~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Friday, January 16, 2015

Cerpen: BAH: Biarkan Aku Hidup



PENAFIAN
Cerpen ini hanyalah sekadar imaginasi penulis mengenai banjir yang sedang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, Perak dan Selangor baru-baru ini. Sekadar menjadikan kejadian-kejadian yang berlaku sebagai inspirasi dan bukanlah menceritakan keadaan yang sebenar. Segala persamaan adalah tidak disengajakan dan tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau mati. sekadar terkesan dengan keadaan di sana dan ingin meluahkannya melalui penulisan ini.

Maaf juga andai penulisan ini tidak menepati dan tidak sama dengan keadaan di sana kerana ini hanyalah berdasarkan imaginasi penulis semata-mata tanpa mengalaminya sendiri. harap segala salah silap dapat dimaafkan.

harap bermanfaat dan membuka mata pembaca untuk sama-sama menyumbang kepada mereka yang memerlukan. Semoga segala urusan mereka dipermudahkan dan kita juga dapat meringankan beban mereka. Amin!

----------------------------------------------------------

HARI 1
AKU mengalih pandang ke arah telefon bimbitku yang sedang berbunyi nyaring menandakan ada panggilan yang masuk. Perkataan ‘Ibu Tersayang’ yang tertera di skrin, membuatkan aku lekas menjawab panggilan.
            “Assalammualaikum, ibu.”
            “Waa’laikumussalam. Anak ibu tengah buat apa lagi tu? Bila nak balik sini? Dah hampir dua minggu cuti sekolah, tapi kamu masih duduk dekat sana. Tak rindu ibu ke? Dah nak jadi penduduk tetap dekat sana ke?” soalan bertalu-talu keluar dari mulut ibu di corong sebelah sana. Aku hanya sekadar tersenyum dan menggeleng, tahu ibu risaukan aku.
            “Ibu janganlah risau, minggu depan Dini balik. Minggu lepas, Dini sibuk uruskan kem untuk pelajar, minggu ni pulak Dini nak uruskan kerja-kerja yang tertunggak sebelum cuti panjang. Ibu pun tahu kan pasal ni.” Aku cuba memujuk ibu dengan menjelaskan duduk perkara yang sebenar. Sungguh bukan aku tak rindu nak balik ke rumah, apatah lagi sudah lama aku tidak pulang setelah ditukarkan mengajar di sekolah ini.
            “Ibu tahu kamu tu sibuk kalah menteri, cuma ibu risau kamu seorang dekat sana. Kalau musim persekolahan tak apalah, ramai pelajar dekat situ. Ini kamu seorang saja dekat rumah warden tu.”
            “Ya ibu, Dini tahu ibu risau. Insya-Allah tak ada apa-apa. Ramai lagi cikgu yang belum balik bercuti, rumah orang kampung pun dekat je dengan sekolah ni, ibu. Lagipun sekolah ni yang paling selamat dekat kawasan ni tau, siap ada pak guard.” Aku ketawa, cuba mengurangkan gundah hati ibu.
            “Iyelah. Kamu tu memanglah, dari kecil lagi berani sangat.”
            “Minggu depan Dini balik ya, ibu. Janji!” aku mengangkat tanganku tanda berikrar walaupun ibu tak nampak.
            “Hmm. Yelah. Jaga diri.”
“Baik, ibu. Dini sayang ibu.”
“Ibu pun sayang Dini.”
Aku meletakkan kembali telefon bimbitku di atas meja sebelum melepaskan pandangan keluar dari bilik guru di tingkat dua bangunan sekolah ini. Suasana kampung yang damai menjamu mata walaupun langit kelihatan gelap sahaja, hendak hujan barangkali. Perlahan aku menghela nafasku sebelum bibirku mengorak senyum.
“Ehem.” Bunyi deheman membuatkan aku segera berpaling dan terlihat kelibat Ustaz Fatah sedang bersandar di pintu.
“Eh ustaz.” Aku tergamam.
“Tak balik lagi, cikgu?” Ustaz Fatah menyoal sambil matanya liar memerhati sekeliling bilik itu. Mungkin mencari kelibat orang lain, namun sememangnya hanya aku seorang sahaja yang ada di situ, saat itu.
“Belum. Ada benda lagi nak settle.” Aku tersenyum tipis.
“Oh ye ke? Tak apalah, cikgu sambunglah kerja tapi jangan lewat sangat, hari dah gelap ni. Macam nak hujan lebat.” Pandangannya ditala keluar pula, mendongak memandang langit. Aku turut sama kembali memandang keluar dan melihat awan hitam menghiasi dada langit saat itu.
“Ya baik, ustaz. Sikit je lagi ni.” Ustaz yang hampir sebaya denganku itu sekadar mengangguk bersama senyuman di bibir sebelum dia berlalu dari bilik guru. Aku melepaskan nafas yang terasa tersekat di dada saat kelibat Ustaz Fatah hilang dari pandangan. Rasa macam nak pengsan saja bila bercakap dengan ustaz tadi.
Kalaulah dia tahu yang aku ini sukakan dia, tak mungkin dia berani bercakap selamba dengan aku sebegitu lagi. Sebab tak mahu dia segan dengan akulah, aku tak mahu cakap. Itu memang teori asas bagi seorang pencinta yang bertepuk sebelah tangan.
Hujan yang mulai turun, aku tidak pedulikan. Kalau hujan lagi saat hendak pulang nanti, payung kan ada. Lebih baik aku siapkan cepat kerja-kerja ini, barulah minggu depan dapat pulang ke kampung dengan aman. Tak adalah bercuti pun teringatkan kerja.
Aku menutup komputer setelah segala urusanku selesai sebelum jam di tangan aku kerling perlahan. Sudah pukul enam petang, tak sangka sudah tiga jam aku berkampung dekat bilik guru ini, aku bingkas bangun dari tempatku sebaik mengemaskan meja. Hujan masih belum berhenti di luar, namun tak mengapalah, aku bisa meredah hujan ini dengan payung kerana rumah warden tempat aku menginap, dekat saja dengan bangunan ini.
Belum sempat aku melangkah, aku terdengar riuh rendah di luar. Dengan pantas aku keluar dari bilik guru itu sebelum aku tergamam. Mulutku terlopong saat melihat keadaan di luar.

