~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Sunday, April 23, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 20


“KAU nak pergi mana ni, lawa semacam je. Keluar dating eh? Dengan siapa pulak ni? Jefri? Amir? Ke Kadir, budak Marine Tech tu?” Ajda mengangkat kening saat Qisya sedang melilit selendangnya di hadapan cermin.
            Qisya ketawa sambil menggelengkan kepalanya.
            “Bukanlah. Bukan dengan dia orang tu.”
            “Habis? Lelaki lain pulak? Kau jangan Qisya, nanti tak pasal kena chop playgirl dekat U ni.”
            “Alah, dia orang yang selalu ajak aku keluar bukan aku yang ajak dia orang. Lagipun sekali sekala je aku terima ajakan dia orang tu, jimat duit aku bila ramai belanja.” Qisya tersengih.
            “Macam-macamlah kau ni. Jangan mainkan perasaan ramai sangat, nanti ada yang menaruh harapan.”
            “Ye baik mak cik! Aku tak mainkan perasaan sesiapapun sekarang ni.”
            “Habis tu, sekarang kau nak keluar dengan siapa pulak ni?”
            “Dengan pak su aku. Dia ada dekat sini, ada conference katanya. Tu dia datang jumpa aku kejap.”
            Ajda mengangguk-angguk, barulah dia mengerti.
            “Kau nak pesan apa-apa tak?” Qisya menyoal setelah Ajda diam sahaja.
            “Tak ada apalah. Tapi kalau kau teringat dekat roommate kesayangan kau ni, tapaukanlah apa-apa untuk aku. Malas pulak nak turun rasanya.”
            “Hmmm yelah. Nanti aku belikan tapi kalau aku lambat, kau makanlah biskut ke apa dulu ya.”
            “Yelah. Jangan risau.” Ajda menyengih sambil kembali berbaring di atas katil, menekur novel di tangannya.
            “Kau tak nak turun ke jumpa pak su aku?” soalan itu membuatkan dahi Ajda bertaut. Novel di tangannya ditutup kembali.
            “Jumpa buat apa?” dia memandang ke arah Qisya.
            “Alah sajalah kenal-kenal, manalah tahu kau berkenan. Pak su aku tu kacak tau, bergaya, caring, pakej lengkaplah. Untung siapa dapat dia.” Qisya mengangkat-angkat keningnya.
            “Ei tak kuasa aku. Mesti pak su kau dah tua kan? Choi!”
            “Mana ada tua. Muda dan segak lagilah dia. Kau ni kira nasib baik tau, aku nak kenenkan dengan pak su aku walau kau tu tak semenggah mana. Ikut pak su aku tu boleh dapat yang lagi cantik tau.” Qisya memerli tetapi Ajda langsung tidak ambil hati. Mereka sudah jadi terlalu rapat hingga tidak kisah berbalas kata.
            “Yelah tu. Pak su kau pun mesti dah ada awek keliling pinggang kalau macam tu. Tak adanya dia nak pandang aku.”
            “Pak su aku tu sibuk kerja, tak ada masa nak cari kekasih hati. Malas dah aku nak tegur dia suruh cari bakal isteri. Penat wei! Sebab tu aku nak cadangkan kau je dekat dia.”
            “Isyh gila! Tak nak aku!”
            “Kau ni saja tau nak tolak tuah. Pak su aku sikit punya segak, baik, kerja bagus. Apa lagi kau nak?”
            Ajda mencebik.
            “Eleh, kau nak aku jadi mak su kau supaya kau senang buli aku kan? Macamlah aku tak tahu niat sebenar kau ni.”
            Tawa Qisya meletus.
            “Tahu pulak kau ya. Baru saja nak berangan kau jadi maksu aku, senang hidup aku dapat bibik free.”
            “Keji!” Ajda ikut ketawa mengekek setelah berkata begitu.
Sungguh dia tidak terasa dengan kata-kata Qisya kerana dia tahu Qisya sekadar bergurau. Selama mereka menjadi rakan sebilik sejak tahun satu di universiti ini, Qisya tidak pernah pun mengambil kesempatan terhadap dirinya malah banyak menolongnya dalam pelbagai perkara termasuk rela menghantar dan mengambilnya pagi-pagi buta di stesen bas ketika dia balik dan pulang dari kampung.
“Betul ni tak nak jadi mak su aku?” soalan Qisya yang kembali bertandang membuatkan Ajda berpaling kembali ke arah sahabatnya yang sudah siap mencalit mekap ke wajahnya dan bersedia hendak keluar.
“Taknaklah, gila! Dah pergilah!” Ajda mendengus.
“Ok, peluang dah tamat. Lepas ni kalau kau berkenan dekat pak su aku, jangan harap kau boleh dapat dia.” Qisya menjuihkan bibirnya sebelum berlalu ke arah pintu.
“Aku tak naklah. Tak hingin pun.” Ajda menjelirkan lidahnya, tanda tidak heran. Qisya sekadar ketawa sebelum keluar dan menutup pintu bilik kediaman mereka itu serapatnya.
Ajda menghela nafas untuk kesekian kalinya, mengingat setiap detik yang masih segar dalam ingatannya, saat mereka sama-sama hidup di negeri orang untuk menuntut ilmu. Waktu itu dia cuma ada Qisya untuk dia menumpang kasih sayang, dan Qisya juga cuma punya dia kerana keluarga mereka jauh dari situ.
Ketika itu pun, Qisya sudah pernah mahu menjodohkan dia dengan pak sunya. Saat Qisya masih tidak berkeadaan begini, saat Qisya masih sempurna di mata semua. Sekarang di saat Qisya memerlukan seorang teman di sisinya, adakah dia patut menolak permintaan Qisya? Ajda meraup wajahnya, cuba menenangkan jiwanya yang masih bergelodak dengan segala macam persoalan.
Aku ada segalanya yang aku mahu dalam hidup, walaupun tak mewah tapi aku bahagia. Aku ada keluarga yang menyayangi aku, aku ada kerja yang aku suka, aku ada kebebasan yang aku nak, aku ada seluruh waktu yang aku perlu, aku ada ramai kawan yang memahami. Tapi Qisya, dia cuma ada pak su dia, walau hidup dia mewah berbanding aku tapi dia tak bahagia, hidup dia sunyi, dia tak ada kawan lain selain aku, dia tak mampu kerja dan menggapai cita-cita dia dengan keadaan dia yang macam tu. Dia tak bahagia!
Ajda mengeluh sendiri. Sedih mengenangkan nasib sahabatnya itu.

