“AWAK tak nak singgah rumah dulu?” aku menyoal
apabila Andra tidak turun dari keretanya sebaik kami berhenti di hadapan pagar
rumahku.
“Tak kot. Kan awak tak suka saya lepak rumah
awak.” Dia tersenyum.
“Mana ada. Saya bergurau je, takkan itupun
awak nak terasa?” Aku mencebik. Sensitif kalah perempuan dia ni, gurau sikit
pun nak ambil hati.
Andra tersengih sambil menggaru belakang
kepalanya.
“Taklah, saya tak terasa pun. Saya bergurau
saja tadi. Sebenarnya Indra ada call saya, suruh saya balik rumah cepat.
Banyak urusan tak settle lagi. Esok dia dah nak bertunang.” Aku
mendengar penjelasan Andra dengan khusyuk. Cakaplah awal-awal ada hal, ini
bikin gua panas jer!
“Hmm yelah. Pergilah balik.”
“Awak ikut kan esok?” soalnya tiba-tiba,
membuatkan keningku terjungkit tinggi.
“Ikut? Ke mana?”
“Ikut rombongan pertunangan la. Emak tak cakap
apa-apa ke?”
“Tak pun.” Aku menggaru kepala yang tidak
gatal. Tak ada pulak emak sebut pasal hal ni.
“Esok saya datang jemput pukul 10 pagi.”
“Saya kena pergi ke? Malaslah saya. Awak bawak
emak, abah dengan Ayie cukuplah.” Aku mengerutkan dahi. Sesungguhnya setelah
kecewa putus cinta ni, aku tak ada hati nak lihat hari bahagia orang lain walau
orang lain tak ada kaitan pun dengan kekecewaan aku ni.
“Alah awak ikutlah, takkan awak anak dara nak
tinggal dekat rumah sorang-sorang?”
“Eh dekat KL tu saya biasa je duduk rumah
sorang-sorang kalau abang Ayim outstation bawak kakak ipar saya dengan anak dia
orang sekali. Setakat duduk sorang-sorang tengah-tengah siang buta tu tak ada
hallah!” aku buat muka berlagak. Ini Ayesha kot, pleaselah.
“Alah
ikut jelah. Please...” Andra merayu sambil buat muka comel yang... Ermmm
macam mana aku nak cakap? Macam rasa nak lempang. Hah itu dia!
“Tengoklah
esok.” Aku menjuihkan bibir.
“Saya
tunggu awak esok okay. Pukul 10 pagi, jangan lupa.” Andra tersenyum riang
sebelum memecut keretanya usai melambai ke arahku.
Aku
menghela nafas berat. Aku tak cakap pun aku setuju nak pergi. Hesy lelaki yang
tak macam lelaki seorang ni!
AKU mengambil duduk di sebelah emak malam itu,
saat emak sedang khusyuk menonton drama sambil melipat pakaian. Ayie sedang
ralit bermain permainan di telefon bimbitnya ketika itu manakala abah pula
masih belum pulang dari surau. Aku mencapai sehelai baju lalu ikut melipat.
“Emak.” Panggil aku seketika kemudian.
“Hmmm,” sahut emak tanpa memandang ke arahku.
“Esok kita kena ikut ke rombongan meminang
Indra tu?”
“Haah, ikutlah. Emak lupa nak bagitahu kamu,
Aunty Zahirah pesan suruh semua ikut.”
“Tapi kalau kakak tak ikut, tak apa kan?” aku
menyengih. Malas betul nak ikut.
Emak berpaling memandang aku.
“Ikut kakaklah, emak tak paksa,” jawab emak
selamba sebelum kembali khusyuk menonton drama semula.
Aku menghela nafas. Emak mungkin tak kisah
tetapi apabila teringatkan kata-kata Andra, aku jadi tak sampai hati balik.
Haih!
Okay! Baru teringat, ada benda yang aku nak
tanyakan kepada emak.
“Emak, kenapa ya hubungan Andra dengan Aunty
Zahirah tu tegang je dari dulu?”
