Jejaka
di hadapanku itu berkulit cerah, bermata sedikit sepet tetapi punya anak mata
berwarna hitam pekat, bibirnya merah dan apabila dia tersenyum, memang manis
sekali. Rambutnya juga hitam pekat, namun sedikit panjang di bahagian depan dan
disauk ke tepi. Wajah itu memang saling tak tumpah dengan wajah di dalam gambar
yang dikirim padaku. Namun jejaka di hadapanku ini, realitinya kelihatan jauh lebih
kacak dari di dalam gambar. Nafasku kurasa tersekat-sekat, jantungku berdetak
laju.
“Deeba,
kenapa tercegat saja dekat situ. Marilah duduk dekat mama ni...” panggilan dari
Puan Hamidah membuatkan aku tersentak. Wajahku merona merah, malu dengan
perlakuanku yang asyik merenung tunanganku itu. Hatiku jadi tak keruan, bimbang
Hadif menyedari tingkah lakuku tadi.
“Errr,
tak apalah cikgu, saya kena masuk dulu. Ada banyak kerja lagi dekat dapur tu.
Nanti emak bising pulak kalau saya berlama di sini.” aku menggelabah. Aku cuba
memberi alasan walaupun sebetulnya aku tak betah berada di situ dek kerana
terlalu gementar hendak berhadapan dengan Hadif. Hendak lihat wajah Hadif pun aku
dah segan, apatah lagi makan semeja. Jantung aku hampir gugur saat bertentangan
mata dengan tunanganku itu.
“Eh
duduklah dulu Deeba, nanti-nantilah ke dapur tu, makanlah dulu dengan kami.” Puan
Hamidah mengajak kembali.
“Aah
Deeba, banyak yang boleh dibualkan.” Suraya menambah.
“Err
tak apa cikgu, kak, makanlah dulu ya. Nanti mak bising pulak kalau saya berlama
di sini. Saya ke dapur dulu ya.” Aku mencicit lari masuk ke rumah semula
sebelum menyorok di sebalik dinding rumah.
Macam
naik roller coaster dah jantung aku ni. Memang aku tak sanggup berlama dekat
situ. Kalau lagi lama aku berhadapan dengan Hadif, mungkin aku boleh pengsan
tadi. Dramatik sungguh! Ahhh malunya... mendebarkan betul! Wajah aku sudah
terasa tebal kerana menahan rasa malu yang amat sangat.
Ish
biar betul itu tunang aku? Takkanlah senang sangat lelaki kacak macam tu boleh
terima aku yang XXL ni sebagai pasangan hidup dia? Aku tak bermimpi ke ni?
Susahnya nak percaya, kalau benar ini kenyataan! Ahh!
“Ehem.
Mengendap eh...” suara Ameena, mengejutkan aku yang masih sedang menghendap di
sebalik dinding. Memerhati bakal keluarga mertuaku dari jauh.
“Syhhh.
Jangan sibuklah adik. Pergi masuk dapur.” aku mengibas tangan, tanda menghalaunya.
“Untunglah
kak, bakal dapat suami macam tu.”
Aku
mencebik. “Untung apanya?”
“Untung
lemak di badan. Lari!!!” Ameena berlari pantas sebaik mengucapkan kata-kata
itu, takut aku marah dialah tu. Ish budak ni!
“Adik!!!”
aku tarik muka masam sebelum perlahan membawa langkah ke dapur, takut tingkah
lakuku disedari mereka-mereka di bawah khemah itu.
“Kami balik dululah ya. Puan Asiah, tak lama
lagi kita berbesanlah ya.” Puan Hamidah bersuara seraya memeluk emak erat. Aku
yang memerhati dari dalam, cuma tersenyum melihat keduanya. Hadif yang berdiri
di belakang Puan Hamidah, tidak berani aku kerling, perasaan segan masih
terlalu tebal terbina dalam diri aku ni, apatah lagi bila aku dapat rasa macam Hadif
sedang merenung aku saat ini. Andai aku memandang Hadif, pasti mata kami akan
bertemu, dan pasti jantung aku akan berhenti berdenyut, dan tentu nanti aku
akan pengsan. Ok aku dah terlebih fikir.
“Balik
dulu ya. Assalammualaikum.” Hadif bersuara, membuatkan aku memandangnya
sekilas, dia juga sedang memandangku, aku dapat rasakan dia cuba mengorak
senyum tapi aku takut untuk melihat lebih lama, lalu kusegera alihkan
pandanganku. Wajahku merona merah menahan rasa malu. MPV jenama Toyota Estima
itu meluncur meninggalkan perkarangan rumah keluarga aku. Aku pandang kereta
itu pergi dengan debaran yang kian surut di dada.