“Ya Allah, berikanlah petunjukMu ya Allah!” Ajda meminta sebelum dia memejamkan matanya rapat-rapat. Cuba mengusir segala rasa tidak enak yang membelenggu jiwanya saat itu.





Bersambung di novel 😀.
===========

Ini adalah bab terakhir yang saya letak di blog.

Untuk membaca kisah ini sehingga tamat, bolehlah dapatkan novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova terbitan Karyaseni di PBAKL2017 dan di pasaran berdekatan anda tidak lama lagi.


Terima kasih di atas segala sokongan anda selama ini. 😘😘😘

Suka? =)

Friday, April 21, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 19


AJDA menyusun mini pavlova ke dalam peti makanan butik Talqisya itu dengan teratur walau fikirannya melayang jauh entah ke mana. Sejak Qisya meluahkan permintaannya untuk menjodohkan Ajda dengan pak sunya, hati Ajda jadi tidak tenteram lagi. Dia jadi serba salah hendak menyusun ayat yang sebaiknya untuk menolak permintaan sahabatnya itu.
            “Haih!” Ajda  melepaskan keluhan yang terasa berat menghempap dadanya, cuba membuang rasa serabut yang membelenggu jiwanya saat itu.
            “Depan makanan pun mengeluh?” suara garau yang kedengaran itu membuatkan Ajda tersentak dan pantas mahu bangun membuatkan dia terhantuk peti makanan itu, menghasilkan bunyi yang agak kuat. Banyak mata yang memerhati Ajda sebaik bunyi itu kedengaran namun mereka kembali fokus kepada produk-produk yang terpamer di butik tersebut, kerana itu lebih menarik minat mereka.
            “Aduh! Sakitnya!” Ajda menggosok kepalanya yang terasa pedih kesan hantukan tadi.
            “Awak ni memang selalu cuai kan?”
            Ajda mengangkat wajahnya sambil memegang kepalanya yang masih sakit, mahu melihat gerangan insan yang menegurnya tadi walaupun dia sudah dapat mengagak. Siapa lagi yang suka muncul tiba-tiba di hadapannya begitu kalau bukan pemilik Talqisya itu sendiri.
            “Maaf, Encik Megat.”
            “Rosak peti tu, awak ganti.” Lelaki itu dingin seperti biasa, menjeling ke arah Ajda. Ajda mengetap bibirnya, geram tetapi dia tahankan saja perasaannya itu.
            “Maaf.” Sekali lagi perkataan itu terbit dari mulutnya sambil dia cuba mengukir senyum walau terasa payah.
            “Kepala tu dah okay ke? Kalau tak okay, baik pergi check cepat-cepat dekat hospital. Manalah tahu ada putus fius dekat mana-mana ke?”
            “Dah. Okay dah. Encik Megat jangan risau, saya waras lagi.” Ajda laju menjawab, tidak mahu terus diperli lelaki itu. Sudahlah sakit di kepalanya masih belum hilang, kena perli baik punya pulak, memang bertambahlah sakitnya.
            “Hmmm...” itu saja balasan daripada Megat Talhah sebelum dia mengatur langkah mahu meninggalkan Ajda yang masih tegak di hadapan peti makanan butik Talqisya itu. Tadi sengaja dia menjengah ke situ apabila melihat Ajda begitu khusyuk membuat kerjanya tetapi fikirannya seolah menerawang ke tempat lain.
            “Eh Encik Megat!” Ajda sempat memanggil membuatkan lelaki itu kembali menoleh ke arah Ajda.
            “Apa?”
            “Pasal hal tempoh hari pun, saya nak minta maaf. Saya buatkan kekasih Encik Megat salah faham.”
            Megat Talhah tergamam, teringatkan peristiwa yang menyimpan kepahitan di dalam jiwanya hingga kini.
“Tak apa. Bukan salah awak pun.” Datar Encik Megat membalas. Tangannya sudah disilang di belakang tubuhnya.
“Maaf ya Encik Megat. Saya harap hubungan Encik Megat dengan kekasih Encik Megat tak terjejas.”
Megat Talhah mengangkat tangannya, tanda meminta Ajda berhenti dari bersuara.
“Sudah. Tak perlu cakap apa-apa, tambah-tambah pasal hal peribadi saya. Perkara dah lepas dah pun, saya tak nak awak sebut lagi pasal hal tu.”
“Baik. Maaf, Encik Megat.” Ajda dipagut rasa bersalah.
Mata Megat Talhah tajam merenung wajah Ajda sebelum dia bersuara.
“Saya dah muaklah dengar maaf awak tu. Sambunglah kerja awak balik.” Megat Talhah mendengus sebelum berlalu tanpa sempat Ajda berkata apa lagi.
Ajda menghela nafasnya untuk kesekian kalinya, cuba menanam rasa sabar dalam dirinya mendengarkan kata-kata Megat Talhah yang jelas menjengkelkan. Orang minta maaf pun dia nak marah. Hesy!
Masalah di dalam kepalanya belum selesai, sekarang muncul pula manusia yang bikin kepalanya makin berserabut. Kalau melayan karenah lelaki yang kerek itu memang boleh bikin Ajda migrain!
Megat Talhah memerhati gerak langkah Ajda yang sedang menuju ke kaunter dari sebalik bidai yang menutupi tingkap kaca biliknya sebaik dia masuk semula ke dalam biliknya itu. Satu keluhan berat keluar dari bibirnya.
            Entah kenapa, dia selalu terasa panas bila berada dekat dengan gadis itu. Asyik rasa nak marah saja, mungkin sebab perangai gadis itu yang suka bercakap main serbu tak pandang kiri kanan. Sama ada Ajda tu lurus sangat atau dia memang tak reti nak jaga hati orang. Tapi kenapa aku nak jugak tegur dia tadi? Hesy!
            Megat Talhah mendengus untuk kesekian kalinya.

