KAKIKU terasa berat sekali hendak
melangkah. Wajah Hadif aku pandang sekilas. Hadif cuma diam memandang wajah
mama, abang Hasif, dan Kak Suraya silih berganti. Mungkin hatinya terasa berat,
seperti mana yang aku rasa saat ini.
“Hadif pergi dulu ya, mama. Ada
kelapangan nanti Hadif balik.” Hadif mengucup lembut tangan mama, mengucup
pipinya sebelum memeluk tubuh itu erat. Haish aku pulak yang sedih jadinya,
sebak dada ni menahan rasa. Walaupun nak pindah sekangkang kera je dari sini,
tapi perasaan tu macam nak pindah ke Jepun je. Haha. Aduh sempat lagi aku ni.
“Mama...” aku pula mengambil alih
tempat Hadif apabila Hadif menginjak ke tepi, menyalami abangnya pula. Tangan
yang kusua, disambut oleh mama, sebelum aku mengucup lembut tangan itu, mengucup
kedua belah pipinya lalu memeluk dia erat. Gosokan lembut terasa di belakang
badanku.
“Jaga diri elok-elok ya Deeba,
tolong jagakan anak mama ni, mama serahkan dia sepenuhnya pada Deeba sekarang.”
Mama tersenyum seperti selalu. Alamak, air mata, janganlah keluar masa ni. Aku
cuba tahan sedaya upaya air mata yang macam nak pecah empangan ni.
“InsyaAllah mama, jangan risau,
nanti kami baliklah selalu. Kalau abang Hadif tak nak balik, Deeba paksa jugak
sampai dia nak balik.” Aku sengih, cuba sedapkan hati insan kesayangan Hadif,
yang kini jua kesayanganku.
“Ada-adalah Deeba ni.” Mama
tergelak kecil, bahuku diusapnya lembut tanpa berkata apa lagi.
“DEEBA sedih ke?” Hadif menyoal
setelah lama hening menemani kami, dia memandang aku sekilas walaupun anak
matanya tidak dapat kulihat kerana terlindung di sebalik kaca mata hitamnya.
“Ish mana ada.”
Hadif senyum segaris, biarpun dia
tidak memandang aku lagi kerana fokus pada pemanduannya. Tiba-tiba tanganku
terasa digenggam erat sebelum Hadif menarik tanganku ke bibirnya dan dikucup
lembut.
“Terima kasih sayang...” dia
tiba-tiba bersuara. Aku memandang wajahnya dengan rasa hairan.
“Terima kasih untuk apa?”
Hadif senyum lagi, kali ini lebih
lebar.
“Terima kasih sebab sayangkan
mama seperti ibu Deeba sendiri, terima kasih sebab hadir dalam hidup abang ini, terima kasih atas
segalanya.”
Aku mengetap bibir, suamiku ini
tidak habis dengan ucapan terima kasihnya walaupun aku sendiri tidak pasti,
jasa apa yang telah aku berikan padanya.
“Abang...” aku cuba bersuara
setelah lama berdiam.
“Hmmm...”
“Tak payahlah selalu berterima
kasih pada Deeba, Deeba tak buat apapun sampai abang kena ucapkan terima kasih.
Sepatutnya Deeba yang kena banyak berterima kasih pada abang sebab sudi terima
Deeba yang kekurangan ni dalam hidup abang.” Aku akhirnya meluahkan rasa
hatiku.
Mata Hadif membulat. Dahinya
berkerut.
“Jangan cakap macam tu, Deeba.
Deeba tak ada sebarang kekurangan pun di mata abang, sebaliknya Deebalah yang
melengkapkan hidup abang. Deeba sempurnakan abang, sepertimana abang akan sempurnakan
Deeba.” Hadif senyum dari sisi.
Aku terkedu. Nak membalas, dah
kelu lidah. Bila Encik Hadif bersuara, pemidato kebangsaan pun boleh kematian
kata. Bukan sebab apa, tapi cair! Hancur lebur hati yang sedingin ais
sekalipun. Aduh!
“DEEBA naik atas dulu ya bang,
nak kemas baju-baju ni. Kalau abang nak apa-apa, abang panggil Deeba ya.” Aku
segera meminta diri sebaik tiba di rumah baru kami itu. Bukannya apa, cheq
malu! Segan nak berduaan dengan Hadif, sebelum apa-apa, baik aku cabut!
Barang-barang yang kami bawa,
sedikit saja pun. Almaklumlah, Hadif dah beli rumah siap perabut lagi, jadi
yang tinggal cuma bawa baju dan barang-barang peribadi yang lain aja. Tak perlu
upah lori angkut barang pun. Ada juga barang yang masih disimpan di rumah mama,
Hadif kata barang-barang tu nanti boleh diangkut kemudian.
