“DOKTOR Ikhwan kata nak kawan dengan
kau?” mata Qisya membuntang selepas Ajda menceritakan segalanya saat mereka
berdua berada di dalam kereta hari itu. Ajda memang merancang hendak selalu
berjumpa dengan Qisya supaya sahabatnya itu tidak lagi merasa kesunyian setelah
lama mereka tidak berhubungan.
“Haah.
Dia siap cakap nak ajak aku keluar bila dia dah tak sibuk nanti. Aku confuselah,
Qisya. Apa makna semua ni?” Ajda meluahkan kemusykilan yang terbuku di
benaknya.
Qisya
diam tidak berkutik. Hatinya terasa dicucuk-cucuk dengan belati, pedihnya
sampai ke lubuk yang paling dalam.
“Qisya,
kau dengar tak ni?” Ajda menoleh sekilas ke arah Qisya yang duduk di sebelahnya
di dalam kereta itu.
“Dengar.”
Datar suara Qisya berbicara.
“Apa
maksudnya, Qisya? Aku buntulah.” Ajda melepaskan keluhan. Sungguh dia tidak
selesa dengan persoalan yang asyik menganggu ketenangannya sejak akhir-akhir
ini.
“Kau
tak payah fikir teruk-teruk sangat. Kawan sajalah macam biasa.”
“Memang
aku setuju je jadi kawan dia tapi kenapa sampai nak kena mintak nak berkawan?
Peliklah. Kawan tu kawan jelah, tak payah tanya.” Dahi Ajda berkerut. Tidak
puas hati.
“Kau
tu yang pelik. Suka fikir sangat benda yang tak perlu kau fikir. Dari dulu tak
berubah, lepas tu migrain.”
Ketawa
Ajda meledak. Tidak sangka Qisya masih ingat dengan tabiatnya yang memang suka
fikirkan sesuatu perkara itu secara mendalam sampai kadang-kadang sakit
kepalanya. Mungkin sindrom anak kedua orang kata.
“Hmmm
mungkinlah kot. Okaylah, malas aku nak fikir.” Ajda kembali fokus dengan pemanduannya.
Enggan memikirkan perkara itu lagi, risau pulak kalau tiba-tiba migrainnya
menyerang. Karang tak pasal segala tempahan pavlova dan kek yang dia terima tak
dapat disiapkan dalam masa yang dah ditetapkan. Nak hantar stok baru dekat
Talqisya lagi, kalau tak siap karang bising pulak pak cik kerek tu. Naya!
Qisya menoleh ke arah Ajda yang
sudah kembali diam dan khusyuk menata pandangannya di hadapan. Mujurlah Ajda
sudah tidak mengungkit soal itu dan Doktor Ikhwan juga sibuk dengan kerjanya
hingga tidak memungkinkan pertemuan mereka semula buat masa ini. Apa yang pasti
sekarang, dia harus melakukan sesuatu untuk menghalang mimpi ngerinya menjadi
kenyataan. Hesy!
“PERGI mana pulak kali ni? Kerap ya
keluar.” Suara di hujung talian membuatkan Qisya menguntum senyum.
“Alah
pak su, pak su jugak suruh Qisya jangan berkurung saja dekat rumah. Ni Qisya
keluar happy-happylah dengan kawan Qisya.”
“Hmmm
yelah. Janji balik awal tau, jangan melencong lama sangat.”
“Yelah,
jangan risau pak su. Nanti sebelum Maghrib Qisya dah ada dekat rumah.”
“Okay.
Jaga diri baik-baik.”
“Okay
pak su. Assalammualaikum.”
“Wa’alaikumussalam.”
“Siapa
tu, Qisya?” Ajda yang muncul membawa dua cawan kopi sebaik membelinya di
kaunter kafe itu pantas menyoal Qisya yang baru saja meletakkan kembali
telefonnya di atas meja.
“Pak
su aku.” Qisya bersuara datar.
