~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, June 18, 2012

Novel : Kau Imamku Bab 2



Aku mencapai botol susu segar yang berada di dalam peti ais, lalu kutuang sedikit airnya ke dalam gelasku. Gelas yang sudah terisi air susu itu kubawa ke meja yang tersedia di dalam dapur, menghirup susu segar itu bersama roti.
“Dah nak pergi kerja dah?” sapaan ibu dari belakang, buatkan mataku mengekor langkah ibu yang sudah mengambil duduk di depanku.
“Aah.” Aku menjawab sambil mengunyah roti yang sudah kusapu Nutella. Sedap betul! Hehe.
“Dah fikir pasal apa yang ibu cakap semalam?”
Mataku terkebil-kebil mendengar soalan dari ibu itu. Otakku ligat memikir, apa yang ibu katakan semalam.
“Pasal apa ni, bu?” aku akhirnya menyoal, setelah tidak dapat menangkap maksud persoalan ibu sebentar tadi.
Ibu tersengih, jemarinya sudah menggapai karipap di dalam piring di hadapan kami. Karipap itu dikunyah sedikit sebelum dia kembali memandang aku.
“Tak nak ke, jadi menantu orang sebelah?”
Mataku membulat. Terkejut, apabila soalan yang tidak masuk akal itu, sekali lagi ibu tanyakan. Terbantut terus selera aku. Balang Nutella yang terbuka, kututup rapat.
“Apa yang ibu dok merepek lagi tengah-tengah pagi buta ni?” aku sedikit membentak. Ibu cuma senyum, sambil matanya melihat ke atas, seolah sudah membayangkan masa depanku yang aku sendiri tidak fikirkan.
“Ibu rasa bertuah sangat, kalau sesiapa dapat bermenantukan anak Kak Jah tu, Aisya.” Ibu bukan main lagi dok berangan.
Aku bangun, membawa gelas yang sudah kosong isinya ke sinki, pantas dibasuh sebelum aku duduk kembali menghadap ibu.
“Ibu, tak payahlah berangan nak bermenantukan mamat tabligh tu. Aisya tak nak la! Aisya kan dah ada Azzam...” aku mencebik.
“Mamat tabligh?” ibu ketawa tiba-tiba, bila mendengar panggilanku kepada pemuda sebelah rumah itu.
“Nama dia Afham la. Muhammad Afham Nuruddin.” Ibu menjelaskan, tanpa kupinta.
“Eleh, Aisya tak tanya pun.” Aku menjuihkan bibir. Rimas apabila, ibu asyik teringatkan jiran sebelah. Ibu ketawa, sebaik melihat wajahku yang cemberut. Kepalanya digeleng perlahan.
“Iyelah, iyelah, ibu tak tanya dah pasal tu. Anak ibu ni, ibu nak bagi kahwin dengan orang yang baik pun tak nak.” Ibu bersuara lembut, cuba memujuk aku lah tu! heh!
Aku menghela nafas, tidak tahu apa yang sudah menyampuk ibuku, hingga asyik terfikirkan jiran sebelah. Sebelum ni, tak ada pula ibu cuba kenenkan aku dengan sesiapa, walaupun ada juga orang yang bertanyakan aku pada ibu. Ini dapat saja jiran stok-stok alim, ibu terus tak senang duduk.
“Ibu, orang tu baru saja duduk kat sebelah ni, kita tak boleh baca lagi hati budi dia orang. Dengan berpakaian macam tu, tak bererti mereka tu sempurna, bu. Dan orang macam kita yang tak terlalu ekstrim ni, bukan bererti kita tak kuat pegangan agama. Kan ibu? Aisya tak suka ibu dok kenenkan Aisya dengan dia, sedangkan ibu tahu yang Aisya dah ada Azzam.” Aku menegaskan. Wajah ibu berubah riak, dia cuma diam mendengar aku berkata.
Perlahan aku bangun dari dudukku, lalu memeluk ibu dari belakang.
“Aisya minta maaf tau, kalau ibu terasa dengan kata-kata Aisya. Aisya harap ibu faham, Aisya sayang ibu sangat-sangat.” Aku memeluk ibu dengan lebih erat, tidak mahu ibu terasa dengan ketegasanku tadi. Perlahan bibir ibu, mengorak senyuman. Lenganku yang melingkar di lehernya, diusap lembut.
“Ibu pun sayangkan Aisya. Ibu tak ada niat langsung nak paksa kamu. Ibu cuma berkenan aja tengok budak Afham tu, entahlah kenapa, tapi memang ibu rasa suka, teringin nak bermenantukan orang baik-baik macam tu.”
“Bukan ibu sorang, makcik-makcik kat kawasan ni pun, mesti berkenan jugak. Anak muda alim yang macam ustaz-ustaz ni, memang jadi pilihan utama dalam senarai menantu pilihan mak mertua zaman sekarang ni, bu.” Aku ketawa kecil, buatkan ibu turut ketawa.
“Eh betul ke? Kalau macam tu, ramai la pesaing ibu eh? Kalah teruk kita nanti, Aisya.”
Aku jeling ibu, dok mengharap lagilah tu.
“Kita dah kalah sebelum bertanding la, ibu. Aisya tak nak bertanding pun. Ingat eh, Aisya dah ada Azzam, ibu. Azzam.” Aku sengaja menekankan perkataan Azzam itu, agar ibu bisa ingat yang anak bongsunya seorang ni, dah ada calon suami! Haha.
Ibu tarik muncung sedepa. Mungkin merasakan impiannya sudah jauh melayang. Aduh! Ibu aku seorang ni, kalau dah berkenan pada sesuatu, asyik terbayang-bayang aja. Macam dia berkenankan beg tangan berjenama dekat pasaraya tempoh hari la. Sampai termimpi-mimpi, tapi tak sanggup nak beli, takut ayah marah. Akhirnya, aku yang belikan beg tu, sebagai hadiah hari ibu. Bukan main happy lagi ibu masa tu, dah macam menang loteri aja gamaknya. Eh loteri haram! Haish Aisya, tolong bagi perumpamaan yang elok sikit!
“Kalau macam tu, nanti kamu tanyalah Azzam, bila nak bawak rombongan. Dah lama ibu tunggu ni, kalau lambat jugak kang, ibu offer kat jiran sebelah!” kata-kata ibu itu buat aku menelan liur. Bawak rombongan? Aduh!