JANTUNGKU terasa berdegup kencang tika itu saat mataku menjamah pemandangan luar. Tak sangka dalam masa tiga jam saat aku hanyut dengan tugasku, kampung ini sudah dilanda banjir. Memang aku sedar negeri ini kerap dilanda banjir namun tidak sangka pula tahun pertamaku di negeri ini, aku dapat merasa keadaan ini. Nampaknya air di sungai berdekatan sudah melimpah, sebab itu cepat saja air bah melanda kampung ini. Ah ini bukan satu perkara yang teruk sangat kan? Dapat juga aku merasa bagaimana keadaan sewaktu banjir.
Aku melihat orang kampung meranduk air bah dan mula berkumpul di dalam perkarangan sekolah. Lekas aku menuruni anak tangga untuk melihat sendiri keadaan sewaktu itu. Hujan yang masih mencurah turun, tidak aku hiraukan.
            “Cikgu.” Aku tergamam. Pantas aku menoleh pandanganku ke tepi dan terlihat Ustaz Fatah berdiri di situ, bersama beberapa orang penduduk kampung, mungkin membincangkan sesuatu di koridor itu.
            “Dah banjir ya?” soalku walaupun aku sedar soalan itu sudah terang lagi bersuluh jawapannya. Suaraku aku kuatkan sedikit, melawan bunyi hujan yang masih garang.
            “Aah. Dekat kampung dah naik paras lutut. Kawasan sekolah ni tinggi sikit sebab tu masih selamat. Sekarang semua penduduk di arah berpindah ke sini, sementara.”
            “Pindah?” aku tak sangka pula keadaan sudah teruk sebegitu. Sampai kena pindah ke sini.
            “Ya. Sekolah ni akan dijadikan pusat penempatan banjir sementara. Cikgu pun stay saja dekat sini ya. Saya rasa bahaya kalau cikgu balik ke rumah waktu ni. Hujan masih tak berhenti lagi ni. Risau air makin naik.” Ustaz Fatah menerangkan membuatkan aku kembali tergamam.
“Tapi... saya tak bawa apa ni. Barang apapun tak ada.” Aku kaget.
            “Tak apa, Insya-Allah ada pihak yang akan uruskan semua tu di penempatan ni. Kalau tak cukup juga, cikgu beritahu saja saya. Saya akan uruskan. Bahaya kalau cikgu balik.”
            Aku menghela nafas panjang sebelum mengangguk pada Ustaz Fatah. Mujurlah aku tidak punya banyak barang di rumah, laptopku pun memang aku sentiasa bawa bersamaku.
            “Semua akan berkumpul di dalam dewan, cikgu bolehlah bantu apa yang patut ya.” Ustaz Fatah memberitahu lagi. Aku sekadar membalas dengan anggukan kembali sebelum berlalu meninggalkannya. Dia kelihatan sibuk menguruskan hal ini jadi aku tidak patut menganggunya lagi.
            Aku membawa diri ke dewan sekolah, melihat keadaan yang sudah mulai hingar di sana. Ramai penduduk sudah mula mencari tempat-tempat yang strategik di dalam dewan itu sebelum membentang tikar dan segala apa yang bisa dijadikan alas. Toto dan bekalan makanan juga sudah dibawa sebagai persediaan jika kena bermalam di sini.
Aku menghela nafas untuk kesekian kalinya sebelum mataku menghala keluar dewan. Awan pekat masih memayungi langit kampung ini dan tidak ada tanda matahari akan keluar. Hujan turun mencurah-curah tanpa ada rasa mahu berhenti. Aku benar-benar tidak menduga, dalam sekejapan masa, semua ini boleh berlaku. Sungguh aku tidak percaya.
“Cikgu, marilah duduk di sini.” Suara seorang wanita menerjah gegendang telingaku, membuatkan aku pantas menoleh. Kak Ija, pembantu kantin sekolah yang berusia pertengahan tiga puluhan itu sedang memandangku dengan senyuman manisnya. Di ribaannya, anak kecilnya yang baru berusia beberapa bulan sedang nyenyak tidur.
“Akak pun kena pindah?” aku menyoal saat aku mengambil duduk di sebelahnya. Hanya ada dia dan anak kecilnya di situ saat itu.
“Satu kampung kena pindah, cikgu. Air naik cepat sangat. Akak ni ikutkan malas nak pindah tapi sebab fikirkan anak akak nilah gigih akak datang jugak sini.”
“Suami akak mana?”
“Dia ada dekat luar, tolong tolong apa yang patut.”
“Oh.”
“Cikgu tak balik kampung lagi ke?”
“Itulah, saya ingat nak settlekan kerja dulu baru nak balik. Tak sangka pulak tersekat dalam banjir ni.”
“Tak apalah, cikgu. Pengalaman.”
Aku sekadar mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Kak Ija itu. Pipi bayi kecil di atas ribaannya itu aku cubit, terasa lembut walaupun sejuk. Perlahan aku mengorak senyum, terasa hilang segala rasa gundah sebaik melihat seraut wajah suci itu.

