~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, August 30, 2010

Novel : Kalimah Cinta Bab 9

Keheningan malam membuatkan aku rasa begitu sunyi. Aku menggagahkan diri untuk bangun, perlahan tombol pintu wadku itu kupulas, lantas aku menjerluskan diri keluar dari wad itu. Bosan sekali berada di situ seorang diri, aku tidak tahu mahu berbuat apa lagi lantas hatiku tekad mahu berjalan-jalan sekitar hospital itu. 

Badanku yang masih lemah memaksaku berpaut pada palang yang tersedia, aku melangkah dengan berhati-hati sambil memerhatikan sekeliling koridor. Aras di mana wadku berada itu kelihatan begitu eksklusif dan hanya memiliki beberapa buah bilik wad yang tertutup.

‘Pasti semua ini wad orang kaya,’ hatiku berbisik sendiri. Sampai di hadapan kaunter, aku tersenyum pada jururawat yang bertugas.

“Cik nak pergi mana ni?” salah seorang jururawat itu menyoalku. Wajahnya manis sekali, dan senyuman tak lekang dari bibirnya.

“Saya nak ambil angin sekejap, jalan-jalan kat luar, boleh tak? Bosan la duduk dalam bilik saja.” aku meminta kebenaran.

Jururawat itu mengangguk perlahan.

“Boleh, tapi hati-hati ya. Kalau rasa lemah, segera maklumkan kami segera ya.” Jururawat itu mengingatkan. Aku sekadar mengangguk faham.

Segera aku menoleh untuk meneruskan langkahku, namun langkah itu mati saat aku teringatkan satu persoalan yang mula bermain dalam benakku.

“Nurse, saya nak tanya sedikit, bayaran satu malam di wad ini berapa?” aku meluahkan kemusykilanku. Perasaan bimbang kian mencanak dalam hati.

“RM1500 semalam. Kenapa cik?” jawapan itu membuatkan mataku membulat, perasaan gundah kian menyelubungi hati.

‘Lebih separuh dari gajiku sebulan untuk semalam,’ aku begitu gusar. “Cik, cik...” panggilan dari jururawat itu segera menyedarkan aku.

“Cik tak apa-apa ke?” soalnya kembali.

Aku memandang wajahnya seraya tersenyum, tidak mahu dia menebak hatiku yang kerisauan.

“Tak ada apa-apa, saya pergi dululah ya.” Aku tak sanggup berlama di situ. Fikiranku berasa terlalu kusut.
Mengapa aku ditempatkan di wad kelas satu? Wad yang tidak pernah kubayang untuk kudiami seandainya aku perlu ditahan di hospital. Mengapa aku perlu dibebankan dengan masalah ini pula? Aku menjerit dalam hati.
Punat yang tertulis nombor di dalam lif itu segera kutekan, aku sendiri tidak pasti arah tujuku saat itu, yang pasti, aku ingin sekali menghilangkan rawan dalam hati ini.

Saat pintu lif terbuka, segera aku melangkah keluar, berjalan tanpa arah tujuan, memandang kiri dan kanan melihat sekeliling yang begitu asing. Aku hanya mengikut langkah kakiku sambil berpaut pada palang di dinding putih itu.

Dadaku terasa sesak, mataku kian kabur, terasa sekelilingku berpusing. Ya Allah, mengapa badanku begitu lemah? Aku berbicara sendiri sambil memicit kepala yang mula memusing.

“Ila, Ila...” panggilan itu tak mampu kusahut. Aku terduduk di koridor itu. Perlahan aku rasakan badanku diangkat seseorang, namun mataku terlalu lemah untuk dibuka.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Ya Allah...” aku berbisik perlahan saat membuka mata, keadaan sekeliling kuperhatikan. Aku sudah berada di dalam bilik wadku semula, di atas katilku. Aku cuba bangun namun kepala yang masih pening membuatkan aku kembali terbaring.

“Eh Ila, awak jangan banyak bergerak,” suara itu kedengaran semula. Segera aku mengalih pandangan pada suara itu.

Iman sedang duduk di sisiku dan merenung tepat ke arahku.

“Apa awak buat kat sini? Apa dah jadi dengan saya?” aku memulakan bicara dengan soalan demi soalan yang menebak hati.

Iman cuma tersenyum. Dia sudah tidak memakai kot putihnya, mungkin telah habis waktu bekerja, aku menelah sendiri. Dia kelihatan segak dalam kemeja berwarna merah jambu dan berseluar hitam. Dia masih persis seperti dulu, hatiku berbisik sendiri.

“Ila... awak pengsan kat koridor tadi, saya yang bawa awak ke sini,” kata-kata Iman itu membuatkan otakku ligat memikirkan kejadian tadi semula. Aku masih ingat, aku terdengar panggilan seseorang namun mataku terlalu lemah untuk dibuka, pasti Iman yang memanggilku tadi. Iman menunjukkan wajah yang gusar.

“Kenapa awak keluar dari wad ni? Awak tak sihat lagi, masih lemah, kalau terjadi sesuatu tadi macam mana? Lain kali beritahu saja saya kalau awak perlukan apa-apa,” Iman mula mengomel.

Aku cuma mengangguk perlahan, pandanganku ku alih ke tepi, untuk bersemuka dengan Iman sekali lagi pun hatiku tidak keruan, apatah lagi untuk meminta bantuannya pula.

“Ila... lain kali jangan keluar sebarangan lagi ya. saya dah beritahu jururawat supaya perhatikan awak, awak masih lemah untuk berjalan-jalan keluar dari wad.”

Aku berpaling semula padanya lantas mula bersuara. “Tapi saya...”

“Ila...” pantas Iman memotong. Suaranya begitu lembut menyebut namaku.

“Saya tahu awak bosan duduk sendirian di sini, tapi ini semua demi kebaikan awak juga, awak patut berehat saja di atas katil sehingga kesihatan awak pulih. Buat masa ni, suhu badan awak masih tinggi, awak masih lemah.”

Mataku membulat memandangnya. Sudah tiada modal untuk membalas kata-kata Iman. Perlahan nafas kuhela seraya mengangguk, akur dengan kata-kata Iman. Iman pula hanya memandang wajahku hingga membuatkan aku berasa sangat segan. Perlahan aku berpaling dari Iman.

Hanya sepi menemani kami saat keduanya kematian kata. Aku tidak berani untuk memandang wajah Iman lagi, Iman pula diam seribu bahasa. Lama kubiarkan sepi itu sebelum kembali berpaling pada Iman, hairan mengapa dia tidak bersuara, hanya desahan nafasnya saja yang kedengaran.

Aku terkesima saat terpandang Iman, dia sudah terlena dalam keadaan duduk di atas kerusi itu. Mungkin hari ini begitu memenatkan baginya, melayan karenah para pesakitnya, ditambah pula melayan aku di sini. Diam-diam aku memerhatikan dirinya.

Iman masih seperti dulu, wajah itu tidak sedikitpun berubah, kalaupun berubah hanyalah wajahnya lebih matang. Rambutnya separas bahu dan disisir kemas, kulitnya sudah lebih putih, mungkin kerana sudah jarang melibatkan diri dalam aktiviti sukan seperti zaman kolej dulu.

“Cik, masa untuk makan ubat.”

Aku segera tersedar dari lamunan, seorang jururawat sedang berdiri di hadapanku sambil memegang satu dulang yang berisi ubat dan air putih. Aku jadi malu sendiri pada jururawat itu kerana pastinya tadi dia melihat aku asyik memandang wajah Iman yang terlelap di sisiku. 


“Terima kasih.” Aku bersuara perlahan saat mengembalikan bekas ubat dan gelas yang sudah kosong itu sambil memandang wajah jururawat itu sekilas, kemudian kembali menunduk, malu untuk memandang wajah jururawat itu lama-lama dek kerana malu yang kian menebal.

“Doktor Iman terlelap di sini lagi?” jururawat itu bersuara, wajahnya kehairanan.

Aku cuma tersenyum seraya mengangguk. Jururawat itu ketawa kecil sambil menutup mulutnya, apa yang lucunya aku sendiri tidak pasti.

“Cik dah lama ke kenal doktor Iman?” jururawat itu bersuara kembali.

Aku terdiam mendengar persoalan itu. Aku harus menipu lagi, hatiku merintih.

Aku menggeleng perlahan. “Baru saja, kenapa nurse?”

Jururawat itu turut menggeleng. “Tak ada apa-apalah.”

“Saya keluar dululah ya, ada apa-apa panggil saya,” pantas jururawat itu meminta diri.

“Err, nurse, doktor ni macam mana?” aku tidak tahu harus berbuat apa.

Jururawat itu tertawa kecil kembali.

“Doktor dah habis kerja, biar sajalah dia di situ. Saya tak boleh buat apa-apa.” Jururawat itu keluar dari bilik sambil tersengih hingga ke telinga.

‘Aku yang terseksa, dia boleh pula tersenyum begitu,’ hatiku membentak. ‘Iman pun satu, boleh pula dia tertidur di sini,’ aku memandang wajah Iman semula.

Wajah polos itu begitu tenang tidurnya tanpa rasa terganggu walaupun saat kehadiran jururawat tadi. ‘Tapi kesian juga, mesti dia penat sangat, sampai tertidur di sini.’ Hatiku terasa sayu saat melihat Iman.

Mata Iman perlahan terbuka, menyebabkan aku cepat-cepat berpaling dari melihatnya.

“Ya Allah, aku tertidur kat sini lagi...” Iman mengeluh perlahan, berbisik pada dirinya sendiri. Dia menggeliat kecil serta mengusap wajahnya. Perlahan dia memandang wajahku.