AJDA merenung Imani yang sedang asyik bermain dengan mainannya di dalam baby walker itu. Satu keluhan berat dia lemparkan sambil dia menongkat dagu, kembali memikirkan masalah yang belum selesai.
            “Apa yang patut mak ngah buat, Imani?” Ajda menyoal Imani seolah anak kecil itu faham dengan soalannya.
            “Mak ngah nak menolak tapi kesian dekat Aunty Qisya, mak ngah nak terima pulak mak ngah tak kenal pun pak su Aunty Qisya tu. Boleh ke mak ngah hidup bahagia dengan orang yang mak ngah tak pernah jumpa dan cinta? Aduh!”
            Imani sekadar ketawa memandang Qisya sebelum kembali bermain dengan mainannya.
            “Imani rasa macam mana?” Berkerut Ajda menyoal seolah Imani bisa memberikan jawapannya.
            “Ye memang mak ngah rasa nak tolak tapi macam mana nak cakap dengan Aunty Qisya supaya Aunty Qisya tak kecik hati? Kesian Aunty Qisya tau, Imani. Dia dah tak boleh jalan, tak ada siapa dekat sisi dia kecuali pak su dia. Kalau mak ngah kahwin dengan pak su dia, boleh jugak mak ngah jaga dia kan?”
            Imani masih buat tidak peduli, langsung tidak mengerti kata-kata mak ngahnya itu.
            “Terima pak su Qisya? Mampu ke mak ngah?” Ajda menghela nafasnya.
            “Ya memanglah boleh je cuba tapi kalau dah tahap kahwin tu memang kena jayakan jugaklah. Kena terima saja macam mana pun lelaki tu dan sayang dia. Susah kan? Walaupun mak ngah tak pernah ada pengalaman bercinta tapi ada je yang nak dekat mak ngah cuma hati mak ngah tak terbuka. Hati mak ngah Imani ni kebal macam peti besi jugak tau, susah orang nak tembus.” Ajda tersengih, seolah bangga pula bercerita begitu.
            “Doktor tu? Yang itu berkenanlah jugak tapi tak adalah tahap jatuh cinta lagi. Tapi mak ngah sedar diri, yang itu perfect sangat, tak layak untuk mak ngah ni. Lagipun kacak bergaya macam tu mesti ramai peminat kan? Makan hati je nanti, kalau mak ngah kahwin dengan dia. Cemburu tak sudah.” Ajda ketawa sendiri.
            “Haih! Apa mak ngah nak buat ni, Imani?” Ajda memuncungkan mulutnya sambil menggoyang-goyangkan tangan Imani membuatkan anak kecil itu ketawa mengekek.
            “Kamu tu dah kenapa, Ajda? Macam serius saja bercakap dengan Imani.” Najah yang baru selesai mandi setelah pulang dari tempat kerja dan mengambil Imani dari rumah pengasuh segera menyoal Ajda yang nampak macam tak keruan.
            Ajda yang tersentak segera melemparkan senyuman. Malu pulak apabila kantoi bercakap dengan anak kecil yang masih belum tahu apa-apa itu.
            “Eh tak ada apalah, kak. Saja sembang dengan Imani ni.” Ajda mencubit pipi Imani yang gebu itu sebelum pipi itu menjadi mangsa ciumannya.
            “Kak ingat kamu dah tak betul. Berkerut-kerut sembang dengan Imani macam ada perkara serius.”
            Ajda sengih sambil menggaru kepalanya.

            “Mana ada kak, takkanlah macam tu pulak. Ajda masuk bilik dululah ya kak, nak mandi pulak. Dah busuk peluh ni.” Ajda meminta diri sebelum menapak ke biliknya. Tidak mahu kak Najah berfikir yang bukan-bukan dan cuba mengorek isi hatinya. Kantoilah nanti.

Suka? =)