“NAMPAKNYA kita kena pindah ke tingkat dua.” Suara Ustaz Fatah kedengaran setelah beberapa ketika aku duduk di dalam dewan itu. Dia kelihatan cemas dan sibuk mengarahkan semua berpindah ke atas. Beberapa orang penduduk kampung juga ikut serta meminta semua di situ berkemas dan naik ke tingkat atas. Aku lekas mendapatkan dia sebaik sahaja orang lain mula mengemaskan barangan masing-masing.
            “Kenapa ni ustaz? Kenapa kena pindah pulak?” aku menyoal laju.
            “Air makin naik. Dekat luar dah banjir, saya takut air masuk ke dalam. Sebab tu lebih baik semua berpindah ke atas.” Dia menerangkan dalam keadaan cemas. Wajahnya tidak tenang seolah-olah membayangkan keadaan sekarang tidak sebaik apa yang disangka. Aku gumam, mataku memerhati keluar dan melihat air lumpur berwarna coklat pekat sudah mula masuk ke perkarangan sekolah dan hujan masih belum berhenti.
            “Selalu ke jadi macam ni, ustaz?” aku menyoal, ingin tahu. Ustaz Fatah kelihatan terkejut dengan soalanku secara tiba-tiba itu. Dia memandang aku dengan mata yang redup sebelum kembali mengalih pandangannya keluar.
            “Memang kampung ni ada juga berlaku banjir tapi...” Keluhan berat kedengaran dari mulutnya.
            “Selama ni air tak pernah masuk kawasan sekolah sebab kawasan ni tinggi. Saya tak sangka pulak kali ni boleh jadi macam ni sekali. Lagipun selalunya lepas sehari dua hujan tak berhenti baru air naik, kali ni cepat sangat air naik. Jadi saya rasa baik kita ambil langkah berjaga-jaga. Kalau air boleh naik kawasan ini, maknanya... kampung mungkin dah tenggelam.”
            Mataku membuntang mendengar pernyataan ustaz itu. Tapi benar juga, sekolah ini di kawasan yang sedikit berbukit, kalau sekolah ini pun sudah mula dilimpahi air, mestilah keadaan kampung lebih teruk. Nauzubillah!
            “Baik cikgu naik ke atas sekarang. Selamatkan apa yang perlu dulu.”
            Aku mengangguk walaupun hati terasa berat.

AKU termenung sendirian tika itu. Jam di tangan aku kerling lagi untuk kesekian kalinya, sudah menginjak ke angka sebelas malam namun mata tidak mahu lelap. Hati masih dipagut bimbang. Masih ramai yang berjaga saat itu kerana mereka juga seperti aku yang tidak bisa tidur di saat hati gelisah memikirkan keadaan yang kian meruncing. Hujan masih tidak mahu berhenti walaupun sudah berjam-jam awan hitam itu memuntahkan airnya.
            “Cikgu tak tidur lagi ke?” Ustaz Fatah menyapa sambil dia duduk bersila di hadapanku. Aku laju menggeleng namun mataku sudah dialih dari memandang wajahnya. Rasa segan menyelimut jiwa walaupun ratusan manusia berada di dalam bangunan sekolah ini.
            “Belum mengantuk.”
            “Saya tahu cikgu risau.” Dia bersuara, cuba menebak hati aku yang aku sendiri tidak pasti.
            “Insya-Allah mudah-mudahan segalanya dipermudahkan Allah. Harap-harap banjir ini cepat surut.”
            “Insya-Allah, ustaz.”
            “Kalau boleh, tidurlah. Dari tadi saya tengok cikgu gigih uruskan macam-macam. Uruskan hal makanan, hal barang-barang keperluan yang hendak diagihkan. Mesti cikgu penat.”
            Aku tergelak kecil. Tak sangka ustaz muda itu nampak juga aku ini, tapi aku rasa dia yang lebih gigih dari aku tadi.
            “Saya rasa ustaz lagi memerlukan rehat.”
            “Tak apa, saya boleh tahan lagi ni. Kaum lelaki yang sihat dan ada upaya akan berjaga secara bergilir. Nanti saya dah letih baru saya gerakkan orang lain. Cikgu tidurlah.” Ustaz Fatah bangun sebelum berlalu meninggalkan aku keseorangan. Aku kerling ke tepi, Kak Ija dan anak kecilnya sudah hanyut dibuai mimpi. Aku menghela nafas perlahan.
            “Ya Allah, selamatkanlah kami...” mulut aku tidak henti mengulang doa itu sambil merenung langit malam yang hitam pekat dan titik hujan yang tidak henti menangis. Perlahan aku pejamkan mata dalam keadaan duduk dan lututku kurangkul rapat ke dada, ingin berehat barang seketika.