“Maafkan saya, saya terlelap kat sini pulak,” Iman bersuara sambil mengelus rambutnya. “Entah kenapa, setiap kali saya datang bilik ni, saya rasa selesa sangat, sampai nak terlena.” Iman berkata lagi sebelum tertawa kecil.

“Pukul berapa sekarang Ila?” soalnya tatkala mataku bertaut dengan matanya. Aku segera melihat jam di dinding bilik itu, takut untuk lama menatap sepasang mata itu.

“Pukul sembilan malam.”

Iman kelihatan terkejut, matanya membulat memandangku. “Ya Allah, saya dah terlambat nak balik dah ni.”
Iman bergegas bangun dari kerusi, mengambil beg bimbit yang dijinjing bersamanya tadi lantas segera membuka pintu.

“Esok InsyaAllah saya datang lagi ya. Assalammualaikum.” Ujarnya seraya keluar dari bilik itu. Aku hanya memandang sekujur tubuh itu lenyap dari pandangan, tidak mampu membalas kata-katanya.
Mengapa aku perlu berhadapan dengannya lagi Ya Allah? Hatiku merintih lagi.

Suka? =)

Monday, August 23, 2010

Cerpen : ~Cintaku Milik Dia~


Irdina Alany menangis lagi untuk kesekian kalinya, hatinya terlalu perit tatkala memikirkan lelaki itu. Aizat, lelaki yang dicintainya itu dalam diam bermain kayu tiga di belakangnya. Irdina Alany sedar dia masih sayangkan lelaki itu walaupun dia sendiri membuat keputusan untuk mengundurkan diri dari hidup lelaki itu bulan lepas setelah mengetahui kecurangan Aizat.

Bagaimana untuk dia melupakan lelaki itu sedangkan mereka sekelas? Setiap hari bertemu, setiap hari jua hati Irdina Alany sakit melihat wajah itu. Sakit kerana terlalu cinta namun sakit jua kerana terlalu membencinya. Irdina Alany sedar, sukar untuk mengikis perasaan cinta itu biarpun dia cuba sedaya upaya. Apa yang mampu dilakukannya hanyalah berdoa dan bersabar setiap kali bertemu Aizat. Namun air mata Irdina Alany tumpah lagi saat terserempak dengan Aizat bersama kekasih barunya tadi, sendu di hatinya tak mampu diusir pergi. 

“Na, sabarlah Na, anggaplah ini ujian dari Allah,” Rayyani berusaha memujuk sahabatnya itu. Menyaksikan sendiri penderitaan Irdina Alany buatkan Rayyani mengerti kesakitan yang ditanggung sahabatnya itu. Irdina Alany tenggelam dalam sebaknya, bahu sahabatnya itu dirangkul erat, cuba melepaskan beban dalam hatinya.
“Na dah cuba Rai, tapi susah sangat, setiap kali Na nampak dia, hati Na terasa pedih sangat, jiwa Na rasa terlalu rindu padanya.”

“Rai faham Na, Rai tak paksa Na untuk lupakan dia, makin Na cuba lupakan, makin kuat perasaan tu datang kan? Cuma yang penting, Na cuba jangan fikirkan dia sangat. Selalu berdoa pada Allah supaya Na diberi kekuatan untuk lupuntukan dia dari ingatan Na, ok?”

Irdina Alany tersenyum dalam sendu yang bersisa, terasa sungguh terharu kerana biarpun hatinya sakit diperlakukan begitu namun Allah mengurniakannya sahabat-sahabat yang begitu memahami dan mampu mengubat duka laranya.

“Terima kasih Rai. Na akan selalu berdoa supaya Na diberikan kekuatan. Na tak mahu lagi menanggung sengsara dan menangis kerana pemuda yang tak menghargai Na.”

“Macam tu la, kalau Na mahu, ramai lagi lelaki kat luar sana yang seribu kali lebih baik dari Aizat tu.”
Irdina Alany merenung wajah Rayyani. Memang ada benarnya kata-kata sahabatnya itu, bahkan ada pemuda-pemuda lain yang sedang mengetuk pintu hati Irdina Alany saat itu, Syahri dan Rizuan beria benar mahu mendapatkan cinta Irdina Alany, namun untuk membuka pintu hatinya saat itu amat payah untuk Irdina Alany lakukan, apatah lagi untuk memilih antara dua pemuda itu. Biarlah masa yang menentukan segalanya, Irdina Alany pasrah atas segalanya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sudah seminggu berturut-turut Irdina Alany beristikharah, pada Allah saja tempatnya meminta setelah begitu buntu memikirkan Syahri dan Rizuan begitu mendambakan cintanya, Irdina Alany ingin sekali mengetahui pada siapa cintanya harus diberikan pada saat itu.

Selesai solat istikharah, Irdina Alany berdoa seperti kebiasaannya, memohon petunjuk dari Allah agar dipermudahkan urusannya untuk membuat pilihan. Syahri dan Rizuan, kedua-duanya bergitu baik pada Irdina Alany, punya kerjaya yang stabil dan hidup yang mewah, pasti Irdina Alany senang jika dapat bersama salah seorangnya. Namun entah mengapa hari itu, Irdina Alany merasakan jiwanya terlalu kosong, tiada pilihan yang mampu dilakukannya. Pandangannya terasa kabur, tiada seorang pun antara Syahri dan Rizuan yang mampu dipilih. Allah seakan tidak mengizinkan Irdina Alany untuk memilih antara keduanya. Irdina Alany redha andai itu takdirnya..

Hati Irdina Alany dipagut rasa pilu yang teramat, dalam diam dia merintih.

Cintaku milik Dia yang diatas, maka cintailah Tuhanmu sebelum datang padaku... Datanglah padaku dalam rasa cintamu pada TuhanMu...

Buat dia yang dari tulang rusuk kirinya aku tercipta, aku masih setia menunggu kamu... aku sangat menanti pertemuan kita... Air mata ini sering luruh.. tikar sejadah itu kerap menjadi saksi betapa aku menanti kamu.. hanya Tuhan mengetahui betapa aku rindu kamu.. betapa sarat rasa kasih untuk aku beri pada kamu...
Semoga Allah mudahkan pertemuan kita... sesungguhnya aku tertanya-tanya siapalah kamu itu.. semoga kamu itu adalah dari kalangan orang-orang yang dapat aku menumpang sedikit ilmu.. ilmu yang dapat membawa aku ke jalan Tuhanku.. 

Wahai sang pemilik hatiku... bimbinglah aku ke jalan yang lurus... datanglah pada ku pada saat dan ketik yang tepat... hati aku masih tersimpan untuk kamu... 

Ya Allah sampaikan salam rindu aku pada dia, sampaikan rasa kasih aku pada dia dengan memberi keimanan di hatinya.. sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui siapa dia yang tercipta untuk ku.. Ya Allah, jadikan aku pemilik cintaMu agar aku memiliki cinta dia yang mencintaiMu..
amin... 

Irdina Alany nekad menanti, cinta Syahri dan Rizuan tidak mampu dibalasnya kerana ini petunjuk dari Allah, biar pedih hati Irdina Alany untuk melukakan hati keduanya, namun Irdina Alany redha kerana kepada TuhanNya saja tempat dirinya berserah segalanya.

Syahri dan Rizuan menerima perkhabaran itu dengan redha, biar ada kecewa di hati masing-masing namun mereka tidak membantah keputusan Irdina Alany untuk tidak menerima mereka. 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).”
-Ilham Fahim-

Irdina Alany membaca SMS itu dengan senyuman, SMS hadis dari Ilham Fahim itu benar-benar menyenangkan hati Irdina Alany, dia teringat dahulu bagaimana dia sering berbalas SMS dengan Aizat hingga larut malam, bergayut di telefon tanpa mengira masa, hingga menjadikan dia lagha. Tidak pernah sekalipun Aizat mengirimkannya SMS yang berunsur nasihat mahupun hadis.

Ilham Fahim, pemuda itu begitu sederhana, sebagai seorang anak yatim, dia menjadi begitu arif dengan kehidupan tanpa ibu dan ayah, pantas menjadi seorang ustaz di madrasah anak-anak yatim merupakan tugas yang selayaknya dipegang. Anak-anak madrasah itu juga begitu akrab dengan Ilham yang melayan mereka seperti adik-adiknya. Biar dia punya perniagaan sendiri, serta punya kehidupan yang senang, namun jiwanya tetap pada madrasah itu, dia lebih rela hidup bersederhana dan menggunakan harta yang dia ada ke jalan Allah.

Perkenalan tanpa diduga itu semakin lama menjadikan Irdina Alany semakin akrab dengan pemuda itu, Rayyani yang memperkenalkan mereka saat Irdina Alany meminta bantuannya mencari insan yang tinggi ilmu agamanya buat membantu Irdina Alany menyiapkan artikelnya. Mengenali Ilham Fahim membuatkan Irdina Alany kembali merasakan jiwanya tenang, pemuda yang qanaah itu benar-benar membuka pintu hidayahnya untuk kembali ke jalan Allah dan tidak lagi alpa pada cinta dunia. Mereka tidak pernah bersua muka apatah lagi bercinta, namun perlahan, Irdina Alany sedar dalam hatinya wujud perasaan yang kian mendalam, Irdina Alany dapat merasakan ada cinta yang kian bercambah buat pemuda bernama Ilham Fahim itu..

“Assalammualaikum, bangun, bangun. Mari sama-sama mencari Tuhan.”
- Irdina Alany-

SMS itu dikirim Irdina Alany buat Ilham Fahim saat dia terjaga malam itu untuk bersolat tahajud. Tidak sampai satu saat, satu SMS sampai padanya.