Kusut betul! Macam mana nak tanya Azzam ni? Aku kan perempuan, takkanlah aku terhegeh nak soal dia, sedangkan dia yang sepatutnya fikirkan hal ni terlebih dahulu, bukannya aku.
“Assalammualaikum, Aisya.” Suara perempuan yang menyapa sebelum sempat aku membuka pintu kereta, buatkan aku berpaling. Alamak! Makcik jiran sebelah!
“Waalaikumussalam, makcik.” Aku tersenyum kelat, tidak menyangka, makcik Jah itu menegurku pagi-pagi ini.
“Tak payah panggil makcik, panggil saja ummi. Ya?” Lembut Makcik Jah bersuara. Erk! Ummi? Aduh! Naik pangkat la pulak! Mati aku!
Aku tak tahu nak balas apa, cuma sebuah senyuman aku ukir.
“Nak pergi kerja dah ke?”
“Aah, umm... mi...” tergagap aku menyebut, rasa macam betul-betul dah jadi menantu saja gamaknya. Arghh tidak!
“Ummi, Afham pergi dulu ya.” Pemuda bernama Afham itu tiba-tiba saja muncul, dari dalam rumah. Tangan umminya itu digapai lalu disalaminya.
Aku terkesima. Huish! Lain macam pula pakaiannya hari ini, dengan kemeja jalur lengan panjang berwarna putih, dan seluar slack berwarna hitam, serta tali leher yang tampak elegan. Fuhh! Lain benar dari penampilannya semalam. Ini betul ke mamat tabligh semalam ni? aku gosok-gosok mata beberapa kali.
“Aisya...” dia pandang aku sekilas, sambil tersenyum sebelum pantas berlalu ke keretanya. Aku yang terkedu, pantas berlalu ke keretaku juga.
“Saya pergi dulu ya makc... eh ummi.” Aku membetulkan panggilanku semula, apabila melihat, Makcik Jah itu, eh ummi, memandang aku setelah kereta anaknya berlalu pergi.
“Jalan baik-baik ya Aisya, jangan lupa baca Bismillah.” Nasihat ummi itu terus menyentap tangkai jantungku. Hehe malu, lupa nak baca Bismillah tadi.
Aku lambai ummi, sebelum pantas bergerak. Kang lambat, bukannya aku boleh bagi alasan, jiran saya tegur saya tadi bos, lepas tu saya tergamam tengok anak dia pulak sekejap, itu yang saya lambat tu. Choi sangat, Aisya!