HARI 2
AKU terjaga dari lelapku saat seluar track bottom yang aku pakai saat itu terasa sejuk dan basah. Tersentak aku saat melihat air sudah mencecah ke lantai tingkat dua bangunan sekolah itu. Laju saja aku bangun dan mengejutkan Kak Ija yang masih terlena di sebelah. Beberapa orang penduduk kampung juga sudah mula terjaga dan kelihatan cemas.
            Aku gumam sendiri, petaka apakah ini? Sampai ke tingkat dua pun air bah itu masih bisa sampai. Tak pernah lagi aku mendengar banjir yang tinggi sebegini. Dugaan apakah ini ya Allah?
Jam tanganku aku kerling lagi untuk kesekian kalinya, baru pukul empat pagi tapi air sudah naik sampai ke sini. Aku menggumam, risau, takut, gundah, segalanya bercampur baur menjadi rasa yang tidak enak dalam hati. Aku bingkas mengejutkan yang lain-lain pula dan meminta mereka bertenang walaupun aku sendiri dipagut bimbang.
Suasana menjadi huru-hara saat semuanya dilanda panik. Ada yang menangis, ada yang ketakutan, ada yang merintih hiba, ada pula yang menjerit-jerit dan tak kurang juga yang melaungkan azan dan istighfar. Semuanya terasa seperti mimpi. Adakah aku sedang bermimpi ya Allah? Aku menepuk pipi sendiri dan sedar ini bukannya satu mimpi, sebaliknya realiti yang aku harus hadapi.
Aku bergegas naik ke tingkat empat seperti yang diarahkan pihak pengurusan kerana bimbang akan kejadian yang tidak diingini berlaku sekali lagi. Saat menaiki anak tangga, aku merenung suasana pekat malam yang dihiasi bunyi hujan dan gelombang air yang menghentam bangunan sekolah itu saat ini.
Tangisan demi tangisan bersahutan tak putus kedengaran di telingaku. Bukan sekadar anak kecil tetapi mereka yang dewasa juga tidak terkecuali merasa begitu hiba dan sebak saat mengenangkan apa yang harus mereka hadapi tika itu. Ramai yang tidak boleh tidur kerana gelisah memikirkan keadaan mendatang termasuklah aku.
Azan Subuh yang dilaungkan Ustaz Fatah membuatkan aku tersedar dari lamunan saat menanti hari siang. Aku merenung pakaianku yang sudah kotor berpalut lumpur dari air bah tadi. Ramai juga yang berkeadaan seperti aku, sekadar memerhati sesama sendiri, memikirkan apakah yang harus kami lakukan. Bolehkah kami solat di dalam keadaan was-was dengan kebersihan kami begini?
Bekalan air juga sudah dihentikan sejak siang tadi tanpa sebarang tanda. Hanya air bah sahaja mampu digunakan untuk kegunaan kami sekarang, tidak kiralah untuk diminum mahupun mengambil wuduk walaupun sedar akan risiko yang bisa kami hadapi dengan menggunakan air yang kotor ini.
Aku memerhati Ustaz Fatah dan beberapa orang lelaki sudah mula bersolat walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Aku turun ke tingkat tiga dan mengambil wuduk dari air bah, sekadar membasahkan anggota yang wajib sebelum menyarung telekungku yang memang aku bawa di dalam beg sentiasa yang sudah keperangan bersalut air bah sebelum aku bersolat sekadarnya di dalam bilik yang hanya ada beberapa orang saja di tingkat tiga itu kerana kebanyakan penduduk ada di tingkat empat.
“Ya Allah, aku tidak tahu adakah solat aku ini sah dalam keadaan aku yang kotor ini ya Allah. Semoga Kau terimalah solat dari hambaMu yang serba kedaifan ini ya Allah. Ya Allah, lindungilah kami dari segala mara bahaya dan berikanlah kesabaran kepada kami untuk menempuh bencana ini ya Allah. Rahmatilah kami dan kasihanilah kami ya Allah. Kami hambaMu yang tidak berdaya ya Allah... lindungilah kami ya Allah...” aku hanyut dalam esak tangis saat doa itu aku pohonkan pada Allah. Sungguh aku rasa tidak berdaya saat ini apabila menghadapi keadaan yang sebegini rupa.

“BEKALAN tak dapat dihantar sebab keadaan berbahaya. Pasukan penyelamat yang cuba masuk melalui bot pun tak dapat lepas sebab arus deras.” Kedengaran suara seorang penduduk memberitahu kami petang itu membuatkan suasana hingar kembali. Semua kelihatan cemas dan bimbang. Aku menghela nafas perlahan memikirkan keadaan sekarang.
            Kami sudah hampir keputusan bekalan makanan setelah dua hari berkampung di sini, tiada sumber lain yang dapat kami cari kerana seluruh kawasan ini ibarat sudah menjadi lautan dan hanya bangunan sekolah ini menjadi pulau buat kami berteduh. Dengar khabar, ada juga penduduk yang melarikan diri di atas bukit di belakang sana dan tidak punya bekalan makanan yang mencukupi.
            Penduduk yang masih ada talian telefon juga sudah cuba menghantar pesanan dan meminta bantuan sebolehnya namun hingga kini tiada bantuan yang tiba. Air juga makin naik dan kini separuh tingkat tiga sudahpun ditenggelami air. Hampir tiga ratus penduduk di dalam bangunan sekolah ini kini duduk berhimpit mencari ruang untuk berteduh dan tidak mampu lagi meminta lebih dengan keadaan yang mendesak begini.

