~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, February 7, 2011

Cerpen : Aku Seorang Pencinta Rahsia


Ada bermacam ragam manusia yang kita boleh jumpa di universiti, dari situ timbul pula pelbagai puak mengikut keserasian mereka bersama. Ada geng popular, geng otai, ada geng skema, ada juga geng tudung labuh, tak terkecuali geng gila kuasa. Aku? Aku tidak masuk dalam geng mana-mana, skema pun aku, otai pun aku, tapi aku tak gila kuasa. Haha.
Yang paling jadi tumpuan di dalam universiti pastinya geng popular, geng ini popular kerana pelbagai sebab, ada yang jaguh dalam sukan, ada yang terbaik dari segi akademik, ada pula popular bersandarkan paras rupa walaupun otak tak sebijak mana, yang peliknya geng inilah yang paling menyerlah.
Dalam satu geng popular ni, ada sorang mamat yang jadi pujaan hati aku. Memanglah dia kacak, tapi ramai lagi yang kacak, yang buat aku sukakan dia adalah sebab wajahnya lembut, manis dan macam budak yang baik. Macam mana aku nampak dia baik? Sebab lelaki yang baik kan untuk perempuan yang baik, begitulah sebaliknya. Aku rasa aku ni baik, jadi mesti Umar Ukasyah pun baik kan. Hehe.
Nama pujaan hati aku tu, Umar Ukasyah, namanya itu pun sudah menggambarkan dia itu kacak kan? Eh jangan jatuh hati, Umar itu aku yang punya, Ainul Hayat! Ingat tu, Ainul Hayat!
Masalahnya, insan yang bernama Umar Ukasyah ni bukan menjadi pujaan aku sorang, tapi beribu orang lagi dalam universiti ni. Nasib la, orang kacak macam dia, peliklah kalau tak menjadi pujaan ramai kan? Dan nasib aku jugak, suka pada jejaka pujaan ramai ni. Tapi bagi aku, barulah mencabar bila kita suka pada jejaka pujaan ramai sebab banyak persaingan. Bila sekali dia layan kita, kita akan rasa yang kitalah insan paling bertuah atas muka bumi ni dan bila orang lain cemburu, itulah kemenangan buat kita. Hahaha.
Satu lagi masalah besar aku, aku ni takut nak tunjuk yang aku sukakan dia. Aku lebih rela berdiam diri macam tunggul kayu daripada mencuri peluang untuk mendekatinya. Umar Ukasyah ni sekelas dengan aku, tapi aku tak pernah bertegur sapa dengan dia. Aku ni macam tak pernah wujud di mata dia. Haish! Susah, tapi aku lebih rela memendam rasa dari menanggung malu. Bila ada budak perempuan lain dok bersembang dengan dia, mulalah aku rasa cemburu, tapi nak buat macam mana, aku sendiri yang tak berani. Padan muka aku kan? Padahal peluang selalu ada depan mata. Ish ish ish.
“Yat! Apsal dok tergeleng-geleng dari tadi ni?” Riya, sahabat baikku yang jugak roomateku, muncul entah dari mana, menepuk bahuku yang sedang baik punya mengushar Umar Ukasyah dari jauh di dalam perpustakaan itu. Potong stim betul minah ni kan?
“Tak ada apalah Ya, aku dok study ni, tak paham betullah,” aku cuba mencari alasan sambil menunjuk ke arah buku notaku di hadapan.
“Tengok buku terbalik, memang la tak paham,” kata-kata Riya itu membuatkan aku cepat-cepat membetulkan semula kedudukan buku itu sambil tersengih padanya.
“Kau study ke dok mengushar eh?” Riya cuba meneka.
“Eh ushar sapa pulak? Mana ada siapa-siapa yang aku tengah ushar. Tak ada masa aku nak skodeng orang.”
“Aah la, kau bukan suka kat siapa-siapa pun kan.” Riya mengangguk-angguk. Malunya aku dengan perasaanku sendiri, sampaikan Riya, sahabat baikku sendiri pun tak tahu aku sukakan Umar Ukasyah. Pandai aku simpan rahsia kan?
Riya mengambil duduk di sebelahku sambil membuka buku yang dipegangnya sedari tadi. Dia mula khusyuk membuat ulangkaji tanpa mempedulikan aku lagi. Peluang baik ni! Aku kembali memandang tempat Umar Ukasyah nun di hujung meja sana, namun masih mampu kulihat dengan jelas. Umar Ukasyah sedang asyik menerangkan sesuatu pada seorang gadis, juga budak sekelasku. ‘Ah mesti budak tu sengaja buat-buat tak faham, senang dia nak bertanya Umar kan!’ hati aku jadi panas, mentang-mentang Umar memang budak pandai, kacak pulak tu, semua orang tak mahu lepaskan peluang untuk mendekatinya, almaklumlah pakej lengkap. Huh!
“Yat, aku peliklah dengan kau ni,” Riya yang terdiam sedari tadi tiba-tiba bersuara. Aku pandang wajah Riya yang seolah sedang memikirkan sesuatu.
“Apa kau ni? Tiba-tiba saja!”
“Aku peliklah... dekat universiti ni selalunya, mesti ada sorang lelaki yang kita akan suka. Kalau bukan suka pun, kita minat. Tapi kau ni, sejak aku kenal kau dari first year dulu, tak pernah pun aku tahu kau minat siapa. Kau pun tak pernah tunjuk yang kau minat pada siapa.”
Aku menelan liur.
“Tak peliklah. Dah aku tak minat siapa-siapa, nak buat macam mana. Yang kau tu, kau ada ke minat kat siapa-siapa?” aku cuba bertanya sebab aku ni jenis tak pandai nak meneka.
“Mestilah ada, kau tak perasan ke selama ni?”
“Eh ye eh? Aku tak perasan pun.”
“Ei blur la kau ni Yat.”