Suka? =)

Friday, June 8, 2012

Novel : Cinta Bersaiz XXL! Bab 9


Sudah seminggu berlalu sejak aku bergelar isteri kepada Hadif. Tidak ada apa yang menarik sangat untuk aku ceritakan. Aku masih menumpang di rumah mertuaku, hari-hari berdepan dengan kesibukan melayan ahli keluarga Hadif, membuatkan aku tidak sempat untuk mengenali Hadif dengan lebih dekat. Oh tidak mengapalah, aku ada seumur hidup untuk mengenali dia, dan mungkin juga sampai ke syurga nanti. InsyaAllah!
Hari ini aku mula bekerja selepas seminggu bercuti, pasti banyak kerjaku yang sudah bertimbun, mujur sebelum bercuti, aku sudah selesaikan kebanyakan kerjaku dan menyerahkan tugasku untuk mengajar kelas-kelasku pada guru pengganti.
“Hah, pengantin baru!” Haiza yang menegurku tiba-tiba, hampir saja membuatkan jantungku terhenti. Kus semangat!
“Kau ni Haiza! Nasib baik aku tak kena serangan jantung tadi!” Haiza tersengih.
“Alah, nanti lama-lama kau dapat jugak penyakit tu, campur dengan penyakit tiga serangkai lagi. haha!”
Aku gumam. Pipi Haiza yang tidak seberisi pipi aku ni, aku cubit kuat-kuat. Geram sangat! Suka hati aja dia doakan aku dapat penyakit-penyakit tu, tak sayang mulut betul!
“Adoi! Sakitlah wei! Lepas kahwin, makin garang kau ni eh!”
Aku menjeling saja pada dia. Rasa geram masih belum surut. Tanganku pantas menyusun barang di atas meja, bersedia untuk masuk ke kelas selepas ini. Makin dilayan Haiza ini, makin sakit hati aku ni.
“Ala, tunggulah kejap DD. Janganlah marah, duduklah dulu sembang-sembang. Kan kelas kau start pukul sembilan, sekarang baru lapan empat puluh. Takkan kau nak termenung depan bilik darjah tu kot, tunggu cikgu lain keluar.”
Aku terduduk semula. Malas hendak melayan Haiza, tapi benar juga katanya. Kalau aku keluar awal pun, bukan boleh ke mana. Tak kuasa aku nak meronda satu kawasan sekolah yang tiap-tiap hari aku dok tawaf ni. Bosan!
“Hah! Ada apa lagi?” aku menjeling tajam, bagaikan memberi isyarat supaya Haiza tidak lagi bermulut celupar padaku. Kang aku dah tak tahan, aku cilikan jugak mulut ibu mengandung ni. Haha.
Haiza tersengih sambil angkat-angkat kening.
“Apa?” aku langsung tak mengerti isyaratnya itu.
“Ehem.” Haiza membetulkan suaranya sebelum kembali memandang aku.
“Macam mana?” dia angkat kening semula. Haih! Ini masalah ni, bila tanya soalan sekerat-sekerat ni, dia tak sedar ke aku ni cikgu Bahasa Melayu, kalau dia pelajar aku, dah lama aku suruh berdiri dekat luar, sebab ayat tak lengkap.
“Apa yang macam mana?” aku menyoal kembali, acuh tak acuh sambil meneguk air mineral di dalam botol minumanku. Selalunya aku memang banyak minum air kosong tapi entah kenapa, badan tak turun jugak. Haha.
How’s your marriage life?” Amboi sekali dia bedal soalan Bahasa Inggeris daa. Aku pandang wajah Haiza yang masih tersengih, bahuku kujongket tidak lama kemudian.
“Aik, takkan tak ada cerita kot? Dapat suami sikit punya kacak, takkan tak ada berita langsung untuk dikongsi?”
Aku gelak kecil.
“Haiza, dia kacak ke, tak kacak ke, sama sajalah bagi aku. Janji dia layan aku baik. Sudahlah.”
“Ya itu aku faham, tapi yang aku nak tahu, macam mana hidup kau sekarang? Dia layan kau baik ke?”
Aku angguk perlahan.
“Baik je.” Nada suaraku mendatar, membuatkan Haiza mengerut dahi.
“Bunyi macam tak baik je?” Haiza serkap jarang. Aku senyum padanya, cuba membuang segala telahan dalam mindanya saat itu.
“Baik ajelah. Kau jangan fikir bukan-bukan pulak. Malah, layanan dia tu lagi baik dari apa yang aku harapkan pun. Dia... dia terlampau baik.”
“Habis, kenapa kau macam tak happy?”
Aku mengeluh kecil. Pandanganku kulempar ke luar tingkap, gelanggang bola keranjang di depan, lengang saja.
“Dia terlalu baik la Haiza, sampai aku rasa... macam pelik. Pelik sangat, aku tak tahu dia ikhlas atau tak sekarang ni.”
“Haish kau ni, takkanlah dia tu nak main-mainkan kau pulak. Hal-hal kahwin ni mana boleh buat main.”
Aku menongkat dagu. Benar juga kata Haiza, tapi entah kenapa, hati ini... Hati ni sukar sekali hendak meyakini keikhlasan Hadif. Ah susah...
“Dah lah DD, tak payah difikirkan sangat. Kau ni kalau berfikir, boleh pecah kepala tu dibuatnya. Suka fikir satu benda tu dalam-dalam. Last-last kau jugak yang sakit kepala, kan? Haih!”
Aku ketawa. Ya aku memang begitu.
Stop calling me, DD...” aku menghalakan jari telunjukku pada Haiza, sebelum bingkas bangun. Lagi lima minit kelasku dah nak bermula. Kang lambat, aku jugak tercungap nak panjat kelas 3 Zeta dekat tingkat atas sekali tu.
Haiza cuma ketawa saat aku berlalu keluar dari bilik guru itu. Sengal betul minah tu!