“MAKANLAH cikgu. Seharian akak tengok cikgu tak makan apa-apa lagi.” Kak Ija menyuakan padaku beberapa keping biskut malam itu. Aku sekadar tersenyum memandang Kak Ija sebelum mengambil biskut itu dari tangannya. Aku risau bekalan tidak cukup, kerana itu aku mahu anak-anak kecil, orang tua dan ibu-ibu yang makan dulu. Aku yang masih muda dan sihat walafiat ini masih boleh bertahan lagi.
“Terima kasih, kak. Akak dah makan?”
“Dah. Alhamdulillah. Mujurlah biskut-biskut ni ada lagi. Kalau tidak tak tahulah nak makan apa lagi.” Sayu suara kak Ija kedengaran di telinga aku.
“Alhamdulillah, kak. Sabarlah, insya-Allah tak lama lagi bantuan sampailah.” Aku cuba menyedapkan hati kak Ija.
“Harap-harap macam tu lah. Akak tak fikir pasal akak pun, akak kesiankan anak akak je, cikgu. Dia kecik lagi dah kena hadap benda ni.”
“Saya faham, kak. Tapi Allah timpakan ujian ni sebab kita mampu hadapi, jadi saya tahu akak mampu dan sabar hadapi semua ni.”
“Harapnya macam tulah, cikgu.” Aku terdiam, sekadar menggosok bahu kak Ija yang sudah berlinangan air mata memerhati anaknya yang sedang lena di atas ribaan suaminya yang tidur secara duduk bersandar itu. Hatiku dipagut syahdu namun aku cuba kuatkan hati. Biskut di tangan aku jamah dengan perasaan bercampur baur menahan sebak di dada.
Lampu bilik darjah itu padam tiba-tiba membuatkan ramai yang menjerit ketakutan. Kebanyakan dari mereka berpelukan sesama sendiri, cuba mengusir ketakutan dalam jiwa. Hanya itu sahaja petanda bahawa mereka masih ada untuk satu sama lain.  Kak Ija memandang aku dan aku sekadar mengangkat bahu tanda tidak tahu.
Aku bingkas bangun dari dudukku dan berjalan di koridor, menjenguk ke bilik-bilik lain dan situasinya masih sama. Seluruh bangunan ini sudah bergelap, dan mungkin juga seluruh kampung bahkan seluruh daerah sudah bergelap. Ya Allah!
“Cikgu ok?” suara dan cahaya dihadapanku membuatkan aku tersedar dari lamunan. Ustaz Fatah sedang memandangku dengan sebuah lampu suluh di tangannya.
“Ya. Insya-Allah saya ok.”
“Bahaya dekat sini. Baik cikgu masuk ke bilik darjah semula. Apa-apa hal biar kami yang uruskan.” Dia masih kelihatan serius. Aku sekadar mengangguk sebelum satu gegaran kuat membuatkan aku terjatuh.
Ustaz Fatah hampir menerpa pada aku namun perbuatannya terhenti seketika kemudian, mungkin menyedari keterlanjurannya. Aku bingkas bangun, tidak mahu guru Pendidikan Islam itu rasa bimbang.
“Cikgu tak apa-apa?” soalnya cemas. Aku sekadar mengangguk namun mataku teralih pada suasana di luar. Air bah yang mengganas membawa bersama serpihan dari rumah penduduk yang musnah dan menghentam dinding sekolah membuatkan bangunan sekolah ini bergegar seolah dilanda gempa bumi.
“Astaghfirullah hal a’zim. La ila ha illa anta subha naka inni kuntumminazzalimin.” Mulutku terkumat-kamit sendiri saat itu tanpa mempedulikan Ustaz Fatah yang masih berada di situ. Suara raungan dan tangisan dari bilik-bilik yang menempatkan penduduk di situ makin kuat kedengaran. Semua mereka berada di dalam ketakutan, begitu juga aku. Wajah ibu, ayah, Kak Dina dan Din, muncul satu persatu di ruang mata. Betapa aku rindukan mereka. Ya Allah, sempatkah aku bertemu mereka kembali?
Telefon bimbit dari poket, aku keluarkan. Telefon itu sudah kehabisan bateri dan kali terakhir aku lihat, memang sudah tidak ada talian. Kalaulah aku sempat memberitahu ibu yang aku sayangkan dia. Kalaulah... tapi sanggupkah aku beritahu ibu tentang keadaan aku saat ini? Aku tak sanggup biarkan ibu gundah memikirkan keadaan aku. Ya Allah...
“Nah, ambil telefon saya ni.” Suara Ustaz Fatah yang bergetar kedengaran semula membuatkan aku bingkas berpaling. Telefon bimbitnya dihulurkan pada aku membuatkan keningku bertaut, tidak mengerti.
“Telefon cikgu dah habis bateri kan? Telefon saya ada bateri lagi. Saya pasti cikgu belum beritahu keadaan cikgu pada ahli keluarga kan? Cikgu calllah. Mana tahu...” Ustaz Fatah terhenti bersuara, matanya dihala ke hadapan. Gegaran demi gegaran dari arus yang menghentam bangunan ini masih tidak berhenti, namun tidak sekuat tadi.
“Cikgu calllah.” Sayu suara Ustaz Fatah kedengaran tanpa dia menyambung kata-katanya tadi. Aku menyambut telefon itu dengan keadaan yang masih tergamam sebelum nombor telefon rumahku aku dail tanpa banyak soal. Sebaik talian bersambung, barulah aku tersedar ke alam nyata, air mata yang aku tahan selama ini tumpah tanpa mampu dibendung. Aku menangis semahunya sebaik mendengar suara ibuku.
“Dini... Dini ke tu?” suara di sebelah sana kedengaran cemas. Lama aku diam, cuba menarik nafas agar tangisanku tidak lagi berbunyi.
“Ibu...”
“Dini! Ya Allah anak ibu! Dini macam mana? Ibu risau sangat ni, semua orang risau. Takut terjadi apa-apa pada Dini. Dini ok ke nak? Ibu dengar dekat sana banjir.” aku diam lagi.
“Dini! Cakap dengan ibu, nak.”
“Ibu... ” perlahan aku bersuara dalam sebak yang cuba aku tahan.
“Doakan Dini ya. Dini minta maaf sebab banyak buat salah pada ibu. Maafkan Dini sebab ingkar cakap ibu, tak balik kampung sampai sekarang. Maafkan Dini ibu.”
“Apa Dini cakap ni?”
“Kirim salam pada semua, minta mereka semua halalkan dan maafkan salah silap Dini. Kalau Dini tak balik dengan selamat, Dini harap ibu dan semua tahu yang Dini sayang semua. Assalammualaikum, ibu.” Aku menutup talian telefon, tak sanggup hendak berbicara dengan ibu lagi saat sebakku mula bergelora.
Telefon Ustaz Fatah segera aku kembalikan setelah airmataku, aku kesat. Ustaz Fatah hanya diam dan mengambil semula telefonnya tanpa banyak soal.
“Terima kasih, Ustaz.”
“Dah, cikgu masuklah balik ke dalam. Berehat.” Dia memberi arahan, memandang ke arahku sekilas sebelum melangkah untuk berlalu dari situ.
“Err ustaz...” panggilanku membuatkan Ustaz Fatah berpaling semula.
“Ya?” dia menyoal dengan kening terangkat.
Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum memandang ke arahnya semula.
“Saya risau malam ini malam terakhir untuk kita semua, jadi saya tak nak mati dalam keadaan menyesal.”
“Apa cikgu cakap ni?”
Aku menarik nafas lagi dan bersedia untuk bercakap dalam satu nafas.
“Saya suka ustaz. Maksud saya, suka yang baik-baik dan selalu berharap yang ustaz jodoh saya.” Ustaz Fatah tergamam, matanya membulat. Wajahku juga sudah merona merah, dengan pantas aku masuk ke dalam bilik darjah semula, membiarkan ustaz terpinga-pinga di situ. Tidak mahu menunggu dia bersuara kerana rasa maluku sudah menggunung dan aku risau akan kecewa. Sekurang-kurangnya beban yang aku tanggung selama ini sudah rasa terlepas dari bahu dan aku tidak menyesal meluahkan rasaku.

