Thursday, January 25, 2018

Novel: Jodohku Jejaka Jelita bab 4



“JADI sebab itulah kau berhenti kerja ya?” Wardah bersuara saat aku sedang asyik mencuit pipi anaknya yang tembam itu. Asyik sungguh bayi comel itu tidur dengan lenanya di tengah ruang tamu rumah itu.
            “Ya, tapi emak aku tak tahu lagi pasal ni. Aku segan nak jelaskan hal ni dekat emak.”
            “Ya, aku faham. Tak mudah nak terangkan dekat semua orang. Lagi-lagi bila hubungan kau orang dah lebih dua tahun. Lama tu.” Wardah kelihatan hanyut dalam fikirannya sendiri.
            “Maaf, Dah. Aku tahu apa yang terjadi dekat aku ni, tak seteruk apa yang kau hadapi.”
            “Tak apa, Sha. Aku memang faham, kecik ke besar ke benda ni, hati kau tetap terluka kan?”
            Aku menghela nafas.
“Sangat. Aku rasa macam orang bodoh. Memang aku tak sangka perkara ni boleh jadi dekat aku.”
“Sabarlah, Sha. Walaupun perit, lama-lama kau akan lali jugak. Mula-mula mungkin kau terasa kehilangan dia, tapi lama-lama dah tak berkudis dalam hati dah pun. Dan kau akan rasa lebih baik dia tak ada, daripada dia ada.”
Aku mengangguk. Wardah mesti terlebih faham apa yang aku lalui ni.
“Kau patut bersyukur tau, kau dapat tahu sebelum kau bawak hubungan tu ke peringkat seterusnya, sebelum kau kahwin. Kalau dah jadi macam aku, lagi teruk.”
“Ya, kesian kau.” aku mengelus bahu Wardah lembut.
“Alah tak apa, kurang-kurang aku dapat jugak baby comel ni kan?” Wardah mengukir senyum yang tampak ikhlas.
“Haah, betul tu. Kurang-kurang kau ada Wildan dekat sisi kau, untuk jaga kau masa tua nanti. Dan kau pun masih muda, Insya-Allah ada jodoh kau lagi nanti. Macam aku ni tak tahu lagi nasib, entah-entah sendiri sampai ke tua.” Aku tersengih sebelum menghadiahkan ciuman di pipi Wildan.
“Hesy kau ni, nanti mesti sampai jodoh kau jugak. Kau sabar je.”
“Insya-Allah, amin!” Aku ketawa kecil, cuba menyembunyikan kerisauan hati. Aku dah bazirkan dua tahun dalam hidup aku dengan menjaga jodoh orang lain dan akhirnya aku jugak yang bakal jadi andartu. Haih!
“Susah-susah sangat nanti, kau ambik jelah Andra tu. Habis cerita.” Wardah ketawa sambil menjeling ke arah Andra yang sedang berbual dengan pak long dan mak long di meja makan, membuatkan aku menampar pahanya.
“Hesy kau ni, tak naklah aku jejaka jelita tu. Tak sanggup aku.” Aku mencebik.
“Lah, okay apa dia. Lelaki lembut gitu lebih memahami wanita tau. Untung dapat lelaki macam dia.”
“Kau nak, kau ambiklah. Tak sanggup aku kahwin dengan lelaki yang lagi lembut dan cantik daripada aku. Mimpi ngeri!”
Wardah menyambung tawanya semula membuatkan muncung aku dah naik sedepa. Seronoklah tu mengusik aku.
Yang pasti sekarang aku memang dah serik dengan lelaki. Tak kiralah dia keras ke lembut ke, kalau namanya lelaki semuanya sama! Huh!

“KENAPA awak tak pegang baby Wardah tadi? Awak tak suka baby ya?” aku menyoal saat kami berada di dalam kereta, mahu pulang ke rumah semula.
            Andra menjeling ke arah aku yang sedang duduk di tepinya sebelum dia kembali fokus kepada pemanduannya.
“Taklah, saya suka baby. Cuma saya takut nak pegang.” Dia tersengih.
“Lah takut apanya, pegang dengan lembut je. Awak tu bukannya kasar mana, lemah gemalai je daripada saya.”
“Entahlah. Saya memang takut, nak buat macam mana.”
Aku menghela nafas.
“Habis esok awak ada anak, takkan tak nak pegang jugak?”
Wajah Andra nyata berubah saat dia mendengar soalan aku itu.
“Anak?” soalnya lembut.
“Yelah, takkan awak tak nak kahwin, ada anak?” aku sengaja menduga dia.
Andra diam dan pandangannya seolah jauh hanyut ke hadapan.
“Saya nak. Tapi... siapalah nakkan saya yang macam ni.” suaranya lirih tiba-tiba, membuatkan aku hampir saja memaki diri sendiri kerana mengajukan soalan itu.
“Alah ada saja yang nak awak kalau awak betul-betul nak kahwin, nak ada anak. Tapi awak kena kahwin dengan perempuanlah ya.” aku ketawa, walau kekok sekali bunyinya. Cuba mengubah suasana yang terasa sendu itu.
 “Macam tu saya kahwin dengan awak sajalah.”
Mata aku membuntang sebaik mendengar kata-katanya itu. Aku menggeleng kepala, tidak mahu percaya dengan apa yang aku dengar tadi.
“Aaa... apa awak cakap?” aku menyoal gagap.
“Tak ada apa. Saya main-main je.” Dia tersenyum pahit sebelum satu keluhan terbit daripada bibirnya itu.
“Kalau saya kahwin dan ada anak, baru mama boleh terima saya agaknya kan?” Dia seperti mengomel sendiri tetapi aku masih bisa menangkap tiap bait katanya yang kedengaran syahdu itu.
Aku memandang ke arah Andra yang seolah sedang larut dalam pemikirannya sendiri saat itu walau matanya masih fokus memandang hadapan. Setiap kali dia berbicara tentang mamanya, pasti riaknya berubah sedih.
Ikutkan hati, mahu saja aku menyoal Andra tentang dia dan mamanya lagi tapi persoalan itu sudah aku aju malam semalam dan jawapan Andra sepatah saja. Serius aku rasa nak tahu kenapa hubungan dia dan mamanya tegang tetapi aku tak nak nampak macam kepochi sangat dan mendesak Andra sedangkan hal itu sangat sensitif kepadanya.

Walaupun sudah mengenali Andra sedari kecil tapi aku tidak banyak meluangkan masa dengan dia semasa zaman aku bersekolah menengah kerana aku bersekolah asrama penuh dan terus berjauhan dari keluarga hingga tamat belajar di universiti. Jadi banyak perkara tentang dia yang aku tidak tahu termasuk masalah dia dengan mamanya walau aku rasa aku dapat mengagak puncanya. Tak apa, masih ada sumber lain untuk aku korek pasal hal ibu dan anak ini.

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!