“So siapa?” aku rasa ingin tahu.
“Rahsia!”
Riya tersengih sambil menyambung kembali ulangkajinya.
“Eii tak nak bagitahu pulak!”
“Cubalah cari sendiri!”
“Kelas mana? Kelas kau ke? Kelas aku ke? Kelas lain ke?”
“Tak nak cakap!” Riya membuat isyarat men‘zip’ mulut.
Aku mencebik.
------------------------------------------------------------------------------------
“Kak, kak dari kos Business Management kan?” seorang gadis tiba-tiba bertanya pada aku saat aku tengah menuju ke tandas selepas kuliah selesai.
“Ya, kenapa adik?” alang-alang dia panggil aku kakak, baik aku panggil dia adik, sebab rasanya aku lebih tua kot. Budak ni macam tak cukup kalsium je. Kecil molek budaknya.
“Boleh tolong saya tak akak?”
Aku mengerut dahi. Apa pulak yang budak ni nak suruh aku tolong ni?
“Apa dia? Kalau boleh tolong, akak tolong la.”
Gadis itu tersengih-sengih macam kerang busuk. Malu agaknya nak cakap.
“Boleh tak tolong saya....” gadis itu keluarkan sesuatu dari begnya. Sampul berwarna pink... Mesti ada surat dalam tu kan? Takkan duit pulak. Eh duit pun boleh diletak dalam sampul. Tapi apa motifnya nak bagi aku duit pulak? Rasuah ke? Eh apa aku merepek ni?
“Boleh tak akak bagi surat ni pada seseorang dalam kelas akak,” gadis itu berbicara sambil menghulur surat itu padaku.
Aku mengambil surat itu dari tangannya lantas memandang wajahnya semula.
“Boleh tu boleh, tapi nak bagi pada siapa dik? Lecturer akak, Puan Gayah yang garang tu ke?” aku berseloroh.
“Eh.. eh jangan kak!” gadis itu pucat lesi. Aku ketawa kecil. Seronok pula kenakan budak kecik ni.
“Akak gurau jelah. Habis tu nak bagi siapa ni?”
Gadis itu tersengih lagi. Aiyoo pemalunya ini budak.
“Bagi dekat abang Umar boleh kak?”
Gulp! Kenapakah...
“Umar?”
“Aah. Abang Umar. Tolong ya kak! Saya tak tahu nak mintak tolong siapa lagi, dengan akak je saya berani mintak tolong sebab akak nampak macam orang yang boleh dipercayai.”
Amboi-amboi, lancar benar mulut budak ni memuji-muji aku ya. dia tak tahu, akulah peminat nombor satu Umar Ukasyah, kang tak pasal-pasal surat ni aku koyak, naya dia. Hahaha!
“InsyaAllah, nanti akak sampaikan,” laju saja mulut aku membalas. Inilah jadinya bila hati dan mulut tak berkerjasama. Hati cakap lain, mulut janji lain. Dush!
Lesap saja budak itu dari pandangan, aku belek-belek sampul itu. Ikut hati, mahu saja aku koyak sampul itu dan baca isi di dalamnya, tapi amanah orang. Tak sanggup pulak aku tanggung dosa gara-gara mengikut hati aku.
Adus! Masalah pulak nak berjumpa Umar. Sepanjang tiga tahun kat universiti ni, belum sekalipun aku bercakap dengan Umar. Eh bukan dengan Umar saja, dengan semua budak lelaki dalam kelas aku, aku tak pernah cakap. Kalau cakap pun semua atas urusan pembelajaran, macam perbincangan di dalam kumpulan, kalau sengaja aku nak bercakap, memang tak la. Adus kusut!
Dari jauh lagi, aku nampak Umar Ukasyah sedang duduk sendirian di dalam perpustakaan, mana gengnya yang lain, aku sendiri tak pasti, tapi Umar Ukasyah memang rajin study di situ. Aku peminat nombor satunya, mestilah aku tahu!
“Err, assalammualaikum,” aku beranikan diri menegur.
“Waalaikumussalam,” Umar Ukasyah pandang wajahku dengan riak terkejut.
“Err, Ukasyah...” aku bersuara takut-takut.
“Ainul Hayat kan?” dia menyoal. Wah! Tahu juga dia namaku, ini yang nak kembang semangkuk ni.
“Aah. Saya ada hal sikit nak cakap dengan awak ni.”
“Apa dia Ainul?”
Erk... lembut pulak bila dia panggil namaku macam tu. Cair! control Yat, control, jangan tunjuk perasaan kau.
Surat dari dalam saku baju kurungku segera ku keluarkan lantas kuletak di atas mejanya.
“Ada orang bagi,” pendek saja aku berkata.
“Siapa?” Umar Ukasyah bersuara sambil mengangkat surat itu dan dibelek-belek seketika.
“Entah! Saya pun tak tahu. Ada budak kos mana entah bagi dekat saya semalam.”
“Bukan awak sendiri yang bagi surat ni?” Umar Ukasyah menduga. Aku mencebik.
“Tak kuasa saya nak tulis surat, lepas tu hantar sendiri. Baik cakap terus depan mata,” aku sedikit bengang.
“Amboi, garangnya. Sorry-sorry. Duduklah dulu.”
“Ei tak naklah. Saya pergi dulu,” aku cepat-cepat mahu berlalu.
“Ainul!” Umar Ukasyah menjerit memanggilku membuatkan semua mata tertumpu padaku. Cepat-cepat aku berkalih memandangnya semula.
“Nak apa?” aku bercakap dalam nada yang kukawal.
Umar Ukasyah melambai, memberi isyarat meminta aku kembali padanya. Dengan berat hati aku kembali ke arahnya.
“Ada apa lagi?”
“Terima kasih ya, jadi posmen karat saya.”
“Huh!”
“Ala jangan la garang-garang macam ni. Tak sangka saya, budak paling diam dalam kelas, sikit punya garang macam ni.”
Aku terdiam. Budak paling diam? Haha. Rasa nak gelak pulak, aku yang sikit punya havoc ni dilabel budak paling diam. Biar betul!