‘Abang tunggu Deeba dekat depan pagar sekolah ni.’ Mesej itu aku baca berkali-kali, tidak percaya. Betul ke ni? Pagi tadi aku datang ke sekolah dengan ibu mertua aku, sebab dia yang mengajak. Takkanlah, balik ni Hadif yang datang ambil? Ah malunya!
Ok-ok, aku bukan malu bersuamikan Hadif. tapi aku yang malu sebab Hadif beristerikan aku. Ok faham tak? Ah abaikanlah.
Aku berjalan dengan dada yang berdebar-debar. Malunya nak jumpa Hadif, di saat para pelajar turut sama bergerak untuk pulang ke rumah masing-masing setelah tamat sesi persekolahan, petang itu.
“Kau balik dengan apa ni, Deeba?” Haiza yang turut berjalan beriringan dengan aku, pantas menyoal sebaik melihat aku turut sama menuju ke arah pagar sekolah, sepertinya. Haiza, seperti biasa, diambil suaminya kerana dia yang sudah sarat dan menunggu masa untuk bersalin itu, sudah tidak larat hendak membawa kereta sendiri.
“Err. Kereta la. Ada kat luar tu.” aku enggan berterus-terang.
“Eh siapa dengan laki aku tu? Fulamak, kacaknya!” Haiza yang bernada teruja, membuatkan aku pantas melihat ke depan. Hadif yang segak berkemeja dan seluar slack, sedang bersandar pada keretanya sambil berbual dengan suami Haiza, Ehsan. Aku dapat lihat beberapa orang pelajar perempuan sedang khusyuk memerhati suamiku sambil berbisik dan ketawa sesama mereka.
“Haiza, lain kali datang kenduri orang, datang awal-awal sikit. Jangan datang masa aku dengan suami aku dah pergi outdoor shooting dah masa tu.”
Haiza garu kepala, tidak mengerti.
“Apa maksud kau ni?”
Aku tergelak kecil seraya menggeleng. Hadif yang sudah menyedari kehadiran kami, pantas melemparkan senyuman.
“Abang.” Aku memanggil, perlahan saja, cukup sekadar didengar Hadif seorang.
“Deeba.” Dia senyum lagi, lalu pantas mengambil beg bimbitku dari tanganku. Aku yang tergamam, hanya membiarkan.
“Isteri saya.” Hadif memperkenalkan aku, pada Ehsan yang memang sedia aku kenali sejak dulu lagi.
“Eh, Deeba isteri awak rupanya. Maknanya saya ada pergilah kenduri awak masa tu.” Ehsan baru tersedar, Haiza yang berdiri di sisi suaminya, tercengang-cengang, masih tidak tahu hujung pangkal.
“Ada apa ni bang?” Haiza menyoal suaminya. Aku di belakang Hadif, terpaksa menahan diri dari ketawa, tak tahan betul tengok Haiza blur saat itu.
“Ini, suami Deeba. Yang kita tak sempat jumpa masa pergi kenduri dia orang tempoh hari tu. Awak la, lambat sangat siap.” Ehsan menjelaskan. Mulut Haiza terlopong, matanya membulat.
“Dah sedia nak balik?” Hadif menyoal, apabila aku lama mendiamkan diri, hanya memerhati telatah Haiza yang tergamam sedari tadi. Lucu benar aku tengok. Eh tak baik betul aku ni.
“Kejap bang.” Aku meminta. Haiza yang sedang menanti Ehsan meletakkan barang ke dalam bonet kereta, pantas aku hampiri.
“Kan aku dah cakap, lain kali datang kenduri orang awal-awal sikit.” Aku berbisik pada Haiza.
“Beb, suami kau ni, lagi kacak bila depan-depan la. Terpana aku tengok.”
“Amboi ayat.”
“Kalau macam nilah, ikhlas ke tak ikhlas, belakang kira DD, janji dia suami kau. Bangga kot, dapat suami sikit punya kacak, berbanding dengan diri kau tu.”
Lengan Haiza aku cubit, membuatkan Haiza mengaduh kecil.
“Padan muka!” Aku ketawa sebelum berlalu ke arah Hadif semula yang sudah membuka pintu untuk aku.
Aku membolos diri ke dalam kereta Toyota Vios putih milik Hadif itu dengan senyuman yang masih terukir di bibir, teringatkan reaksi Haiza saat melihat Hadif tadi. Bukan, aku bukannya bangga memiliki Hadif, cuma aku sedar dia itu kacak, pasti sesiapa yang melihatnya akan terkesima. Dan aku sebagai isterinya, bukanlah bangga dapat memiliki dia, sebaliknya aku berasa segan, sebab terasa sangat tidak layak untuk berada di sisinya.
“Jom pergi makan dulu, nak Deeba?” Hadif menyoal tanpa berkalih padaku. Aku pandang wajahnya yang khusyuk memandu. Wajahnya berseri disinari cahaya matahari yang memancar, buatkan aku terkesima lagi. Betulkah insan di sebelah aku ni, suami aku? Atau aku masih bermimpi?
“Deeba?” soalan Hadif itu membuatkan aku tersedar.
“Err, ikut abanglah, Deeba tak kisah.” Hadif jeling padaku seraya tersenyum. Seolah-olah dia sudah memikir dalam hatinya, ke mana arah tuju kami.

