Simpan barang dalam kotak,
Nak bagi tumpang ke tak nak?
AKU keluar dari Menara Awan dengan langkah longlai. Penatnya rasa
hari ini, naik lenguh bahu aku siapkan kerja di pejabat tadi sampai senja
begini. Nasiblah dapat bos kacak macam Encik Aydan tu, kerja banyak pun rasa
tak kisah. Memang aku ni dah tak betul gamaknya, penangan cinta Encik Aydan.
Perodua Viva yang baru kubeli setelah beberapa bulan bekerja, aku
naiki dengan pantas walau badan terasa letih. Enjin aku segera hidupkan tanpa
menunggu lama, rasa mahu segera sampai ke rumah saat ini dan baring di atas
katil. Arghh! Kalaulah ada driver kan
senang, tak payah aku nak memandu. Ini pun dah rasa nak tercabut bahu aku,
lenguh tak usah cakaplah. Kalaulah Viva aku ini dilengkapi kerusi urut sekali,
alangkah nikmatnya. Tapi kalau tengah urut, macam mana nak memandu? Hesy
persoalan tak penting apakah yang tengah berlegar dalam kepala otak aku ini?
“Allah!” baru saja brek tangan aku turunkan, hujan turun
mencurah-curah ke Bumi. Takdir apakah ini? Lagi cepat aku mahu sampai ke rumah,
lagi banyak halangan pula. Hujan-hujan begini mesti tersangkut dengan kesesakan
lalu lintas punya, KL lah katakan. Ah redah sajalah! Tak kira, aku nak cepat
sampai rumah!
Belumpun aku keluar dari tempat parkir bersebelahan Menara Awan,
aku ternampak kelibat seseorang di tepi jalan, motosikalnya tersadai di tepi,
tidak bergerak dan dirinya pula sudah lencun dibasahi hujan. Sesiapapun tidak
akan menyangka hujan akan turun hari ini kerana cuaca elok saja dua tiga hari
kebelakangan ini.
Saat keretaku melintasi susuk tubuh itu, barulah aku dapat melihat
wajahnya melalui cermin pandang belakang. Matanya sudah sepet menahan air hujan
namun aku masih belum rabun untuk tidak mengecam wajah itu. Mamat muka selenga!
Kenapa dengan motor dia ya? Buat hal ke?
Ah lantaklah, bukan masalah aku. Janji aku dapat balik cepat.
Eh jangan nak kejam sangatlah, Fatih. Kau tak ada timbangrasa ke?
Tapi, katil... tilam... bantal...
Fatih!
Yelah-yelah, aku pergilah ni.
Aku menghentikan keretaku sebelum perlahan mengundur. Cermin
tingkapku, aku buka sedikit, cukup untuk dia mendengar suara aku sahaja.
“Fahmi!” aku memanggilnya namun dia masih tidak perasan, mungkin
bunyi hujan yang semakin kuat, menghalang suaraku mencecah telinganya.
“Fahmi!” aku menjerit dengan lebih kuat membuatkan dia yang sedang
menggaru kepalanya berpaling kepada arah suaraku.
“Eh Husna...” dia menyengih macam biasa saat dia mendekati keretaku.
Dalam keadaan macam ni pun sempat lagi nak sengih macam tu kan? Hesy!
“Kenapa motor?” aku sedikit menjerit, cuba melawan bunyi hujan yang
tak nak mengalah.
“Entahlah, enjin masuk air kot.” Dia buat muka keliru sambil
menggaru kepalanya kembali.
“Dahlah, naik kereta saya. Saya hantar balik. Motor tu kunci
elok-elok lepas tu tinggal je kat situ. Bukan ada siapa pun nak ambil motor
antik awak tu.” Aku mengomel sambil menekan
butang membuka lock kereta.
Sebenarnya dalam hati risau jugak tapi sebab motosikal tu masih dalam kawasan
parkir ni jadi aku berani sedikit nak suruh Fahmi tinggalkan. Dekat KL ni
tinggal apa saja walau jam beli dekat pasar malam pun orang sapu.
“Ish tak payahlah Husna, nanti basah kereta Husna. Abang dah lencun
ni.”