Wednesday, April 19, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 18


“DOKTOR Ikhwan kata nak kawan dengan kau?” mata Qisya membuntang selepas Ajda menceritakan segalanya saat mereka berdua berada di dalam kereta hari itu. Ajda memang merancang hendak selalu berjumpa dengan Qisya supaya sahabatnya itu tidak lagi merasa kesunyian setelah lama mereka tidak berhubungan.
            “Haah. Dia siap cakap nak ajak aku keluar bila dia dah tak sibuk nanti. Aku confuselah, Qisya. Apa makna semua ni?” Ajda meluahkan kemusykilan yang terbuku di benaknya.
            Qisya diam tidak berkutik. Hatinya terasa dicucuk-cucuk dengan belati, pedihnya sampai ke lubuk yang paling dalam.
            “Qisya, kau dengar tak ni?” Ajda menoleh sekilas ke arah Qisya yang duduk di sebelahnya di dalam kereta itu.
            “Dengar.” Datar suara Qisya berbicara.
            “Apa maksudnya, Qisya? Aku buntulah.” Ajda melepaskan keluhan. Sungguh dia tidak selesa dengan persoalan yang asyik menganggu ketenangannya sejak akhir-akhir ini.
            “Kau tak payah fikir teruk-teruk sangat. Kawan sajalah macam biasa.”
            “Memang aku setuju je jadi kawan dia tapi kenapa sampai nak kena mintak nak berkawan? Peliklah. Kawan tu kawan jelah, tak payah tanya.” Dahi Ajda berkerut. Tidak puas hati.
            “Kau tu yang pelik. Suka fikir sangat benda yang tak perlu kau fikir. Dari dulu tak berubah, lepas tu migrain.”
            Ketawa Ajda meledak. Tidak sangka Qisya masih ingat dengan tabiatnya yang memang suka fikirkan sesuatu perkara itu secara mendalam sampai kadang-kadang sakit kepalanya. Mungkin sindrom anak kedua orang kata.
            “Hmmm mungkinlah kot. Okaylah, malas aku nak fikir.” Ajda kembali fokus dengan pemanduannya. Enggan memikirkan perkara itu lagi, risau pulak kalau tiba-tiba migrainnya menyerang. Karang tak pasal segala tempahan pavlova dan kek yang dia terima tak dapat disiapkan dalam masa yang dah ditetapkan. Nak hantar stok baru dekat Talqisya lagi, kalau tak siap karang bising pulak pak cik kerek tu. Naya!
Qisya menoleh ke arah Ajda yang sudah kembali diam dan khusyuk menata pandangannya di hadapan. Mujurlah Ajda sudah tidak mengungkit soal itu dan Doktor Ikhwan juga sibuk dengan kerjanya hingga tidak memungkinkan pertemuan mereka semula buat masa ini. Apa yang pasti sekarang, dia harus melakukan sesuatu untuk menghalang mimpi ngerinya menjadi kenyataan. Hesy!