Aku
duduk sendirian di bahu katil, malam itu. Telefon bimbit aku gapai, ada sesuatu
yang ingin aku soal pada Hadif, ingin merungkai segala pemikiran yang
mengganggu benakku saat ini. Makin disimpan di dalam hati, makin tidak tenang
jadinya.
Assalammualaikum
saudara Hadif. Awak dah nampak saya depan mata awak kan? Saya tak kisah kalau
awak nak tarik diri dari pertunangan ini sekarang. Saya terima segala keputusan
awak.
Hantar.
Aku sememangnya tidak mahu Hadif menerima aku kerana terpaksa. Aku sedar siapa
aku, aku sedar siapa dia. Kami bagai langit dengan bumi.
Haih!
Walaupun segalanya sudah termeterai dan aku kini sudah menjadi tunangan insan
bernama Hadif, namun hati aku masih enggan percaya. Rasa rendah diri dalam hati
aku ni dah bina benteng tinggi yang menghalang aku dari mempercayai bahawa
jejaka sesempurna Hadif inginkan diriku sebagai pasangan hidup.
Petang
tadi, saat aku bertemu mata dengan Hadif, aku terasa sangat janggal. Aku rasa sangat
tidak secocok dengan Hadif. Apatah lagi jika aku duduk bersebelahan dengan
Hadif di atas pelamin kelak, macam enggang dengan pipit. Macam adik Giant
dengan Dikisuki dalam cerita Doraemon tu. Arghhh!
Bunyi
nada mesej masuk membuatkan aku segera menggapai telefon bimbitku semula.
Kenapa Deeba masih tak
nak percaya yang abang terima Deeba seadanya? Abang tak perlu tengok Adeeba pun
untuk menetapkan hati abang. Abang harap Deeba pun sama.
Aku
terdiam. Jemariku laju menaip balasan pada telefon bimbitku.
Maafkan saya. Saya
masih tidak boleh percaya yang awak boleh terima saya.
Percayalah pada jodoh
yang ditetap Allah ini ya, Deeba. Abang terima Deeba ikhlas kerana Allah.
Aku
terpempan, hampir air mataku menitis, saat membaca bait mesej itu.
Kalau macam tu, awak
memang nekad memperisterikan saya? Awak tak menyesal?
Hantar.
Tak ada sekelumit
sesalan pun. Abang nekad dan ikhlas.
Aku
ketap bibir, cuba menahan air mata yang ingin gugur. Hatiku rasa terusik.
Terima kasih saudara Hadif.
Maaf sebab ragu-ragu dengan awak. Saya akan berusaha menerima awak, ikhlas
kerana Allah.
Terima kasih. Dah,
jangan fikir lagi ya. Selamat malam. Assalammualaikum.
Waalaikumussalam.
aku menjawab salam dalam hati, meletakkan telefon bimbit kembali di atas meja
sebelum aku berbaring di atas katil.
Ya
Allah, benarkah Hadif ikhlas terhadapku ya Allah? Andai dia benar ikhlas,
mengapakah hatiku masih enggan percaya? Masih wujudkah insan sebaiknya yang
bisa menerima insan sepertiku di atas dunia ini ya Allah? adakah dia hadir
sebagai satu ganjaran padaku, atau adakah dia hadir sebagai satu ujian dariMu
ya Allah? berikanlah aku petunjukMu ya Allah...
Aku
cuba menutup mata, biarpun hatiku masih terasa takut untuk mengharungi masa
depan yang entah bagaimana coraknya nanti. Duhai hati, tenanglah...
Suka? =)
x sabar nk tahu kish selanjutnya..:)
ReplyDeleteDeeba pasti akan menjadi mangsa cacian Qaisara nanti......
ReplyDeleteoh oooo ...
ReplyDeleteberdebar-debar! :)
weeee.. tak sabar nak tahu apa yang akan berlaku dalam cinta bersaiz XXL yang akan datang
ReplyDeletependek nye part yg nie AK.. hehe.. xsabar nie..
ReplyDeleteHahaha...artis Korea jadi hadif
ReplyDeleteHahaha.....artis Korea pakai baju Melayu .tapi best part ni.
ReplyDeleteKak aliesha nk no. Wassap boleh
ReplyDelete