“Assalammualaikum. Bangun, mari bersolat tahajud.” 
 -Ilham Fahim-

Irdina Alany terdiam, SMS itu terlalu pantas diterima, pasti itu bukan balasan dari SMS yang dihantarnya tadi, sebaliknya mereka sama-sama menghantar pada detik yang sama. Irdina Alany tersenyum sendiri sebelum bangun untuk menunaikan solat tahajud malam itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sudah setahun perhubungan itu terjalin, walaupun tidak pernah bersua muka mahupun melafazkan cinta, Irdina Alany begitu senang dengan kehadiran Ilham Fahim dalam hidupnya, hatinya kian yakin bahawa dia inginkan pemuda seperti Ilham Fahim untuk mengemudi arahnya mencari cinta Ilahi. Namun untuk meluahkan keyakinannya itu, Irdina Alany jadi takut, takut dirinya bertepuk sebelah tangan, takut dirinya dianggap tidak malu meluah rasa.

Lantas pada Allah, Irdina Alany meluahkan segalanya, rintihan hatinya hanya diadu pada Penciptanya, Irdina Alany berserah segalanya pada ketentuan Ilahi, mengharapkan pemuda yang hadir buatnya kelak bisa membimbing dirinya ke jalan Allah. Hatinya sudah jemu dengan cinta dunia yang sia-sia, yang belum pasti bisa membawanya ke syurga Allah, bahkan mampu membuatkan dia terjerumus dalam lembah neraka. Irdina Alany masih belum pasti siapa jodohnya kelak, namun dia mengharapkan jodohnya sebaik pemuda bernama Ilham Fahim.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Na, sabar ya. Syahri kemalangan minggu lepas, sampai sekarang dia koma.” Rayyani bersuara di hujung gagang.

Irdina Alany tergamam, percaturan apakah yang sedang berlaku ini, hatinya dipagut sebak yang amat, Syahri, insan yang terlalu baik, namun kerana Irdina Alany tidak merasakan Syahri itu jodohnya maka Irdina Alany tidak menerima kehadiran pemuda itu.

Barangkali inilah sebabnya mengapa Allah tidak membuka pintu hati Irdina Alany dulu, jika dia menerima Syahri dulu, pasti keadaannya lebih teruk dari sekarang saat menerima perkhabaran tentang kemalangan yang melanda Syahri. Irdina Alany pasrah, memang ada hikmah di sebalik sesuatu.
Malam itu Irdina Alany bersolat hajat memohon kesejahteraan dan kesihatan Syahri dipulihkan, surah Yaasin dibaca berulang kali, air mata yang berjujuran dibiarkan saja basah di pipi.

Usai membaca Yaasin, Irdina Alany menghantar sebanyak mungkin SMS pada rakan-rakannya termasuk pada Ilham Fahim.

Tolong doakan sahabat kita, Syed Syahri yang sedang koma akibat kemalangan jalan raya. Semoga dia cepat sembuh, amin.

Tidak sampai seminit satu SMS masuk.

Syahri ni kawan Na dulu ya. Sama-sama kita sedekahkan Yaasin dan Al-Fatihah buatnya. Na sabar ya, Fahim faham perasaan Na, tapi ingatlah Fahim sentiasa ada di sisi Na.
-Ilham Fahim-

Irdina Alany membalas pula.

Na tahu, terima kasih sangat kerana sentiasa ada di sisi Na.
- Irdina Alany-

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Na, balik cepat, ada hal mustahak ni,” suara ibunya di corong telefon membikin hati Irdina Alany gundah, gusar memikirkan mengapa ibunya beria menyuruhnya pulang sedangkan waktu kerjanya belum berakhir.
Irdina Alany menapak ke keretanya setelah meminta kebenaran dari majikannya untuk pulang awal. Jantungnya berdegup kencang memikirkan perkara yang telah berlaku saat itu hingga ibunya tidak sabar menyuruhnya balik. ‘Ya Allah hindarilah keluargaku dari segala musibah, amin...’ ucap Irdina Alany dalam hatinya yang gusar.

“Oh cantiknya, lembutnya tangan...” makcik itu mengelus tangan Irdina Alany perlahan saat Irdina Alany menghulurkan salam. Irdina Alany rasa segan diperlakukan begitu, perlahan dia menarik semula tangannya sambil berlalu ke biliknya.

Usai semua pulang, Irdina Alany menghampiri ibunya yang tersandar di sofa, penat melayan tetamu agaknya.
“Ibu, siapa yang datang tadi?” Irdina Alany masih tidak mengerti.

Ibunya tersenyum memandang wajah Irdina Alany yang kehairanan. Perlahan tangan anaknya itu dicapai dan digenggam.

“Na, ada orang datang merisik Na, macam mana? Nak terima tak?” soalan ibunya itu membuatkan Irdina Alany tersedak. Terkejut mendengarkan soalan itu, matanya membulat memandang wajah ibunya.
“Biar betul ibu...” Irdina Alany masih tidak percaya. Siapa pula gerangan yang datang merisiknya secara tiba-tiba, Irdina Alany tertanya sendiri.

“Jiran sekampung ibu dulu, merisik untuk anaknya yang baru pulang dari Mesir.” Ibunya menerangkan.
Irdina Alany melopong, tidak tahu apa yang harus diperkatakannya.

Ibu Irdina Alany tersenyum, tahu isi hati anaknya itu, walaupun tidak meluahkan apa-apa, ibunya faham Irdina Alany pasti tidak mahu menerima risikan itu.

“Jangan risau, ibu dah tolak, ibu cakap Na belum sedia.” Ibu Irdina Alany cuba menenangkan anaknya.
Irdina Alany memandang wajah ibu, tidak percaya ibunya berbuat demikian.

“Terima kasih bu, terima kasih sangat. Na memang tak sedia, dah la datang mengejut, orang tu pun Na tak kenal,” Irdina Alany mengomel sendiri, dalam hatinya tersangat bersyukur kerana ibunya begitu memahami isi hatinya.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Fahim dengar ada rombongan datang merisik Na, Na setuju ke?
-Ilham Fahim-

Soalan dari SMS itu mengejutkan Irdina Alany, pasti Rayyani yang memberitahu Ilham Fahim soal itu. Sudah diberitahu pada Rayyani supaya merahsiakan perkara itu namun Rayyani membocorkan juga, Irdina Alany terasa geram di dalam hati.

Belum buat keputusan, tengoklah nanti macam mana.
 - Irdina Alany-

Irdina Alany sekadar mahu menduga hati Ilham Fahim dengan menghantar SMS sebegitu, namun Ilham Fahim terus menyepi. Hati Irdina Alany jadi tak keruan memikirkan Ilham Fahim mungkin berjauh hati dengannya.
“Na, Fahim cakap dia nak buat solat istikharah bulan Ramadhan ni,” Rayyani memulakan bicara di laman sembang itu.

“Solat istikharah? Untuk apa?” Irdina Alany bingung.

“Solat untuk nak tetapkan hati dia pada Na la, takkan nak tak tahu dia sukakan Na.” Kata-kata itu buatkan Irdina Alany terkedu.

“Betul ke ni Rai?” soal Irdina Alany, tidak percaya.

“Betullah, takkan Na tak perasan selama ni Fahim tu sukakan Na. Dia pernah cakap dengan Rai yang dia segan sangat dengan Na, dia sayangkan Na tapi dia sedar dia tak layak untuk Na, dia bukanlah siapa-siapa, sekadar anak yatim, hidupnya cuma di madrasah itu, dia tidak mampu memberikan Na harta dan kemewahan.”

Irdina Alany sebak, tidak percaya Ilham Fahim punya rasa yang sama dengan dirinya.

“Rai, Na tak mencari lelaki yang sempurna, punya harta dan wang ringgit, cukuplah dia mampu membimbing Na ke jalan Allah. Na cuma mahukan bakal pemilik hati Na ialah insan yang menyerahkan seluruh cintanya pada Allah, dan dia datang pada Na atas cintanya pada Allah. Itu sudah cukup Rai.”

“Na doalah banyak-banyak agar jodoh Na dengan insan sebegitu, Rai doakan jodoh Na dengan Ilham Fahim ya.”

Kata-kata dari Rayyani itu buatkan Irdina Alany tersenyum sendiri. ‘Amin,’ dia membalas dalam hati.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Na, ada rombongan lagi nak meminang kamu nak. Macam mana ni?” suara ibu yang gusar dari corong telefon itu membuatkan hati Irdina Alany turut gundah. Siapa pulak kali ini? Irdina Alany tidak senang duduk.
“Siapa pulak kali ini ibu?” Irdina Alany meluahkan persoalan hatinya.

“Jauh rombongan ni datang nak, dari Selangor, ustaz madrasah anak yatim katanya.” Irdina Alany hampir tersedak saat mendengar penerangan ibunya.

“Ustaz dari madrasah, siapa ibu? Siapa namanya?”

“Ilham Fahim, Na. Macam mana nak, nak ibu tolak lagi ke?”

Irdina Alany terdiam, hatinya rasa gembira yang teramat, air matanya laju mengalir di pipi. Apakah aku tidak bermimpi? Irdina Alany menjerit di dalam hati.

“Na, Na. Na nak ibu tolak ke? ” soalan yang terpacul dari mulut ibunya sekali lagi membuatkan Irdina Alany kembali tersedar.