MALAM yang dilalui terasa begitu panjang sekali, mataku tak mampu terlelap walau sepicing dek mengenangkan situasi yang cemas sekarang dan aku pasti kebanyakan dari kami memang tidak mampu tidur. Alunan ayat-ayat suci Al-Quran mengisi segenap ruang diselang seli dengan bunyi tangisan dan rintihan, tiada apa lagi yang kami mampu lakukan selain berserah, meminta pertolongan yang Maha Esa agar keadaan segera pulih dan bencana ini segera hilang juga semua dalam keadaan selamat.
            Air bah sudah menenggelamkan tingkat tiga sepenuhnya, menjadikan tingkat empat satu-satunya bahagian yang selamat untuk diduduki dan andai kata tingkat empat juga tenggelam, maka aku sendiri pun tidak tahu ke mana lagi hala yang harus kami tuju. Ada beberapa orang penduduk kampung sudah menaiki perahu untuk ke atas bukit kerana merasakan sekolah ini tidak lagi selamat namun masih ramai juga yang setia di sini menantikan bantuan hadir. Bekalan makanan juga sudah tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang berlindung di situ, membuatkan semua mengharapkan keajaiban akan berlaku.
            “Kalau air tak surut-surut jugak, mungkin kita terpaksa berenang.” Terdengar suara seseorang berkata.
            “Tapi ramai yang tak tahu berenang!”satu suara pula kedengaran dari arah lain.
            “Kita kena cuba juga selamatkan diri, berpaut pada apa saja peralatan yang hanyut dalam kelas ni daripada sekadar pasrah ditenggelamkan bah ni.”
            Suasana menjadi sayu sebaik mendengar cadangan penduduk itu yang ada benarnya. Semua merasa begitu takut saat itu termasuklah aku. Aku memerhati sekeliling, tak banyak benda yang boleh terapung, dan kalaupun boleh terapung, entahlah boleh menampung berat kami atau tidak. Aku menggumam sendiri. Walaupun tak mahu memikir, namun keadaan mendesak ini buatkan kami terpaksa juga fikirkan perkara yang tidak elok supaya kami dapat bersedia.
            Masing-masing mula berjaga-jaga dengan saling berpegangan tangan dan memegang objek yang dirasakan boleh timbul, juga mulut tidak henti terkumat-kamit mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Apa lagi yang mampu kami lakukan selain menyerahkan sepenuhnya soal nasib diri ini pada Pencipta kami?
                        Ya Allah bantulah kami ya Allah! Pintalah bumiMu menelan airnya dan langitMu hentikan curahan hujannya ya Allah! Ya Allah, biarkan aku hidup ya Allah! Biarkan kami hidup untuk beberapa ketika lagi ya Allah. Janganlah kau ambil nyawa kami pada saat ini ya Allah. Terlalu banyak dosa yang aku lakukan, dan terlalu sedikit pahala yang aku kumpul ya Allah. Berikanlah aku dan mereka ini peluang lagi ya Allah. Sesungguhnya kami ini hambaMu yang lemah ya Allah!
            Aku menutup mata rapat-rapat saat gegaran demi gegaran melanda bangunan sekolah itu seolah-olah bila-bila masa sahaja bangunan sekolah itu akan runtuh. Sungguh aku pasrah andai ini pengakhirannya.

HARI 3

AIR mata hampir saja menitis saat aku menyedari yang aku masih bernafas pagi itu setelah semalamam berperang dengan ketakutan akibat arus deras yang menghentam bangunan sekolah dan air bah yang tidak berhenti melimpah. Cuaca kelihatan baik hari ini dan hujan sudah berhenti dari memuntahkan isinya. Walaupun matahari masih kelihatan redup namun sekurang-kurangnya hujan yang sudah berhenti membuatkan kami masing-masing menarik nafas lega kerana air bah ini tidak lagi mengganas.

            “Kita cuma tinggal beberapa tin biskut saja jadi kalau boleh, utamakan wanita dan kanak-kanak ya. Sesiapa yang demam, boleh dapatkan ubat dari saya ya.” suara Ustaz Fatah yang memberi arahan aku dengar dari jauh dan sekadar memerhatinya dengan rasa segan. Apa entah yang aku luahkan kepadanya semalam dek kerana rasa takut tak dapat bernafas lagi hari ini. Sekarang tak pasal-pasal aku sendiri yang malu. Rasakan!

            “Cikgu ok?” suara yang menyapa di tepi telinga membuatkan aku pantas berpaling. Ustaz Fatah sedang berdiri di sebelahku, entah bila dia berada di situ aku pun tak pasti. Tadi ada saja dia di hadapan sana.

            “Err ok!” Laju saja aku membalas walaupun wajah sudah rasa pucat tak berdarah.

            “Cikgu dah makan ke?” aku sekadar menggeleng.

            “Cikgu makanlah, nanti mereka edarkan biskut.”

            “Tak apalah ustaz. Ada orang yang lebih memerlukan. Saya ok lagi.”

            “Insya-Allah tak lama lagi bantuan sampailah tu.” Ustaz Fatah seolah-olah mahu menyedapkan hati walaupun aku tahu dia sendiri tidak yakin dengan perihal itu. Dia sendiri sampai berpuasa sejak dua hari lalu kerana tidak cukup makanan, dan sekadar berbuka puasa dengan air kosong yang dimasak dari air lumpur. Allah!

