MEGAT TALHAH menutup pintu sebaik
sahaja dia membolos masuk ke dalam rumah itu. Rumah yang bergelap dia pandang
dengan dahi yang berkerut. Ke mana pulak semua orang pergi? Ah macam ramai saja
dalam rumah ni. Mak Wan mesti dah balik lepas selesai kerjanya semua, selalunya
bila dia balik dari kerjanya memang Mak Wan dah tak ada kecuali bila dia balik
awal atau Mak Wan ada kerja yang masih perlu diselesaikan.
Megat
Talhah membuka lampu rumah dan tersentak saat melihat Qisya berada di ruang
tamu di atas kerusi rodanya namun dia sekadar diam tidak berkutik.
“Qisya, kenapa duduk dalam gelap ni?
Qisya tidur ke?” soal Megat Talhah bertalu-talu sambil dia berjalan mendekati Qisya.
Qisya berpaling memandang
satu-satunya bapa saudaranya itu dan perlahan dia mengukir senyum walau
kelihatan tawar tidak berperisa.
“Taklah. Belum tidur, saja duduk
dalam gelap.”
Megat Talhah menghela nafasnya, lega
melihat anak saudaranya itu tidak apa-apa.
“Macam-macamlah kamu ni, Qisya. Dah,
jom pak su hantar ke bilik.” Megat Talhah menolak kerusi roda Qisya, mahu
menghantar anak saudaranya itu ke biliknya yang terletak di bahagian bawah
berdekatan dapur. Sejak gadis itu tidak boleh berjalan dan bergantung kepada
kerusi roda untuk bergerak, bilik kecil itulah yang dia terpaksa jadikan bilik Qisya
untuk memudahkan gadis itu bergerak.
Qisya memegang tangan Megat Talhah
yang sedang menolak kerusi rodanya.
“Tak apa, pak su. Nanti Qisya masuklah
bilik.” Qisya senyum lagi.
“Dah lewat ni, Qisya. Qisya tidur
sekarang ya, esok Qisya nak ke hospital untuk check up kan?”
Qisya mengangguk.
“Nanti Qisya pergi dengan pak su ya?
Nanti pak su suruh Pak Kahar hantarkan ke hospital.”
“Eh tak payahlah pak su, buat susah
Pak Kahar saja nanti nak ambik Qisya pulak. Tak apa, Qisya boleh drive
sendiri pergi hospital.”
Megat Talhah mengeluh perlahan, anak
saudaranya walaupun sebegitu tetapi lebih berdikari dari dirinya, langsung tak
nak susahkan sesiapa.
“Kalau macam tu tak apalah, tapi
kalau ada apa-apa, Qisya beritahu ya.”
“Okay pak su, jangan risau ya.”
Megat Talhah sekadar mengangguk
sebelum menyorong kerusi roda itu masuk ke dalam bilik. Dia membantu Qisya naik
ke atas katil sebelum dia menyelimutkan anak saudaranya itu.
“Sudah, tidurlah ya.” Megat Talhah
bingkas bangun, mahu meninggalkan bilik itu tetapi sempat Qisya mencapai tangan
bapa saudaranya itu.
“Pak su ada masalah ke?” soalnya
lembut, seolah bisa menebak rasa hati Pak sunya itu.
Megat Talhah menggeleng laju.
“Tak ada apalah, kenapa Qisya tanya
macam tu?”
Qisya menarik senyum segaris.
“Nampak... wajah pak su macam tak
ceria.”
Megat Talhah ketawa kecil.
“Tak ada apalah, Qisya. Biasalah
serabut kerja, banyak masalah dekat butik tu.” Megat Talhah cuba berdalih
walaupun hakikatnya ada masalah lain yang asyik membelenggu jiwanya saat itu.
“Tak macam serabut kerja pun, macam
serabut soal hati.” Megat Talhah terkedu, pandai saja Qisya membuat andaian dan
andaiannya betul pulak tu.
“Hesy, mana ada. Tak ada apalah.”
“Pak su bergaduh dengan Melissa ya?
Kenapa, dia tak nak kahwin lagi?”
Megat Talhah menghela nafas untuk
kesekian kalinya. Susah betul hendak menyembunyikan apa-apa dari anak
saudaranya itu.
“Mesti sebab Qisya kan?”
“Hesy jangan cakap macam tu. Tak ada
kaitan dengan Qisya pun.” Megat Talhah pantas menukas.
Qisya tersenyum tipis.
“Kalau pak su nak kahwin, kahwin
sajalah, Jangan risaukan Qisya ya. Kalau Melissa tak selesa dengan Qisya, Qisya
boleh duduk tempat lain.”
“Jangan cakap macam tu, Qisya.
Selagi pak su bernafas, selagi tu pak su akan jaga Qisya, jangan pernah
terfikir nak duduk tempat lain.”
“Tapi,
sebab Qisya, Melissa tak nak kahwin dengan pak su kan?”
“Bukan
sebab Qisya. Lagipun, kalau dia tak nak kahwin dengan pak su, biar jelah, pak
su dah tak larat nak memujuk merayu.”
“Janganlah
macam tu, pak su. Qisya tahu pak su sayang dia sangat. Jangan korbankan
kebahagiaan pak su tu sebab Qisya.” Suara Qisya semakin lirih.
Megat
Talhah menggelengkan kepalanya sebelum dia mengelus bahu Qisya lembut.