“Budak paling diam? Bila masa pulak saya pendiam. Saya ok je.”
“Yelah. Awak pendiam. Tak pernah cakap dengan budak lelaki. Kami semua segan nak dekat dengan awak tau.”
“Dah awak semua yang tak nak cakap dengan saya, takkan saya terhegeh pulak nak cakap dengan awak semua.”
“Oh macam tu eh, jadi kalau saya cakap dengan awak, awak sudilah cakap dengan saya.”
“Yelah!” aku menegaskan.
“Bagus-bagus. Sekarang saya nak cakap-cakap dengan awak. Meh la duduk dulu.”
Aku pandang wajahnya seketika, Umar Ukasyah seperti berharap. Dalam debaran dada yang tak surut-surut, aku duduk juga berhadapan dengannya. Sekali-sekala tengok buah hati depan mata, best jugak. Peluang ni.
“Ada apa lagi?” aku menyoal sambil tanpa sedar tanganku membelek surat yang kuletak di atas meja tadi. Ralit sangat sampai tak sedar perbuatan sendiri.
“Nak baca bukak la.” Kata-kata yang keluar dari mulut Umar Ukasyah membuatkan aku tersedar yang tingkahlakuku itu tidak sepatutnya berlaku. Perlahan surat itu kuletakkan jauh dariku dan lebih hampir dengan Umar Ukasyah. Umar Ukasyah cuma gelak saat mengambil surat itu semula.
Surat itu dibuka lantas isinya dibaca dengan sedikit kuat, membolehkan aku mendengar dengan jelas.
“Saya sering memerhatikan saudara dari jauh. Saya mahu berkenalan dengan saudara dengan lebih rapat.” Umar Ukasyah membaca sambil tergelak-gelak. Aku menjadi agak bengang dengan tingkahnya itu.
“Awak, kalaupun awak tak suka dia, jangan gelakkan dia sampai macam tu. Awak tak tahu betapa susahnya dia nak mengarang ayat supaya sedap dibaca, supaya awak faham isi hati dia. Kalaupun awak tak suka dia, sila hormati dia sebagai wanita yang dah korbankan ketinggian harga dirinya demi nak menyampaikan rasa cintanya pada awak.”
Umar Ukasyah terdiam, mungkin terkesan dengan kata-kataku. Siapa suruh dia berkelakuan sebegitu, aku fahamlah dengan perasaan secret admirer macam adik tu sebab aku pun salah seorang dari mereka. Aku faham isi hati yang mereka cuba terangkan namun pada masa yang sama, tidak menyimpan harapan yang tinggi, cukup sekadar insan yang mereka cintai, mengetahui isi hati mereka. Tapi kes aku lain, sebab aku lansung takut nak luahkan isi hati aku.
“Er, saya minta maaf Ainul. Saya tak pernah terfikir sampai macam tu. Yang saya tahu, saya dah cukup muak dengan surat-surat macam ni. Dah terlalu banyak sampai saya rasa jemu.”
Aku mengetap bibir. Memang begitulah perasaan seorang yang menjadi pujaan ramai, terlalu disogokkan dengan kata-kata cinta sampaikan sudah jemu, walhal setiap satu surat itu haruslah dihargai sepenuh hati kalaupun tak mahu membalas cinta mereka.
“Saya balik dululah Ukasyah. Tak ada apa lagi untuk saya buat kat sini.” Aku meminta diri, tidak tahan berlama di situ sambil mendengar keluhan seorang pujaan ramai tentang hidupnya yang dihimpit dengan terlalu banyak cinta. Ah sungguh tak bersyukur!
“Eh nanti Ainul, saya minta maaf. Nampaknya awak begitu sensitif tentang hal ni. Awak pernah dikecewakan pujaan hati awak ke dulu?” Umar Ukasyah cuba menduga.
“Tak pernah sebab saya tak pernah luahkan pun. Cuma saya faham perasaan orang lain yang sukakan awak. Awak tak sepatutnya mentertawakan mereka, cuma kerana mereka buat kerja bodoh bila sukakan awak!”
Umar Ukasyah gumam.
“Saya.. saya minta maaf Ainul.”
“Tak perlu minta maaf dengan saya sebaliknya minta maaflah dengan peminat-peminat awak. hargailah mereka. Kalaupun awak tak sukakan mereka, tapi tunjukkanlah yang awak hargai mereka sebagai orang yang memuja awak walaupun awak tak sempurna.”
“Tapi kalau saya buat begitu, saya risau mereka menaruh harapan pada saya.”
“Setiap mereka yang meluahkan rasa cinta pada awak, pasti mengharapkan balasan dari awak, tapi tak salah jika awak layan mereka seeloknya. Sekurang-kurangnya bila mereka keluar dari universiti nanti, mereka masih mampu simpan kenangan manis yang mana insan pujaan mereka melayan mereka dengan baik walaupun tidak membalas cinta mereka. Cuba hargai cinta mereka Ukasyah walau dengan hanya melayan mereka dengan baik, itu sudah cukup bagi mereka. Percayalah.”
Aku terus berlalu tanpa menoleh ke belakang lagi. Ada kesedihan dalam hati ini yang cuba kubendung, biarpun bukan aku yang ditertawakan, namun aku dapat memahami perasaan mereka yang menyukai Umar Ukasyah sebab aku pun salah seorang darinya. Kalaulah aku ini yang menulis surat itu tadi, pasti aku sudah menangis mendengar kata-kata Umar Ukasyah.
Ahh! Kenapa biarpun aku sudah mendengar jawapan dari mulut Umar Ukasyah tentang insan-insan yang memujanya itu, aku masih tak mampu nak luputkan rasa cinta yang bersemi ini? Adus! Parah!
--------------------------------------------------------------------------------