Kakiku seolah terlekat di atas jalan raya, tidak mampu bergerak setelah Hadif memarkir kereta, betul-betul di hadapan sebuah restoren. Restoren itu, tidaklah kelihatan mewah, tapi tampak selesa dan mesra pelanggan. Ada banyak tempat duduk tersedia, namun saat itu sudah ramai pengunjung yang mengisi meja-meja itu, mungkin ramai yang keluar rehat saat ini. Aku malu sebenarnya, hendak masuk berduaan bersama Hadif. Pasti mata-mata yang memerhati membuat andaian yang bukan-bukan, dan mengata betapa tidak padannya aku dan Hadif. Ah!
Hadif pandang wajahku, mungkin pelik kerana aku masih tidak bergerak.
“Jom.” Dia mengajak sebelum mencapai jemariku, dan digenggam erat. Jantung aku rasa macam berhenti berdegup, wajahku sudah merah padam menahan rasa segan. Apatah lagi bila banyak sekali mata yang memerhati kami, melihat Hadif menarikku masuk ke dalam restoren, lantas duduk di salah sebuah meja yang tersedia.
Mataku takut-takut memerhati sekeliling, terasa bagaikan ada bunyi bisikan yang mengatakan betapa tidak sesuainya aku dengan Hadif, di sebelah sana pula terasa seolah ada yang mengatakan yang aku tidak layak untuk dia. Ah! Gangguan ini sangat menyesakkan kepalaku.
“Deeba, Deeba ok ke?” Hadif menyoal sambil matanya merenung anak mataku.
Aku angguk perlahan, cuba membuang pemikiran yang entah apa-apa dalam benakku saat itu. Lama aku berjeda, sebelum aku terfikir untuk menyoal sesuatu pada Hadif.
“Abang...” aku beranikan diri untuk bersuara. Hadif yang baru saja mahu menyelak menu, mendongak memandangku kembali.
“Hmm...” matanya yang jernih, tajam memerhati.
“Err...” aku serba salah hendak menyoal. Nak ke tak nak? Ah soal sajalah!
“Ehm, abang tak segan ke, masuk dalam restoren ni dengan Deeba?”
Hadif mengangkat kening.
“Kenapa abang nak segan pulak?” Hadif menyoal aku kembali. Aduh! Tak faham pulak dia. Aku diam seketika, susah hendak menjelaskan.
“Iyelah, Deeba dengan abang kan... err... macam enggang dengan pipit, tak sepadan. Abang tak segan ke orang tengok abang dengan Deeba?”
“Astaghfirullah hal azim, Deeba!” Hadif beristighfar panjang, buatkan aku sendiri terkejut bila lihat dia terkejut sampai macam tu sekali.
“Deeba isteri abang, Deeba. Kenapa abang perlu segan pulak?” Aku diam. Tidak berani menjawab.
“Deeba, Deeba pandang abang sekarang.” Aku yang sudah tertunduk, memandang wajahnya semula.
“Abang tak kisah apa pandangan orang lain tentang kita, Deeba. Yang penting sekarang, Deeba isteri abang, dan abang bangga punya Deeba sebagai isteri. Ingat tu.” Hadif mengelus jemariku lembut. Air mataku rasa nak menitik, tapi aku tahan.
“Dah-dah, jangan fikir lagi. Jom makan, abang dah lapar ni.”  Hadif buat muka, sambil memegang perutnya, membuatkan aku ketawa kecil.
Ya Allah, benarkah ada insan sesempurna ini ya Allah? dan kenapakah aku yang terpilih untuk Kau hantarkan insan sebaik ini, ya Allah? Wajah Hadif aku tatap dengan rasa penuh syukur. Silalah berhambus jauh-jauh wahai rasa curiga!