“PERGI mana pulak kali ni? Kerap ya keluar.” Suara di hujung talian membuatkan Qisya menguntum senyum.
            “Alah pak su, pak su jugak suruh Qisya jangan berkurung saja dekat rumah. Ni Qisya keluar happy-happylah dengan kawan Qisya.”
            “Hmmm yelah. Janji balik awal tau, jangan melencong lama sangat.”
            “Yelah, jangan risau pak su. Nanti sebelum Maghrib Qisya dah ada dekat rumah.”
            “Okay. Jaga diri baik-baik.”
            “Okay pak su. Assalammualaikum.”
            “Wa’alaikumussalam.”
            “Siapa tu, Qisya?” Ajda yang muncul membawa dua cawan kopi sebaik membelinya di kaunter kafe itu pantas menyoal Qisya yang baru saja meletakkan kembali telefonnya di atas meja.
            “Pak su aku.” Qisya bersuara datar.
“Pak su kau layan kau macam budak kecil kan? Pantang lama sikit, mulalah dia telefon.” Ajda ketawa kecil.
Qisya ikut ketawa.
“Biasalah, dia risaukan aku. Dari dulu aku rapat dengan paksu aku sebab dia duduk dengan family aku sejak aku kecil lagi. Dia memang manjakan aku jadi bila keadaan aku macam ni, lagilah dia buat aku macam budak-budak.” Qisya menjelaskan sebelum terfikirkan sesuatu. Dia mengangkat wajahnya memandang Ajda yang sedang menghirup kopi caramel machiatto panas di dalam cawannya.
“Kau ingat tak pak su aku ni?” soal Qisya tiba-tiba membuatkan Ajda kembali melarikan cawan itu dari bibirnya.
            “Pak su kau yang dulu kau selalu sebut masa zaman kita study tulah, kan?”
            Qisya mengangguk perlahan, mengiyakan kenyataan itu sebelum dia kembali membuka mulutnya.
“Kesian pak su aku. Sampai sekarang dia tak kahwin-kahwin sebab nak jaga aku lepas kematian mak ayah aku.” Qisya memandang Ajda yang khusyuk mendengar dengan anggukan kecil di kepalanya.
“Dia sanggup berhenti dari kerja dia sebagai engineer yang dah terjamin tu dan bukak perniagaan sendiri, bermula balik dari bawah sebab nak utamakan aku, tak nak aku terabai. Dia nak selalu bersedia kalau aku memerlukan apa-apa dan kalau terjadi apa-apa.”
Ajda masih diam tidak berkutik. Tertarik hendak mendengar cerita Qisya itu.
 “Kau tahu, orang kata macam-macam dekat dia termasuk curiga tentang hubungan aku dengan pak su aku tu sebab kami cuma duduk berdua dalam rumah tu tapi dia buat tak kisah pun pasal hal tu. JAIS siap pernah serbu rumah kami sebab ingat aku dengan pak su bersekedudukan tapi lepas pak su jelaskan dan dia orang pun tengok keadaan aku yang memang tak ada upaya ni, kami dibebaskan tanpa sebarang dakwaan.”
“Astaghfirullah. Sampai macam tu ya.” Ajda menggelengkan kepalanya, tidak faham dengan pemikiran masyarakat yang asyik berfikir yang bukan-bukan.
“Pak su aku bercinta dengan seorang perempuan ni, lama jugak la dalam dua tahun macam tu. Tapi malangnya, sampai sekarang perempuan tu tak nak kahwin dengan pak su aku. Dan semuanya sebab aku.” Qisya bersuara sayu, matanya sudah berkaca apabila mengingatkan Pak sunya.
“Sebab kau?”
Qisya laju mengangguk.
“Walaupun pak su aku tak pernah cakap tapi aku tahu, perempuan tu tak boleh kahwin dengan pak su aku sebab aku. Perempuan mana yang rela berkahwin dengan lelaki yang jaga anak saudaranya yang cacat?”
“Hesy, tak baik cakap macam tu, Qisya.”
“Memang pahit tapi itu kebenarannya, Ajda. Dan sekarang pun, dia orang dah putus sebab perempuan tu dah tak boleh bertahan, menunggu perkara yang tak pasti. Mungkin dia nak tengok aku mati dulu baru dia boleh terima pak su aku.” Qisya mendengus, sebal.
“Astaghfirullah hal ‘azim. Kenapa kau fikir yang bukan-bukan ni?”
“Betullah. Apa salah ke aku cakap? Dia nak aku berhambus dari hidup pak su aku baru dia boleh kahwin dengan pak su aku. Pak su aku pulak takkan biarkan aku pergi dari hidup dia walaupun berkali aku cakap aku rela saja beralah demi kebahagiaan dia. Jadi, mungkin aku kena mati dulu baru perempuan tu kahwin dengan pak su aku dan pak su aku bahagia.”
Ajda menghela nafasnya perlahan. Memahami hati Qisya yang dihuni perasaan tidak enak sebegitu.
“Pak su aku dah banyak berkorban untuk aku, Ajda. Aku sayangkan dia jadi kalau boleh aku nak tengok dia kahwin dan bahagia. Bukannya hidup merana dan kesepian disebabkan aku.” Qisya menyeka air matanya yang sudah bertakung di tubir mata.
“Aku faham, Qisya.” Ajda mengelus tangan Qisya, cuba menenangkan gundah di jiwa Qisya saat itu.
“Sebab tu... aku nak buat satu permintaan, Ajda.” Qisya memandang Ajda dengan wajah yang penuh pengharapan.
“Permintaan?” kening Ajda bertaut, tidak mengerti.
“Ya, permintaan yang aku rasa kau saja boleh tunaikan.”
“Apa dia?” Ajda menyoal dengan debaran di dadanya. Gusar mula bertandang.
“Kahwin dengan pak su aku. Jadi mak su aku.”
“Hah?” Mata Ajda mencerlung mendengarkan permintaan yang sungguh dia tidak jangkakan itu.
“Apa... apa kau merepek ni?” Ajda masih tidak bisa menghadam kata-kata yang keluar dari mulut Qisya tadi.
Qisya menghela nafasnya sebelum dia memaut dan menggenggam tangan Ajda.
“Aku tahu kau yang paling sesuai untuk pak su aku, Ajda. Kau sahabat baik aku, mesti kau tak kisah dengan keadaan aku ni kan?”
“Ya, aku memang tak kisah. Aku rela buat apa saja untuk kau Qisya tapi kenapa mesti kena kahwin dengan pak su kau? Aku boleh jaga kau, ada di sisi kau tanpa perlu kahwin dengan pak su kau tu, Qisya.”
“Lain, Ajda. Kau takkan boleh sentiasa ada dengan aku. Lagipun aku bukan nak kau ada di sisi aku semata, tapi juga Pak su aku. Aku nak kau bahagiakan dia, boleh kan?”
Ajda menelan liur yang terasa tersekat di kerongkongnya. Terlalu berat rasanya permintaan Qisya itu untuk dia terima.
Keluhan berat kedengaran terbit dari bibir Qisya.
“Tak apalah, Ajda. Aku faham, bukan mudah untuk kau terima permintaan aku ni. Tak apalah, kau anggap sajalah aku tak pernah cakap apa-apa.” Qisya bersuara tanpa memandang Ajda, kopi latte panas yang sudah menjadi suam itu dihirupnya perlahan.
Ajda menggumam. Sungguh dia tidak tahu bagaimana hendak memberikan jawapan yang sewajarnya untuk tidak menyakitkan hati Qisya.
“Bagi aku masa, Qisya. Aku janji aku akan fikirkan hal ni.” Ajda menghela nafasnya setelah memberikan jawapannya kepada persoalan Qisya tadi. Sekurang-kurangnya dia punya waktu untuk meredakan keadaan dan pada masa yang sama, tidak terus melukakan hati sahabatnya yang sedia terluka dan bersalut rawan.

“Betul ke, Ajda? Baik aku tunggu keputusan kau dan aku harap aku dapat jawapan yang aku nak.” Qisya bersuara girang dan menggenggam tangan Ajda dengan erat kembali. Ajda menghela nafasnya sebelum ikut tersenyum saat melihat senyuman manis terukir semula di wajah Qisya yang mendung tadi.

Suka? =)