“Kak!” aku yang sedang asyik membelek minuman di dalam peti ais mini mart itu segera menoleh. Gadis kecil molek yang pernah kutemui dulu sedang tersenyum padaku.
“Eh adik...” aku tersenyum kembali padanya. Tidak menyangka dia akan menegurku kembali.
“Terima kasih ya kak, sebab hari tu tolong kirimkan surat saya pada abang Umar.”
“Oh tak ada apa-apa, hal kecil je tu.”
“Abang Umar dah balas surat tu. Saya gembira sangat kak! Semuanya sebab jasa baik akak!” gadis itu kelihatan begitu teruja. Aku tergamam, Ukasyah balas surat tu?
“Dia balas?”
“Aah kak!”
“Apa dia tulis?”
Gadis itu tersenyum malu-malu.
“Eh-eh sorry, akak tersibuk pulak. Tak patut akak tanya soalah tu kan?”
“Eh tak apa kak. Bukan ada apa-apa pun. Abang Umar ucap terima kasih saja, sebab sukakan dia.”
“Oh macam tu...”
“Tapi dia balas surat tu pun saya dah bersyukur sangat kak. Walaupun saya tahu abang Umar takkan balas cinta saya ni,” gadis itu seolah sudah berpuas hati.
“Baguslah macam tu dik. Tak apa, masa adik masih banyak lagi. Study dulu rajin-rajin kemudian baru fikir pasal cinta ya!”
“Ok! Terima kasih akak!”
Gadis itu berlalu dengan senyuman yang tak lekang di bibir.
Seronoknya dapat balasan surat macam tu. Aku ni? Nak menulis surat pun tak berani, kang dari dapat tengok dari jauh, terus tak dapat tengok, sebab malu gila. Huhu.
Ah tak apa. Jadi pencinta rahsia pun dah cukup bagi aku. Dan sekarang aku gembira, sebab Umar Ukasyah dah berubah, dah menghargai orang yang menyukainya. Bagus-bagus, ini yang bikin tambah sayang ni. Hehe.
-------------------------------------------------------------------------------------
“Yat, aku happy gila hari ni! Jom aku belanja makan.” Riya menarik bahuku yang sedang berjalan di koridor. Apa kena tak tahulah budak sorang ni. Aku pandang wajah Riya dengan penuh tanda tanya.
“Kau tahu tak Yat, pujaan hati aku dah balas cinta aku la. Best giler!” Riya tersengih-sengih sampai ke telinga. Aku tergamam, kenapa bila Riya sebut pujaan hati dia, dalam fikiran aku cuma terbayang wajah Umar Ukasyah eh? Takkanlah...
“Betul ke ni Ya? baguslah kalau macam tu.” Aku cuba bertenang, lagipun aku belum betul-betul pasti insan yang dimaksudkan Riya itu benar-benar Umar Ukasyah.
“Seronok gila aku Yat, dah lama aku luah yang aku sukakan dia, baru sekarang dia nak balas. Entah apa mimpi dia agaknya kan?” Riya tersengih lagi, tapi hatiku pula yang tak keruan. Takkanlah kerana kata-kataku tempoh hari, Umar Ukasyah terus memilih Riya sebagai kekasih hatinya? Aduh pedihnya hatiku. Eh nanti, baik aku pastikan dulu. Kang sia-sia saja kesedihan aku ini kalau benda dalam otak aku ini tak berasas.
“Riya, dari dulu kita kawan kan? Kenapa aku tak tahu pun siapa yang kau suka?”
“Itulah masalah kau. Tak pandai nak nampak yang tersirat dalam hati aku ni. Haha! Ah sekarang aku tak nak beritahu kau. Kau nak tahu, kau selidik lah sendiri.” Riya menegaskan.
Aku menelan liur. Susah betul nak memastikan kesahihan perkara yang sedang bermain dalam mindaku saat itu. Oh harap-harap tak betul!
Riya berjalan pantas ke arah kafeteria sambil aku membontotinya dengan mindaku berselirat dengan andaian yang bertubi-tubi. Janganlah Umar Ukasyah! Noo!
-------------------------------------------------------------------------------------
Lagi beberapa minggu saja aku akan menamatkan pengajian di universiti ini, dan dengan bangganya aku mengisytiharkan, cintaku masih lagi kurahsia. Oh tak sangka, begitu hebat sekali aku menyimpan cinta ini sampai tiada siapa yang dapat mengesannya.
Riya? Aku masih belum dapat meneka. Ya! aku memang peneka yang lembab, aku tahu sangat tu. Tak payah nak ulang. Macam mana aku nak tahu, bila aku keluar dengan Riya saja, pasti tiada kekasih hatinya yang akan muncul. Cuma dia akan bergayut di telefon atau bersms saja dengan kekasih hatinya itu. Pandai betul Riya main sembunyi-sembunyi kan. Tega benar dia tak mahu mengakui siapa kekasih hatinya padaku kan? Huh, itulah Riya.
Eh, panjang umurnya, tiba-tiba saja aku boleh ternampak Riya sedang asyik bersembang dengan seseorang dengan mesranya di dalam kafeteria. Eh kenapa tiba-tiba rasa kabur pulak mata ni bila nak tengok wajah mamat tu. Aku gosok-gosok mata aku dengan penuh perasaan. Aku cuba lihat semula.
Hah! Betul ke ni? Aku gosok-gosok lagi mataku. Ah betullah! Umar Ukasyah! Memang sahlah selama ni, ramalanku benar belaka. Oh sedihnya.
Air mata mula bertakung di tubir mata, tak sangka, begitu perit pula bila jejaka yang kita cintai dimiliki sahabat baik sendiri. Tak sanggup pula aku nak meneruskan hasrat mengisi perut kat kafeteria ni, baik aku berhambus sebelum aku meraung kat kafeteria ni, kang tak pasal-pasal aku dituduh gila.