Suka? =)

Friday, June 1, 2012

Novel : Kau Imamku Bab 1



I tunggu tempat biasa. Jumpa kat sana ya, mama!
Mesej itu aku baca dengan senyuman yang tak lekang dari bibir. Hujung-hujung minggu macam ni, barulah boleh berjumpa dan berdating dengan buah hati. Kalau hari lain, masing-masing sibuk dengan kerja. Dah nasib...
Aku melihat ke dalam cermin setelah telefon bimbitku kuletak kembali di atas meja solek, bibirku terukir senyum. Wajah sudah berpalit mekap dengan mata yang bercelak tebal, bibir berwarna merah jambu terang dan pipi disapu pemerah pipi. Haha! Sangat remaja gitu.
Aku bangun pula bagi melihat keseluruhan diriku di cermin solek ini, skinny jeans berwarna biru gelap dipadankan dengan blaus labuh merah polka dot juga jaket baldu itu memang menyerlahkan lagi gayaku sebagai anak dara muslimah zaman moden. Selendang satin dililit ke kepala dengan gaya ala Hana Tajima. Barulah stylo!
Hmm cantik jugak aku ni kan? Haha. Perasan sungguh la cik Aisya Humaira sorang ni. Kih kih kih.
Selepas membetulkan sedikit, tudung yang herot, aku pantas menggapai beg sling berwarna merah jambu terang kesukaan aku itu, sebelum aku keluar dari bilik itu. Azzam pasti dah nak sampai ke pusat membeli-belah itu, aku tidak mahu lewat.
“Ibu, orang pergi dulu ye.” Aku melaung pada ibu yang sedang sibuk di dapur, sebelum keluar dari rumah itu. Biasalah, ibu tidak marah kalau aku hendak ke mana-mana, asalkan pandai jaga diri, sudahlah.
Aku membuka pintu Proton Preve milikku itu lantas meletakkan beg slingku ke dalamnya, menghidupkan enjin lalu keluar semula dari perut kereta. Pintu pagar yang masih bertutup rapat, segera aku hampiri, kunci di tangan pantas kubelek, mencari kunci bagi mangga pagar itu.
“Assalammualaikum...” satu suara garau kedengaran dari arah depan, membuatkan aku pantas mendongak. Seorang pemuda, berjubah dan berserban sedang berdiri di hadapan pagar rumah. Wajahnya jernih, janggutnya sejemput saja, dia tersenyum tapi macam tak beria sangat, namun masih manis. Eh apasal aku renung dia pulak ni! haish!
“Cik, tumpang tanya...”
 Ish, tabligh mana pulak ni? nak mintak derma ke?
 “Err. Tak apa, saya tak nak beli apa-apa. Saya dah lambat ni. Maaf ya.” Aku cuba lari, kang tak pasal-pasal dia bagi tazkirah sedas sebelum minta derma. Biasalah tabligh-tabligh ni, bersembang tak nak kalah. Tazkirah je memanjang.
Aku cepat-cepat membuka pintu pagar, lalu berlari masuk ke dalam kereta semula. Pandang cermin pandang belakang, nampak jejaka itu masih tegak di situ, tapi dia sudah berdiri sedikit tepi, bagi memberi laluan pada aku ini agaknya. Ah seram aku tengok dia ni, dah lah berjubah putih tengah-tengah rembang ni.
Hish, dari aku fikirkan dia ni, baik aku cabut. Kang tak pasal-pasal Azzam merajuk pulak sebab aku lambat. Laki tu pun bukan main lagi rajuknya, kalah perempuan. Hehe. Sebaik kereta aku melintasinya, aku lihat dia sempat tersenyum dan mengangkat tangan. Amboi bukan main budiman lagi. Heh!