Monday, April 17, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 17



QISYA menepuk dadanya yang terasa sesak, kejadian siang tadi kembali menghantui ketenangannya. Wajah Ajda dan Doktor Ikhwan silih berganti bermain di fikirannya. Kalaulah dia tidak terduduk lemah macam sekarang, pasti awal lagi dia sudah memberanikan dirinya untuk meluahkan perasaan yang terbuku.
Qisya sedar keadaannya yang begini tidak memungkinkan dia untuk mengharap pada sebuah cinta apatah lagi untuk membina rumahtangga, Qisya pasrah selama ini tetapi apabila Doktor Ikhwan yang dia simpan perasaan selama ini menunjukkan minatnya kepada Ajda, serba sedikit hati Qisya terusik.
Qisya meraup wajahnya lama sebelum dia terasa bahunya dipegang.
“Qisya, Qisya okay ke?” suara Megat Talhah kedengaran merenggut kesunyian di dalam bilik Qisya itu.
Qisya yang terkejut, lekas mengangkat wajahnya.
“Pak su...”
“Qisya kenapa ni, ada masalah ke?”
Qisya mengukir senyum seraya menggeleng.
“Tak adalah, pak su. Mana ada masalah apa-apa.” Laju Qisya menafikan, tidak mahu pak sunya fikir yang bukan-bukan.
“Habis tu, kalau tak ada masalah, kenapa Qisya duduk senyap je dalam bilik ni? Dari tadi pak su balik.”
“Maaf, pak su. Qisya penat sikit, tadi kan keluar dengan kawan.”
“Oh betullah, Qisya pergi mana tadi?” Megat Talhah teruja menyoal bersama senyuman lebar. Sudah sekian lama dia tidak melihat Qisya keluar bergembira dengan kawan-kawannya. Sekurang-kurangnya sekarang, Megat Talhah sedikit lega kerana Qisya sudah mahu keluar ke dunia luar, tidak hanya berkurung di dalam rumah dan hidup dalam dunianya sendiri.
“Tak pergi mana sangat pun, jalan-jalan dalam shopping mall saja. Tapi seronok bercerita dan mengimbau kenangan lalu.” Qisya ikut tersenyum.
“Tak apa. Sekurang-kurangnya Qisya ada teman nak berborak dah sekarang, pak su gembira tengok Qisya gembira.”
Qisya menggumam. Ya dia gembira bertemu semula dengan Ajda tetapi pada masa yang sama, dia sedih kerana perjumpaannya dengan Ajda mengingatkan dirinya pada dirinya yang dahulu yang serba sempurna, yang dia tidak bisa kembalikan lagi.
“Kenapa ni, Qisya? Qisya sedih ke?” sekali lagi Megat Talhah mengajukan soalan setelah melihat Qisya kembali berjeda.
Qisya menggelengkan kepalanya perlahan.
“Tak ada apa-apalah, pak su. Qisya terkenang zaman dulu, masa Qisya masih lagi boleh berjalan. Qisya gembira jumpa kawan Qisya tu tapi Qisya juga sedih sebab teringat memori indah tu semua sebab sekarang, semuanya dah jauh berbeza.”
“Tak apalah, Qisya. Jangan sedih-sedih, anggap saja semua tu kenangan terindah di dalam hidup Qisya yang bila Qisya ingat, Qisya akan senyum.”
Qisya mengangguk setuju.
“Baik, pak su.”
“Dah, Qisya tidurlah. Jangan fikir yang bukan-bukan lagi.”
Megat Talhah menepuk bahu Qisya sebelum dia bangun meninggalkan Qisya, tidak mahu anak saudaranya itu terus hanyut dalam kesedihan, mengenang kisah silam yang tidak bisa diulang.
Mata Qisya mengekori langkah Megat Talhah sehingga lelaki itu hilang dari pandangannya sebelum satu keluhan berat kembali meniti bibir Qisya. Sengaja dia tidak bercerita tentang perkara yang menganggu hatinya saat itu, tidak mahu Megat Talhah tahu perkara yang dia pendam sendiri selama ini.
Bapa saudaranya itu pun punya masalah hati yang tidak selesai-selesai, dia tidak mahu menambahkan lagi kekusutan Megat Talhah dengan bercerita soal hatinya pula sedangkan perkara itu sekadar cinta yang bertepuk sebelah tangan.
Qisya buntu, tidak tahu hendak berbuat apa melainkan larut dengan perasaan sedihnya sendiri.

TERIMA kasih untuk pavlova tadi. Sedap sangat, semua orang suka dan puji kesedapan pavlova tu.
Ajda membelek mesej di aplikasi WhatsApp yang baru saja dia terima itu. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyum.
Sama-sama, Doktor. Terima kasih juga sebab sudi order pavlova saya tu.
            Laju Ajda menaip sebelum menekan butang send.
            Janganlah panggil saya, doktor. Doktor itu gelaran saya dekat hospital saja. Awak boleh panggil saya Ikhwan.
            Ajda mengetap bibir. Lain macam mesra saja Doktor Ikhwan ni.
Eh tak baiklah macam tu, saya hormat doktor sebagai doktor.
            Tapi kalau sebagai kawan, takkan awak masih nak panggil saya doktor?
            Ajda terdiam. Sengaja Ikhwan memberikannya soalan cepumas.
            Saya nak kita berkawan. Boleh kan, Ajda?
            Erk! Satu lagi soalan cepumas. Ajda menggaru kepalanya sendiri.
            Boleh saja, doktor. Eh maksud saya, Ikhwan.
            Ajda menekan butang send. Tidak mahu terlebih fikir sama ada niat Doktor Ikhwan hendak berkawan sebagai kawan biasa sahaja atau kawan luar biasa.
Bagus, macam tulah baru mesra. Kan?
            Ajda diam. Tidak tahu hendak membalas apa.
            Saya nak jumpa awak, Ajda. Tapi buat masa sekarang saya sibuk lagi dengan kerja, selalu kena oncall. Nanti saya ada masa terluang saya bagitahu awak ya.
            Baik, Ikhwan. Boleh saja, Insya-Allah.
            Terima kasih, Ajda.
Sama-sama.
Ajda menamatkan perbualan itu walau hatinya berselirat dengan pelbagai persoalan yang muncul tanpa bisa dia halang. Kenapa doktor muda itu hendak berkawan dengan dia, malah mahu berjumpa dirinya? Ada niat tersembunyikah? Takkanlah doktor itu ada niat jahat pulak kan? Orang terpelajar sebegitu tak mungkinlah berfikiran yang tidak betul.
Kalau dia memang suka aku? Ah jangan merepeklah Ajda!

Ajda mengetuk kepalanya sendiri, enggan membiarkan fikirannya sekali lagi membawa dia ke arah itu. Betul kata Qisya, dia harus sedar diri yang orang sepertinya tidak mungkin disukai lelaki sempurna seperti Doktor Ikhwan. 