“Naiklah cepat.” Suaraku datar. Dah ajak naik pun banyak cekadak
lagi.
“Ish tak payahlah.” Dia menolak lagi.
“Naik jelah!” aku dah hilang sabar. Karang aku tinggalkan jugak
mamat ni kat sini karang. Adeh sabar Fatih, sabar! Dia yang sedikit terkejut,
pantas mengunci motornya sebelum membuka pintu keretaku di sebelah penumpang.
Senyap. Aku meneruskan perjalanan.
“Tak nak lapik dulu ke kusyen ni, nanti basah pulak kusyen Husna.”
Dia bersuara setelah lama kami berjeda. Aku kerling ke arahnya sekilas sebelum
kembali memandang ke hadapan.
“Dah duduk dah pun, kan? Biar ajelah. Nanti keringlah tu.”
Diam lagi. Hanya sepi menemani kami. Aduh seram pulak. Aku segera
membuka radio untuk menghilangkan sepi yang mengisi kami. Pendingin hawa aku
ubah ke takat paling minimum supaya Fahmi tidak kesejukan, iyalah dia dah
lencun, kena pulak pendingin hawa memang boleh menggigil.
“HACCHUM!” Fahmi bersin untuk kesekian kalinya sebaik turun dari
kereta, hujan yang lebat tadi kini sudah mulai reda.
“Balik, mandi
terus. Karang demam pulak.” Aku sempat memberi pesan sebelum melangkah untuk
naik ke rumahku. Tak sabar nak bertemu bantal yang memanggil sedari tadi.
“Terima kasih, Husna!” Fahmi sempat melaung kepadaku, aku tidak
berpaling ke arahnya dan sekadar mengangkat tanganku tanda aku mengerti dan
menerima ucapan itu.
“Hujan lagi tak?”
Hajar menyoal saat aku membuka pintu rumah dan melangkah masuk.
“Hujan lagi, tapi
dah tak selebat tadi, rintik-rintik je.”
“Tadi aku sembang
dengan Faiz dekat bawah lepas dia hantar aku balik, tiba-tiba saja hujan turun,
tak sempat aku nak lari, habis basah. Sekarang ni terus rasa macam nak demam.”
Hajar menghembus hidungnya yang sudah kemerahan.
“Itulah dating lagi tengah-tengah alam, kan dah
mendapat.” Aku ketawa kecil. Hajar mula tarik muka empat belas.
“Kau ni bukan nak
simpati, lagi nak perli pulak.”
“Aku bukan tak
simpati, tapi memang padan muka kau pun.” Aku galak ketawa, langsung tak ada
rasa nak simpati. Berdating saja kerja Hajar ni, tak ada benda lain. Memang
patut pun dia kena hujan, biar sampai demam.
“Amboi kejam kau ya. Marahkan aku pasal hal semalam lagi ke,
Fatih?” soalan Hajar membuatkan aku terhenti dari ketawa. Hal semalam?
“Aku dah tak ingat dah pun pasal hal semalam. Tak payah nak ungkit
apa-apa eh. Karang dari mood aku baik karang terus jadi tak elok.”
“Sorry beb. Aku bergurau
senda saja, tak sangka kau ambik serius.” Hajar buat muka serba salah. Aku
menghela nafas sebelum memandang Hajar semula.
“Sudah. Aku tak ambik hati pun. Dah, jangan sebut apa-apa dah. Fullstop.” Aku bernada tegas seraya
membolos masuk ke dalam bilik, mengambil tualaku dan terus berlalu ke bilik
air. Mahu membersihkan diri sebelum solat Maghrib.
“FATIH, kejap lagi Faiz nak datang.” Hajar memberitahuku saat aku
baru selesai solat Isyak dan masih berada di atas tikar sejadahku.
“Oh ok.” Aku jawab
datar. Sejadah yang terbentang pantas kuangkat dan sangkut di atas penyidai
kayu di tepi almari.
“Dia nak naik
atas.”
“Hah? Nak buat
apa?” mataku membulat. Selama ini kalau Faiz datang, dia sekadar berjumpa Hajar
di bawah. Tidaklah sampai ke depan pintu rumah kami ini.
“Aku kan demam.
