Tuesday, January 23, 2018

Novel: Jodohku Jejaka Jelita bab 2



“DAH lewat ni, tak nak balik ke?” aku menyoal Andra yang sedang bersandar di kereta abah, malam itu. Dia tengah merenung bintang di langit gamaknya, khusyuk semacam je. Emak dengan abah awal-awal lagi dah masuk tidur. Adik aku, Ayie sampai sekarang masih belum nampak batang hidung, lepak dengan kawan-kawan dialah tu.
“Saya tidur sini tak boleh ke?”
            “Baliklah. Rumah awak dekat depan sana je pun.” Aku menjuihkan bibirku menunjuk ke arah rumah banglo mewah yang bisa kelihatan daripada rumahku ini.
            “Malaslah.” Dia mengeluh perlahan namun aku masih dapat dengar dengan jelas.
            “Awak dengan mama awak masih macam tu ke?”
            “Always.” Terdengar keluhan lagi daripada bibir kecilnya.
            “Saya minta maaf pasal tadi, saya tak patut cakap macam tu sedangkan hubungan awak dengan mama awak...”
            “Tak apa. Tak payahlah cakap pasal tu.” Dia tersenyum perisa tawar.
            “Dah lama kan kita tak jumpa. Saya rasa ada dekat setahun.” Dia cepat-cepat mengalih topik, tidak mahu aku terus-terusan bercakap tentang mama dia gamaknya.
            “Haah. Lama. Awak selalu datang sini kan? Cuma kita je tak berselisih.”
            “Iyalah orang tu sibuk kerja, mana ada peluang nak jumpa.”
            “Lepas ni saya tak sibuk dah.” Aku bersuara sendiri sambil merenung bulan yang suram di langit.
            “Apa?”
“Tak ada apa-apa.” Aku menghela nafas yang mula menyesak dada sebelum berpaling memandang Andra di sisi.
“Saya masuk dululah ya? Mengantuk. Nak tidur.” Aku meminta diri sambil tersenyum.  
“Alah temankanlah saya dekat sini. Saya nak lepak dekat sini dulu.”
“Hesy, tak nak saya. Tak elok tau orang tengok saya dengan awak macam ni. Walaupun awak tu lawa, kalahkan anak dara tapi awak tetap lelaki ye. Sedar sikit. Dah, pergi balik rumah awak.” Aku memerli, biar sentap sampai tulang hitam.
            Dia ketawa kecil sebelum matanya menyorot ke arah rumahnya di depan sana.
            “Kejap lagilah saya balik, saya balik lewat pun bukan ada orang kesah. Awak dah mengantuk, pergilah masuk. Selamat malam.”
            “Iyalah. Selamat malam.” Aku membalas kata-katanya sambil sempat memerhati banglo besar itu yang tampak bergemerlapan tetapi hati seorang anak di sini kelihatan malap.
            Bunyi enjin motosikal yang semakin kuat membuatkan aku tak jadi melangkah masuk ke dalam rumah dan sibuk memerhati ke luar. Sah, Ayie yang pulang seperti telahanku.
            “Pewit, dating ya?” Dia tersengih, sempat mengusik sebaik topi keledar di kepalanya dia tanggalkan.
            “Dating wak lu! Ni pukul berapa baru kau balik ni?” Aku acah-acah kakak garang.
            “Alah kak, aku lepak gerai burger dengan kawan-kawan tadi. Ni aku ada beli burger lebih. Nak tak?” Dia tersengih. Nak bodeklah tu.
            “Hmmm. Bawak masuk dalam.” Aku mencebik, konon jual mahal. Tapi siapa tak nak burger tepi jalan hoi! Rezeki jangan ditolak. Haha.
            “Ara tidur sini ke malam ni?” aku terdengar Ayie menyoal. Tapi siapa Ara?
            “Tak. Kakak kamu halau balik.” Andra buat muka sedih.