Suka? =)

Saturday, April 15, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 16


AJDA memandang Qisya yang sedang menyorong kerusi rodanya saat itu, mendekati Ajda yang sedang berada di luar rumah. Masih rasa tidak percaya yang Qisya akhirnya menyatakan persetujuan untuk berjumpa dia hari ini setelah sekian lama dia memujuk sahabatnya itu untuk bertemu. Tanpa sebarang alasan lagi, Qisya berkata ya dan terus hantarkan lokasinya di aplikasi WhatsApp.
            “Ada siapa dekat rumah?” Ajda menyoal saat Qisya terhenti di hadapannya.
            “Tak ada siapa, pak su aku kerja. Mak Wan, orang gaji rumah aku ni tak datang masa weekend.”
            “Oh, kau dah bagitahu pak su kau ke yang kau nak keluar dengan aku hari ni? Karang tak pasal pak su kau marah.” Ajda sedikit gusar.
            “Dah bagitahu dah. Kau janganlah risau.” Qisya menarik senyum sebelum menyorong kerusi rodanya kembali mendekati kereta Ajda yang terparkir di luar rumah.
            “Kau ni tak apa ke ikut aku pergi hospital dulu? Aku boleh je pergi hospital tu siapkan kerja aku hantar pavlova tu sebelum datang sini ambik kau.”
            “Alah tak apa, kalau kau pergi hospital dulu, kau kena patah balik pulak ambil aku sebab arah berlawanan. Dah alang-alang ni baik kita berdua je pergi terus ke hospital tu, senang satu arah je. Tak adalah susahkan kau.”
            “Aku okay je. Tak susah mana pun, bukan jauh pun hospital tu dari sini.”
            “Aku pun okay je ikut kau pergi hospital tu, dah jadi rumah kedua aku dah pun hospital tu.” Qisya ketawa kecil membuatkan gundah di hati Ajda sedikit terubat.
            “Kau ni ada-ada ajelah. Jomlah kita gerak.” Ajda membuka pintu kereta di bahagian tempat duduk penumpang hadapan sebelum membantu Qisya untuk masuk. Dia kemudiannya melipat kerusi roda Qisya dan meletakkannya di dalam bonet kereta seraya menghidupkan enjin kereta dan memecut laju meninggalkan perkarangan rumah Qisya.

AJDA mengjinjit beg plastik yang terisi kotak-kotak mini pavlova di tangan kanan dan kirinya dengan susah payah. Jarang ada pelanggan yang membuat pesanan sebanyak itu jadi Ajda tidak ada cara lain untuk membawa pavlova itu selain mengangkatnya sendiri. Qisya yang berada di sisinya sekadar mengekor Ajda dari belakang sambil menyorong kerusi rodanya. Langkah Ajda terhenti saat dia tiba di Jabatan Ortopedik di dalam hospital itu.
            “Dah sampai!” Ajda menarik nafas lega. Naik berbirat tangannya memegang beg plastik yang berat itu.
            Qisya terpempan. Matanya memandang ke arah papan tanda yang menunjukkan tempat mereka tuju itu sekarang, masih tidak percaya dengan apa yang dia dengar dari mulut Ajda.
            “Jabatan Ortopedik? Siapa yang order pavlova kau ni?” Qisya menyoal saat suara seseorang kedengaran dari interkom di luar jabatan itu.
            “Ya?”
            Ajda menoleh ke arah Qisya dan mengangkat tangannya tanda meminta Qisya menunggu sementara dia berurusan dengan suara di interkom itu.
            “Saya Ajda dari The Jida Dessert, ada nak hantar pesanan dari Doktor Ikhwan.”
            “Oh kejap ya.”
            Lock pintu itu berbunyi tanda ia sudah boleh dibuka dan Ajda terus menolak daun pintu itu seluasnya, memberi peluang kepada Qisya untuk masuk dahulu sebelum dia meloloskan diri. Mereka beriringan di koridor itu saat Doktor Ikhwan keluar dari salah satu pintu dan bergegas ke arah mereka.
            “Ajda, kenapa tak bagitahu dah sampai? Kalau tahu tadi saya dah ambil sendiri dekat luar.” Doktor Ikhwan berbicara saat dia cepat-cepat mencapai plastik-plastik yang terisi mini pavlova itu dari tangan Ajda, tidak mahu gadis itu berlama memegang plastik yang berat itu. Plastik itu kemudiannya dia letakkan di atas bangku kayu yang berada di koridor tersebut.
            “Tak apa, doktor. Tak ada hal, sikit je ni.” Ajda tersengih. Segan bercampur debaran di dadanya.
            “Ajda...” suara Qisya yang kedengaran membuatkan Ajda lekas menoleh ke arah Qisya.
            “Oh doktor, ini kawan saya, Qi...”
            “Qisya, buat apa dekat sini?” belum sempat Ajda memperkenalkan Qisya, Doktor Ikhwan sudah memotong. Mata mereka saling bertentangan membuatkan Ajda mengangkat keningnya, hairan dengan situasi itu.
            “Saya temankan kawan saya, doktor.” Qisya mengukir senyuman paling manis.
            “Oh ingatkan awak ada appointment hari ni. Ajda ni kawan awaklah ya.” Doktor Ikhwan menunjuk ke arah Ajda dan dibalas dengan anggukan dari Qisya.
            “Kau kenal Doktor Ikhwan?” Ajda menyoal, tidak puas hati setelah diam sedari tadi.
            Doktor Ikhwan berpaling memandang ke arah Ajda sebelum bersuara.
            “Qisya ni patient saya.” Doktor Ikhwan menjelaskan membuatkan Ajda mengangguk perlahan. Barulah dia mengerti duduk perkara yang sebenar.
            “Tak sangka kecil betul dunia ni kan, doktor?” Ajda bersuara seketika kemudian, seraya melemparkan senyuman manis kepada doktor kacak itu.
Qisya merenung keduanya dengan jiwa yang jelas bergelodak. Entah apa yang dia sedang rasa saat ini dia sendiri tidak tahu tetapi apa yang pasti hatinya terasa begitu sakit saat melihat senyuman manis Doktor Ikhwan yang tidak pernah dia lihat selama ini, dilemparkan kepada Ajda, sahabat baiknya sendiri.
            “Ini duitnya. Saya beli ya.”
            “Terima kasih doktor. Saya jual.” Ajda bersuara saat menyambut beberapa not kertas yang dihulurkan doktor itu. Bersyukur diberikan rezeki yang banyak sebegini pada hari ini.
“Lepas ni kalau saya nak contact awak lagi boleh ke? Walaupun bukan untuk beli pavlova?” kata-kata Doktor Ikhwan itu begitu jelas kedengaran di telinga Qisya. Dia memandang ke arah Ajda yang kelihatan tergamam, perlahan sahabatnya itu mengangguk dan mengukir senyum.
            “Boleh saja doktor, bila-bila masa pun boleh.”
            “Alhamdulillah. Terima kasih, Ajda.” Senyuman manis itu sekali lagi terukir, lain benar dari senyuman yang biasa dia lihat terpamer di bibir lelaki kacak itu. Renungan matanya pada Ajda juga kelihatan berbeza dan Qisya tahu apa ertinya semua itu. Sepanjang hidupnya, terlalu banyak pengalaman Qisya melihat renungan itu, saat dia menjadi gadis idaman ramai lelaki. Setiap lelaki yang memandangnya pasti melihatnya dengan mata redup dan bersinar sebegitu, tanda mereka suka kepadanya. Perlahan Qisya menghela nafasnya.
            “Saya balik dululah ya, doktor.”
            “Okay terima kasih Ajda. Qisya, jaga diri baik-baik ya, jumpa next appointment.” Doktor Ikhwan berpaling dan sempat berpesan kepada Qisya yang memerhatinya sedari tadi. Qisya mengangguk lambat-lambat tanpa bersuara.