Dia tolong belikan moi sup untuk aku, aku tak lalu nak makan benda lain. Itu
yang aku pesan dekat dia.” Hajar bersuara dengan nada yang serak, wajahnya
kelihatan pucat tidak bermaya.
“Perlu ke dia naik
sampai atas?”
“Aku tak larat nak
turun la, Fatih.” Hajar bersuara sayu. Dia duduk di atas katilku sambil memeluk
tubuh sendiri yang sudah berbaju sejuk, demam kura-kura gamaknya. Kena hujan
sikit je dah demam begini, tahap imunisasi rendah betul si Hajar ni.
“Alah, aku kan
boleh turun ambilkan.” Aku mempelawa. Setakat nak ambil moi sup sebungkus tu
apalah sangat, lagipun nak turun dari tingkat satu je pun.
“Tak apalah,
Fatih. Faiz cakap dia nak tengokkan keadaan aku sama. Alah jangan risau, nanti
dia datang jumpa aku depan pintu je. Bukannya ajak masuk.”
Aku merenung Hajar
tajam.
“Kalau kau ajak dia masuk atau dia teringin nak masuk pun, jangan
harap aku nak izinkan. Over my death body.”
“Haha. Overlah kau ni,
Fatih. Aku tahulah.” Hajar tersengih lebar. Demam macam tu pun, tunang nak
datang terus ceria kan? Untunglah.
“Moi sup tu suruh dia bawak dua ye. Orang tak demam pun nak makan
jugak.” Aku tersengih saat mengambil duduk di sebelahnya setelah telekungku aku
tanggalkan dan lipat kemas. Alang-alang orang nak tolong bawakan, baik aku
pesan sekali. Aku pun lepas balik kerja tadi tak makan apa lagi. Nak singgah ke
mana-mana lepas balik kerja, dah lewat, hujan pulak tu, dan yang lagi sadis,
mamat muka selenga tu ada sekali tadi, takkanlah aku nak heret dia sampai ke
kedai makan. Tak nak aku! Karang tak pasal orang ingat dia tu kekasih aku. Huish,
tak sanggup!
“Nak moi sup jugak ke?” Hajar sudah mengangkat telefon bimbitnya,
mahu mesej Faizlah tu.
“Aah, nak moi sup jugak. Teringin pulak bila kau sebut-sebut.” Aku
buat muka manja.
“Yelah, dah order.” Hajar
meletakkan telefon bimbitnya semula sebelum memeluk tubuh kecilnya kembali.
“Panadol dah makan?” aku menyoal Hajar dengan nada risau.
“Belum. Nak makan moi dulu baru makan panadol.”
“Hah, jangan lupa makan pulak. Esok kalau tak sembuh jugak, pergi
klinik ambik MC. Tak payah pergi kerja.”
“Ye baik, mak nenek.”
“Mak nenek, kau panggil aku?” Hajar ketawa melihat aku buat muka
garang. Seronoklah tu mengusik. Tengah demam pun boleh mengusik orang lagi.
AKU membuka pintu saat terdengar ketukan di pintu. Tudung sudah
awal-awal aku sarung ke kepala sebelum menjenguk ke luar. Faiz sudah berdiri di
hadapan pintu rumah kami dengan senyuman terukir di bibir.
“Fatihah. Hajar
ada?” soalnya lembut. Aku sekadar mengangguk sebelum melaung ke dalam.
“Hajar, Faiz dah datang ni!”
“Suruh dia tunggu kejap! Aku nak pakai tudung!” Hajar membalas dari
dalam biliknya. Aku berpaling semula ke arah Faiz yang masih setia berdiri di
luar. Jejaka bertubuh sederhana dan tidak berapa tinggi itu cuma diam memandang
aku dengan senyuman terukir di bibir, membuatkan kumis nipis di atas bibirnya
ikut terjungkit.
“Duduklah dulu dekat tepi tu, kejap lagi Hajar keluarlah.” Aku
menunjuk ke arah bangku milik keluarga Mak Ngah Ana yang berada di luar. Mujur
mamat sebelah tu tak muncul dengan gitar buruk dia tu malam ni, bolehlah Faiz
tumpang duduk.
