“KAU kat mana, Ayesha?”
Suara Dila yang nyaring kedengaran di tepi telinga pagi itu membuatkan aku laju
menjauhkan telefon bimbitku dari telinga. Boleh pekak aku jadinya kalau Dila
dah naik suara sebegitu.
“Dari semalam aku cuba call kau tapi tak berangkat. Kenapa kau tak
datang kerja?” Dila masih tidak jemu menyoal walau soalan tadi pun aku belum
jawab.
Aku diam sambil mengerling ke arah jam di dinding bilikku. Sudah menginjak
ke angka sembilan setengah pagi, saat di mana sepatutnya aku berada di pejabat
waktu ini.
“Ayesha! Aku cakap dengan kau ni. Kau dengar tak?” nada yang sudah naik
beroktaf-oktaf itu membuatkan aku melepaskan keluhan yang paling berat. Lama aku
berjeda sebelum cuba menjawab pertanyaan Dila yang masih setia menanti di
hujung talian sebelah sana.
“Aku dah berhenti kerja. Notis dua puluh empat jam. Aku dah hantar emel
dekat HR semalam.”
“What? Kerja gila apa kau buat ni, Ayesha? Kenapa sampai macam ni
sekali?”
Aku mengetap bibir bawah dengan kuat. Memang kerja gila tapi kalau aku tak
buat benda ni, barangkali aku yang bakal jadi gila.
“Nanti aku jelaskan semuanya. Sekarang bagi aku tempoh untuk bertenang
dulu, Dila.”
“Kau nak bertenang dari apa? Serius aku tak faham.”
Aku mengetap bibir, menahan gelora dalam hati.
“Kau tahu, Rizwan tanya aku banyak
kali, mana kau pergi, kenapa tak masuk kerja? Dia call kau katanya tak dapat.
Naik stress aku nak melayan dia.” Aku mendengus sebaik mendengar Dila menyebut
nama itu. Memanglah dia tak dapat call aku, sebab aku dah block
nombor dia dalam telefon bimbit aku ni. Huh!
“Dah, kau tak payah layan dia. Kalau dia tanya apa-apa, kau cakap je tak
tahu. Pasal kau dapat cakap dengan aku ni pun, tolong jangan bagitahu dia,
Dila. Tolong ya, aku percayakan kau.” Aku bersuara separa merayu.
Dila mendiamkan diri. Mesti dia tak faham, sebab aku pun tak terangkan
apa-apa langsung dekat dia pasal hal ni.
“Kau kenapa ni beb? Rizwan ada buat apa-apa ke?” Dila menyoal aku dengan
suara yang jelas kerisauan, membuatkan mataku mula terasa panas dan berkaca.
“Aku... aku dah putus dengan dia.” Aku meluahkan dengan susah payah.
“What? Serius? Takkanlah? Perkara teruk apa yang Rizwan dah buat
sampai kau sanggup putuskan hubungan kau orang yang dah dua tahun ni?”
Aku menghela nafas yang terasa semakin berat saat wajah Rizwan kembali
menerjah dalam fikiran.
“Balik nanti aku cerita semuanya dekat kau. Sekarang bagi aku masa ya,
Dila.”
Aku terdengar helaan nafas Dila di hujung sebelah sana.
“Okay fine, pastikan kau cerita nanti. Ni kau ada mana? Kau okay tak
ni?”
“Aku okay. Kau jangan risau. Aku tak ke mana pun, cuma aku perlukan masa
untuk bertenang, Dila.”
“Okay, beb. Kau jaga diri tau. Jangan sedih-sedih. Perlu apa-apa, nak luah
perasaan ke, cepat-cepat call aku tau.”
“Terima kasih, Dila. Aku sayang kau.”
“Aku pun sayang kau.”
Aku menekan butang merah sebaik selesai bercakap dengan Dila. Nafas yang
terasa berat mencengkam dada, aku hela perlahan-lahan dan air mata yang sudah
bertakung, aku seka pantas.
Kau kuat, Ayesha! Kuat!
Aku membisikkan kata semangat kepada diri sendiri sebelum bingkas bangun
dan keluar dari bilikku. Tidak mahu terus hanyut dalam emosi dan kesedihan yang
berpanjangan. Lagi aku fikirkan pasal ni, lagi susah aku nak teruskan hidup.
“EMAK masak sarapan apa hari ni?” aku bersuara
malas sebaik menjengah ke dapur dengan tuala berselempang di bahuku, mahu mandi
di bilik air bersebelahan dapur itu.
“Bihun
goreng je. Anak dara apa ni bangun lambat?” emak yang sedang membasuh pinggan
di sinki, berpaling ke arah aku. Eh tapi kenapa emak bertudung pagi-pagi ni?
“Haah,
anak dara bangun lambat, kan emak?” Suara seseorang yang menerjah telinga
membuatkan darahku terasa berderau. Aku menoleh ke arah suara yang sedang duduk
di meja makan sebelum sepantas kilat tuala yang tersangkut di bahu, aku tarik
ke kepala dan mengemaskan kedudukannya agar kepalaku elok bertutup.
