~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Wednesday, April 18, 2012

Novel : Cinta Bersaiz XXL! Bab 5


“Keluar beli barang persiapan kahwin?” mata aku membuntang, saat emak mengkhabarkan perkara tersebut.
“Yelah. Dah nak kahwin kan, kenalah beli barang persiapan. Lagipun dua bulan tu kejap je Deeba. Macam-macam kena buat ni. Mak risau tak sempat aje ni.” Emak mengomel panjang, membuatkan Ameena yang sedang khusyuk menonton Cerekarama, tergelak kecil.
Aku terdiam, memang benar kata emak. Sekarang pun aku sudah fikir macam-macam, banyak perkara yang harus dibuat dalam menghitung detik bahagia. Ingatkan nak kahwin ni, bolehlah duduk goyang kaki saja, orang lain uruskan hal perkahwinan kita, rupanya tak seindah yang difikir. Dush!
“Tapi emak...” Aku terhenti berbicara. Ada keresahan dalam hatiku, yang segan hendak kuluah pada emak saat ini.
“Apa masalahnya lagi ni Deeba? Yelah, esok mak mertua kamu tu ajak kamu keluar beli barang persiapan.”
Aku mencebik.
“Takkanlah Deeba dengan Cikgu Midah aje yang keluar berdua.”
Dahi emak berkerut, namun tiba-tiba senyuman terukir di bibirnya.
“Oh, itu yang buat anak emak ni masam ya. Jangan bimbang, Hadif pun ada sekali la.”
Srappp! Aku rasa darah naik ke kepala. Jantungku aku rasa dah berhenti berdenyut. Wajahku merona merah.
“Ha... Ha... Hadif pun ada sekali?” aku bersuara tersekat-sekat. Bukan itu yang aku maksudkan dengan cebikan tadi.
“Iyelah. La, kenapa muka pucat pulak ni? bukan patutnya Deeba suka ke Hadif ikut sekali?” Emak tersengih.
Aku tarik muncung sedepa.
“Bukan itu yang Deeba maksudkanlah, mak. Maksud Deeba, takkanlah Deeba dengan Cikgu Midah je, mak tak ikut sekali ke? Deeba segan la kalau dengan cikgu aja.” aku menjelaskan maksudku tadi.
Emak menepuk dahinya. Mungkin baru tersedar, perkara yang merisaukan aku. Emak tersenyum, seraya memelukku erat.
“Deeba dah nak jadi isteri orang kan, mana boleh bergantung dekat mak lagi.” Emak bersuara sambil merenung tepat ke mataku. Ah bikin syahdu pulak emak ni. Sobs.
Aku terdiam. Terasa cepat masa berlalu, dan sudah tiba masanya aku harus keluar dari celah ketiak emak dan hidup sebagai seorang isteri kepada seorang insan yang asing dalam hidupku.
“Tapi jangan bimbang, esok emak ikut.” Kata-kata emak itu pantas membuatkan aku tersenyum lebar, tubuh emak aku peluk erat.  
“Terima kasih mak! Sayang mak!”

