“JADI sebab itulah kau berhenti kerja ya?”
Wardah bersuara saat aku sedang asyik mencuit pipi anaknya yang tembam itu.
Asyik sungguh bayi comel itu tidur dengan lenanya di tengah ruang tamu rumah
itu.
“Ya,
tapi emak aku tak tahu lagi pasal ni. Aku segan nak jelaskan hal ni dekat
emak.”
“Ya,
aku faham. Tak mudah nak terangkan dekat semua orang. Lagi-lagi bila hubungan
kau orang dah lebih dua tahun. Lama tu.” Wardah kelihatan hanyut dalam fikirannya
sendiri.
“Maaf,
Dah. Aku tahu apa yang terjadi dekat aku ni, tak seteruk apa yang kau hadapi.”
“Tak
apa, Sha. Aku memang faham, kecik ke besar ke benda ni, hati kau tetap terluka
kan?”
Aku
menghela nafas.
“Sangat. Aku rasa macam orang bodoh. Memang aku
tak sangka perkara ni boleh jadi dekat aku.”
“Sabarlah, Sha. Walaupun perit, lama-lama kau
akan lali jugak. Mula-mula mungkin kau terasa kehilangan dia, tapi lama-lama
dah tak berkudis dalam hati dah pun. Dan kau akan rasa lebih baik dia tak ada,
daripada dia ada.”
Aku mengangguk. Wardah mesti terlebih faham
apa yang aku lalui ni.
“Kau patut bersyukur tau, kau dapat tahu
sebelum kau bawak hubungan tu ke peringkat seterusnya, sebelum kau kahwin.
Kalau dah jadi macam aku, lagi teruk.”
“Ya, kesian kau.” aku mengelus bahu Wardah
lembut.
“Alah tak apa, kurang-kurang aku dapat jugak baby
comel ni kan?” Wardah mengukir senyum yang tampak ikhlas.
“Haah, betul tu. Kurang-kurang kau ada Wildan
dekat sisi kau, untuk jaga kau masa tua nanti. Dan kau pun masih muda, Insya-Allah
ada jodoh kau lagi nanti. Macam aku ni tak tahu lagi nasib, entah-entah sendiri
sampai ke tua.” Aku tersengih sebelum menghadiahkan ciuman di pipi Wildan.
“Hesy kau ni, nanti mesti sampai jodoh kau
jugak. Kau sabar je.”
“Insya-Allah, amin!” Aku ketawa kecil, cuba menyembunyikan
kerisauan hati. Aku dah bazirkan dua tahun dalam hidup aku dengan menjaga jodoh
orang lain dan akhirnya aku jugak yang bakal jadi andartu. Haih!
“Susah-susah sangat nanti, kau ambik jelah
Andra tu. Habis cerita.” Wardah ketawa sambil menjeling ke arah Andra yang
sedang berbual dengan pak long dan mak long di meja makan, membuatkan aku
menampar pahanya.
“Hesy kau ni, tak naklah aku jejaka jelita tu.
Tak sanggup aku.” Aku mencebik.
“Lah, okay apa dia. Lelaki lembut gitu lebih
memahami wanita tau. Untung dapat lelaki macam dia.”
“Kau nak, kau ambiklah. Tak sanggup aku kahwin
dengan lelaki yang lagi lembut dan cantik daripada aku. Mimpi ngeri!”
Wardah menyambung tawanya semula membuatkan
muncung aku dah naik sedepa. Seronoklah tu mengusik aku.
Yang pasti sekarang aku memang dah serik
dengan lelaki. Tak kiralah dia keras ke lembut ke, kalau namanya lelaki
semuanya sama! Huh!
“KENAPA awak tak pegang baby Wardah tadi?
Awak tak suka baby ya?” aku menyoal saat kami berada di dalam kereta,
mahu pulang ke rumah semula.
Andra
menjeling ke arah aku yang sedang duduk di tepinya sebelum dia kembali fokus
kepada pemanduannya.
“Taklah, saya suka baby. Cuma saya
takut nak pegang.” Dia tersengih.
“Lah takut apanya, pegang dengan lembut je. Awak
tu bukannya kasar mana, lemah gemalai je daripada saya.”
“Entahlah. Saya memang takut, nak buat macam
mana.”
Aku menghela nafas.
“Habis esok awak ada anak, takkan tak nak
pegang jugak?”
Wajah Andra nyata berubah saat dia mendengar
soalan aku itu.
“Anak?” soalnya lembut.
“Yelah, takkan awak tak nak kahwin, ada anak?”
aku sengaja menduga dia.
Andra diam dan pandangannya seolah jauh hanyut
ke hadapan.
“Saya nak. Tapi... siapalah nakkan saya yang
macam ni.” suaranya lirih tiba-tiba, membuatkan aku hampir saja memaki diri
sendiri kerana mengajukan soalan itu.
“Alah ada saja yang nak awak kalau awak
betul-betul nak kahwin, nak ada anak. Tapi awak kena kahwin dengan perempuanlah
ya.” aku ketawa, walau kekok sekali bunyinya. Cuba mengubah suasana yang terasa
sendu itu.
“Macam
tu saya kahwin dengan awak sajalah.”
Mata aku membuntang sebaik mendengar
kata-katanya itu. Aku menggeleng kepala, tidak mahu percaya dengan apa yang aku
dengar tadi.
“Aaa... apa awak cakap?” aku menyoal gagap.
“Tak ada apa. Saya main-main je.” Dia
tersenyum pahit sebelum satu keluhan terbit daripada bibirnya itu.
“Kalau saya kahwin dan ada anak, baru mama
boleh terima saya agaknya kan?” Dia seperti mengomel sendiri tetapi aku masih
bisa menangkap tiap bait katanya yang kedengaran syahdu itu.
Aku memandang ke arah Andra yang seolah sedang
larut dalam pemikirannya sendiri saat itu walau matanya masih fokus memandang
hadapan. Setiap kali dia berbicara tentang mamanya, pasti riaknya berubah sedih.
Ikutkan hati, mahu saja aku menyoal Andra tentang
dia dan mamanya lagi tapi persoalan itu sudah aku aju malam semalam dan jawapan
Andra sepatah saja. Serius aku rasa nak tahu kenapa hubungan dia dan mamanya
tegang tetapi aku tak nak nampak macam kepochi sangat dan mendesak Andra
sedangkan hal itu sangat sensitif kepadanya.
Walaupun sudah mengenali Andra sedari kecil
tapi aku tidak banyak meluangkan masa dengan dia semasa zaman aku bersekolah
menengah kerana aku bersekolah asrama penuh dan terus berjauhan dari keluarga
hingga tamat belajar di universiti. Jadi banyak perkara tentang dia yang aku
tidak tahu termasuk masalah dia dengan mamanya walau aku rasa aku dapat
mengagak puncanya. Tak apa, masih ada sumber lain untuk aku korek pasal hal ibu
dan anak ini.
Suka? =)
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!