Aku berlari selajunya di dalam rintik hujan yang kian lebat, membawa hatiku yang lara. Oh tipu, tak hujan  pun masa tu dan aku tak berlari sebaliknya berjalan lemah longlai. Lemah lutut aku dibuatnya. Air mata yang nak keluar, aku seka cepat-cepat.
Begini rupanya rasa bila orang yang kita cintai dimiliki orang lain, dan yang lebih memedihkan ialah pemilik hatinya ialah sahabat baik kita sendiri.
Ok hati, sila tabahkan aku. Aku kuat, aku tak suka tunjuk emosi aku, jadi sila jadi tabah. Ok terima kasih.
“Yat! Apa yang kau buat kat sini?” oh tengok, perampas jejaka pujaan aku dah muncul. Eh silap, sahabat aku dah muncul. Control Yat! Control!
Aku tersenyum pada Riya sambil sapu-sapu pipiku, takut ada air mata yang gugur.
“Eh, Yat, kau menangis ke?” alamak, silap teknik la pulak, kenapa aku mesti sapu pipi masa depan dia ni?
“Eh tak adalah, pipi aku ni rasa berhabuk. Tu yang aku sapu.” Aku memberi alasan walaupun rasa macam tak logik.
“Oh, ingatkan kau nangis. Ni kenapa jalan sorang-sorang ni, kau nak pergi mana?”
“Aku? nak pergi kafe.”
“Kafe? Kafe arah sana la Yat. Aku baru balik dari situ.”
“Eh ye eh? Silap la aku ni kan? Ok aku pergi dulu!” aku berjalan laju-laju ke arah kafe semula.
“Baby, sorry I’m late!”
Dari jauh aku dapat mendengar suara garau itu. Baby? Erk gelilah pulak. Cepat-cepat aku berpaling ke belakang semula.
Riya sedang berbual dengan seseorang, tapi orang itu tidak jelas di mataku. Siapa agaknya? Aku cuba menajamkan lagi mataku. Ah baru nampak!
Riya... dan Yusri? Hah! Yusri? Kenapa bukan Umar Ukasyah? Kenapa Yusri budak kelas aku yang lagi sorang ni pulak yang muncul? Kisah cinta tiga segikah?
Aku memerhati dari jauh, melihat kemesraan Riya dan Yusri pula. Dush! Yang mana satu Riya nak ni? Yusri ke Umar Ukasyah? Aku sendiri naik pening.
Takkanlah Riya pandai bermain kayu tiga, kira hebatlah dia kalau boleh tundukkan dua jejaka pujaan universiti dalam masa yang sama. Aku kena belajar ilmu dari dia ni. Hahaha. Eh tapi Umar Ukasyah dah jadi milik dia jugak. Huwaaa!
--------------------------------------------------------------------------------
Aku duduk sendirian di dalam kelas waktu itu, semua pelajar lain belum masuk, sengaja aku datang awal sebab lepas solat Zuhur di surau tadi terus aku masuk kelas. Lagi beberapa hari final exam akan bermula, aku jadi bimbang sebab tu aku mahu habiskan banyak masa dengan mengulangkaji, bukannya memikirkan cinta yang tak kesampaian.
Aish baru cakap tak kesampaian, dah sampai pulak! Aku menepuk dahiku sendiri bila terlihat kelibat Umar Ukasyah memasuki kelas. Demi ternampak saja diriku sendirian di dalam kelas, terus dia menghampiri aku.
Duduk saja di bangku sebelahku, Umar Ukasyah terus bersuara.
“Lama tak cakap dengan awak Ainul, rindu pulak.”
Erk, apa main sebut rindu-rindu ni? Bikin hatiku terawang saja.
“Saya ada saja kat sini. Lainlah macam orang tu, busy aje, awek keliling pinggang.”
“Amboi perli nampak. Saya mana ada awek.”
Amboi mamat ni, boleh pulak tak mengaku. Sekali aku lesing!
“Tak payah tipulah Ukasyah. Saya nampak la...”
Mata Umar Ukasyah membulat.
“Nampak? Nampak apa?”
“Nampak awak dengan awek awak la...” aku tersengih. Ya memang hati rasa perit, rasa ngilu, tapi wajah kenalah control, tak boleh tunjuk sedih, kena ceria depan pujaan hati. Huk huk.
“Merepeklah awak ni. Saya memang tak ada...”
“Eh tak apa. Saya tak perlu tahu pun. Baguslah awak dah ada awek, moga awak bahagia dengan kekasih hati awak, cuma jangan buat sombong pada peminat awak ok? Hargai mereka tau!”
Umar Ukasyah kematian kata.
Aku tersenyum padanya sebelum bangun, konon-kononnya nak ke tandas, padahal tak sanggup pula aku nak berduaan dengan Umar Ukasyah, bercakap pasal kekasih hatinya pula tu! Baik aku tunggu sampai kelas penuh, baru aku masuk.
-------------------------------------------------------------------------
Aku mengemas beg dan barang kelengkapan lain, setelah tiga tahun di universiti ini, sayang pula nak tinggalkan segalanya. Tapi nak buat macam mana, aku harus teruskan hidup dan berdepan dengan cabaran di dunia luar. Haish!
Riya yang sedari tadi asyik bersms sambil tersengih-sengih kembali mengemas barangnya semula di atas katilnya di sebelah katilku.
“Ya, dah lama kita kawan kan? Tapi sampai hari ni aku masih belum tahu siapa kekasih hati kau. Kau pun tak mahu cakap. So memandangkan hari ni hari terakhir kita, sudi tak kau beritahu aku?” aku tiba-tiba bersuara, memecah hening.
Riya merenung padaku lantas tersenyum.
“Ok, sorry sebab selama ni tak pernah beritahu kau. Bukan aku tak nak beritahu, cuma aku nak suruh kau teka. Tapi kau ni malas betul nak teka, padahal orang tu dalam kelas kau je pun.”
Aku tergamam sendiri. Kelas aku? Sahlah! Tapi Yusri ke Umar Ukasyah? Ke dua-dua? Ish ish ish.