“Kenapa lambat mama?” Azzam mencebik saat aku menghampirinya yang sedang menunggu di hadapan pintu masuk panggung wayang, di tingkat paling atas di dalam pusat membeli-belah itu.
“Ala papa, janganlah marah mama. I’m sorry. Tadi, kat rumah tu, ada tabligh mana entah, orang dah kalut, time tulah dia datang mengganggu.” Aku buat muka kesian. Azzam ketawa kecil lantas merangkul pinggangku erat. Aku cuba melonggarkan pautan itu, wajah sudah merona merah biarpun bibirku menguntum senyum.
“Dia tanya apa-apa ke? Entah-entah dia nak mengorat mama tak?”
“Ish papa ni, tak ada masa lah mama nak layan dia tu. Mama cepat-cepat blah dari situ sebelum dia soal banyak.”
“Hah! Macam tu lah sayang papa!” Azzam mencuit hidungku pula, buatkan aku tersenyum simpul.
“Dah, jom! Tengok wayang. Nak tengok cerita apa ni?” Azzam menyoal sambil merenung mataku dalam-dalam. Haish jejaka sorang ni, selalu nak bikin hati aku cair tau!
“Tak tahu. Ikut papa ajelah.” aku mengukir senyum.
Azzam memandang ke atas, seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Kalau macam tu, kita tengok Ombak Rindu la. Nak?”
“Nak!”
Azzam tersenyum seraya terus memaut jemariku erat, lalu menarikku ke kaunter pembelian. Tidak sekalipun pautan jemarinya dilepaskan dariku. Ah bahagianya, rasa macam dilindungi sangat!

Seronok betul tengok Ombak Rindu, bukan main romantik lagi. Kalaulah aku jadi Izzah, dan Azzam jadi Harrisnya. Wah! Bahagia hidup. Romantik betul!
“Tuhan tolong, lembutkan hati dia... lalalala...” aku berlagu kecil saat turun dari keretaku petang itu. Lepas berdating seharian, rasa tenang terus hati ni. Haha. Dah tak fikir dah pasal stres kerja.
“Baguslah. Ada jugak jiran saya, kalau tidak, sunyi aje sebelah ni. Tak ada siapa.” Aku dengar suara ibu, disusuli dengan suara orang ketawa. Haih! Baru aku keluar sekejap, ibu dah dapat kawan? Hebat!
Aku jenguk ke laman rumah, ibu sedang duduk bersantai dengan seorang wanita yang kelihatan hampir sebaya dengan ibu, tapi berjubah dan bertudung labuh macam ustazah. Di sisinya pula ada seorang pemuda. Erk! Mamat tabligh tadi! Buat apa dia dekat rumah aku ni?
“Ah Kak Jah, ini anak saya yang bongsu, Aisya. Kakak dengan abangnya yang lain semua dah kahwin... Tinggal dia aja yang duduk dengan saya.” Ibu pantas bersuara sebaik melihat aku menghampiri mereka yang sedang duduk di meja bulat di laman itu.
Aku tersenyum sebaik makcik yang dipanggil Kak Jah oleh ibu itu melihat wajahku sambil melemparkan senyuman.
“Makcik...” tangannya aku gapai dan aku cium sebelum aku melakukan hal yang sama pada ibu, lalu meminta diri untuk masuk ke dalam. Mamat tabligh tadi sempat kujeling, dia cuma tunduk memandang lantai, langsung tidak memandang aku. Baguslah, jaga mata. Huh!
Sebaik ibu muncul di depan pintu, aku terus menerpa. Televisyen yang sedang memainkan slot Samarinda, sempat kuperlahankan volumenya.
“Siapa tadi tu ibu? Dia orang nak bukak pusat tahfiz kat sini ke?”
“Ish kamu ni Aisya! Itukan jiran baru kita. Dia orang baru je pindah dekat rumah sebelah ni.” Ibu menunjuk ke arah sebelah.
“Rumah sebelah ni?” aku memandang ibu dengan pelik. Masih blur.
“Aah la. Rumah mana lagi sebelah kita ni. Kan itu je rumah yang ada.”
Aku garu-garu kepala. Betul jugak, kan ini rumah teres berkembar, mana ada jiran lain dah. Yang ada pun, dekat tepi sana nun! Tapi rasa pelik pulak, dah lama rumah sebelah ni, tak ada siapa yang duduk sejak kami pindah ke kawasan perumahan ni tiga tahun lalu. Tiba-tiba saja dah ada jiran.
“Lepas ni, kamu kena jaga adab sikit Aisya. Jiran kita tu orang baik-baik.” Ibu bersuara sambil melabuhkan punggung ke atas sofa, televisyen yang sudah kurendahkan volumenya, direndahkan lagi oleh ibu. Biasalah ibu, takat itu pun dia rasa dah kuat suaranya padahal aku apa pun dah tak dengar.
Aku memandang ibu dengan dahi berkerut.
“Habis, kita ni tak baik ke ibu?” Ibu segera menoleh padaku lalu tergelak kecil.
“Bukan itu maksud ibu, cuma dia orang tu, lain sikit dari kita. Alim-alim keluarganya. Jangan dok buat perangai buruk sangat depan dia orang Aisya, nanti ibu yang malu.”
Aku mencebik. Eleh, macam la pakai macam tu dah membuktikan mereka tu memang baik dalamannya, dan dah melayakkan dia orang masuk syurga. Huh! Eh Aisya! Kenapa buruk sangka ni? Cis syaitan, pergi!
“Orang pandailah jaga diri, ibu. Ingat orang ni cetek sangat ke ilmu agamanya?” aku tersengih, alat kawalan jauh segera aku gapai, nak kuatkan kembali suaranya. Barulah seronok nak tengok cerita, biar bunyinya dengar macam duduk dalam panggung wayang. Eh panggung wayang? Teringat Ombak Rindu tadi. Hehe.
“Haih! Dah-dah. Maghrib dah lama masuk ni, dok kelek remote control tu lagi buat apa? Pergi solat!” ibu tiba-tiba merampas alat kawalan jauh itu dari tanganku.
Aku tarik muncung sedepa.
“Ala... sejak bila ibu dah jadi ustazah pulak ni. Kejap la. Lagi sikit nak habis cerita ni.”
“Ah tak kira. Pergi sekarang, tak elok tengok tv Maghrib-Maghrib ni.” Ibu pantas menutup televisyen lalu bangun untuk berlalu.
“Amboi ibu, baru dapat jiran stok-stok alim, dah insaf ye bu.” Aku ketawa mengekek.
“Aisya Humaira!” ibu menjerit kecil, namun aku sudah pecut macam lipas kudung, mencicit naik ke atas bilik. Tunaikan solat dulu ya, kawan-kawan. Hehe.