“Jangan tolak ibu, terima.” Pantas Irdina Alany menjawab.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Terima kasih Na, kerana menerima Fahim dalam hidup Na walaupun Fahim tak layak untuk Na... Fahim tak punya apa-apa. Namun setelah solat istikharah tempoh hari, Fahim nampak dengan jelas, Na datang dalam mimpi Fahim dengan berpakaian serba putih, lantas Fahim mengucapkan lafaz akad dan nikah. Sejak itu Fahim yakin dengan jodoh ini, kerana itu Fahim yakin untuk memiliki Na. Harap Na dapat menerima Fahim seadanya, Fahim mencintai Na atas rasa cinta Fahim pada Allah. Terima kasih Irdina Alany~
-Ilham Fahim-

SMS itu diterima Irdina Alany dengan titisan air mata, dia juga telah melakukan istikharah beberapa kali dan hatinya terasa begitu tetap sekali pada Ilham Fahim. SMS untuk Ilham Fahim segera ditaip pantas.

Wahai sang pemilik hatiku, aku tidak perlukan duit berjuta mahupun harta bergunung, cukuplah dirimu membimbingku ke jalan yang diredhai Allah, menjadi imam dalam hidupku ini.
Wahai pemilik tulang rusuk di mana aku tercipta, cintailah aku kerana cintamu pada TuhanMu, kerana cintaku milik Dia di atas. Terima kasih Ilham Fahim atas cinta ini~~
- Irdina Alany-


p/s: masih byk kekurangan dalam cerpen ini, tapi ingin sekali merealisasikan kisah sahabatku ini dalam bentuk cerpen.. harap segala kekurangan dapat dimaafkan~~

Suka? =)

Novel : Kalimah Cinta Bab 8

     Aku sendirian di wadku saat itu, tiada siapa yang menjengah kerana waktu melawat sudah tamat dan hanya akan bermula kembali pada pukul empat setengah petang. Jam di tangan kuperhatikan, baru pukul tiga sedangkan aku sudah dipagut kebosanan akibat bersendirian di wad itu. Awal-awal lagi Salima sudah meminta diri untuk pulang, aku tidak mampu menghalangnya pergi kerana dia juga punya urusan keluarga yang mesti diutamakan.

      Badanku masih terasa lemah namun aku sudah merasa sihat sedikit berbanding semalam, terasa ngilu pada tanganku dek kerana jarum yang menyucuk uratku. Aku bangun dari baring, sudah lenguh berbaring. Kepala katil kunaikkan sedikit lantas aku bersandar padanya.

     Makanan yang tersedia di dalam tray yang dikirim petugas hospital sebentar tadi segera kujamah, mahu mengembalikan tenaga yang kian hilang dalam badan. Nasi putih berlaukkan ikan goreng, sayur air dan gulai ayam itu masih tidak mampu membuka seleraku, namun aku paksa jua perutku untuk menerima makanan itu kerana tidak mahu badanku semakin lemah. Selesai menjamah, aku menghirup air milo yang dibancuh Salima saat kehadirannya tadi, dan kembali bersandar pada katil.

     “Assalammualaikum,” ucapan salam itu sekali lagi menggetarkan jiwaku. Iman terjongol di hadapan pintu wadku tuntas menghampiri, ada dua orang jururawat bersamanya.

     “Waalaikumussalam,” jawabku perlahan.

      Wajah Iman kuperhatikan, pemuda itu tetap ceria seperti selalu, jubah putih lambang seorang doktor kemas disarungnya, sebuah stetoskop terkalung di lehernya. Memang itulah gaya doktor pada kebiasaannya.

      “Macam mana Cik Ila? Hari ni rasa sihat sikit ke?” soalnya serius tanpa memandangku, tanganku segera digapainya lantas nadiku diperiksa. Terkejut diperlakukan begitu membuatkan hatiku tak keruan. Memang sudah lumrahnya doktor memeriksa nadi pesakit, Islam juga tidak melarang lelaki dan wanita bersentuhan sekiranya dalam keadaan darurat seperti dalam bidang perubatan.

      Namun bersentuhan dengan Iman memang membuatkan aku tak keruan, terasa amat segan pada Iman kerana pemuda itu pernah kukenali dan kucintai.

      “Ila, kenapa jantung Ila berdegup kencang ni? Ila takut kat Iman ke?” soalan yang dibisikkan padaku itu mengejutkan aku dari lamunan yang entah ke mana. Stetoskop yang dilekapkan pada belakangku segera dikalung semula pada lehernya. Sekuntum senyuman terukir di bibirnya.

      “Cik Ila, kami perlu membuat pemeriksaan lanjut pada Cik Ila, sampel darah Cik Ila akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan, dan ada beberapa prosuder lagi yang perlu dijalankan, jadi Cik Ila terpaksa di tahan di wad ini untuk beberapa hari lagi hingga kami yakin tahap kesihatan Cik Ila mencapai tahap yang baik, ” tiba-tiba Iman bercakap dalam nada yang serius pula.

       “Errr...” aku menjadi buntu, tidak pasti dapat membalas apa-apa, ditahan beberapa hari lagi di wad bermakna aku harus menghadap Iman untuk beberapa ketika sedangkan itulah perkara yang sangat ingin ku elakkan. Oh alangkah tersiksanya hati ini, aku merintih dalam hati.

      “Jangan risau, kami cuma mahu pastikan Cik Ila tidak dijangkiti demam denggi.”

     Ya Allah, mintaklah dijauhkan musibah itu Ya Allah... aku berdoa di dalam hati sambil mengerling Iman yang asyik menulis sesuatu di atas sebuah fail.

     “Oklah Cik Ila, banyakkan berehat ya,” tuturnya pantas sambil mengukir senyuman. Selepas menutup fail ditangannya, Iman segera keluar sambil diekori dua jururawat yang membantunya tadi.

       Hatiku yang sedari tadi berdetak laju mulai normal, lega rasanya saat bayang Iman hilang dari pandangan. Ya Allah, mengapa begini takdir yang harus kutempuh, aku berbicara sendiri. Ada air jernih yang mula bertakung di tubir mata, terasa begitu tersiksa memendam perasaan yang selama ini tersemadi dalam diri.
Oh mengapa dia harus muncul kembali? Mengapa? Mengapa di saat aku hampir melupakannya, Allah mentakdirkan pertemuan ini semula? betapa hati ini begitu pedih setiap kali memandang wajahnya, melihat insan yang kucintai namun takkan mampu kumiliki.

       Aku biarkan saja air mataku mengalir, terlalu perit memendam rasa ini, rasa cinta yang pernah bercambah lapan tahun dulu, aku sangat khuatir cinta ini mekar kembali, aku tidak mahu menderita dalam penantian cinta yang sia-sia ini.

      “Ila,” suara-suara yang serentak memanggilku saat itu membuatkan aku segera berpaling, air mata yang masih bersisa di pipi, segera kusapu perlahan.

      Syida dan Farah segera menghampiri katilku, mereka kelihatan cemas dan bimbang.

     “Ila, Ila tak apa-apa ke? Kenapa Ila menangis ni?” Syida memegang lenganku sementara Farah pula mengelus dahiku.

      “Panas lagi badan Ila ni, apa kata doktor?” Farah pula berbicara.
Aku tersenyum melihatkan keprihatinan sahabatku itu. Wajah mereka kupandang satu persatu.

      “Jangan risau, Ila ok dah. Sikit je ni, nanti sembuhlah,” aku bersuara lemah, semangatku hilang entah ke mana.

     “Habis kenapa Ila menangis tadi, Ila sakitkan?” getus Syida tiba-tiba.

      Perlahan aku menggeleng, keluhan berat kulepaskan. Wajah Iman kembali muncul dalam ingatan.

      “Syida, Farah...” aku memulakan bicara. “Ila menangis sebab Ila sedih sangat, mengapa Allah pertemukan Ila dengan Iman semula di saat Ila hampir mampu mengusir semua perasaan ini pergi. Syida dan Farah tahu tak, Iman yang bawa Ila ke hospital, dan dia juga yang merawat Ila.” Kata-kataku membuatkan Syida dan Farah terkejut. Mereka berpandangan sesama sendiri.

      “Macam mana Iman pulak yang bawa Ila kemari?” Farah bertanya, mungkin pelik dengan pernyataanku itu.

      Aku memandang wajah Farah.

      “Teman sekerja Ila, Cikgu Salima yang telefon Iman, dia jumpa kad nama Iman atas meja Ila. Masa dia nampak Ila pengsan, dia panik sangat, tak tahu nak telefon siapa, bila dia nampak je kad tu, terus dia telefon Iman.”

     Aku mengeluh lagi. Terasa begitu terseksa berhadapan dengan Iman.

     “Farah dan Syida tahu tak, tadi saat Iman datang memeriksa Ila, hati Ila berdegup kencang sangat, Ila rasa macam nak gugur jantung. Perasaan Ila yang pernah wujud untuknya dulu seolah dah kembali semula, Ila tak mahu perasaan tu datang kembali, Ila tak mahu menderita dalam cinta ini lagi. ”

       Perlahan Syida dan Farah mengangguk.

      “Sabarlah Ila, anggap saja ini ujian Allah dalam menduga hambaNya, barangkali ada hikmah yang tersembunyi di sebalik pertemuan antara Ila dan Iman semula. Ila kena kuat, jangan mengalah, Farah tahu Ila kuat, hadapi Iman dengan kental, jangan tunjukkan Ila lemah di hadapannya. Jangan biar dia sedar yang Ila ini ialah Ila yang pernah dikenalinya lapan tahun dulu.”

       Nasihat yang keluar dari mulut Farah itu kuterima dengan anggukan. ‘Aku harus kuat, aku harus tabah, Allah saja tahu mengapa aku diuji sebegini, Allah menguji hambaNya kerana sayang pada hambaNya, aku harus bersyukur kerana diberi peluang ini oleh Allah,’ aku berbisik pada diriku sendiri, cuba mencari kekuatan yang kian luntur dalam diri.