“Aku sebenarnya dapat agak dah. Cuma tak terluah aja.”
“Oh ye eh? Siapa?” Riya kelihatan teruja.
“Umar Ukasyah?” aku meneka lambat-lambat. Perit pulak nak sebut.
“Hah!” Riya kelihatan terkejut.
“dan Yusri kan?” aku menebak lagi. Hah, ambik, dua-dua nama aku sebut.
Riya menggeleng-geleng, tidak percaya dengan telahanku agaknya. Aku tahulah tekaan aku itu tepat belaka.
“Satu betul satu salah.”
“Eh tapi bukan kau kawan dengan dua-dua ke? Sebab aku tengok dengan dua orang tu yang kau bukan main mesra lagi.”
“Merepeklah kau ni! Pujaan hati aku tu cuma Yusri sorang je tau. Apa kelas Umar Ukasyah tu!” Riya mencebik.
Oit, suka hati dia cakap jejaka pujaan aku tu tak ada kelas! Eh tapi ini maknanya...
“Aku tak ada apa-apa la dengan Umar Ukasyah tu. Macam mana kau boleh teka dia pulak?”
Aku berjeda seketika, masih cuba memproses ayat yang keluar dari mulut Riya, masih tidak percaya dengan kenyataan itu.
“Hari tu, aku pernah tengok kau bukan main mesra dengan Umar Ukasyah dalam kafe, lepas tu aku jumpa kau dengan Yusri pulak. Sebab tu aku sangka...”
“Kau sangka aku main kayu tiga? Ish ish ish. Nauzubillah Yat! Aku bukan macam tu la.”
“Maafkan aku, cuma itu yang aku nampak.”
Riya bangun dari katilnya dan duduk di sisiku.
“Aku jumpa Umar Ukasyah hari tu sebab nak ucapkan terima kasih.”
“Terima kasih?”
“Ya, dia yang buatkan Yusri sedar cinta aku pada dia. Apa entah yang Umar Ukasyah terangkan sampai Yusri sudi terima aku, tapi Yusri la cakap, Umar dah sedarkan dia tentang sesuatu yang dia lupa, menghargai cinta.”
Aku gumam. Bukankah itu ayatku pada Umar Ukasyah dulu?
“Seperkara lagi...” Riya mengelus lembut tanganku.
“Aku tahu kau tak pernah sukakan sesiapa, tapi ada orang yang sukakan kau, sejak dulu lagi, sejak dari awal kita masuk universiti ni...” Riya cuba berteka-teki.
“Siapa pulak?” aku tidak sabar.
Riya tersenyum sambil menepuk bahuku.
“Umar Ukasyah.”
Kata-kata Riya buatkanku terlopong.
“U..uuukasyah?” aku tergagap.
“Aah, yelah. Dari dulu dia sukakan kau Yat, tapi dia takut nak luah, takut kau tak boleh terima dia. Selama ni dia pendam je rasa cinta dia Yat, Yusri yang beritahu aku.”
Lidahku kelu. Aku fikirkan akulah pencinta rahsianya, rupa-rupanya dialah pencinta rahsiaku. Aduh.
“Kenapa ni Yat? Kau ok ke?”
“Aku ok.”
Aku tunduk memandang lantai. Rasa sebak bercampur gembira menyelimut diri. Adakah segalanya sudah terlambat untuk aku mengakui perasaanku sendiri padanya?
“Yusri ada beritahu aku yang kau pernah cakap pada Umar yang kau ada seseorang yang kau suka tapi kau tak berani luah. Betulkah Yat? Siapa orang tu?” Riya menggoncangkan bahuku dengan perasaan ingin tahu.
Air mata yang ingin mengalir kubiarkan laju membasahi pipi. Perlahan aku mengangguk pada Riya.
“Umar Ukasyah.” Aku membalas perlahan-lahan.
Riya tersentak.
“Jadi... jadi selama ni... kau pun ada hati pada dia? Baguslah macam tu Yat!”
“Aku.. aku tak sangka Ya. Aku fikir dia tak pernah sedar kewujudan aku.”
“Kau jangan merepeklah Yat. Aku seronok untuk kau, sekurang-kurangnya cinta kau berbalas. Tak macam pencinta rahsia yang lain.” Riya tersenyum sambil memeluk erat diriku.
“Betul ke dia pun cintakan aku Ya?”
“Betul Yat! Percayalah. Aku tak tipu.”
Aku tersenyum dalam sebak dada yang kutahan.
“Tapi kau ni memang perahsia gila, sampai aku tak sedar pun ada orang yang kau suka.” Riya menyambung lagi.
Aku tersenyum, namun hatiku dipagut gundah. Apa yang harus kulakukan esok? Berhadapan dengan Umar Ukasyah dan berterus-terang tentang perasaanku? Ahh aku malu!
-----------------------------------------------------------------------------------
“Sorry Yat, Umar Ukasyah dah berlepas ke London malam tadi, uruskan bisnes family dia di sana.”
Air mataku tumpah lagi saat mendengar perkhabaran dari mulut Riya. Pasti Yusri yang mengirim khabar itu. Baru saja aku terfikir nak bertemu Umar Ukasyah buat kali terakhir dan memastikan perasaan cinta ini, sedar-sedar dia sudah pergi jauh. Mungkin benar aku tidak dijodohkan bersamanya dan kekal sebagai pencinta rahsia saja.
“Tapi sebelum dia pergi...” Riya mengeluarkan sampul surat berwarna pink itu dari kocek seluarnya.
“Ini untuk kau, bacalah.” Riya menghulurkan padaku, lantas memelukku erat.
“Aku doakan kau bahagia Yat! Nanti kahwin jangan lupa jemput aku tau.”
Aku tersenyum, tidak pasti hendak gembira atau berduka kerana arah tuju cintaku ini masih kabur.
“Kau pun, jaga diri elok-elok. Keep in touch. Aku doakan jodoh kau dengan Yusri panjang.”
“Amin....”
Saat Riya sudah membolosi perut kereta untuk pergi selamanya dari universiti itu, aku segera kembali ke kamar, memandangkan keluargaku cuma akan mengambilku petang nanti.
Saat merebahkan diri di atas katil, surat yang tergenggam erat dalam tanganku segera kubaca.