“Woi apa panggil Ara? Andra la! Lebih tepat, abang Andra!” aku mencekak pinggang di hadapan Ayie sebaik jelas dengan keadaan sebenar.
“Alah, dia yang suruh panggil gitu. Aku ikut je kak.”
Aku berpaling memandang Andra yang sedang tersenyum. Hesy rasa nak lempang je tengok senyuman dia tu.
“Nama sedap-sedap Andra, tak payah memandai ubah jadi nama perempuan pulak.”
“Sedap apa nama Ara tu.” Andra membela diri.
“Sedap, tapi bukan untuk awak.” Aku menjuihkan bibir.
Dia sekadar memandang aku dengan wajah pasrah, takutlah tu nak melawan.
“Dah, awak pergilah balik. Dah lewat dah ni, mama awak mesti dah tidur tu.” Aku bersuara sambil mengerling ke arah banglo yang sudah suram tanpa cahaya menandakan isi rumahnya sudah beradu. Memahami apa yang dia harapkan tika itu.
Pandangan mata Andra menyorot ke arah rumahnya sebelum dia berpaling memandang aku dengan senyuman yang tawar. Nafasnya kedengaran dihela berat.
“Yelah, selamat malam Ayesha, Ayie.” Andra bersuara dengan nada datar sebelum melangkah keluar dari pagar rumahku. Dia membolos masuk ke dalam Volkswagen warna merah jambunya yang diparkir di tepi pagar.
Macam manalah aku tak sedar keretanya ada terparkir dekat luar siang tadi. Kalau aku nampak kereta warna striking macam tu, memang aku tahulah dia yang datang rumah. Tak adalah aku sampai tersilap tuduh abah ada skandal segala.
Tapi hairan betul, dalam banyak-banyak warna kereta, warna merah jambu jugak yang dia boleh pilih, jambu habis! Kereta MYVI biru aku lagi nampak jantan rasanya.
Kereta itu memecut laju seketika kemudian, membuatkan aku menarik nafas lega, hilang satu masalah.
“Nasib baik Ara...”
“Andra!” aku menjeling ke arah Ayie, membetulkan ayatnya.
“Okay, nasib baik Andra balik rumah dia. Kalau tak, tak tahu kau nak tidur mana kak.”
“Kenapa pulak?” Aku mengerutkan dahi, tidak mengerti.
“Yelah, selalu kan Andra tidur bilik kau.”
What?” mataku membuntang.
“Kau biar betul, dik.” Aku tidak mahu percaya. Lelaki tidur bilik aku? Walaupun dia tu lembut tapi dia tetap seorang lelaki bagi aku. L.E.L.A.K.I! Haih mimpi ngeri aku malam ni bayangkan katil aku dah pernah dinodai seorang lelaki. Bencinya!
“Betullah. Tak percaya tanya emak.” Ayie menjuihkan bibirnya.
“Kenapa tak tidur bilik kau je?” aku tidak puas hati.
 “Takkan nak tidur bilik aku, kak? Kau tengoklah dia macam mana. Kalau aku okay pun emak takkan kasi punya.” Ayie tersengih. Iya tak iya jugak, takkan emak nak benarkan Andra tidur dengan Ayie. Bilik lain semua dah berpenghuni kecuali bilik aku kalau aku tak balik. Hesy!
“Tapi tak bermaksud dia kena tidur bilik aku. Suruh ajelah dia tidur dekat luar tu, tak pun balik je tidur rumah dia. Hesy emak ni!” Aku mendengus tidak puas hati. Ayie cuma mampu mengangkat bahunya sebelum berlalu masuk ke dalam rumah.

            Emak sayang sangat dekat Andra tu, sampai tak fikir pasal anak dia sendiri kan? Mentang-mentanglah dia jadi pengasuh Andra tu sedari kecil. Aku mencebik sebelum ikut melangkah masuk ke dalam rumah.

1 comment:

  1. Kena ada button next chapter dekat bawah setiap bab,
    pembaca tak perlu pergi ke atas semula :)

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!