Friday, January 26, 2018

Novel: Jodohku Jejaka Jelita bab 5



“AWAK tak nak singgah rumah dulu?” aku menyoal apabila Andra tidak turun dari keretanya sebaik kami berhenti di hadapan pagar rumahku.
“Tak kot. Kan awak tak suka saya lepak rumah awak.” Dia tersenyum.
“Mana ada. Saya bergurau je, takkan itupun awak nak terasa?” Aku mencebik. Sensitif kalah perempuan dia ni, gurau sikit pun nak ambil hati.
Andra tersengih sambil menggaru belakang kepalanya.
“Taklah, saya tak terasa pun. Saya bergurau saja tadi. Sebenarnya Indra ada call saya, suruh saya balik rumah cepat. Banyak urusan tak settle lagi. Esok dia dah nak bertunang.” Aku mendengar penjelasan Andra dengan khusyuk. Cakaplah awal-awal ada hal, ini bikin gua panas jer!
“Hmm yelah. Pergilah balik.”
“Awak ikut kan esok?” soalnya tiba-tiba, membuatkan keningku terjungkit tinggi.
“Ikut? Ke mana?”
“Ikut rombongan pertunangan la. Emak tak cakap apa-apa ke?”
“Tak pun.” Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Tak ada pulak emak sebut pasal hal ni.
“Esok saya datang jemput pukul 10 pagi.”
“Saya kena pergi ke? Malaslah saya. Awak bawak emak, abah dengan Ayie cukuplah.” Aku mengerutkan dahi. Sesungguhnya setelah kecewa putus cinta ni, aku tak ada hati nak lihat hari bahagia orang lain walau orang lain tak ada kaitan pun dengan kekecewaan aku ni.
“Alah awak ikutlah, takkan awak anak dara nak tinggal dekat rumah sorang-sorang?”
“Eh dekat KL tu saya biasa je duduk rumah sorang-sorang kalau abang Ayim outstation bawak kakak ipar saya dengan anak dia orang sekali. Setakat duduk sorang-sorang tengah-tengah siang buta tu tak ada hallah!” aku buat muka berlagak. Ini Ayesha kot, pleaselah.
            “Alah ikut jelah. Please...” Andra merayu sambil buat muka comel yang... Ermmm macam mana aku nak cakap? Macam rasa nak lempang. Hah itu dia!
            “Tengoklah esok.” Aku menjuihkan bibir.
            “Saya tunggu awak esok okay. Pukul 10 pagi, jangan lupa.” Andra tersenyum riang sebelum memecut keretanya usai melambai ke arahku.
            Aku menghela nafas berat. Aku tak cakap pun aku setuju nak pergi. Hesy lelaki yang tak macam lelaki seorang ni!

