~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Tuesday, April 17, 2012

Novel : Cinta Bersaiz XXL! Bab 4




Jejaka di hadapanku itu berkulit cerah, bermata sedikit sepet tetapi punya anak mata berwarna hitam pekat, bibirnya merah dan apabila dia tersenyum, memang manis sekali. Rambutnya juga hitam pekat, namun sedikit panjang di bahagian depan dan disauk ke tepi. Wajah itu memang saling tak tumpah dengan wajah di dalam gambar yang dikirim padaku. Namun jejaka di hadapanku ini, realitinya kelihatan jauh lebih kacak dari di dalam gambar. Nafasku kurasa tersekat-sekat, jantungku berdetak laju.


“Deeba, kenapa tercegat saja dekat situ. Marilah duduk dekat mama ni...” panggilan dari Puan Hamidah membuatkan aku tersentak. Wajahku merona merah, malu dengan perlakuanku yang asyik merenung tunanganku itu. Hatiku jadi tak keruan, bimbang Hadif menyedari tingkah lakuku tadi.
“Errr, tak apalah cikgu, saya kena masuk dulu. Ada banyak kerja lagi dekat dapur tu. Nanti emak bising pulak kalau saya berlama di sini.” aku menggelabah. Aku cuba memberi alasan walaupun sebetulnya aku tak betah berada di situ dek kerana terlalu gementar hendak berhadapan dengan Hadif. Hendak lihat wajah Hadif pun aku dah segan, apatah lagi makan semeja. Jantung aku hampir gugur saat bertentangan mata dengan tunanganku itu.
“Eh duduklah dulu Deeba, nanti-nantilah ke dapur tu, makanlah dulu dengan kami.” Puan Hamidah mengajak kembali.
“Aah Deeba, banyak yang boleh dibualkan.” Suraya menambah.
“Err tak apa cikgu, kak, makanlah dulu ya. Nanti mak bising pulak kalau saya berlama di sini. Saya ke dapur dulu ya.” Aku mencicit lari masuk ke rumah semula sebelum menyorok di sebalik dinding rumah.
Macam naik roller coaster dah jantung aku ni. Memang aku tak sanggup berlama dekat situ. Kalau lagi lama aku berhadapan dengan Hadif, mungkin aku boleh pengsan tadi. Dramatik sungguh! Ahhh malunya... mendebarkan betul! Wajah aku sudah terasa tebal kerana menahan rasa malu yang amat sangat.
Ish biar betul itu tunang aku? Takkanlah senang sangat lelaki kacak macam tu boleh terima aku yang XXL ni sebagai pasangan hidup dia? Aku tak bermimpi ke ni? Susahnya nak percaya, kalau benar ini kenyataan! Ahh!
“Ehem. Mengendap eh...” suara Ameena, mengejutkan aku yang masih sedang menghendap di sebalik dinding. Memerhati bakal keluarga mertuaku dari jauh.
“Syhhh. Jangan sibuklah adik. Pergi masuk dapur.” aku mengibas tangan, tanda menghalaunya.
“Untunglah kak, bakal dapat suami macam tu.”
Aku mencebik. “Untung apanya?”
“Untung lemak di badan. Lari!!!” Ameena berlari pantas sebaik mengucapkan kata-kata itu, takut aku marah dialah tu. Ish budak ni!
“Adik!!!” aku tarik muka masam sebelum perlahan membawa langkah ke dapur, takut tingkah lakuku disedari mereka-mereka di bawah khemah itu.

 “Kami balik dululah ya. Puan Asiah, tak lama lagi kita berbesanlah ya.” Puan Hamidah bersuara seraya memeluk emak erat. Aku yang memerhati dari dalam, cuma tersenyum melihat keduanya. Hadif yang berdiri di belakang Puan Hamidah, tidak berani aku kerling, perasaan segan masih terlalu tebal terbina dalam diri aku ni, apatah lagi bila aku dapat rasa macam Hadif sedang merenung aku saat ini. Andai aku memandang Hadif, pasti mata kami akan bertemu, dan pasti jantung aku akan berhenti berdenyut, dan tentu nanti aku akan pengsan. Ok aku dah terlebih fikir.
“Balik dulu ya. Assalammualaikum.” Hadif bersuara, membuatkan aku memandangnya sekilas, dia juga sedang memandangku, aku dapat rasakan dia cuba mengorak senyum tapi aku takut untuk melihat lebih lama, lalu kusegera alihkan pandanganku. Wajahku merona merah menahan rasa malu. MPV jenama Toyota Estima itu meluncur meninggalkan perkarangan rumah keluarga aku. Aku pandang kereta itu pergi dengan debaran yang kian surut di dada.

