AJDA menolak pintu butik itu dengan
berhati-hati sebelum dia menghampiri kaunter. Gadis bernama Ati semalam pantas
dia dekati.
“Eh,
Cik Ajda.” Ati menyambut mesra.
“Kan
saya cakap panggil Ajda je.” Ajda tersengih. Ati ikut menarik senyum.
“Sorry,
Ajda. Nak hantar portfolio eh?”
“Haah.
Bos awak ada tak?”
“Encik
Megat belum masuklah. Ajda tinggalkan portfolio tu dekat saya sajalah.” Ati
memberikan cadangan membuatkan Ajda pantas mengangguk laju. Lagi bagus, tak
payah dia menghadap muka pak cik kerek tu lagi.
“Boleh.
Boleh. Saya tinggalkan dekat sini, nanti bagi dekat Encik Megat ya.”
“Ok
bereh.” Ati menyambut fail portfolio yang dihulur Ajda sebelum di simpan di
sebalik kaunter.
“Macam
tu saya balik dululah ya, ada nak pergi tempat lain pulak ni. Apa-apa suruh
Encik Megat contact saya ya.”
“Ok,
harap-harap dapat jadi vendor dekat sini ya. Sedap sangat pavlova semalam.”
“Amin!
Terima kasih, Ati.” Ajda bersuara ceria, mengharapkan perkara itu menjadi
kenyataan. Memang laku keraslah pavlovanya kalau dapat jadi vendor di sini.
“Sama-sama.”
“Saya balik dululah ya.” Ajda meminta
diri seraya membawa langkahnya keluar dari butik itu sambil melambai ke arah
Ati.
“Allah!” Bahunya terasa merempuh
sesuatu membuatkan Ajda jatuh terduduk di atas lantai butik. Cepat-cepat dia
bangun, malu kalau-kalau ada yang ternampak.
“Lain kali, berjalan tu tengok
depan.” Suara garau itu menerjah gegendang telinga Ajda bersama dengan nada
yang terasa begitu mendatar. Cepat-cepat Ajda mengangkat wajahnya untuk melihat
gerangan insan yang bersuara saat itu.
Sah! Telahannya tidak salah. Megat
Talhah sedang memegang beg bimbit di sebelah tangannya dan fail serta tabletnya
dipeluk rapat ke dada sambil memandang dia dengan wajah yang tidak beriak.
“Errr maaf Encik Megat. Saya tak
sengaja.”
“Orang yang cemerkap memang selalu
cakap dia tak sengaja.”
Aduh, bisanya kata-kata itu bagaikan
wajahnya ditampar.
“Saya minta maaf sekali lagi, Encik
Megat. Saya dah bagi portfolio saya dekat Ati, kalau ada apa-apa yang perlu
saya sediakan lagi, Encik Megat bagitahulah ya. Saya balik dulu.” Ajda
cepat-cepat mahu mengatur langkah. Hatinya rasa panas saja hendak berlama di
situ, mendengar kata-kata Megat Talhah yang asyik menyakitkan jiwa.
“Tunggu.” suara itu berbunyi kembali
saat Ajda baru saja melangkah setapak.
“Ya?” Ajda berpaling kembali sambil
mengukir senyuman paling ikhlas yang dia mampu walau hati terasa bengang dengan
pak cik kerek itu.
“Ambik portfolio tu bawa masuk
pejabat saya. Sekarang. Saya nak semak.” Megat Talhah bersuara sebelum berlalu
meninggalkan Ajda terpinga-pinga di situ.
‘Hampeh betul pak cik kerek ni. Dia
buat aku macam aku ni staff dia pulak. Aku ni nak jadi vendor dia,
penyumbang keuntungan dia. Patutnya layanlah aku ni baik-baik sikit.’ Ajda
mengomel dalam hati sebelum berlalu ke kaunter. Ati yang mendengar sedari tadi,
awal-awal lagi sudah menghulurkan portfolio milik Ajda itu kepadanya semula.
Wajah Ati tampak gusar saat Ajda
menyambut portfolio itu dengan keluhan berat sebelum dia berlalu ke bilik Megat
Talhah.
AJDA diam memerhati Megat Talhah
dengan debaran yang maha dasyat di dalam dadanya. Rasa macam tengah menghadapi
penemuduga masa zaman-zaman minta kerja dulu pula. Tangannya terasa beku tetapi
peluh merenik di dahi walau pendingin hawa terasa sejuk saja memuput muka.
Kalaupun
pak cik kerek ni tak suka portfolio dia, janganlah dia main campak ke muka dia
macam ceo-ceo garang dalam drama tu. Hesy mintak simpanglah!
“Okay.
Awak diterima untuk jadi vendor di sini.”
“Hah?”
Ajda tergamam. Rasa macam dengar tak dengar saja kata-kata Megat Talhah tadi.
“Saya
cakap, awak diterima.” Megat Talhah menutup portfolio itu dan diletakkan ke
atas meja sebelum memandang ke wajah Ajda. Kagum sebenarnya dengan ketelitian
gadis itu menyediakan portfolio tersebut yang bagi Megat Talhah memang cukup
lengkap dan menepati kehendaknya.
“Nanti kami akan sediakan kontrak,
jika bersetuju dengan semua syarat maka bolehlah tandatangani kontrak tu nanti.
Okay? Ada soalan?” Megat Talhah menyambung sambil menyilang jemarinya di atas
meja.
Ajda masih diam, tiada respon.