“Pak su kau layan kau macam budak
kecil kan? Pantang lama sikit, mulalah dia telefon.” Ajda ketawa kecil.
Qisya ikut ketawa.
“Biasalah, dia risaukan aku. Dari
dulu aku rapat dengan paksu aku sebab dia duduk dengan family aku sejak
aku kecil lagi. Dia memang manjakan aku jadi bila keadaan aku macam ni, lagilah
dia buat aku macam budak-budak.” Qisya menjelaskan sebelum terfikirkan sesuatu.
Dia mengangkat wajahnya memandang Ajda yang sedang menghirup kopi caramel
machiatto panas di dalam cawannya.
“Kau ingat tak pak su aku ni?” soal
Qisya tiba-tiba membuatkan Ajda kembali melarikan cawan itu dari bibirnya.
“Pak
su kau yang dulu kau selalu sebut masa zaman kita study tulah, kan?”
Qisya
mengangguk perlahan, mengiyakan kenyataan itu sebelum dia kembali membuka
mulutnya.
“Kesian pak su aku. Sampai sekarang
dia tak kahwin-kahwin sebab nak jaga aku lepas kematian mak ayah aku.” Qisya
memandang Ajda yang khusyuk mendengar dengan anggukan kecil di kepalanya.
“Dia sanggup berhenti dari kerja dia
sebagai engineer yang dah terjamin tu dan bukak perniagaan sendiri,
bermula balik dari bawah sebab nak utamakan aku, tak nak aku terabai. Dia nak
selalu bersedia kalau aku memerlukan apa-apa dan kalau terjadi apa-apa.”
Ajda masih diam tidak berkutik.
Tertarik hendak mendengar cerita Qisya itu.
“Kau tahu, orang kata macam-macam dekat dia
termasuk curiga tentang hubungan aku dengan pak su aku tu sebab kami cuma duduk
berdua dalam rumah tu tapi dia buat tak kisah pun pasal hal tu. JAIS siap
pernah serbu rumah kami sebab ingat aku dengan pak su bersekedudukan tapi lepas
pak su jelaskan dan dia orang pun tengok keadaan aku yang memang tak ada upaya
ni, kami dibebaskan tanpa sebarang dakwaan.”
“Astaghfirullah. Sampai macam tu
ya.” Ajda menggelengkan kepalanya, tidak faham dengan pemikiran masyarakat yang
asyik berfikir yang bukan-bukan.
“Pak su aku bercinta dengan seorang
perempuan ni, lama jugak la dalam dua tahun macam tu. Tapi malangnya, sampai
sekarang perempuan tu tak nak kahwin dengan pak su aku. Dan semuanya sebab
aku.” Qisya bersuara sayu, matanya sudah berkaca apabila mengingatkan Pak sunya.
“Sebab kau?”
Qisya laju mengangguk.
“Walaupun pak su aku tak pernah
cakap tapi aku tahu, perempuan tu tak boleh kahwin dengan pak su aku sebab aku.
Perempuan mana yang rela berkahwin dengan lelaki yang jaga anak saudaranya yang
cacat?”
“Hesy, tak baik cakap macam tu,
Qisya.”
“Memang pahit tapi itu kebenarannya,
Ajda. Dan sekarang pun, dia orang dah putus sebab perempuan tu dah tak boleh
bertahan, menunggu perkara yang tak pasti. Mungkin dia nak tengok aku mati dulu
baru dia boleh terima pak su aku.” Qisya mendengus, sebal.
“Astaghfirullah hal ‘azim. Kenapa
kau fikir yang bukan-bukan ni?”
“Betullah. Apa salah ke aku cakap?
Dia nak aku berhambus dari hidup pak su aku baru dia boleh kahwin dengan pak su
aku. Pak su aku pulak takkan biarkan aku pergi dari hidup dia walaupun berkali
aku cakap aku rela saja beralah demi kebahagiaan dia. Jadi, mungkin aku kena
mati dulu baru perempuan tu kahwin dengan pak su aku dan pak su aku bahagia.”