“Tunggu Deeba.” Hadif memegang
lenganku, sebelum sempat aku melangkah. Perlahan dia menarik aku ke sisinya.
“Belum apa-apa dah nak buat
kerja, duduklah rehat dulu.” Wajahku terasa panas bila mataku bertentangan
dengan matanya. Haih! Inilah rasanya bila bercinta lepas kahwin. Lepas kahwin
baru nak kenal, jadi malu-malu alah la hamba. Hehe.
Hadif tarik aku untuk duduk di
sofa, namun matanya tidak dikalih dari memandangku.
“Abang tahu, Deeba segan kan
dengan abang?”
Aku gumam. Ish ahli nujum pak
belalang betul! Wajah aku dah merona merah.
Hadif menguntum senyuman.
“Deeba tak perlu segan apa-apa
dengan abang. Kita dah jadi suami isteri. Deeba dah jadi sebahagian dari hidup
abang, dan begitu juga sebaliknya.”
Aku angguk perlahan, mengiyakan
kata-katanya itu.
“Abang harap Deeba boleh terima
abang seadanya, abang tahu abang ni skema sikit, abang tak pandai bergaul
dengan orang, tapi abang harap Deeba boleh terima abang sebegini ya?”
Mataku membulat. Sikit punya sempurna
laki aku ni, dia boleh kata dia tu skema? Haih! Ok ada la sikit, tapi comel apa
orang skema ni. Haha. Alamak, adakah aku sudah jatuh cinta? Tehee.
“Deeba...” panggilan Hadif
membuatkan aku tersedar dari lamunan. Eh apa soalan dari dia tadi ya? Oh ya...
Aku berdeham beberapa kali
sebelum mataku kembali tertancap pada wajahnya.
“Err... Deeba yang patut
berharap, abang boleh terima Deeba seadanya. Deeba gemuk, tak...” belum sempat
aku menyambung, jari telunjuk Hadif sudah melekap di bibirku.
“Syhh, abang tak mahu Deeba cakap
yang bukan-bukan pasal diri Deeba lagi. Kita semua ada kekurangan, dan setiap
kekurangan kita, akan dilengkapi oleh orang lain. Hidup kita adalah untuk
saling melengkapi, sebab itu Allah jodohkan Deeba dengan abang supaya Deeba
dapat jadi pelengkap hidup abang dan sebaliknya.” Hadif mencuit hidungku
lembut.
Aku mengukir senyuman. Ok, aku
memang tak mampu lawan cakap Hadif, kata-kata dia terlalu lunak untuk
ditentang. Baik mengaku kalah saja. Haha.
“Assalammualaikum...” momen yang
indah lagi syahdu ini tiba-tiba terganggu dek suara orang di luar rumah.
“Waalaikumussalam.” Aku bingkas
bangun untuk membuka pintu, namun Hadif pantas menghalang. Dia pula yang bangun
dan segera membuka pintu utama rumah itu.
“Ada pun orangnya...” wanita
dalam lingkungan lima puluhan itu tersengih sebaik Hadif membuka pintu.
“Makcik nampak macam ada orang
baru pindah dekat rumah ni, sebab tu Makcik datang jenguk. Makcik duduk
betul-betul kat sebelah ni.” Makcik itu ligat berbicara tanpa ditanya. Anak
gadisnya yang berumur hampir sebaya aku, kelihatan menyorok di belakang ibunya
sambil mencuri pandang pada Hadif.
“Oh iye ke? Aah, saya baru saja
berpindah ke sini.”
“Nama Makcik, Rosmah, panggil
saja Mak Mah. Ini anak Makcik, Rosliza, panggil Ros saja.” Makcik itu memperkenalkan.
“Saya, Hadif.”
“Anak pindah sorang ke?” soalan
itu membuatkan automatik Hadif berpaling ke belakang, memandang ke arahku yang
hanya memerhati dari jauh sedari tadi.
“Tak, saya pindah dengan...”
“Makcik...” aku menghulurkan
salam, membuatkan Hadif terhenti berbicara.
“Oh pindah dengan kakak kamu ya?”
kata-kata yang terpacul dari mulut Makcik itu buatkan aku tersentap. Amboi
makcik, kakak terus dikatanya aku. Mujur dia tak cakap, aku ini mak Hadif.
Sadis betul!
“Eh bukan Mak Mah, ini isteri
saya, Adeeba.” Hadif membetulkan.
Wajah Makcik bernama Mak Mah itu
sedikit terkejut, anak daranya juga sama. Ok-ok, aku tahu semua orang pun akan
terkejut, jadi aku dah imun dengan wajah terkejut tu.
Mak Mah kelihatan berbisik
sesuatu pada anaknya sebelum mereka ketawa sendiri. Ah aku bukan boleh kalau
tengok orang macam tu, mesti adalah yang dia orang bahankan aku itu. Haish!