“Cik Ajda Sajidah!” nada suara Megat
Talhah naik seoktaf.
“Hah, ya ya saya.” Ajda seolah
kembali ke alam nyata. Baru sebentar tadi dia terawang entah ke mana. Rasa
macam tak percaya, pemohonannya untuk menjadi vendor di butik berprestij itu
diterima.
“Ada soalan?”
“Errr tak ada.”
“Kalau tak ada, baguslah. Sekarang
cik boleh keluar, saya ada mesyuarat yang perlu saya hadiri dekat luar jadi
tolong jangan buang masa saya. Nanti kontrak dah siap, kami akan hubungi pihak
cik.” Megat Talhah bersuara senafas sambil bangun dan berkemas.
“Baik. Baik. Terima kasih, Encik
Megat.”
Megat Talhah sekadar mengangguk
perlahan sebelum dia membuka pintu untuk Ajda keluar.
“Terima kasih sekali lagi, Encik
Megat.” Sekali lagi Ajda bersuara saat dia keluar dari pintu bilik Megat Talhah
itu.
“Ya, ya. Sudah, saya sibuk ni.” Megat
Talhah mendengus sebelum menutup pintu bilik pejabatnya itu.
Ajda tersengih sendiri saat berlalu
ke kaunter, memberitahu perkhabaran gembira itu kepada Ati yang disambut dengan
ucapan tahniah oleh pembantu butik itu sebelum Ajda berlalu keluar dari butik Talqisya.
“ALLAH, kenapa pulak ni? Haih, baru
saja dapat berita gembira, kau buat hal pulak ya. Kenapalah dalam banyak-banyak
hari, hari ni jugak kau nak buat hal? Bagilah chance dekat aku bergumbira saja
hari ni. Hesy! Sebab tu orang kata, jangan gembira sangat, nanti mesti ada
benda buruk jadi.” Ajda mengomel sendiri saat dia cuba membuka lock kereta yang
tidak boleh terbuka sedari tadi. Beberapa kali dia menekan punat pada kunci
keretanya namun hampa, langsung tak ada tindakbalas.
“Ada
apa ni?”
Ah
suara ni lagi! Ajda mengeluh sendiri sebelum berpaling perlahan menghadap Megat
Talhah yang baru saja keluar dari butik, hendak ke mesyuarat seperti yang dia
katakan tadi gamaknya.
“Entahlah.
Tak boleh unlock kereta.” Ajda bersuara sambil mengetuk-ngetuk punat
pada kunci keretanya. Habis bateri ke kunci kereta ni?
“Oh.”
Itu saja perkataan yang keluar dari mulut Megat Talhah sebelum dia berlalu
masuk ke dalam sebuah BMW putih yang diparkir bersebelahan Axia berwarna merah
milik Ajda.
“Cis,
oh saja dia cakap!” Ajda mendengus geram saat kereta BMW yang dipandu seseorang
itu membawa Megat Talhah pergi.
“Berlagak,
tak boleh tolong sikit pun. Kot ye pun nak cepat, mintak la tolong staff
dia ke tengokkan kereta aku ni. Tak ada timbang rasa langsung. Baru ada butik
macam ni pun dah berlagak sampai kena guna driver. Poyo! Benci! Kau pun
satu kereta, kenapa hari ni? Kenapa?!” Ajda melampiaskan kemarahannya sendiri.
“YA along, tak tahulah. Tiba-tiba
saja tak boleh unlock kereta.” Ajda bersuara penuh kebimbangan. Mana
pernah dia mengalami situasi itu sejak dua tahun memiliki kereta tersebut.
“Bateri
kunci habislah tu, tak pun bateri kereta. Dah cuba bukak pintu secara manual?”
“Dah,
dah cuba start enjin dah pun. Tak boleh.”
“Macam
tu memang bateri keretalah yang habis.”
“Habis
apa Ajda nak buat ni? Along tolonglah!” Ajda merayu macam budak kecil.
“Along
tengah kerja ni. Ajda tunggu je dekat situ takpun balik je dulu naik teksi.
Nanti along pergi tengokkan kereta tu masa rehat.”
“Alah
along.”
“Ajda,
benda tak ada apalah. Janganlah buat benda ni macam masalah dunia sangat. Dah
pergi balik dulu, nanti along tengokkan. Tinggallah kunci kereta Ajda tu dekat
butik Talqisya tu ke tak pun nanti along balik ambik dekat rumah.”
“Hmmm
tak apalah along. Nanti susah along pulak nak kena balik ambik dekat rumah. Nanti
Ajda tinggal kunci kereta dekat butik ni jela. Masalahnya sekarang, Ajda nak
kena pergi hospital pulak ni. Hantar pavlova dekat mini mart sana.”
“Nak
buat macam mana, Ajda panggil jelah teksi takpun Grabcar ke Uber ke, hantar
pavlova tu.”
“Haih,
yelah along. Nanti datang tengokkan kereta ni ya.”
“Yelah,
dah jangan risau. Along letak dulu, assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Ajda
menyimpan kembali telefon bimbitnya bersama keluhan berat di bibir. Rasa tak
sampai hati nak tinggalkan kereta kesayangannya itu dekat situ tapi apakan
daya.
“Cik...”
suara seseorang yang menerpa membuatkan Ajda yang baru saja hendak melangkah
masuk ke dalam butik Talqisya untuk meninggalkan kuncinya, membatalkan
hasratnya dan berpaling memandang ke arah suara itu.
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!