“Assalammualaikum!” suara nyaring macam petir itu berbunyi
tiba-tiba membuatkan aku pantas menoleh. Cis! Baru cakap je dah keluar.
“Waalaikumussalam.” Faiz menjawab sambil menghulur salam kepada Fahmi
saat itu.
“Siapa ya? tak pernah nampak pun.” Dia menyoal Faiz sebelum matanya
jatuh ke arahku. Aku mendengus sendiri, tak faham kenapa mamat sebelah ni suka
nak menyibuk.
“Saya Faiz. Tunang Hajar.”
“Oh tunang Hajar. Ingatkan siapa tadi.” Fahmi tersengih-sengih,
entahlah kenapa. Sawan kot.
“Saya Fahmi. Tunang Husna.” Mataku membulat saat mendengar dia
menyambung bicara. Dia tersengih tanpa rasa bersalah. Herghh! Nak kena sungguh
mamat ni!
“Hah, Husna?” Faiz tidak mengerti. Iyalah, siapa saja dalam dunia ni
yang panggil aku Husna?
“Tuuuu...” Fahmi kembali tersengih setelah menunjuk ke arahku.
“Fatihah?” Faiz kelihatan terkejut.
“Dah, awak tak payah layan dia merepek, Faiz. Dia mengarut je tu.” Fahmi
ketawa, suka bila dapat mengusik aku begitu. Dia ingat aku seronoklah kalau
betul dapat jadi tunang dia. Huh! Tak ingin!
“Saya bergurau ajelah. Susah nak mengorat perempuan garang macam
Husna ni.” Fahmi ketawa tanpa rasa bersalah lagi. Boleh stress aku layan mamat
putus fius ni.
“Dahlah. Saya masuk dulu, Faiz. Awak layanlah mamat tak betul ni.
Kejap lagi Hajar keluar.” aku membawa diri ke dalam. Enggan melayan karenah
Fahmi lagi.
“Apa cerita?” Hajar yang keluar dari biliknya pantas menyoal aku.
“Tak ada apa. Dah pergi cepat jumpa Faiz. Jangan lama-lama eh.” Aku
memberi amaran sebelum membuka televisyen. Hajar yang tersenyum mendengar
kataku segera keluar menemui Faiz.
AKU merenung Hajar yang tersenyum-senyum sendiri saat menjamah moi
sup pemberian Faiz tadi. Dalam demam begini pun boleh tersenyum macam tu bila
hati berbunga bahagia. Cemburu betul aku, untunglah dah ada buah hati. Orang
macam aku ni tak ada siapa pun untuk difikirkan sampai boleh tersenyum macam
tu. Encik Aydan? Kalau dia asyik usung perempuan bertukar ganti macam tukar
baju, macam manalah hati aku nak tersenyum bahagia? Merana adalah, makan hati
dibuatnya bila dia berkepit dengan perempuan-perempuan tak cukup kain tu. Huh!
“Kau ni kenapa
dari tadi tersenyum?” aku menyoal akhirnya setelah Hajar tak henti tersenyum. Yang
makin aku pelik, dia tersenyum-senyum sambil pandang aku pulak lepas tu.
“Aku berkenan la
dengan Fahmi tu.”
“Hah!” aku
terperanjat sampai terbangun dari dudukku di meja makan tika itu. Hajar ketawa
melihat tingkahku, tapi siapa yang tak terperanjat kalau dengar kenyataan
sebegitu dari mulut Hajar.
“Kau ni over la, Fatih. Tak payahlah terkejut
sampai gitu.” Masih terdengar sisa tawa dari mulut Hajar. Aku duduk kembali,
mencapai gelasku dan meneguk air sehingga habis sebelum memandang Hajar semula.
“Kau tulah, buat statement macam tu dah kenapa? Manalah
aku tak terkejut.”
“Aku belum habis
cakap pun lagi...” Hajar tersengih-sengih.
“Ok sekarang cakap
bagi habis. Jangan bagi aku kena serangan jantung dekat sini.”
“Aku memanglah
berkenan dengan Fahmi tu... tapi...” Hajar memandang aku dengan senyuman penuh
makna.