Emak berpaling memandang aku dengan wajah terkedu.
“Kakak tahulah Andra tu lain daripada Indra,
tak macam lelaki lain yang normal sebab dia tu lembut. Tapi takkanlah itu
penyebab mama dia benci sangat dekat dia selama ni?” aku menambah lagi.
Emak menggumam sebelum dia menghela nafasnya.
“Itu salah satu sebab.” Emak mula bersuara
setelah lama emak diam.
“Apa yang emak boleh cakap, punca utamanya
sebab Andra tu tak semacam apa yang Aunty Zahirah harapkan daripada anaknya.
Kakak pun tahu dia orang tu keluarga berpendidikan, dan semuanya berkerjaya
hebat dalam bidang kedoktoran. Aunty Zahirah tu sebelum bersara, seorang pengarah
hospital, arwah Uncle Arman pulak doktor pakar, sekarang Indra pun dah jadi
doktor, ikut jejak mama dan arwah papa dia.”
Aku mengangguk-angguk mengerti.
“Tapi Andra tu memang berlawanan habis
daripada Indra. Dia jadi anak yang memberontak dan ikut kata hati dia yang
minat bidang lain. Dia tak nak dengar cakap Aunty Zahirah yang harap dia pun
akan ikut jejak langkah dia orang sebagai doktor, sebab itu mama dia layan dia
dingin.”
Aku terdiam. Macam tu rupanya, patutlah Andra
nampak sedih saja setiap kali aku tanya pasal mama dia.
“Tapi
tak patutlah mamanya buat dia macam tu. Paksa-paksa dia ikut kehendak mamanya
sedangkan dia tak minat nak jadi doktor.”
“Memanglah,
tapi nak buat macam mana kalau pemikiran Aunty Zahirah macam tu, dia pun mesti
nakkan yang terbaik untuk Andra.”
“Yang
terbaik untuk Andra, tak semestinya macam apa yang Aunty Zahirah tentukan.” Aku
meluahkan pandanganku.
“Yelah,
kakak. Emak tahu dan emak tak salahkan Andra untuk ikut jalan dia sendiri sebab
itu minat dia, cuma emak tetap rasa terkilan tengok hubungan dia orang macam
tu. Tapi apa yang mampu emak buat? Emak tak ada hak nak menegur dan betulkan
keadaan sebab perkara tu urusan keluarga dia orang.”
Aku
mengangguk lagi, faham situasi yang emak hadapi. Takkan emak nak campur tangan
sedangkan emak cuma orang luar walau emak sudah menjadi pengasuh Andra dan
Indra sedari mereka kecil.
“Sekarang
emak cuma boleh tolong pujuk hati Andra saja setiap kali dia sedih dengan
layanan mama dia. Jadi, kamu tu tolong jaga sikit mulut kamu ye. Jangan
sindir-sindir dia bab mamanya tu.” Emak sempat memberi amaran, membuatkan aku
menarik sengih, rasa bersalah.
“Yelah,
kakak akan hati-hati lepas ni.”
“Dia
tu bukan luaran je lembut tapi hati dia pun sama, kakak. Ingat tu.” Emak sempat
berpesan sebelum dia kembali fokus melipat baju sambil menonton drama yang
masih belum habis. Nasiblah emak tak marah aku kacau waktu drama dia dan layan
saja soalan aku pasal Andra. Tapi aku tahu sebabnya, sebab esok emak boleh
tengok lagi siaran ulangan drama ni waktu petang nanti. Haha.
Andra...
Andra... bukan luaran je lembut, hati kau pun lembut ye. Macam tauhu dah kau
ni. Kena pegang elok-elok, terlebih genggam hancur nanti. Haih perumpamaan apa
aku pakai ni?
Suka? =)
Semoga idea awk dtg terus mencurah2... & jari jemari di beri kekuatan utk manaip lebih pantas.... Luv the story!! Hwaiting!!
ReplyDeleteBest la novel ni xyah bli Hahaha 😄
ReplyDelete