       “Terima kasih Syida, Farah, sebab menyokong Ila dan memberi semangat pada Ila sampai sekarang. Kalau Syida dan Farah tak ada, entahlah pada siapa Ila dapat mengadu, hanya pada Allah Ila mampu berserah segalanya.”

       Syida dan Farah perlahan mendekatiku lantas memelukku erat. Terasa begitu terharu kerana Allah pertemukan aku dengan sahabat-sahabat yang benar-benar memahami dan bisa mengubati hatiku yang lara.

       “Ila, banyakkan berehat ya, kalau Ila mahukan teman di sini nanti Farah dan Syida bergilir temankan Ila,” ujar Farah saat pelukan terlerai.

        Aku menggeleng perlahan, tidak mahu menyusahkan mereka.

       “Tak apalah Farah, Syida, nanti susahkan Farah dan Syida pulak nak kena mintak cuti, Ila dah makin pulih, tak lama lagi dah boleh keluar wad, jadi jangan risau ya.”

       “Kalau macam tu tak apalah, tapi kan Ila, kenapa ya Ila ada dalam wad kelas satu? Nanti bil dia mesti tinggi,” persoalan Syida itu membuatkan aku menelan liur. Patutlah aku keseorangan di wad itu, rupanya aku di wad kelas satu, mengapa aku tidak perasan akan hal ini? Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

      “Ila ada dalam wad satu ke? Ila tak sedar pun, patutlah tak ada pesakit lain dalam wad ni.”
Syida dan Farah ketawa atas kenaifanku itu. Aku tersenyum tawar, dalam hati sangat khuatir tentang bayaran yang bakal dikenakan.

      “Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu ini, amin...” perlahan aku berdoa.

Suka? =)

Monday, August 16, 2010

Novel : Kalimah Cinta Bab 7

       Perlahan aku membuka mata, pandanganku yang masih kabur dapat merasakan bilik itu begitu asing bagiku. Bau ubat begitu kuat menusuk hidung, aku menonyoh mataku supaya jelas pandanganku saat itu. Aku bingkas bangun dari tidurku di atas katil putih itu.


       “Eh cik, bawa bertenang, badan cik masih lemah, sila baring semula,” seorang jururawat segera membaringkan aku semula ke katil.

       “Err, saya kat mana ni?” aku meminta kepastian, terasa bingung dengan keadaanku.

        Jururawat itu memandang wajahku lantas tersenyum. Pergelangan tanganku dipegang untuk memeriksa nadiku.

        “Cik sekarang berada di hospital, tadi doktor sendiri yang bawak cik ke mari,” jururawat itu menjelaskan sambil tangannya mencatitkan sesuatu pada fail yang dipegangnya.

        Aku memandang jururawat itu dengan hairan, pelik dengan jawapan yang diberikan.

        “Doktor? Doktor mana pulak? ” pertanyaanku dibalas dengan senyuman, lantas jururawat itu menghalakan ibu jarinya pada satu arah.

        Pada sebuah sofa, di hujung bilik itu, kelihatan satu susuk tubuh sedang berbaring di atasnya. Wajahnya membelakangiku. Aku cuba mencari ruang untuk melihat gerangan insan itu namun tidak nampak.

        “Baiklah, cik sila berehat semula, kondisi cik masih lemah, lagipun sekarang baru pukul tiga pagi.”

       Jururawat itu berlalu tanpa mahu merungkaikan kekusutan yang kian bersarang dalam hatiku. Aku mengeluh perlahan lantas kembali cuba menutup mata, susah benar untuk lelap apabila menyedari ada insan lain di bilik itu tanpa kuketahui gerangannya.

       Aku membuka mata semula lantas menyorot mataku pada keseluruhan bilik itu, hanya ada katilku seorang dan bilik itu juga tertutup. Selalunya wad akan penuh dengan katil yang lain, paling kurang pun ada jiran bersebelahan buatku, namun yang ada kini cuma aku dan doktor itu yang sedang berbaring di sofa.

       Kesejukan pendingin hawa yang mencengkam tambah membuat aku menggigil kesejukan, dahiku kuelus perlahan, masih terasa panas, aku cuba memejamkan mataku semula, cuba melelapkan mata walaupun dalam keadaanku yang kurang selesa ditemani insan yang tidak kukenali dalam bilik itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

       “Ya Allah, dah pagi...” suara itu mengejutkan aku dari lena. Perlahan aku membuka mata. Insan itu bangun dan meraup wajahnya sebelum bangkit dari sofa.

       ‘Iman!’ aku menjerit dalam hati. Mataku terus membulat, aku bingkas bangun dari tidurku dan duduk di atas katil itu.

      “Eh Ila dah bangun? Maafkan saya, saya mengejutkan Ila. Macam mana rasa hari ni? Dah sihat sikit?” Iman bertanya dengan senyuman tak lekang dari bibir.

       Aku terdiam seketika. Terasa bingung sekali dengan situasi yang tidak dijangka ini.

       “Doktor, macam mana saya boleh ada di sini?”

      “Awak demam, saya yang bawak awak ke sini semalam, saya tunggu kat sini sampai awak sedar, tapi tak sangka pulak saya terlelap di sini.” Iman menggaru kepalanya yang tidak gatal.

     Aku terpana, terlalu keliru untuk bersuara lagi.

      “Hmm, tak apalah Ila, saya bertugas pagi ini, nanti petang saya datang jenguk awak balik. Saya nak balik mandi dulu, dah masam ni,” ujarnya sambil ketawa.

      Aku mengangguk perlahan, takut untuk bertanya apa-apa lagi. Masih terasa malu apabila memikirkan diriku ditemani Iman semalaman dalam bilik itu.

      “Assalammualaikum,” dia memberi salam sebelum menutup pintu bilik itu.

     ‘Waalaikumussalam,’ aku menjawab dalam hati sambil otakku ligat berfikir apa yang telah berlaku semalam.

      ‘Seingatku, aku berada di sekolah hingga petang semalam. Kemudian... kemudian aku tidur seketika lepas menelan paracetamol, lepas tu...’ aku berusaha mengingati kejadian semalam.

      Aku menggeleng perlahan, tak mampu untuk mengingati apa-apa lagi selepas itu. Jam di dinding kuperhatikan. Sudah pukul enam setengah pagi, segera aku bangun untuk mencari tandas, badanku terasa begitu lemah namun kugagahi juga untuk berdiri.

      Aku menyucikan diri ala kadar kerana tiada kelengkapan yang kubawa, wuduk segera kuambil, mahu menunaikan solat dengan kadar segera, sudahlah aku terlepas beberapa waktu dek kerana keadaanku ini. Aku tidak mahu menanggung dosa lagi.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

       “Ila, Ila...” suara itu seperti sangat kukenali. Perlahan aku membuka mata, entah bila aku terlena aku sendiri tidak sedar.

       Salima sedang duduk di sisiku sambil menggenggam erat tanganku. Aku tersenyum melihatnya, akhirnya dapat jua aku bertemu dengan insan yang kukenali yang bisa merungkai kekeliruan dalam hatiku saat ini.

       “Bagaimana keadaan Ila sekarang, dah rasa sihat sikit ke?” soal Salima dengan wajah yang gusar.

      Aku mengangguk perlahan lantas memegang tangannya yang sedang memegang tanganku.

      “Kak, macam mana Ila boleh ada kat hospital ni?”

      “Oh, Doktor Iman yang tolong bawakkan Ila ke sini,” aku terdiam mendengarkan jawapan serupa yang keluar dari mulut Salima dan jururawat malam tadi.

     “Macam mana dia boleh bawak Ila ke sini pulak?” soalku lagi, meminta kepastian.

       “Ila, sebenarnya semalam kak yang jumpa Ila pengsan kat bilik guru. Masa tu kak panik sangat, tak tahu nak telefon siapa. Mula-mula kak nak telefon Safwan, tapi kak teringat pulak yang dia dah pergi kursus luar daerah, kemudian kak tengok atas meja kamu ada kad Doktor Iman, apa lagi kak call lah dia.”

      “Kenapa kak tak kejutkan Ila. Ila tertidur saja kot.”

      Perlahan Salima menggeleng.

       “Kak dah cuba kejutkan Ila, tapi Ila tak bergerak lansung, badan pulak panas, kak dah tak tahu nak buat apa. Mujurlah lepas kak telefon doktor, dia suruh kak tunggu kat situ, dia nak datang ambil kamu kat sekolah.”

       Aku terdiam, tidak menyangka yang aku pengsan di sekolah semalam. Memang aku lansung tidak ingat akan hal yang berlaku semalam selepas aku menelan paracetamol.

     “Ila tahu, doktor tu datang kelam kabut, terus dia angkat kamu masuk dalam kereta dia, lepas tu bawak kamu ke hospital. Fuhh, gagah sungguh la doktor tu.” Salima tertawa riang.

      Aku mencubit pipi bulat Salima perlahan. Geram dengan usikannya.

    “Aduh, sakit la. Kenapa cubit pipi kak pulak?”

     Aku tersenyum. Geram melihat dia begitu seronok bercerita tentang Iman. Salima menggosok pipinya yang sakit.

     “Kak tu la, cakap yang bukan-bukan. Malu tau Ila, kenapa akak biarkan je dia angkat Ila ni?”

    “Ish akak nak buat macam mana lagi, kak sendiri nak angkat memang tak larat.”

     Aku mengangguk perlahan. Terasa begitu malu dengan Iman kerana telah menyebabkan dia bersusah-payah keranaku.

       “Kak tengok doktor tu macam ambil berat sangat pasal Ila.” Suara Salima membantutkan aku dari lamunan. Segera aku memandang wajahnya yang tersengih seperti kerang busuk.

     “Untung Ila, Safwan dah tergila-gila, sekarang doktor tu pulak dah suka.”