Bunyi helikopter yang kedengaran membuatkan mataku membulat, Ustaz Fatah juga kelihatan menyedari bunyi itu dan bergegas keluar. Aku ikut mengekorinya kerana ingin melihat sendiri depan mata, adakah benar seperti yang aku duga. Beberapa orang penduduk juga ikut keluar ke koridor dan melambai ke arah sebuah helikopter yang masih sayup kelihatan dengan penuh pengharapan.

            Helikopter milik tentera itu berlegar-legar di udara namun mereka kelihatan sukar untuk merapati sekolah ini kerana keadaan yang tidak sesuai dan boleh membahayakan keadaan. Seketika kemudian helikopter itu kelihatan berlalu dari ruang udara ini, membuatkan ramai yang menghela nafas kecewa. Aku tahu mereka semua mengharapkan bantuan dan bunyi helikopter tadi pasti memberikan sedikit harapan buat mereka.

            “Tak apa, sabarlah. Insya-Allah nanti mereka akan datang balik.” Suara Ustaz Fatah mententeramkan penduduk di situ membuatkan aku menghela nafas, terasa lega sedikit mendengarkan kata-kata ustaz muda itu.

           

SETELAH helikopter datang siang tadi, beberapa kali juga terlihat kelibat helikopter tersebut melintas namun hingga kini bantuan tidak tiba. Bekalan makanan sudah putus sepenuhnya membuatkan kami semua terpaksa mengikat perut dan sekadar minum air bah yang berlumpur itu. Aku tidak bimbangkan orang dewasa, tapi kanak-kanak, bayi dan warga tua yang kelihatan lemah tidak berdaya. Semoga tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku, tak putus aku berdoa di dalam hati.

            Perut aku yang berkeroncong berkali-kali langsung aku tidak pedulikan dan kesejukan yang menggigit tubuh sekadar aku abaikan. Badan terasa begitu lemah namun aku perlu kuatkan diri demi kelangsungan hidup. Air bah yang sudah dimasak itu aku teguk sedikit, cuba mengisi perut yang lapar.

            “Cikgu tak apa-apa ke?” suara kak Ija kedengaran namun mataku terasa berat hendak dibuka dan mulutku terasa lemah hendak bersuara. Aku sekadar mengangguk. Kak Ija segera menghampiri aku dan memegang dahiku.

“Eh cikgu demam ni.”

“Sikit aje ni kak.” Aku menggeleng, tidak mahu Kak Ija risau pada perkara remeh ini.

“Nanti akak mintakkan ubat dekat ustaz.”

“Ish tak payah kak. Saya ok. Akak tu macam mana? Anak akak ok tak? Kesian dia.” Laju aku menukar topik dan kuatkan diri. Tak mahu kak Ija nampak diriku yang sudah terasa lemah ini.

            “Anak akak ok. Nasib baiklah susu badan akak ada lagi, tak adalah dia kelaparan.”

            “Alhamdulillah, kak.” Aku senyum, cuba menepis bimbang di hati Kak Ija.

            “Mujurlah hujan dah berhenti dan air dah tak naik. Kalau tidak, tak tahulah macam mana keadaan kita. Harap-harap bantuan akan datang secepat mungkin, cikgu.” Kak Ija meluahkan rasanya sambil merenung langit di luar yang sudah menampakkan cahayanya walau dalam kesamaran.

            “Insya-Allah, kak. Insya-Allah.” Aku senyum, cuba memberikan sedikit harapan pada Kak Ija walaupun aku sendiri tidak pasti adakah helikopter itu akan muncul lagi.

Kesejukan malam benar-benar mencengkam membuatkan aku menggigil, entah kenapa malam ini terasa begitu dingin hingga terasa sampai ke tulang hitam. Baju aku yang lembab menambahkan lagi rasa sejuk itu, tubuhku aku peluk sendiri, cuba mengusir kedinginan itu sedikit. Perut yang masih berbunyi-bunyi minta diisi, aku tidak endahkan sebaliknya mataku aku pejam rapat. Berharap hari ini akan cepat berlalu supaya hari esok akan ada harapan helikopter yang membawa bantuan akan muncul kembali.


HARI 4

“CIKGU... Cikgu!” suara yang memanggil sayup-sayup buatkan aku cuba membuka mata namun badan terasa lemah dan mataku terasa begitu berat sekali.

            “Kenapa dengan Cikgu Dini?” terdengar suatu suara menyoal.

            “Dia demam, ustaz. Dari semalam lagi. Badan dia panas sangat dah ni.”

“La kenapa tak bagi makan ubat?”

“Semalam saya nak mintak pada ustaz tapi cikgu tak bagi.” Perbualan di antara Ustaz Fatah dan Kak Ija itu sekadar aku dengar tanpa mampu membalas apa.

            “Cikgu, boleh dengar tak saya cakap ni?” soalan itu aku balas dengan anggukan walaupun pandanganku terasa kabur lagi.

            “Cikgu makan ubat ya, Kak Ija suapkan cikgu. Sekarang ni cikgu berehat dulu, Insya-Allah bantuan akan sampai nanti.”

            Aku diam, namun membiarkan saja seseorang menyuapkan ubat ke mulutku dan menolong aku meminum air.

            “Akak tolong tengokkan dia ya. Kalau makin teruk, panggil saya ya.” suara Ustaz Fatah kedengaran lagi.

            “Cikgu, bertahanlah...” suara Kak Ija yang bersuara di tepi telinga aku dengar dengan jelas namun aku tak bisa membalasnya lagi. Badan terasa begitu sejuk macam berendam di dalam ais, dan seluruh badan terasa lemah macam orang lumpuh.

Bunyi helikopter yang baru saja bergema, kian sayup dari pendengaranku sebelum semuanya gelap dan sunyi semula. Sungguh aku terasa begitu lemah.