Hatiku gementar tidak terkira saat melihat kereta Vios putih milik Hadif tiba di depan pintu pagar. Walaupun ini bukan kali pertama aku bertemu Hadif, namun debaran itu tetap sekuat kali pertama kali kami bertemu. Eleh, macamlah dah banyak kali bertemu sebelum ni, padahal ini baru kali kedua. Hihi.
Sebaik keluar dari kereta, Hadif terus tersenyum seraya membuka pintu belakang keretanya.
“Emak masuklah.” Pelawa Hadif sebaik emak menghampirinya. Aku terkesima, belum apa-apa Hadif sudah memanggil emak dengan panggilan emak, seolah menganggap emak seperti emak kandung dia sendiri. Haih cair aih!
“Deeba.” Hadif tersenyum memandang aku, membuatkan debaran di hati aku kian laju, darah seolah-olah dipam bertubi-tubi ke dalam arteri. Secara spontan, aku tertunduk, seraya ikut masuk ke dalam kereta, tidak langsung membalas senyuman Hadif, duduk diam-diam dalam kereta, langsung tak berkutik. Terdengar pintu di bahagian pemandu segera dibuka sebelum Hadif duduk mengambil posisinya. Cermin pandang belakang Hadif betulkan, sampaikan aku ternampak matanya. Ah! Sengajakah itu.
“Kita nak ke mana dulu ni, Puan Asiah?” Puan Hamidah yang duduk di sebelah pemandu, pantas berpaling dan menyoal emak, bakal besannya itu.
“Saya ikut saja Cikgu Midah. Pergi mana dulu pun tak apa.”
“Hmm, kalau macam tu, kita ke butik pengantin dululah. Pilih baju, ok Deeba?” Puan Hamidah mengerling ke arah aku. Aku pantas mengangguk, walaupun ada kerisauan di dalam hatiku apabila mendengar perihal memilih baju.
Seumur hidup aku, aku tidak pernah langsung rasa teruja untuk ke butik pakaian, mahupun memilih baju di pasaraya, kerana setiap kali aku membelek baju yang berkenan di hati, pasti tidak akan ada saiz untuk tubuh aku yang XXL ni. Bagiku, butik pakaian adalah tempat yang sering aku elakkan, kalau aku masuk pun sekadar untuk menemani orang lain dan bukan untuk memilih pakaianku sendiri.
Aku dipagut risau, khuatir butik pengantin yang bakal kami masuki nanti, tidak menyediakan persalinan pengantin bagi yang bersaiz XXL. Pasti aku akan merasa segan, apabila pekerja butik memberitahu, yang saizku tidak ada. Di mana mahu aku sorokkan rasa maluku pada Puan Hamidah dan tentunya pada Hadif nanti. Ah, aku tak sanggup bayangkan!

“Maaf kak. Baju pengantin saiz XXL tak ada la, kami cuma ada sampai saiz L aje.” Apa yang menjadi igauan ngeri aku, menjadi kenyataan. Ah kenapa ini harus berlaku padaku? Why?! Wajah gadis butik itu kelihatan serba salah. Baju pengantin berwarna merah jambu yang sudah menjadi pilihanku, aku letak kembali ke penyangkut dengan wajah kelat. Wajahku merona merah, menahan rasa malu pada Puan Hamidah dan Hadif yang memerhati. Rasa macam nak menyorok bawah meja dalam butik tu. Arghh! Emak memeluk bahuku, cuba menenangkan hati aku yang keresahan ni.
 “Sabarlah Deeba… nanti mesti ada punya.” Emak menepuk bahu bahuku, memberikanku sedikit semangat pada jiwaku yang kian layu.
“Kita cari kat tempat lain pulak lah, Adeeba. Banyak lagi butik pengantin kat sini.” Puan Hamidah memberi cadangan, dengan harapan hatiku akan sedikit terubat, barangkali. Aku tersenyum tawar, biarpun berat untuk aku tersenyum saat itu.
“Deeba jangan bimbang. Abang tahu butik yang ada banyak pilihan saiz. InsyaAllah saiz yang Deeba nak, mesti ada.” Hadif tiba-tiba bersuara, menyebabkan aku terpempan. Wajah Hadif aku renung dengan rasa hairan, benarkah Hadif sedang berbicara denganku saat ini? Wajah aku merah, menahan rasa malu yang menyelimut diri.
“La, kenapa tak cakap awal-awal. Kalau tahu tadi, tak payahlah datang sini.” Puan Hamidah menepuk bahu anak terunanya itu.
Hadif menggaru kepalanya. “Sorrylah mama. Hadif ingat, kat butik ni ada, Hadif ikut ajelah tempat yang mama nak pergi.”
“Ish budak bertuah ni!” Puan Hamidah mencubit manja lengan anaknya itu. Hadif tersengih, mungkin kerana menyedari kesilapannya yang berdiam diri. Aku cuma diam memerhati dua anak beranak itu.
Saat kami berjalan menuju ke kereta, aku lihat Hadif seolah sengaja melambatkan langkahnya hingga dia berjalan beriringan dengan aku.
“Abang minta maaf...” Hadif tiba-tiba berbisik padaku, membuatkan aku yang terkejut, mendongak memandangnya.
Hadif tersenyum.
“Abang minta maaf, sebab tak bagitahu yang abang tahu pasal butik pengantin yang banyak saiz tu. Deeba tak marahkan abang kan?”
Aku terdiam. Segan sekali hendak berbicara dengan Hadif. Perlahan aku menggeleng sebelum tunduk kembali, merenung tar jalan.
Hadif ketawa kecil, sebelum melajukan langkahnya ke depan, menekan punat hijau pada kunci lalu membuka pintu kereta di belakang.
 “Eh Hadif, mama duduk dengan Puan Asiah kat belakang. Kamu duduk la dengan Adeeba dekat depan.” Laju suara Puan Hamidah menuturkan kata, membuatkan langkah aku terhenti. Aku tergamam. Alamak!
Hadif cuma mengangguk dengan senyuman meleret, pintu kereta di sebelah pemandu segera dibukanya, lalu memberi isyarat untuk mempersilakan aku untuk masuk. Aku mengatur langkah lambat-lambat, dek kerana kakiku rasa sukar untuk digerakkan. Sebaik aku melabuhkan punggung di tempat duduk sebelah pemandu, Hadif pantas menutup pintu, lalu mengambil duduknya.
Hadif menjeling ke arah aku, mengukir senyum sebelum menghidupkan enjin semula. Aku cuma diam seribu bahasa saat kereta mula bergerak membelah jalan. Sesekali, aku dapat merasa Hadif sedang menjelingku, namun aku buat kental. Langsung aku tidak menoleh ke arah Hadif, risau jantungku bisa gugur kalau aku berbuat demikian.