Aku duduk sendirian di bahu katil, malam itu. Telefon bimbit aku gapai, ada sesuatu yang ingin aku soal pada Hadif, ingin merungkai segala pemikiran yang mengganggu benakku saat ini. Makin disimpan di dalam hati, makin tidak tenang jadinya.
Assalammualaikum saudara Hadif. Awak dah nampak saya depan mata awak kan? Saya tak kisah kalau awak nak tarik diri dari pertunangan ini sekarang. Saya terima segala keputusan awak.
Hantar. Aku sememangnya tidak mahu Hadif menerima aku kerana terpaksa. Aku sedar siapa aku, aku sedar siapa dia. Kami bagai langit dengan bumi.
Haih! Walaupun segalanya sudah termeterai dan aku kini sudah menjadi tunangan insan bernama Hadif, namun hati aku masih enggan percaya. Rasa rendah diri dalam hati aku ni dah bina benteng tinggi yang menghalang aku dari mempercayai bahawa jejaka sesempurna Hadif inginkan diriku sebagai pasangan hidup.
Petang tadi, saat aku bertemu mata dengan Hadif, aku terasa sangat janggal. Aku rasa sangat tidak secocok dengan Hadif. Apatah lagi jika aku duduk bersebelahan dengan Hadif di atas pelamin kelak, macam enggang dengan pipit. Macam adik Giant dengan Dikisuki dalam cerita Doraemon tu. Arghhh!
Bunyi nada mesej masuk membuatkan aku segera menggapai telefon bimbitku semula.
Kenapa Deeba masih tak nak percaya yang abang terima Deeba seadanya? Abang tak perlu tengok Adeeba pun untuk menetapkan hati abang. Abang harap Deeba pun sama.
Aku terdiam. Jemariku laju menaip balasan pada telefon bimbitku.
Maafkan saya. Saya masih tidak boleh percaya yang awak boleh terima saya.
Percayalah pada jodoh yang ditetap Allah ini ya, Deeba. Abang terima Deeba ikhlas kerana Allah.
Aku terpempan, hampir air mataku menitis, saat membaca bait mesej itu.
Kalau macam tu, awak memang nekad memperisterikan saya? Awak tak menyesal?
Hantar.
Tak ada sekelumit sesalan pun. Abang nekad dan ikhlas.
Aku ketap bibir, cuba menahan air mata yang ingin gugur. Hatiku rasa terusik.
Terima kasih saudara Hadif. Maaf sebab ragu-ragu dengan awak. Saya akan berusaha menerima awak, ikhlas kerana Allah.
Terima kasih. Dah, jangan fikir lagi ya. Selamat malam. Assalammualaikum.
Waalaikumussalam. aku menjawab salam dalam hati, meletakkan telefon bimbit kembali di atas meja sebelum aku berbaring di atas katil.
Ya Allah, benarkah Hadif ikhlas terhadapku ya Allah? Andai dia benar ikhlas, mengapakah hatiku masih enggan percaya? Masih wujudkah insan sebaiknya yang bisa menerima insan sepertiku di atas dunia ini ya Allah? adakah dia hadir sebagai satu ganjaran padaku, atau adakah dia hadir sebagai satu ujian dariMu ya Allah? berikanlah aku petunjukMu ya Allah...
Aku cuba menutup mata, biarpun hatiku masih terasa takut untuk mengharungi masa depan yang entah bagaimana coraknya nanti. Duhai hati, tenanglah...

Suka? =)

8 comments:

  1. x sabar nk tahu kish selanjutnya..:)

    ReplyDelete
  2. Deeba pasti akan menjadi mangsa cacian Qaisara nanti......

    ReplyDelete
  3. weeee.. tak sabar nak tahu apa yang akan berlaku dalam cinta bersaiz XXL yang akan datang

    ReplyDelete
  4. pendek nye part yg nie AK.. hehe.. xsabar nie..

    ReplyDelete
  5. Hahaha...artis Korea jadi hadif

    ReplyDelete
  6. Hahaha.....artis Korea pakai baju Melayu .tapi best part ni.

    ReplyDelete
  7. Kak aliesha nk no. Wassap boleh

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!