Mulut aku terlopong. Doktor? Ni betul doktor ke, bomoh perubatan Islam?
“Biar betul ibu!” terkejut aku bila ibu buka mulut tentang jiran sebelah ni saat kami sedang makan malam, malam itu. Ayah cuma diam menghadap makanan. Biasalah, ayah memang diam orangnya. Kalau nak marah aku, barulah bergegar satu rumah. Hahaha.
Ibu tersengih, seolah dapat membaca fikiranku.
“Habis, kamu ingat doktor kena pakai kemeja je sepanjang masa, berkaca mata cermin tebal, lepas tu stetoskop kena lilit dekat tengkuk?”
“Amboi ibu, sampai stetoskop pun ibu tahu? Hebat!”
Ibu ketawa kecil.
“Habis, Aisya ingat ibu ni kolot sangat ke?”
Aku ketawa kecil.
“Ish! Mana ada, ibulah paling up to date dekat taman ni tau! Hehe.”
Mamat tabligh kat sebelah ni, doktor rupanya? Haish pelik tapi benar ni. Ibu ni kan, cepat aja dia korek habis salasilah jiran sebelah ni. Teruja betul dia dapat jiran baru kan?
“Haih, kalau dapat jadikan menantu pun bagus jugak, kan bang?” ibu menyoal pada ayah yang diam sedari tadi.
“Uhuk!” tersedak aku dibuatnya saat ibu berkata begitu. Air di dalam gelas, kuteguk habis dalam satu nafas. Huh semput dibuatnya!  
Ibu ketawa kecil, sambil menunjukkan tanda bagus padaku.
“Memang bagus dapat menantu macam tu, tapi sudi ke dia orang nak jadikan anak awak ni sebagai menantu? Asyik keluar dating aje kerjanya...”
Aduh bernanah telinga aku, dengar perlian ayah. Bukan aku yang terhegeh sangat nak bersuamikan mamat tabligh tu, ibu yang buka mulut, bagi cadangan yang entah apa-apa tu. Aku memang tak hingin pun sebab dalam hati aku cuma ada Azzam, buah hati pengarang jantung aku tu. Ah geramnya!
“Yelah, kalau dia jadi menantu kita, baiklah sikit anak awak ni Encik Ariff oi!” ibu memulangkan paku buah keras. Aku kat tengah-tengah, diam seribu bahasa. Bercakap, macamlah aku ni teruk amat! Adeh! Diam ajelah, nak buat macam mana. Aku kan anak. Sabar ye Aisya. Sabar!
“Hmmm.” Isyarat dari ayah, bila dia sudah malas hendak membalas kata-kata ibu. Makanan di hadapannya, dijamah semula seolah tidak ada apa yang berlaku tadi.
“Macam tu, bolehlah Aisya kan?” ibu tersengih.
“Ibu!!!” aku menjegilkan mata sebelum menghabiskan makananku dengan cepat. Malas hendak layan angan-angan ibu yang tidak berkesudahan. Lagi dilayan, lagi parah ibu ni. Adoi!
Haish! Ini semua jiran sebelah punya pasal!

Suka? =)

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!