Lengan Hadif aku tarik,
membuatkan Hadif menoleh ke arahku.
“Deeba masuk dalam dululah bang,
buatkan air. Abang layankanlah tetamu tu.” aku meminta dengan wajah separa
kelat, cuba untuk tidak menunjukkan emosiku pada Hadif. Hadif tersenyum seraya
mengangguk.
“KALAU perlukan apa-apa, bagitahu
saja Mak Mah ya. InsyaAllah apa yang termampu, Mak Mah tolong.” Suara Mak Mah
kedengaran saat aku mampir membawa dulang berisi air teh o panas dan beberapa
potong kek keju.
“Amboi, patutlah montok isteri
kamu ni Hadif, petang-petang pun makan kek keju. Ish Mak Mah ni tekak orang
Melayu, tak ada selera nak makan makanan berlemak dan manis macam ni.”
Amboi Mak Mah ni, baru sekejap
datang rumah aku, dah boleh perli aku eh.
“Tak apalah kalau macam tu Mak
Mah, sekejap saya gantikan kek ni dengan biskut kering.” Aku pulangkan paku
buah keras. Wajah Mak Mah kelihatan berubah.
“Eh tak payah susah-susahlah... apa
nama tadi? ah Adeeba, Mak Mah dah makan dah tadi.” Cakap awal-awal kan bagus,
tak payah aku susah-susah potong kek kegemaran aku ni. Haha. Ok Deeba, behave yourself. Hormat orang tua. Tak
pasal-pasal kena pujuk hati sendiri.
Aku duduk di sebelah Hadif, saat
air teh o itu sudah kutuang dalam cawan masing-masing. Wajah Hadif aku pandang
sekilas sebelum aku memandang ke depan semula. Hadif senyum sebelum menggenggam
jemariku erat. Ah dia selalu tahu bagaimana hendak sejukkan hati aku. Cewah!
Macam la dah lama kahwin Adeeba oi!
“Tak apalah Hadif, Deeba, Mak Mah
beransur dululah ya. Ingat nak tolong apa yang patut, tapi Hadif kata tak ada
apa pun yang boleh ditolong, kan? Lain kali kami datang ya.” Mak Mah bingkas
bangun.
“Eh minumlah dulu Mak Mah.” Aku
menjemput.
Mak Mah senyum, Ros juga sama
biarpun dia hanya senyap sedari tadi.
“Tak apalah, tadi Mak Mah dah
minum dah sebelum ke mari.” Mak Mah pantas berlalu ke luar dari rumah.
“Nanti ada apa-apa, panggil aja
Mak Mah, apa yang termampu, Mak Mah tolong.”
“Terima kasih, Mak Mah.” Aku
senyum seraya menyalami dua beranak itu.
Saat keduanya lenyap di sebalik
dinding rumah sebelah, aku dan Hadif, kembali masuk ke dalam. Aku bingkas duduk
di atas sofa semula sambil memandang ke arah minuman yang tidak bersentuh, tanpa
sedar, aku menghela nafas panjang.
“Mengeluh nampak.” Hadif menepuk
pahaku membuatkan aku mendongak.
“Mana ada bang, cuma sayang,
orang dah bancuh penat-penat, tak diusik pun.”
Hadif tersengih.
“Deeba la, garang sangat dengan
Mak Mah tu.”
Mataku tajam memandang Hadif.
“Deeba garang?” aku menyoal,
tidak percaya. Iye ke aku garang tadi? haha. Patutlah mencicit Mak Mah dengan
anaknya tu lari balik.
“Tak adalah, abang gurau ja.
Isteri abang ni mana garang pun, comel tu adalah.”
Aku diam. Eleh! nak sedapkan hatilah
tu.
“Mak Mah tu nampak saja mulut
becok, tapi abang yakin hatinya baik. Kalau tak, tak adalah dia nak datang
bertegur sapa dengan kita, siap nak tolong kita berkemas lagi.” Hadif
menyambung.
“Deeba tahu.” Mulutku memuncung.
“Cuma Deeba sentap jugalah dengan
kata-kata dia tu.”
Hadif mengusap bahuku lembut.
“Alah, jangan terasa hati
sangatlah, ya. Anggap saja dia bergurau.”
Aku senyum.
“Deeba tak simpan dalam hati pun.
Sentap masa tu jelah, lepas tu tak fikir dah pun. Dah banyak sangat Deeba kena
perli sebelum-sebelum ni, takat kena macam ni, senang je nak handle.” Aku ketawa mengekek.
“Oh berlagak eh, isteri abang.”
Hadif mencubit pipiku membuatkan aku mengaduh kesakitan. Hadif yang melihat
gelagatku, cuma ketawa kelucuan sambil mengusap pipiku semula.