AKU mengambil duduk di sebelah emak malam itu, saat emak sedang khusyuk menonton drama sambil melipat pakaian. Ayie sedang ralit bermain permainan di telefon bimbitnya ketika itu manakala abah pula masih belum pulang dari surau. Aku mencapai sehelai baju lalu ikut melipat.
“Emak.” Panggil aku seketika kemudian.
“Hmmm,” sahut emak tanpa memandang ke arahku.
“Esok kita kena ikut ke rombongan meminang Indra tu?”
“Haah, ikutlah. Emak lupa nak bagitahu kamu, Aunty Zahirah pesan suruh semua ikut.”
“Tapi kalau kakak tak ikut, tak apa kan?” aku menyengih. Malas betul nak ikut.
Emak berpaling memandang aku.
“Ikut kakaklah, emak tak paksa,” jawab emak selamba sebelum kembali khusyuk menonton drama semula.
Aku menghela nafas. Emak mungkin tak kisah tetapi apabila teringatkan kata-kata Andra, aku jadi tak sampai hati balik. Haih!
Okay! Baru teringat, ada benda yang aku nak tanyakan kepada emak.
“Emak, kenapa ya hubungan Andra dengan Aunty Zahirah tu tegang je dari dulu?”
Emak berpaling memandang aku dengan wajah terkedu.
“Kakak tahulah Andra tu lain daripada Indra, tak macam lelaki lain yang normal sebab dia tu lembut. Tapi takkanlah itu penyebab mama dia benci sangat dekat dia selama ni?” aku menambah lagi.
Emak menggumam sebelum dia menghela nafasnya.
“Itu salah satu sebab.” Emak mula bersuara setelah lama emak diam.
“Apa yang emak boleh cakap, punca utamanya sebab Andra tu tak semacam apa yang Aunty Zahirah harapkan daripada anaknya. Kakak pun tahu dia orang tu keluarga berpendidikan, dan semuanya berkerjaya hebat dalam bidang kedoktoran. Aunty Zahirah tu sebelum bersara, seorang pengarah hospital, arwah Uncle Arman pulak doktor pakar, sekarang Indra pun dah jadi doktor, ikut jejak mama dan arwah papa dia.”
Aku mengangguk-angguk mengerti.
“Tapi Andra tu memang berlawanan habis daripada Indra. Dia jadi anak yang memberontak dan ikut kata hati dia yang minat bidang lain. Dia tak nak dengar cakap Aunty Zahirah yang harap dia pun akan ikut jejak langkah dia orang sebagai doktor, sebab itu mama dia layan dia dingin.”
Aku terdiam. Macam tu rupanya, patutlah Andra nampak sedih saja setiap kali aku tanya pasal mama dia.
            “Tapi tak patutlah mamanya buat dia macam tu. Paksa-paksa dia ikut kehendak mamanya sedangkan dia tak minat nak jadi doktor.”
            “Memanglah, tapi nak buat macam mana kalau pemikiran Aunty Zahirah macam tu, dia pun mesti nakkan yang terbaik untuk Andra.”
            “Yang terbaik untuk Andra, tak semestinya macam apa yang Aunty Zahirah tentukan.” Aku meluahkan pandanganku.
            “Yelah, kakak. Emak tahu dan emak tak salahkan Andra untuk ikut jalan dia sendiri sebab itu minat dia, cuma emak tetap rasa terkilan tengok hubungan dia orang macam tu. Tapi apa yang mampu emak buat? Emak tak ada hak nak menegur dan betulkan keadaan sebab perkara tu urusan keluarga dia orang.”
            Aku mengangguk lagi, faham situasi yang emak hadapi. Takkan emak nak campur tangan sedangkan emak cuma orang luar walau emak sudah menjadi pengasuh Andra dan Indra sedari mereka kecil.
            “Sekarang emak cuma boleh tolong pujuk hati Andra saja setiap kali dia sedih dengan layanan mama dia. Jadi, kamu tu tolong jaga sikit mulut kamu ye. Jangan sindir-sindir dia bab mamanya tu.” Emak sempat memberi amaran, membuatkan aku menarik sengih, rasa bersalah.
            “Yelah, kakak akan hati-hati lepas ni.”
            “Dia tu bukan luaran je lembut tapi hati dia pun sama, kakak. Ingat tu.” Emak sempat berpesan sebelum dia kembali fokus melipat baju sambil menonton drama yang masih belum habis. Nasiblah emak tak marah aku kacau waktu drama dia dan layan saja soalan aku pasal Andra. Tapi aku tahu sebabnya, sebab esok emak boleh tengok lagi siaran ulangan drama ni waktu petang nanti. Haha.

            Andra... Andra... bukan luaran je lembut, hati kau pun lembut ye. Macam tauhu dah kau ni. Kena pegang elok-elok, terlebih genggam hancur nanti. Haih perumpamaan apa aku pakai ni?

2 comments:

  1. Semoga idea awk dtg terus mencurah2... & jari jemari di beri kekuatan utk manaip lebih pantas.... Luv the story!! Hwaiting!!

    ReplyDelete
  2. Best la novel ni xyah bli Hahaha 😄

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!