megat Talhah bangun menuju ke bilik air, mahu membersihkan diri dan berwuduk sebelum dia menunaikan solat sunat dan membacakan surah Yasin buat arwah kakak dan abang iparnya, juga ibu dan ayahnya yang telah lama menemui penciptaNya.

1 comment:

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!