Assalammualaikum,
Menemui pencinta rahsia saya, saya tak menyangka yang selama ini Ainul juga punya perasaan yang sama buat saya, biarpun berita ini lambat sekali saya terima, namun perkhabaran ini cukup menggembirakan.
Terima kasih Ainul Hayat, sebab sudi jadi pencinta rahsia saya. Maafkan keterlanjuran saya yang tidak menghargai mereka yang meminati saya. Saya khilaf tetapi awak telah menyedarkan saya. Dan saya sangat gembira kerana awak juga termasuk di kalangan mereka.
Buat pencinta rahsia saya, ketahuilah bahawa saya juga sudah lama menjadi pencinta rahsia awak, mungkin lebih awal dari awak mencintai saya, dan hingga ke hari ini, saya masih mencintai awak dan akan selamanya mencintai awak.
Maaf sebab tak dapat bertemu awak untuk kali terakhir, sejak dulu lagi saya teringin sekali nak bercakap dengan awak, malangnya saya terlalu malu nak menegur awak, dan awak juga tidak mahu menegur saya.
Saya harap awak boleh tunggu saya Ainul Hayat, InsyaAllah dalam masa tiga tahun, saya akan kembali ke Malaysia. Tolong tunggu saya Ainul, please! Saya sangat mengharapkan penantian awak. saya cintakan awak Ainul Hayat.
Pencinta rahsiamu,
Umar Ukasyah.