     “Merepeklah kak ni, Ila cubit lagi baru tahu,” aku mencebik geram. Salima tersengih lagi memandang raut wajahku yang mencuka.

      “Ala kak gurau jelah. Tapi nampak la jugak doktor tu ambil berat pasal kamu. Sudahlah, ni kak ada bawak kelengkapan kamu dari rumah kamu.” Salima menunjukkan sebuah beg dan sebuah bakul yang penuh bekalan buatku.

      Aku tersenyum padanya. “Terima kasih kak. Susahkan akak je.”

      “Sama-sama. Tak apa, jangan fikirkan soal tu ya.”

      Aku merenung wajah Salima semula. Ada persoalan yang masih ingin kuajukan padanya.

    “Siapa yang tahu saya ada kat hospital ni kak?” soalku risau.

     “Kawan-kawan serumah kamu dan beberapa orang guru kat sekolah tu. Kawan-kawan kamu, Syida dan Farah tu pesan, nanti petang mereka datang.”

     Aku mengangguk perlahan sebelum memandang wajah Salima semula.

    “Kak, Ila nak mintak tolong ni.”

     Salima mendongak.

      “Tolong apa? InsyaAllah kak mampu, kak tolong.”

      “Tolong jangan beritahu Safwan dan keluarga Ila pasal ni ya.”

       Salima kelihatan terkejut dengan pesanku itu.

      “Kenapa pulak?”

        “Safwan kan tengah berkursus, Ila tak mahu dia balik semula ke sini semata-mata kerana Ila, biar dia berkursus di sana dengan tenang. Pasal keluarga Ila pulak, mereka jauh, Ila tak mahu mereka risau dan menyusahkan mereka datang ke sini. Ila pun sakit sikit saja, kalau Ila dah sakit teruk, tak apalah nak maklumkan pada mereka. Boleh ya kak, jangan beritahu ya.” Pesanku bersungguh-sungguh.

       Salima mengangguk faham. Tanganku dielus kembali.

      “Ila berehat la puas-puas ya. Kak doakan semoga Ila cepat sembuh.”

       Aku tersenyum padanya. “Terima kasih kak...”

Suka? =)

Saturday, August 14, 2010

Cerpen : Ahlan Ya Ramadhan!

 
 
        Qurratu’ain tiba di perkarangan masjid tua itu saat azan sedang berkumandang di corong radio, tidak sempat dia sampai ke kampung sebelum waktu berbuka kerana tersekat di dalam traffic jam di bandar sebentar tadi. Segera dia menghentikan keretanya di tempat parkir, mengambil air kotak dan kurma yang dibawanya sebagai bekalan lantas membaca doa berbuka puasa. Kurma dalam genggamannya dijamah, air kotak itu dihirup penuh rasa nikmat.

       Usai menjamah sedikit bekalan itu, Qurratu’ain segera melangkah masuk ke dalam masjid. Alang-alang sudah berhenti di masjid itu untuk berbuka, elok juga dia bersolat Maghrib terus kerana perjalanannya untuk pulang ke kampung masih agak jauh. Saat menapak ke koridor, Qurratu’ain terpandang seorang pemuda yang sedang duduk di koridor itu sambil meneguk air mineral di dalam botol. Tiada bekalan lain yang ada di sisi pemuda tersebut. Perlahan Qurratu’ain menghulurkan kotak kurmanya pada pemuda itu, niat untuk bersedekah.

        Pemuda itu memandang Qurratu’ain sebelum tersenyum lantas tangannya segera mencapai tiga biji buah kurma.

       “Terima kasih saudari,” lembut tutur bicaranya namun wajahnya sudah kembali menunduk. Qurratu’ain terpana, sejuk matanya memandang seraut wajah itu dari dekat, wajahnya begitu mulus dan tenang.

        ‘Astaghfirullah hal azim,’ Qurratu’ain beristighfar dalam hati, tersedar keterlanjurannya lantas segera melangkah memasuki ruang solat wanita.

        Dalam ruang solat wanita itu, hanya ada tiga wanita lain, itupun sudah lanjut usianya. Mereka ada membawa bekalan masing-masing, berbuka di masjid itu barangkali namun Qurratu’ain tidak lupa untuk menghulurkan kurma buat mereka.

        Suara imam yang mengimamkan solat Maghrib itu begitu mesra di telinga Qurratu’ain, dia yakin suara itu adalah suara pemuda tadi kerana baru saja mendengar suara pemuda itu sebentar tadi. Suara pemuda itu tenang, hingga membuatkan Qurratu’ain merasa begitu khusyuk dalam solatnya, terasa dirinya dapat menghayati setiap bait yang dituturkan pemuda itu hingga hampir menitis air matanya, terasa dirinya begitu dekat dengan Allah.

        Selesai solat sunat selepas Maghrib, Qurratu’ain segera membawa langkahnya, ingin segera pulang ke kampung sebelum malam kian pekat namun sempat lagi dia mengerling, sekadar mahu melihat masjid itu sekali lagi, dari jauh Qurratu’ain lihat pemuda itu masih sedang khusyuk membaca Al-Quran di satu sudut di ruang solat itu.

        Hati Qurratu’ain terasa bergetar. Ada satu perasaan aneh yang timbul pabila melihat pemuda itu membaca Al-Quran. Apa yang Qurratu’ain rasakan, dia sendiri tidak pasti namun dia sangat senang dengan perasaan itu. Perlahan dia melangkah ke keretanya walaupun dalam hati ada rasa untuk berlama di situ.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

       “Tok, jom la kita solat terawih kat masjid lama tu, kesian masjid tu, tak ramai orang. Lagipun dah lama tok tak solat kat masjid kan, asyik solat kat surau je.” Ajakan Qurratu’ain itu hanay dibalas dengan senyuman dari datuknya, dapat merasakan ada sesuatu di sebalik ajakan itu.

        “Atok dah biasa solat kat surau ni je, senang, dekat je dari rumah, masjid tu jauh, tak sanggup atok nak jalan kaki pergi sana.”

        “Ish atok ni, Ain bukan suruh atok jalan kaki, naik kereta Ain la... boleh la tok,” pujuk Qurratu’ain lagi. Dia sendiri tidak mengerti mengapa hatinya ingin sekali menjejakkan kaki ke masjid itu semula. Seperti ada sesuatu yang menantinya di situ.

         “A’ah, yelah, yelah, nanti malam kita solat terawih kat situ. Tapi atok pelik ni, kenapa Ain beria sangat nak ke masjid tu?”

         Ain tersengih mendengar soalan datuknya, bahunya diangkat tanda tidak tahu. Hatinya sendiri belum mengerti kenapa dia ingin sekali ke masjid itu semula.

         Beberapa bungkusan makanan yang di bawa dari rumah segera Qurratu’ain aturkan di atas meja di luar masjid itu, memang niatnya mahu sedekahkan makanan tersebut sebagai moreh.

        “Bawak apa tu nak?” soal seorang wanita dalam lingkungan 50-an tapi masih kelihatan cantik berseri.

         “Owh, saya bawak bihun goreng dan puding buah, makcik. Nanti lepas terawih jemputlah makan.”

         “Wah bagusnya. Anak masak sendiri ke?”
        
          Qurratu’ain tersenyum. Memang sejak petang tadi dia berusaha menyiapkan juadah tersebut untuk santapan moreh di masjid itu.

        “Pandailah anak memasak ya. Susah nak jumpa perempuan pandai masak zaman sekarang ni.”

        “Tak adalah makcik, sikit-sikit tu bolehlah.”

        “Anak ni dari mana?”

        “Saya dari Kuala Lumpur makcik, datang sini nak jenguk datuk saya kat Kampung Rumbia tu, nak rasa sambut awal Ramadhan di kampung.”

        “Oh orang Kuala Lumpur rupanya, tapi gaya tak macam orang Kuala Lumpur pun, sopan je, lemah lembut.” Pujian itu buat Qurratu’ain tersipu malu.

       “Anak makcik pun kerja kat Kuala Lumpur, tapi balik kejap bercuti di kampung. Dia bekerja sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Agama Islam. Anak kerja apa pula?”

        “Saya seorang cikgu, makcik.”

       “Oh, patutlah anak ni nampak lain, tak macam orang-orang Kuala Lumpur yang biasa makcik jumpa.”

       “Makcik duduk Kuala Lumpur jugak ke?”

       “Ya, makcik duduk dengan anak bujang makcik tu la. Suami makcik dah tak ada, anak makcik pun seorang saja, makcik balik kampung pun sebab anak makcik nak jenguk masjid ni, dulu suami makcik ialah imam masjid ni, jadi anak makcik selalu nak singgah masjid ni , sebab masjid ni mengingatkan dia pada ayahnya.”

      Qurratu’ain mengangguk perlahan. Azan Isyak berkumandang saat itu, membuatkan perbualan itu terhenti setakat itu, Qurratu’ain segera mengambil langkah ke ruang solat untuk menunaikan solat Isyak dan seterusnya solat Terawih dan Witir.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

        Usai solat, Qurratu’ain mengemas almari telekung kerana melihat almari itu tidak tersusun. Dari balik tirai, dia ternampak kelibat lelaki yang sedang mengutip dan melipat sejadah. Ada getar dalam hatinya, Qurratu’ain yakin, itulah pemuda yang pernah dijumpainya dulu, dia tidak tahu bagaimana dia sebegitu yakin namun hatinya begitu pasti. Saat keluar dari ruang solat, Qurratu’ain melihat tetamu yang hadir ke masjid malam itu sudah menikmati juadah yang disediakan. Qurratu’ain rasa gembira apabila melihat juadah hidangannya disantap para tetamu, mungkin inilah kegembiraan yang dirasa bila kita ikhlas bersedekah kerana Allah.