“Tapi apa?” soalku
ingin tahu. Lambat betul minah seorang ni nak bercakap.
“Tapi aku berkenan
dia tu untuk jodohkan dengan kau.” Hajar ketawa kembali. Aku yang ternanti
jawapan Hajar, tergamam seketika sebelum satu cubitan sayang hinggap di lengan
Hajar.
“Aduh sakitlah!”
Hajar menggosok lengannya yang sudah kemerahan. Rasakan!
“Padan muka. Tak
habis-habis kau ni kan. Pandai-pandai saja kau nak jodohkan aku dengan dia? Kau
pun nak jadi makcik-makcik dekat kampung aku tu? Tak habis carikan calon macam
aku ni dah kertu sangat. Sakit hati.” Aku menjuihkan bibir tanda tidak puas
hati.
“Aku bukan apa,
dia tu baiklah Fatih. Berkenan betul aku. Kalau aku ni tak ada siapa, aku dah
ambik dah dia.” Hajar mengoyak senyum sambil memandang ke atas. Beranganlah tu,
tak padan dengan status tunang orang. Haih!
“Kau tak payah nak
beranganlah, Hajar. Dah terlambat dah.”
“Sebab terlambatlah
aku nak bagi dekat kau. Barang rare
tu, susah nak dapat.” Aku memandang Hajar dengan rasa ingin tahu. Rare apa sangat orang macam mamat muka
selenga tu? Berlambak je aku tengok spesies dia dalam Malaysia ni. Hmmm.
“Apa yang dia dah
buat sampai kau tiba-tiba saja berkenan sampai macam ni?” aku menyoal, pelik.
“Tadi, Faiz offer rokok dia dekat Fahmi. Fahmi tu
tolak, katanya dia tak merokok.” Hajar teruja bercerita.
“Habis tu?”
“Fatih, dalam
Malaysia ni berapa kerat sangat lelaki yang tak merokok ok. Kalau dia tak
merokok tu dah masuk kategori barang rare
la.” Hajar senyum puas hati.
“Ler itu je ke
yang buat kau berkenan dekat dia tu?” Encik Aydan tu pun entah-entah tak
merokok, merah je bibirnya. Haha. Berangan sangat kau Fatih, kotak rokok atas
meja dia siap lighter tu apa? Walaupun dia tak tunjuk depan-depan tapi memang
dah ada bukti yang dia tu merokok.
“Selain pasal tu,
memang aku tengok dia tu baik je budaknya, Fatih. Baik je dengan orang tua,
dengan Mak Ngahnya tu, dengan jiran-jiran semua. Rajin tolong orang, ramah
dengan semua.”
“Ala kalau yang
itu, semua orang kat sini pun baik-baik, Hajar.”
“Hesy, kau ni Fatih.
Apa aku puji mamat tu semua kau nak sangkal kan? Mentang-mentanglah dah
menyampah.”
Aku sekadar
senyum, puas hati. Faham pun Hajar, kalau aku tak suka tu janganlah nak
kenenkan pulak aku dengan dia.
“Haih, teringin
aku nak tengok, suatu hari nanti kau tu gila pulak dekat dia. Baru padan muka
kau.” Hajar mencebik sebelum bingkas bangun membawa mangkuk moi sup yang sudah
habis licin dihirup ke dapur. Sebal dengan akulah tu.
“Nanti jangan lupa
telan panadol sebelum tidur.” Sempat aku berpesan sebaik Hajar keluar dari
dapur dan mahu masuk ke dalam biliknya.
“Yelah...” dia
menjawab datar sebelum hilang dari pandangan.
Aku termenung
sendiri di meja makan. Memikirkan kata-kata Hajar tadi. Ya kalau ikutkan memang
aku dan hampir kesemua perempuan di Malaysia ini mahukan bakal suami yang bebas
dari asap rokok. Tapi kenapa dalam banyak-banyak lelaki, mamat muka selenga tu
jugak yang tak merokok? Dan kenapa pulak mamat tu jugak yang Hajar nak kenenkan
dengan aku tak sudah-sudah? Stress aku!
Suka? =)
good job!
ReplyDelete* sempat lagi kempen anti-rokok -_-
* satu lagi: over my *dead* body