Ajda menghela nafasnya perlahan. Memahami
hati Qisya yang dihuni perasaan tidak enak sebegitu.
“Pak su aku dah banyak berkorban
untuk aku, Ajda. Aku sayangkan dia jadi kalau boleh aku nak tengok dia kahwin
dan bahagia. Bukannya hidup merana dan kesepian disebabkan aku.” Qisya menyeka
air matanya yang sudah bertakung di tubir mata.
“Aku faham, Qisya.” Ajda mengelus
tangan Qisya, cuba menenangkan gundah di jiwa Qisya saat itu.
“Sebab tu... aku nak buat satu
permintaan, Ajda.” Qisya memandang Ajda dengan wajah yang penuh pengharapan.
“Permintaan?” kening Ajda bertaut,
tidak mengerti.
“Ya, permintaan yang aku rasa kau
saja boleh tunaikan.”
“Apa dia?” Ajda menyoal dengan
debaran di dadanya. Gusar mula bertandang.
“Kahwin dengan pak su aku. Jadi mak su
aku.”
“Hah?” Mata Ajda mencerlung mendengarkan
permintaan yang sungguh dia tidak jangkakan itu.
“Apa... apa kau merepek ni?” Ajda
masih tidak bisa menghadam kata-kata yang keluar dari mulut Qisya tadi.
Qisya menghela nafasnya sebelum dia
memaut dan menggenggam tangan Ajda.
“Aku tahu kau yang paling sesuai
untuk pak su aku, Ajda. Kau sahabat baik aku, mesti kau tak kisah dengan
keadaan aku ni kan?”
“Ya, aku memang tak kisah. Aku rela
buat apa saja untuk kau Qisya tapi kenapa mesti kena kahwin dengan pak su kau?
Aku boleh jaga kau, ada di sisi kau tanpa perlu kahwin dengan pak su kau tu,
Qisya.”
“Lain, Ajda. Kau takkan boleh
sentiasa ada dengan aku. Lagipun aku bukan nak kau ada di sisi aku semata, tapi
juga Pak su aku. Aku nak kau bahagiakan dia, boleh kan?”
Ajda menelan liur yang terasa tersekat
di kerongkongnya. Terlalu berat rasanya permintaan Qisya itu untuk dia terima.
Keluhan berat kedengaran terbit dari
bibir Qisya.
“Tak apalah, Ajda. Aku faham, bukan
mudah untuk kau terima permintaan aku ni. Tak apalah, kau anggap sajalah aku
tak pernah cakap apa-apa.” Qisya bersuara tanpa memandang Ajda, kopi latte panas
yang sudah menjadi suam itu dihirupnya perlahan.
Ajda menggumam. Sungguh dia tidak
tahu bagaimana hendak memberikan jawapan yang sewajarnya untuk tidak
menyakitkan hati Qisya.
“Bagi aku masa, Qisya. Aku janji aku
akan fikirkan hal ni.” Ajda menghela nafasnya setelah memberikan jawapannya
kepada persoalan Qisya tadi. Sekurang-kurangnya dia punya waktu untuk meredakan
keadaan dan pada masa yang sama, tidak terus melukakan hati sahabatnya yang
sedia terluka dan bersalut rawan.
“Betul ke, Ajda? Baik aku tunggu
keputusan kau dan aku harap aku dapat jawapan yang aku nak.” Qisya bersuara
girang dan menggenggam tangan Ajda dengan erat kembali. Ajda menghela nafasnya
sebelum ikut tersenyum saat melihat senyuman manis terukir semula di wajah
Qisya yang mendung tadi.
Suka? =)
haha permintaan yg amat berat di mata dan hati... Kalaulah Ajda tahu siapa packiknya.... hehe
ReplyDeletePermintaan yg ada maksud tersirat disebalik nya nih.. nak elak kan dr.ikhwan dari menjadi dgn ajda..
ReplyDeleteEee...jahat je Qisha ni...
ReplyDelete