      “Sedaplah anak masak, ramai kawn makcik puji sedap,” makcik yang ditemuinya sebentar tadi menegurnya kembali.

       “Terima kasih makcik, makanlah lagi.”

       “Yelah, anak pun makanlah sama.”

        Qurratu’ain hanya mengangguk sambil tangannya mencedok hidangan ke dalam pinggan.

      “Eh Luthfi, meh sini nak, meh makan moreh ni, sedap ni.” Terdengar suara makcik itu memanggil seseorang bernama Luthfi.

        Qurratu’ain terkejut kerana saat dia mengalih pandangan, pemuda yang pernah dilihatnya dulu sedang mampir ke arah makcik tadi.

        “Anak ni yang buat, pandai dia masak,” puji makcik itu lagi sambil memandang Qurratu’ain. Pemuda yang bernama Luthfi itu segera memandang Qurratu’ain lantas tersenyum.

        Qurratu’ain terasa segan, segera dia berlalu ke meja makan yang tersedia. Tak sangka makcik tu ibunya, getus hati kecil Qurratu’ain. Debaran di dadanya saat Luthfi memandangnya sebentar tadi masih belum hilang.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

        Sudah hampir seminggu Qurratu’ain di kampung, dan sepanjang minggu jugalah dia menjadi tetamu di masjid itu, terasa begitu tenang sekali berada di situ. Datuknya juga hanya mengikut kehendak Qurratu’ain untuk bersolat terawih di situ sepanjang dia berada di kampung.

         “Makcik, hari ni hari terakhir saya di kampung, esok saya dah nak kembali ke Kuala Lumpur.” Qurratu’ain memberitahu saat mahu pulang malam itu, ibu Luthfi lantas memeluk Qurratu’ain erat dan lama.

        “Nanti kita jumpa lagi ya nak, makcik tak tahu kenapa, makcik rasa sayang sangat kat kamu walaupun baru kenal.”

       Qurratu’ain tersenyum senang. “InsyaAllah makcik, saya pun senang sekali dapat kenal dengan makcik.” Qurratu’ain membalas pelukan itu dengan lebih erat. Luthfi yang berdiri di sebelah ibunya memandang Qurratu’ain lantas tersenyum. Qurratu’ain membalas senyuman itu walaupun getaran di dadanya kian memuncak.

       “Ini alamat rumah saya di Kuala Lumpur, kalau makcik ada masa, singgahlah ya,” ucap Qurratu’ain sambil menghulurkan sekeping kertas bertulis alamatnya.

     “Baiklah nak, InsyaAllah makcik pasti datang,” ibu Luthfi tersenyum.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

         “Atok, ada orang datang merisik Ain la... macam mana ni?” ujar Qurratu’ain gusar.

        “La baguslah macam tu, kamu tu memang dah patut kahwin,” terdengar gelak tawa datuknya di hujung talian.
       
         “Masalahnya atok, Ain tak kenal pun siapa lelaki tu, tak kenal hati budi dia, takkan Ain nak terima je.”
 
        “Ain... Ain... kan Ain yang berkenan sangat kat lelaki tu... dia dah datang merisik tu baguslah.”

        Qurratu’ain terdiam seketika. Sejak bila dia berkenan pada lelaki yang tidak dikenalinya itu? Hatinya tertanya.

       “Ain tak pernah kenal dia la atok, takkan Ain boleh berkenan kat dia pulak.”

       “Ok, ok. Siapa nama dia? Nama yang mereka beritahu masa merisik tu?” soal datuknya serius.

        “Hadi,” ucap Qurratu’ain pendek.
  
       “Bukan... bukan... nama penuh dia?”

      “Err, kejap Ain tanya ibu.”


        Saat rombongan merisik itu tiba, Qurratu’ain masih belum pulang dari kerja, jadi dia tidak pasti tentang nama penuh lelaki itu, ibunya ada memberitahu nama lelaki itu padanya namun kerana malas mahu memikirkan perkara tersebut, Qurratu’ain lansung tidak ambil pusing kata-kata ibunya yang menerangkan tentang lelaki itu.

       “Ibu, siapa nama lelaki yang datang merisik Ain tu?” jeri Qurratu’ain dari dalam bilik pada ibunya di luar.

          “Muhammad Luthfil Hadi!” balas ibunya pendek.

         “Muhammad Luthfil Hadi, itulah nama dia tok,” ucap Qurratu’ain semula tanpa ada perasaan.

         “Tu kan... takkan tak kenal lagi?” ucap datuknya sambil ketawa.

         Qurratu’ain terkesima. Luthfil Hadi, eh takkanlah dia, hatinya masih tidak pasti.

        “Atok, Ain tak faham la.” Qurratu’ain meminta penjelasan.

        “Ain kenalkan Luthfi yang selalu ada kat masjid jadi imam tu, dia tu la datang merisik Ain.”

         Qurratu’ain terkesima. Ya Allah, benarkah ini semua? Hatinya masih tidak mahu yakin.

         “Hari tu, mak dia ada datang jumpa atok bincang soal ni, atok cakap la suruh datang merisik terus Ain kat Kuala Lumpur tu... bijak tak atok?” derai tawa datuk Qurratu’ain kedengaran lagi.
   
        Qurratu’ain terdiam namun ada senyum yang terukir di bibirnya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Setahun kemudian...

           Luthfil Hadi merenung wajah Qurratu’ain, isterinya itu dalam-dalam.

         “Ain tahu, abang selalu perhatikan Ain tapi abang malu nak cakap apa-apa. Sejak kali pertama abang jumpa Ain, abang pasti Ain seorang perempuan yang baik, satu dalam sejuta untuk abang jumpa jodoh macam Ain. Abang bersyukur sangat Allah pertemukan abang dengan Ain. Kalau tidak kerana bulan Ramadhan yang mulia, pasti kita tak bertemu kan sayang?”

        Qurratu’ain menggangguk perlahan seraya tersenyum.

       “Petang nanti kita balik kampung sambut awal Ramadhan di sana ya? Abang nak jenguk masjid tempat pertemuan pertama kita dulu. Alhamdulillah abang bersyukur bertemu dengan jodoh abang di tempat yang mulia dan di bulan yang mulia.”

        “Terima kasih bang, sebab menerima Ain sebagai jodoh abang, Ain pun bersyukur sangat kerana mendapat suami sebaik abang, Ain tak sangka, insan yang Ain simpan perasaan dalam diam rupanya mempunyai perasaan yang sama dengan Ain.”

        Luthfi tersenyum pantas mengucup dahi isterinya dengan penuh rasa cinta.

“Ahlan Ya Ramadhan, terima kasih kerana menemukan aku dengan jodohku di bulan yang mulia ini. Semoga ikatan yang terjalin antara kami adalah atas cinta kami pada Ilahi. Perkukuhkanlah benteng-benteng iman kami dengan ketaatan kepadaMu dan bimbinglah kami ke jalan yang lurus yang membawa kami ke jalan yang diredhaiMu dalam kami melayar sinar kebahagiaan ini... amin~~~”
~Nur Qurratu’ain ~

Suka? =)

Wednesday, August 11, 2010

Perkembangan Terbaru~

Salam semua..
Salam Ramadhan buat pengunjung dan pembaca karya blog AK ni.. hehe... sebenarnya tgh berura-ura nak buat cerpen baru.. ni pun sambil buat kerja sambil fikir idea dan taip... tp idea blm dtg btol2 lg.. heheeh.. hrp2 leh siapkan cepat2...

hari tu ada masalah kat Penulisan2u... novel orang lain tiba2 diletakkan sebagai karya AK.. kesian pada penulis novel itu.. AK pn tak mahu dapat nama dari perkara yang kita tak buat... AK dah report pada p2u tp smpai skrg blm ada tindakan.. mybe AK kene hantar lg emel... huhuhuh...

oklah, itu je yg nak ckp. nak cerita pasal cerpen tu nnti xsurprise lak.. hehehe.. nnti dah siap AK publish la kt cni.. jgn risau.. eehehehehehe...

Selamat Menjalani Ibadah Puasa dan Selamat Berbuka Puasa semua!

Suka? =)

Tuesday, August 3, 2010

Menjawab Persoalan Pembaca~

Salam....
tadi Ak berjalan2 di Penulisan2u.. nak tengok komen terbaru kot2 ade.. hehe.. then terjumpalah pertanyaan ini di salah satu cerpen AK.. DOA SEORANG KEKASIH .

klik utk pembesaran..hehe

bagi sesiapa yg tertanya jugak, itulah jawapan yang mampu AK beri.. AK pun kurang pengetahuan tentang itu, tp dari pembacaan AK, itulah jawapan yg sebaiknya.
AK pn tak terfikir soalan ni akan diajukan sebab AK tidak pernah mendengar pula seorang muazzin tidak boleh menjadi imam.. hehe.. dari pengalaman AK pn, surau kt rumah AK, imam kat situ selalu saja melaungkan azan.. jadi AK tak terfikirkan persoalan ini hinggalah ia ditanya hari ni lantas menyebabkan AK terus membuat kajian.. hehe..
pengalaman ni membuatkan AK lebih berhati-hati dan buat kajian sebelum mengarang cerita, mujurlah penerangan yg AK baca tu mnyokong cerita ni....eheheheh~

Suka? =)

Monday, August 2, 2010

Alhamdulillah!