“DOKTOR Ikhwan tu segak kan?” Ajda tersengih menyoal saat dia menolak kerusi roda Qisya di koridor hospital itu.
            Qisya diam, fikiran jauh melayang entah ke mana.
            “Qisya...” Ajda sekali lagi bersuara seraya menghentikan kerusi roda itu, membuatkan Qisya kembali tersedar dari lamunannya.
            “Aku cakap, Doktor Ikhwan tu segak kan?” Ajda tersengih ke arah Qisya yang sudah menoleh memandangnya. Qisya mengangguk perlahan sebelum kembali melarikan matanya dari pandangan Ajda.
            “Segak.” Pendek Qisya menjawab.
“Dia doktor kau kan? Takkanlah selama ni kau tak tergoda dengan kekacakan dia? Kalau akulah, dah lama aku jatuh hati.” Ajda ketawa kecil. Hatinya terasa gembira pula apabila terbayangkan doktor kacak itu kembali. Hesy Ajda, biasa dia ni! Teringat anak teruna orang ya. Ajda tersengih lagi untuk kesekian kalinya tanpa sedar akan gelodak jiwa di hati Qisya yang sedang berperang dengan perasaannya sendiri.
“Macam mana nak jatuh hati kalau awal-awal lagi aku dah sedar aku ni tak layak untuk lelaki macam tu, atau sesiapapun.” Lirih suara Qisya kedengaran membuatkan sengihan di bibir Ajda mati. Dia berdepan dengan Qisya sebelum duduk mencangkung supaya dia dapat sama paras dengan sahabatnya itu.
“Qisya, aku minta maaf. Aku tak ada niat nak buat kau sedih.” Ajda rasa bersalah, keterujaannya membuatkan dia jadi kurang prihatin dengan keadaan Qisya. Tangan Qisya dia elus lembut, cuba menghilangkan rasa sedih yang cuba menyelubungi hati sahabatnya itu.
Qisya mengorak senyuman saat matanya dan Ajda bertentangan. Tidak mahu Ajda fikir yang bukan-bukan walau hatinya tetap terasa walang.
“Aku okaylah. Tak perlu minta maaf.”
“Aku doakan kau jumpa jodoh yang terbaik. Pasti ada lelaki yang boleh menerima diri kau seadanya, Qisya. Aku yakin.”
Qisya ketawa kecil, bahu Ajda ditepuk perlahan.
“Sudahlah, tak payahlah serius sangat. Aku tak kisahpun pasal hal tu. Kau tu, lain macam je dengan Doktor Ikhwan tadi. Ada apa-apa ke?” Qisya cuba menebak hati Ajda, rasa ingin tahunya membuak.
Ajda laju saja menggeleng.
“Mana ada apa-apa. Aku pun baru kenal Doktor Ikhwan tu. Tapi kau rasa, dia suka kat aku ke?” Ajda tersengih, sekadar mahu bergurau.
“Perasan betullah kau ni. Kau sendiri cakap dia segak kan? Kau tu sesuai ke dengan dia?” Qisya memerli, enggan membiarkan fikiran Ajda memikirkan kemungkinan yang tidak sepatutnya berlaku. Ajda terdiam sebelum perlahan dia mengangguk.
“Yelah, mana sesuai kan aku dengan dia. Merepek betul aku ni.” Ajda ketawa macam dibuat-buat sebelum kembali menolak kerusi roda Qisya. Enggan memikirkan soal yang mengarut itu. Betul kata Qisya, mana mungkin gadis biasa sepertinya disukai lelaki kacak dan berkerjaya hebat macam Doktor Ikhwan. Mustahil Ajda!

Qisya menghela nafas lega dalam diam. Sekurang-kurangnya dia berjaya menghalau perasaan yang cuba bertamu di hati Ajda buat masa ini. 

Suka? =)

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!