“Kebahagiaan
pak su bila Qisya pun ada sama dengan pak su.” Megat Talhah bersuara sambil
memandang wajah Qisya dengan penuh kasih sayang.
Qisya melorek senyum walau hatinya
dipagut gundah, kasihan dengan pak sunya yang sudah banyak berkorban untuk
dirinya sehingga sanggup membujang sehingga sekarang semata-mata kerana menjaga
dirinya. Bila Pak sunya sudah bersedia nak kahwin, kekasih hatinya pula asyik
bagi macam-macam alasan.
“Sudahlah, Qisya tidur ya. Pak su
pun nak siap-siap, nak tidur ni, dah penat.” Megat Talhah meminta diri setelah
lama sepi menemani mereka.
Qisya
mengangguk perlahan sebelum memejamkan matanya. Megat Talhah keluar dari bilik
itu dengan hatinya yang sendat dengan gelodak jiwa.
MEGAT Talhah memandu keretanya
sambil berbual rancak dengan abang iparnya di sebelah dan kakak serta anak
saudaranya, Qisya di belakang. Perjalanan ke Terengganu yang memakan masa agak
lama, membuatkan mereka mengisi kebosanan dengan bersembang pelbagai perkara.
“Lepas
konvo ni, Qisya nak kerja dekat mana?” soal Megat Talhah tiba-tiba.
“Lepas
konvo, Qisya nak rehat dulu aci tak?” Megat Talhah memandang Qisya yang
tersengih melalui cermin pandang belakang.
“Amboi
bukan main lagi, nak rehat lama mana lagi? Ke Qisya nak kahwin terus je?” Megat
Talhah memerli.
“Alah
pak su ni, Qisya gurau jelah. Qisya tak fikir pun lagi, teruja nak konvo je ni.
Lepas konvo baru nak fikir kerja dekat mana. Takpun Qisya kerja dengan pak su
sajalah.”
“Pak
su pun kerja dengan orang, Qisya. Lagipun kerja pak su, tak ada life
sikit. Busy memanjang.”
“Sebab
tulah sampai sekarang, pak su Qisya ni membujang lagi. Nak cari calon pun
susah.” Kamal, bapa Qisya menyampuk tiba-tiba.
“Itulah
bang, kita nak tolong carikan dia tak nak pulak.” Puteri Baiti, ibu Qisya pula
bersuara seraya ketawa mengusik Megat Talhah.
“Alah
kak, bukan tak nak tapi Tal belum sedia lagi. Tal asyik busy saja sampai
nak makan pun tak sempat dekat office tu, kadang-kadang kena turun site,
outstation berhari-hari. Macam manalah Tal nak fikir pasal kahwin kak,
kesian bini Tal nanti, makan hati saja tengok Tal sibuk.”
“Tal
pun janganlah sibuk kerja sangat, fikir pasal diri Tal sama. Umur Tal tu bukan
makin muda, ikut umur Tal tu dah terlebih layak nak kahwin tau, nasiblah Tal
lelaki, kalau perempuan memang orang dah chop andartu.” Puteri Baiti mengomel.
“Alah
kak, senang cakap belum sampai jodoh lagi. Nanti dah sampai jodoh, adalah tu.”
Megat Talhah tersenyum sendiri sambil matanya masih fokus di hadapan.
“Tak
apalah, kami doakan je semoga Tal cepat-cepat bertemu jodoh, biar ada orang nak
jaga makan minum Tal tu.”
“Kan
sekarang kakak dengan abang dah jagakan makan minum Tal.” Megat Talhah ketawa.
“Amboi,
sampai bila nak harap kami saja jaga Tal, kenalah ada jugak isteri untuk
temankan Tal.”
“Alah
tak apa kak, abang. Ada akak, abang dan Qisya sekarang pun dah cukup bagi Tal.
Tal dah cukup bahagia macam ni.”
“Kami
ni takkan sama dengan ada seorang isteri, Tal.” Kamal bersuara tiba-tiba
membuatkan Megat Talhah berpaling ke tepi.
“Tapi
dah cukup buat Tal.” Megat Talhah melorek senyum sebelum tiba-tiba saja satu bunyi
letupan kedengaran dan Megat Talhah tidak dapat mengawal kenderaannya.
“Pak
su!” jeritan Qisya menyerbu telinga Megat Talhah saat lelaki itu melanggar
pembahagi jalan sebelum kereta berpusing di atas jalan raya.
“Astaghfirullah
hal a’zim!” Megat Talhah terjaga dengan badan yang sudah bermandi peluh,
dadanya berombak mencari nafas. Wajahnya diraup berkali-kali, cuba menyedarkan
dirinya ke alam nyata. Mimpi ngeri yang merenggut lenanya membuatkan Megat
Talhah tidak lagi mampu memejamkan matanya, hatinya tidak bisa tenang.
“Maafkan
Tal, kak. Maafkan Tal, abang... Maafkan, Tal...” dia bersuara lirih sendiri
saat air mata jantannya terbit di tubir mata. Perlahan Megat Talhah bangun
menuju ke bilik air, mahu membersihkan diri dan berwuduk sebelum dia menunaikan
solat sunat dan membacakan surah Yasin buat arwah kakak dan abang iparnya, juga
ibu dan ayahnya yang telah lama menemui penciptaNya.
Suka? =)
Allah....
ReplyDelete