Aku terdiam. Akhirnya Umar Ukasyah mengetahui isi hatiku. Ini mesti kerja budak Riya tu. Ish! Nasib baik dia dah pergi, kalau tak, siaplah!
Aku tersenyum sendiri. Ah panjang sungguh tiga tahun, lama lagi nak bertemu kembali. Sanggup ke aku tunggu sampai tiga tahun eh? Eh sangguppp!
--------------------------------------------------------------------
Aku tercongok-congok di hadapan balai ketibaan, buah hati nak balik hari ni. Yahoo! Eh sorry, terlebih teruja pulak. Padahal berdebar tak ingat, baru nak jumpa lepas tiga tahun. Tak sangka aku boleh menunggu selama ni kan?
Saat melihat kelibat Umar Ukasyah, senyuman terus tak lekang dari bibir. Sebak pun ada, ish asyik emo je aku ni bila datang bab cinta.
“Ainul Hayat...” Umar Ukasyah menyebut namaku saat kami bertentang mata.
“Umar Ukasyah...” aku pun tak nak kalah.
“Terima kasih sebab tunggu saya selama ni. Terima kasih sebab terima saya dalam hidup awak. saya cintakan awak.”
Aku tertunduk, malu pula mendengar kata-kata cinta itu.
“Saya...” suaraku tersekat.
“Saya bengang dengan awak! kenapa awak pergi macam tu saja. Lepas tu suka hati suruh saya tunggu sampai tiga tahun hah? Awak ingat awak tu siapa? Awak tahu tak berapa banyak pinangan saya tolak semata-mata sebab tunggu awak yang belum tentu akan suka saya lepas tiga tahun. Awak buat saya macam orang bodoh!” hah ambik, semua perasaanku aku lepaskan padanya. Umar Ukasyah terpisat-pisat mendengarnya, orang sekeliling pun dok pandang semacam. Ah biarlah, siapa suruh dia layan aku macam tu.
“Saya.. saya minta maaf Ainul, saya tak sengaja. Tapi saya janji, lepas ni saya terus masuk meminang awak lepas tu terus kita kahwin. Ok? Ke nak kahwin terus ni?” Umar Ukasyah menyoal penuh pengharapan.
Aku geleng-geleng kepala.
“Tak nak.”
“Eh tak nak? Kenapa?” Umar Ukasyah seakan kecewa.
“Tak nak kahwin terus. Tunang dulu, baru dapat cincin dua.” Aku tergelak suka, seronok mengusik Umar Ukasyah.
“Awak! nakal eh!” dia mencebik.
“Saya cintakan awak!” aku akhirnya meluahkan rasa.
Semoga bahagia ini akan kekal menjadi milikku, amin! Kini aku secara rasminya, bukan lagi seorang pencinta rahsia!
-Tamat-


Suka? =)

15 comments:

  1. best la cerpen nie...

    ReplyDelete
  2. best lahh..kan bgus ada pencinta rasia

    ReplyDelete
  3. bestnya kalau realiti mcm ni......

    ReplyDelete
  4. cerite ny best...pncnta rhsia...sound's nice..haha

    ReplyDelete
  5. best sangat2... syok giler bila baca tu.

    ReplyDelete
  6. bestnya kalau kita pun ada pencinta rahsia. hehe

    ReplyDelete
  7. best..harap boleh jadi pencinta rahsia jugakk..hehe ^^

    ReplyDelete
  8. oh sweet. best sangat.

    ReplyDelete
  9. bestnye.... kite pun pencinta rahsia
    hahaha

    ReplyDelete
  10. nak sambungan..hoohohohoh please?

    ReplyDelete
  11. Sweet nya dorang....nak lagi boleh

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!