“Ini siapa nak habiskan ni?” aku
memandang cawan-cawan itu semula dengan wajah kelat.
“Deeba la habiskan.” Hadif ketawa
membuatkan mulutku kian muncung.
“Kalau Deeba habiskan semua ni,
kembunglah perut Deeba.”
Hadif ketawa lagi.
“Alala, nanti kita habiskan
sama-sama ya! Abang habiskan semua pun tak apa, demi isteri tercinta.” Aku
menjeling padanya.
“Eleh, yelah tu.”
Hadif senyum buat kesekian
kalinya.
AKU merenung langit malam yang
sama seperti malam-malam sebelum ini, namun terasa lain benar bila direnung
dari rumah yang berlainan. Balkoni yang agak luas itu membuatkan aku dapat
melihat suasana malam dengan lebih jelas. Terasa indah sekali ciptaaan Ilahi
ini. Haih..
“Hah! Ingat dekat Mak Mah lagi?”
sergahan Hadif buatkan aku terperanjat, pantas aku mengurut dada.
“Ish abang ni! buat apa Deeba nak
ingatkan jiran sebelah kita tu pulak?” aku mencebik.
“Manalah tahu kan,” Hadif
bersuara sambil merangkul erat diriku dari belakang.
“Merepek saja abang ni,” aku
menyiku perutnya membuatkan Hadif mengaduh.
“Aduh, ganas betul isteri abang
ni.” Hadif masih menggosok perutnya membuatkan aku ketawa kecil, geli hati.
“Itulah, main sedap cakap aje.
Rasakan. Entah-entah, Mak Mah yang dok teringatkan abang. Frust tak dapat
jadikan menantu bila tengok isteri XXL abang ni.” aku ketawa mengekek.
Hadif terdiam, wajah aku
dipandang dalam-dalam membuatkan aku terhenti ketawa.
“Kenapa abang tengok Deeba macam
tu?” aku menyoal apabila lama dia berdiam diri.
Hadif tiba-tiba memeluk aku erat,
ubun-ubunku dikucupnya lembut.
“Deeba jangan cakap macam tu.
abang tak suka Deeba perkecilkan diri Deeba sendiri. Bagi abang, Deeba dah
cukup sempurna di mata abang.”
Aku terkedu. Perlahan aku
mengangguk. Ah kata-kata Hadif, selalu bisa buat aku lapang dada. Aku senyum.
Suka? =)
Haih Mak Mah tu macam nak kenankan anak dia dengan Hadif je...#^_^
ReplyDeleteThanks AK for the n3! Kesian kat Deeba, boleh tahan laser jugak mulut Mak Mah ni, tapi x pa yg penting Hadif tetap sayang giler kat Deeba... so Deeba be strong OK, buat tak tau je pasal Mak Mah tu..
ReplyDeletebaru nk berkenalan dh nmpk mak mah tu nk kenenkan hadif dgn anak dia
ReplyDeleteyes, ad jugk entry.. aduhai, bisa jugk mulut MakMah tu.. ank dy akn jd pengnggu ke? jgnlaaa~ nk Deeba dgn Hadif romntk je. kan best dpt suami mcm Hadif ni. :) hihihi
ReplyDeletecam somting fishy je ngan jiran baru hadif n deeba tuh. hmmmmmmmmmmmm be careful
ReplyDeletekalo dpt mulut mak mah tu,mmg makan cili jawapnye...xsabar nak tunggu bab seterusnye....suuwweet sgt hadif gan deeba...
ReplyDeletekalo dpt mulut mak mah tu,mmg makan cili jawapnye...xsabar nak tunggu bab seterusnye....suuwweet sgt hadif gan deeba...
ReplyDeletekalo dpt mulut mak mah tu mmg mkn cili jawapnye...xsabar nk tunggu bab seterusnye...suuuweeet sgt hadif n deeba...:)
ReplyDeletepotong la mak mah tu.. dah buat air tak nak minom plak.. geram btol..
ReplyDeleterase nk cili je Mak Mah..ayat xleh bla..
ReplyDeletenasib baik cik abg pandai pujuk Deeba..pewiitt..
sweetttt gituu...
ara
Tp hati dia baik kot Mak Mah tu...wlwpun pedas. Hrp2 jgnlah anaka dia yg jadik org k3 kat hubungan Deeba ni....=)
ReplyDeletecurrently reading Cinta Bersaiz XXL and Love You Mr.Arrogant.suka sangat.
ReplyDeletebest3x..saya suke..ble nk ade next chapter nie??x sabar nie..
ReplyDelete^_^
Deeba jangan paranoid sangat . believe yourself okay . nice entry AK ,
ReplyDelete