Salam...
owh akhirnya Novel Kalimah Cinta dah tersiar di Penulisan2u.. Alhamdulillah.... AK ingt nak kene tukar tajuk, tapi AK tggu punya tunggu, xde pulak pihak penulisan2u hantar apa2.. tup tup Ak check pagi tadi, dh tersiar kt Penulisan2u.. walaupun novel ni sama tajuk dengan novel penulis lain, tp pihak Penulisan2u tetap siarkan jugak.. huhuh...
mungkin perkara ni boleh kelirukan pembaca tp AK harap semua tu tak berlaku... AK seronok sgt ni... hehehe... smlm baru jer edit cover novel sbb nak tukar tajuk...

ni tajuk yg AK nak buat.. hehehe..
tp nampaknye xpayah la AK susah2 kn.. huhuhhu~

Alhamdulillah!

kepada pembaca yang nak membaca karya AK di sana bolehlah KLIK SINI!

Suka? =)

Novel : Kalimah Cinta Bab 6

Farah menghulurkan sekeping gambar padaku, gambar Iman sedang tersenyum manis.

“Mana Farah dapat gambar ni? Iman bagi ke?” aku bertanya penuh rasa curiga.

“Eh tak adalah, ni Farah dapat masa sama-sama ikut Pertandingan Antara Kolej dulu, seorang kawan Farah ambil gambar Iman, Farah pun mintaklah sekeping,” Farah tersengih.

Aku terdiam. Memang ramai yang meminati Iman jadi tidak hairanlah jika ada yang memiliki gambar Iman kerana dia memang jejaka idaman kolej pada waktu itu. Walaupun ada cemburu di hati namun aku tak mampu berbuat apa-apa kerana aku tiada sebarang hubungan dengannya.

“Ila nak gambar ni boleh tak?” pintaku penuh harapan.

“Ambillah. Memang Farah ambil untuk bagi pada Ila pun. Farah nak simpan buat apa. Farah bukannya sukakan dia pun.” Aku tersenyum mendengar kata-kata Farah, terharu dengan kesungguhannya mendapatkan gambar Iman untuk aku.

Aku merenung potret itu, mengimbau kembali sebuah kenangan yang takkan mampu diulang semula. Ada kesedihan dalam hati ini yang tak mampu kurungkai. Mengapa takdir sengaja mahu mempertemukan kami kembali di saat aku hampir mampu melupakan dia? Hatiku meronta sendiri. Lapan tahun lamanya aku mencuba, dan terus mencuba untuk melupakannya, biarpun tidak pernah bertemu Iman selepas tamat pengajian di kolej, namun cinta yang menghuni hati, masih tak mampu kuusir pergi. Kini, di saat aku merasakan cinta itu kian mampu kulupakan, tiba-tiba saja Iman muncul kembali.

Kepalaku terasa berat, terasa ada beban yang sangat berat tertanggung dikepalaku. Memikirkan soal Iman membuatkan hatiku terasa begitu sakit, air mata kubiarkan perlahan mengalir di pipi, kesedihan yang tak terubat itu kucuba basuh dengan air mata. Aku terasa begitu lemah saat itu.

Sebuah keluhan berat kulepaskan, tak tertanggung rasanya beban yang mencengkam hati saat ini. Potret itu kusimpan kembali ke dalam album kenangan. Malas mahu berlama-lama memikirkan Iman, wajahku kuraut perlahan, air mata kuseka dari pipi, cuba mencari kekuatan dalam diri. Sekurang-kurangnya aku gembira, kerana aku tidak akan bertemu Iman lagi kerana aku takkan mungkin menghubunginya, ini tekadku, biarlah aku buang jauh dirinya dari pandanganku.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Ila, jangan marah Wan lagi ek, tolonglah...” pujuk rayu Safwan dari corong telefon kubalas dengan senyuman walaupun dia tidak nampak senyuman itu. Hatiku sudah sejuk, buat apa kulampiaskan amarahku pada Safwan yang tidak mengerti apa-apa.

“Dah, Ila tak marah dah. Puas hati?” soalku kembali. Terdengar tawa Safwan.

“Macam tu la. Wan minta maaf sangat sebab cakap macam tu hari tu, Wan terlalu dipagut rasa cemburu. Siapa yang tak cemburu kalau perempuan yang kita suka berbual berdua dengan lelaki lain.”

Kata-kata Safwan buat aku tergamam. Aku tahu isi hatinya tapi aku tidak mampu berbuat apa-apa, aku hanya mampu menganggapnya teman baikku buat masa ini.

“Cukuplah Wan, tak payah ungkit lagi semua tu, ok?” pintaku padanya.

“Ila, sampai bila Ila nak buat Wan tertunggu macam ni? Tak mampukah Ila balas cinta Wan ni?” nada Safwan berubah serius.

Sekali lagi aku kehilangan kata. Terdiam membiarkan suasana hening.

“Ila, Ila ada lagi ke kat situ?” suara Safwan kedengaran semula.

Perlahan aku menarik nafas.

“Ada. Wan,” aku membalas perlahan. “Ila mohon sangat, jangan tanya soal hati Ila buat masa ni boleh?”

“Tapi...” Safwan cuba mempersoalkan.

“Ila sedang cuba membuka hati Ila buat Wan tapi Ila sendiri tak pasti bila hati ni mampu menerima Wan, selagi Wan terdaya Wan tunggulah, tapi kalau Wan dah jumpa insan yang lebih cocok buat Wan, Wan terimalah dia. Ila tak kisah asalkan Wan bahagia,” aku segera memotong katanya dan menjelaskan isi hatiku yang terbuku dengan harapan Safwan mampu menerima alasanku ini.

Safwan terdiam seketika, hanya desahan nafasnya yang kedengaran.

“Baiklah Ila, Wan sanggup tunggu sampai Ila terbuka hati, Wan sanggup tunggu sampai akhir hayat Wan, Wan sanggup Ila.”

Aku terkedu, yakin sungguh Safwan dengan keputusannya, membuatkan aku berasa sungguh terharu. InsyaAllah Ila akan bukakan hati Ila buat Wan, aku membulatkan tekad.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari itu aku ke sekolah dengan semangat baru walaupun badanku terasa lemah. Rasa bersemangat untuk melupakan segalanya berkaitan Iman dan meneruskan kehidupanku seperti biasa, seperti saat sebelum bertemu Iman semula. Aku juga tekad untuk menanamkan cintaku pada Safwan setelah melihatkan kesungguhannya untuk mendapatkan cintaku.

“Ehem, termenung nampak.” Aku yang sedang duduk ditempatku saat itu tersentak dengan teguran itu. Safwan sedang berdiri di sebelahku sambil tersenyum. Kerusi di tempat Cikgu Salima di sebelahku segera ditarik lantas dia duduk disebelahku.

Safwan merenungku dalam-dalam. Aku jadi malu diperlakukan begitu.

“Apa? Kenapa tengok Ila macam nak telan?” aku menyoalnya yang masih merenungku.

Pantas Safwan tersengih. “Saja suka tengok Ila, Ila cantik hari ni,” pujiannya kusambut dengan senyuman.

“Merepek jelah Wan ni. Wan tak ada kerja ke datang kacau orang ni?”

“Tak ada, kelas mula pukul 9 hari ni. Sempat la kacau buah hati dulu...” derai tawanya pecah. Aku hanya tersenyum, tak mampu membalas apa-apa.

“Nanti seminggu Wan kursus kat luar, tu yang Wan nak tengok Ila puas-puas, buat hilangkan rindu. Petang nanti dah nak berangkat.”

“Ceh, mengada la Wan ni, baru pergi seminggu dah nak rindu-rindu,” aku segera beralih memandang komputer yang sedang terbuka.

“Ila, betul ni, mesti Wan rindukan Ila nanti, Ila jaga diri baik-baik tau. Nanti tak ada orang nak tolong tengokkan Ila kat sini.”

Aku tersenyum, memang itulah sifat Safwan, selalu mengambil berat tentang diriku, sering risaukan perkara yang aku sendiri tidak fikirkan.

“Walaupun Wan tak ada, Ila boleh jaga diri Ila sendiri. Ila bukannya budak kecil, Wan,” aku menoleh pada Safwan dengan wajah yang serius.

Safwan menghela nafas. “Yelah tu, Wan cuma risaukan Ila saja.” Aku menggelengkan kepala seraya tersenyum.

Petang itu aku masih sibuk dengan kerjaku,aku ingin segera habiskan kerana besok sudah bermula cuti semester selama dua minggu, risau kerjaku tertangguh dalam tempoh masa itu, jadi aku bercadang untuk menghabiskan kerjaku sebelum cuti bermula. Aku malas hendak ke sekolah pada waktu cuti, kerana ingin menggunakan masa cutiku dengan berehat di rumah saja tanpa memikirkan soal kerja. Terasa penat sungguh sepanjang minggu ini, apatah lagi ditambah dengan pertemuanku dengan Iman semula, semua perkara ini begitu membebankan jiwaku, aku memerlukan rehat yang panjang.

Aku rasakan badanku terasa kian panas, entah mengapa aku sendiri tidak pasti. Kepalaku pula kian berdenyut-denyut kesakitan. Kerja yang sedang kusiapkan kutolak ketepi, tak mampu menghadap kerja itu lagi dalam keadaan badanku yang lemah dan kepalaku sakit sebegini. Paracetamol yang tersedia dalam tas tanganku segera kugapai dan kutelan, tak mampu rasanya menanggung sakit kepala yang kian mencengkam. Dari semalam aku dapat rasakan badanku lemah dan panas tapi aku malas menghiraukan kondisi itu kerana menganggap ia hanya sementara.

Terasa mengantuk pula seusai menelan tablet itu, ditambah dengan badanku yang lemah, pandanganku terus terasa kabur, mataku terasa begitu berat sekali untuk dibuka lagi. Perlahan aku menutup mata, ingin melelapkan diri buat seketika dengan harapan dapat menghilangkan sakit di kepala yang kian mencengkam.

Suka? =)

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!