Aku tersenyum girang sebaik melihat begitu banyak pilihan baju yang bersesuaian dengan saiz badanku di butik pengantin yang diperkenalkan Hadif itu. Aku rasa begitu bersyukur. Satu persatu baju pengantin aku belek, hingga akhirnya aku terpandang satu persalinan berwarna merah jambu. Aku rasa jatuh cinta pada persalinan itu, tapi aku takut, Hadif tidak gemarkan warna merah jambu, seperti kebanyakan lelaki yang tidak suka memakai sebarang pakaian berwarna merah jambu. Lama aku membelek baju itu, teragak untuk memilihnya.
“Kenapa Deeba, baju-baju kat sini tak lawa ke?” Hadif menyoal sebaik dia melihat aku lama membelek baju itu. Aku yang tersentak, pantas menggeleng.
“Err... baju kat sini semuanya cantik.”
Hadif tersenyum cuma.
“Kalau macam tu, Deeba pilihlah mana-mana yang Deeba berkenan. Abang tak kisah.”
Aku terdiam, mataku tertancap pada baju di tanganku semula. Hadif berkerut, mungkin memikirkan apa yang ada di dalam benakku saat itu. Haha. Tekalah!
“Adeeba suka baju ni eh?” Hadif mencapai baju yang dipegang aku. Baju itu ditelek-telek. Err. Macam mana dia tahu?
“Cantik! Deeba try lah pakai.”
Aku serba salah.
“Tapi... awak tak apa ke?”
Kening Hadif bercantum, tidak mengerti.
“Awak tak apa ke, pakai baju warna merah jambu?” Aku menyambung ayatnya supaya Hadif mengerti. Hadif tergelak kecil, mungkin baru dapat mengagak apa yang tersirat di hatiku.
“Mungkin Deeba tak perasan, tapi kan masa kita bertunang dulu, abang pakai baju melayu warna merah jambu jugak. Abang tak kisahlah, Deeba. Warna merah jambu buat abang nampak smart tau!”
Aku tersenyum tipis. Masih tidak berani untuk memandang wajah itu lama. Masih tidak bisa percaya yang jejaka di hadapanku itu bakal menjadi suamiku dalam tempoh tidak sampai dua bulan dari sekarang.