           

EPILOG

AKU memasuki perkarangan sekolah yang masih berlumpur itu dengan bermacam rasa bergaul sebati. Tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula namun seluruh kampung dan kawasan sekolah ibarat dilanda garuda. Terlalu teruk untuk dibayang kalau tidak dilihat sendiri dengan mata kepala sendiri. Aku sendiri terasa macam berada di dunia yang asing, seolah berada di negara yang baru dilanda tsunami.

            “Eh, cikgu dah datang?” Ustaz Fatah yang sedang menyodok lumpur di hadapan rumah warden kediamannya menegur aku yang sedang berjalan menuju ke kediamanku di dalam asrama perempuan.

            “Ya, saya ingat nak tolong-tolong sebelum sekolah mula minggu depan.”

            Ustaz Fatah mengelap peluhnya dengan tuala good morning yang terselit di bahunya sebelum tersenyum memandang aku.

            “Saya ingatkan cikgu dah serik nak balik ke sini.”

            Aku ketawa kecil.

“Tak adalah, ustaz. Saya lagi rasa tak sabar nak balik ke sini semula sebab fikirkan keadaan orang-orang dekat sini.”

“Fikir pasal saya ke?” aku menelan liur mendengar soalan ustaz itu.

“Alhamdulillah.” Ustaz Fatah senyum lagi. Aduh, penasaran aku dibuatnya.

“Saya ingatkan ibu cikgu tak bagi dah datang ke mari.” Ustaz Fatah menyambung. Aku terdiam, teringatkan kegusaran ibu tempoh hari saat mahu melepaskan aku kembali ke sini.

“Memang dia risau, tapi saya dah pujuk dia. Insya-Allah dia redha saya balik ke mari. Cuma kena telefon dia setiap harilah.” Aku ketawa kecil.

            “Yelah, macam mana tak risau kalau anak dara dia sampai demam teruk terperangkap dekat tingkat empat bangunan sekolah yang dilanda banjir besar.”

            “Ustaz perli saya ya?”

            “Saya cakap jujur, sebab saya pun risau.” Aku tergamam mendengar kata-kata Ustaz Fatah itu. Ustaz Fatah menunduk seolah memikirkan sesuatu.

            “Mujur bantuan sampai tepat pada masanya dan cikgu dapat dirawat dengan segera, kalau tak, saya pun tak tahu nak buat apa dalam keadaan genting macam tu. Tapi lepas semua keadaan dah pulih dan cikgu pulak dah balik kampung cikgu, saya pulak risau yang cikgu takkan balik sini.”

            “Mana ada, ustaz. Saya baliklah.” Aku cuba bercanda dalam keadaan yang mula rasa serius itu.

            “Saya risau dan takut saya akan menyesal.” Ustaz Fatah kembali bersuara. Suasana kembali hening, aku dah kehilangan kata saat itu.

            “Menyesal?” soal aku dalam gugup.

            “Ya... saya akan menyesal kalau saya tak sempat beritahu cikgu...” Ustaz Fatah kelihatan menarik nafasnya. Aku terdiam menantikan ayat yang seterusnya.

            “Yang saya nak hantar rombongan untuk meminang cikgu.”

            “Hah?” aku menyoal tidak percaya.

            Ustaz Fatah senyum lagi, kali ini lebih manis.

“Kalau cikgu setuju, minggu depan saya hantar rombongan.”

Aku yang masih tergamam sekadar mengangguk perlahan setelah lama aku berjeda, membuatkan Ustaz Fatah ketawa kecil.

“Dah, pergilah berehat. Nanti tolong bersihkan kawasan sekolah, banyak lagi benda nak kena buat ni.”

“Amboi! Bagi saja greenlight terus pandai mengarah ya Ustaz Fatah!” Ustaz Fatah ketawa lagi membuatkan aku turut tersenyum.

“Lepas ni, cakap dekat ibu, tak payah risau dah. Saya ada untuk jaga awak.” Ustaz Fatah bersuara sebelum berlalu meninggalkan aku terpinga-pinga di situ. Perlahan bibirku kembali mengorak senyum dan kali ini lebih lebar.

Ya Allah! Aku meminta agar Kau membiarkan aku hidup lebih lama namun Kau jua turut menemukan jodohku dalam keadaan yang tak terduga ya Allah. Benarlah dalam setiap ujian, ada hikmah dariMu ya Allah. Terima kasih ya Allah!

TAMAT


            

Suka? =)

10 comments:

  1. Salam..Kak Aliesha..Firstly, saya mmg minat sgt dgn hasil nukilan akak. Saya skrg tgah usahan satu novel ni.. 'Dia..Mr.Jodoh' (kat blog 'iqa annalia' . Jadi kalau boleh nak mintak komen dan tips2 penulisan dr akak..hihihi.. tq..email :iqaannalia92@gmail.com..nak email, tp tak jumpa email address kak Aliesha. :)

    ReplyDelete
  2. Kesiannya...btw,cerpen ni sangat sangat best...
    -nia-

    ReplyDelete
  3. AK, dah jual ke ebook ni? Sy nak beli

    ReplyDelete
  4. mana boleh dpatkan ebook ni? xde versi cetak ke? susah jugak kalau dalam ebook je..best cerita ni

    ReplyDelete
  5. Assalammualaikum aliesha
    Jalan cerita cerpen ni menarik tp sayang tak dpt baca ending dia.agak frust jgk bila tanya ebook dah soldout.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum kak. Boleh x nak beli cerpen ni? Ada stok x lagi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm. Saya dah tak jual ebook ni sebab duit sumbangan hasil jualan ebook dh diserah kepada pihak berkenaan. Tapi jgn risau, nanti akak letak versi full cerpen Bah dekat blog ni ya. Hrp sabar menanti

      Delete
    2. Terima kasih bnyk2 kak😊

      Delete
  7. Di mana yer nk baca sambungan cerpen ni? 😄

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum..boleh tak upload full cerpen ni? Teringin nk tau ending cerita ini..baru baca cerpen Bah dan agak frust sebab tak tahu cara nak dapatkan full cerpen ni..

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!