“Emak!
Kenapa tak bagitahu budak ni dah datang rumah pagi-pagi ni?” aku menjerit
sebal.
“Lah,
tadi emak dah bagitahu kakak dekat dalam bilik, emak tengok kakak angguk je
kepala tu walaupun mata tertutup.”
Aku
mengetap bibir. Sah aku mamai tadi sampai tak dengar apa yang emak cakap.
“Alah, dari kecil la saya tengok rambut awak.
Nak risau apa.” Dia tiba-tiba bersuara selamba sebelum menyuap bihun goreng ke
dalam mulutnya. Dasar tak malu, sarapan dekat rumah orang. Huh!
“Itu masa saya kecil, belum baligh. Tak ada
aurat. Sekarang kita ada batas kena jaga tahu tak?” aku mendengus sebelum
membawa langkah ke bilik air, malas hendak melayan lelaki lembut yang seorang
ini.
“AWAK tak kerja ke hari ni? Asyik lepak rumah
orang saja.” Aku menyoal Andra laju, ketika aku membantu emak menyediakan bahan
masakan untuk makan tengah hari di dapur. Andra yang juga sedang sibuk mengupas
bawang di meja makan yang sama aku duduki waktu itu pantas mengangkat wajah
memandang aku di hadapannya.
“Saya
kan ada business sendiri, partner saya yang tolong handlekan
masa saya tak ada.” Dia menjawab sebelum kembali fokus kepada bawang di
tangannya.
“Oh,
untunglah.” Aku bersuara datar, cemburu sebenarnya.
“Yang
awak tanya ni, awak tu tak pergi kerja ke? Selalu hujung minggu je awak ada
dekat rumah.”
“Tak.
Saya tak kerja.” aku bersuara malas.
“Kenapa?”
“Saja,
tak boleh?” aku menyoal selamba sebelum menjelir lidah.
“Haah,
semalam pun emak tanya tapi kakak tak jawab. Kakak cuti panjang ke?” emak yang
sibuk menyiang ikan di tepi sinki, ikut menyoal sambil berpaling memandang aku.
Aku
terdiam seketika sebelum mengangguk perlahan.
“Haah, kakak ambik cuti.”
“Berapa lama?”
“Tak tahu lagi.”
“Tak tahu? Pelik sangat tu. Kakak ada masalah
ke dekat pejabat tu? Kalau ada masalah, bincang elok-elok, jangan buat perangai
macam ni. Kakak tu dah besar panjang, nak cari rezeki tak bolehlah ikutkan
perasaan sangat. Kalau orang cari pasal dengan kakak, kakak mengadu je dekat
bos.” Emak sudah laju mengomel membuatkan aku cepat-cepat menggeleng.
“Eh taklah emak, bukan ada masalah dekat
pejabat. Emak janganlah risau.”
“Habis tu?” emak menyoal dengan dahinya yang
berkerut.
“Saja cuti nak habiskan baki cuti. Kan kakak
jarang cuti selama ni, banyaklah lagi cuti kakak.” Aku tersengih, cuba
menenangkan hati emak yang jelas kerisauan saat itu.
“Betul ni?”
Aku mengangguk perlahan, walau rasa bersalah
menipu emak. Haih teruk betul kau ni Ayesha, tapi takkan aku nak cerita bab ni
dekat emak. Malulah!
Mesti semua orang rasa perangai aku ni macam
budak-budak. Disebabkan putus cinta, sampai tak nak masuk pejabat, berhenti
kerja terus, langsung tak profesional. Tapi orang takkan paham apa yang aku
rasa dan hadap sekarang. Haih!
“Hah alang-alang kamu cuti lama ni, nanti
pergilah jenguk Wardah. Dia masih dalam pantang tu. Baby dia pun sihat, gebu
je.”
Aku terkedu, terus terbayangkan Wardah, sepupu
aku yang paling rapat. Kami dah macam adik beradik sebab aku tak ada adik
beradik perempuan, jadi dengan dialah tempat aku berkongsi segala rasa dan
cerita selama ini. Hatiku mula dipagut rasa kasihan apabila mengenangkan apa
yang terjadi kepada dia. Suaminya curang ketika dia sedang mengandung dan
mereka bercerai di saat kandungan Wardah sudah tujuh bulan.
Sekarang dia terpaksa uruskan semuanya
sendiri, dan menjaga anaknya tanpa ada suami di sisi. Mujur juga dia masih
punya mak ayah yang juga merupakan pak long dan mak long aku, untuk tengokkan
dia ketika pantang. Kalau dia orang tak ada, entah apa nasib Wardah. Hesy tak
guna punya jantan! Lelaki semuanya sama kan?
“Tu, ajak Andra temankan kakak nanti. Dia pun
teringin jugak nak jalan-jalan.” suara emak yang kedengaran membuatkan aku
kembali ke alam nyata. Apa? Pergi dengan Andra? Hesy emak ni!
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!