“Pandai abang Hadif pilihkan butik untuk akak kan? Bertuahnya akak ada bakal suami yang begitu memahami.” Ameena tersenyum girang saat melihat gambar aku di dalam persalinan pengantin, yang diambil sewaktu mencuba di butik pengantin siang tadi.
Sebaik aku dan Hadif keluar dari bilik persalinan, Puan Hamidah dan emak terus bertindak menjadi jurugambar tidak terlatih, meminta kami bergambar bersama. Aku tidak keruan, jarak dijaga antara kami agar tidak terlalu berdekatan, dalam hati aku berharap agar perbezaan antara kami tidaklah begitu ketara, hingga kelihatan sangat tidak sepadan. Aku risau, memikirkan saat majlis nanti, pasti perbezaan kami yang seperti langit dan bumi itu bakal diperkatakan orang ramai.
“Akak! Tengok tu, bila orang cakap, mesti terawang ke lain. Asyik-asyik teringatkan bakal suami dia tu. Emak, cepat-cepatlah bagi dia orang ni kahwin. Dah tak sabar sangat dah tu.” Ameena menjuihkan bibirnya. Emak yang sedang asyik menjahit baju nikah aku, cuma tersenyum pada kami.
“Apa? Ulang balik...” aku mencubit paha adikku.
 “Aduh, sakitlah akak!” Ameena menjerit kesakitan. Aku tergelak melihat gelagat Ameena.
“Cantiklah kak. Sama cantik sama padan ni.” Ameena memuji apabila melihat gambar aku disamping Hadif itu.
“Eleh, ye lah tu.” Aku enggan percaya. Dia suka punya kacak, aku pulak  badan besar, dekat mana pulak sama cantik sama padannya? Haish.
“Ish betullah kak! Orang cakap tak nak percaya pulak. Betul kan mak?” Ameena melaung pada emak.
“Betul, betul sangat!” Emak yang asyik menelek mesin jahit itu, bersuara tanpa menoleh ke arah kami.
Aku bangun dari dudukku di atas sofa, lalu pantas menghampiri emak.
“Emak, sudahlah, esok pulak sambung. Lama lagi Deeba nak kahwin.” Aku memeluk bahu emak. Emak membuka kaca mata rabun dekatnya itu lalu tersenyum melihat aku.
“Mak gembira sangat ni. Tak sabar nak dapat menantu, sebab tu mak nak cepat-cepat siapkan baju nikah Deeba. Mak bersyukur sangat, akhirnya ada juga insan mulia yang boleh terima Adeeba seadanya. Deeba bertuah dapat suami macam Hadif tu, nak.” Emak bersuara lirih. Bahu aku diusap lembut.
Aku terdiam. Moga kata-kata emak itu benar belaka. Moga Hadif itu benar-benar seorang yang mulia, yang menerima diri aku apa adanya.
“Moga betullah cakap emak. Moga anak mak ni betul-betul bertuah.” Aku bersuara setelah agak lama berjeda.
“Ish akak ni, orang cakap dia bertuah pun dia tak boleh percaya lagi. Patutnya akak aminkan kata-kata ibu ni.” Ameena memeluk bahu aku dari belakang pula.
Aku tersenyum nipis sebelum menghela nafas perlahan.
“Hmm yelah.. Amin...”
“Hah! Macam tu la...” Ameena tersengih.
Kami sama-sama ketawa. Ah entah bila lagi aku dapat merasai gurau senda dan gelak tawa keluargaku. Lepas ni, aku kena berdikari, berada di sisi suami, sedihnya nak berpisah dengan keluarga. Huhu.



Suka? =)

14 comments:

  1. mesti nak kaler pink kan..hheeehehe rasanye xxl tadela besau sgt pon kan..hehe

    ReplyDelete
  2. best! ape berlaku steruusnye..tak sabar plak..

    ReplyDelete
  3. suke cite ni..nak taw edup diba dgn hadif after married plk..sambung cepat ea..

    ReplyDelete
  4. NICE BLOG....pakjoe nk bg tau nie pakjoe ada byk lg tip blog yg nk bg kt tuan blog jemput siggah ke laman blpg pakjoe jgn lpa tau sbb pakjoe dh follow

    ReplyDelete
  5. Very good blog and a huge following maybe you can help me with my blog :)

    ReplyDelete
  6. smbung2x.. hehehe..

    ReplyDelete
  7. siannye...sabar ya adeeba

    mnarik citer ni.. =)

    ReplyDelete
  8. best...tp bg cnflik yg umphhh skit...mcm hdif 2 kwen sbb cbaran or apa2 jelah....

    ReplyDelete
  9. bestnyer x sabar ni AK...:) > unie

    ReplyDelete
  10. sambung lagi..best n tak sabar pulak nak tunggun episod akan datang...!!

    ReplyDelete
  11. saya dah beli dan dah bace 2 kali memang best...tp kalo lagi banyak konflik lagi gempak.... :)

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!