~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, March 28, 2016

Novel : Mamat Muka Selenga Bab 10



Bab 10
Enak sungguh aiskrim kelapa,
Betul ke aku diskriminasi rupa?
AKU memandang curi-curi ke arah Encik Aydan yang sedang khusyuk bercakap dengan klien di coffee house itu. Hari ini Encik Aydan suruh aku ikut dia keluar berjumpa klien, aku yang sememangnya patuh dengan setiap arahan, tak bolehlah nak menolak pulak kan? Haha.
Macam biasa dia sentiasa kelihatan segak dan ada karisma dalam setiap tingkahnya. Sut berwarna hitam kemas tersarung di tubuhnya dan dipadankan dengan tali leher berwarna biru muda. Memang jelas gayanya kelihatan macam orang yang berkaliber dan dari golongan berada.
Berbeza dengan aku yang selekeh ni, tudung pun senget benget, lepas tu bersandal saja macam nak pergi beraya rumah orang. Haha. Malu aku kalau setiausaha syarikat lain tengok, mujurlah Dato’ Said tak banyak songeh dulu. Aku pun bukannya belajar bidang kesetiausahaan ni tapi bila minta kerja, kerja ini yang lekat dulu, aku pun terimalah sebab fikir mungkin ini rezeki aku.
“Fatihah.” Suara Encik Aydan memanggil membuatkan aku tersedar lalu berkalih dari memandang sandal yang tersarung di kaki.
“Ya, Encik Aydan.”
“Dah masuk waktu lunch ni, you pergilah lunch, lepas tu nanti masuk office terus. I have to go to somewhere else first.” Encik Aydan berkata sambil bangun mengemaskan barang-barangnya. Klien tadi hanya diam dan tersenyum memandang kami. Aku mengangguk sambil ikut bangun mencapai beg kerja sendiri dan fail di atas meja itu.
“Baik Encik Aydan. Saya pergi dulu ya. Assalammualaikum.” Aku bersuara sebelum berlalu keluar dari coffee house itu. Aku tahu, hari ini hari Jumaat jadi tentulah Encik Aydan tersayang aku tu nak pergi solat Jumaat kan. Tapi sekarang baru pukul dua belas lebih, mungkin dia ada temujanji lain dulu kot.
Aku bergerak menuju ke food court di dalam KLCC ini, tempat aku berjanji hendak bertemu Hajar. Selalunya setiap Jumaat kami akan makan tengah hari sekali sebab hari lain Hajar makan dengan tunangnya, si Faiz tu. Padahal nak diikutkan dekat je pejabat aku dengan pejabat dia. Hari-hari boleh keluar makan tengah hari sama-sama. Tak apalah, orang ada tunang kan, aku ni tak ada siapa. Heh.
Hajar datang beberapa ketika kemudian, setelah hampir separuh gelas teh tarikku aku hirup. Dia tersengih-sengih memandang aku sebelum mengambil duduknya.
“Sorry, LRT ramai orang.” Pendek dia memberi alasan setelah melihat aku sudah menantinya di situ. Naik LRTlah kemudahan paling cepat dan pantas dari pejabat nak ke KLCC ni. Kalau naik kereta, tentu-tentu tersekat dalam jammed.
“Tak apa. Aku pun sampai awal sebab ikut bos aku jumpa klien dekat sini tadi.”
“Oh Dato’ Said ke?”
“Bukanlah, anak dia. Kan aku ada beritahu kau hari tu.”
“Eh ada ke?” Hajar garu kepalanya. Aku menggeleng perlahan.
“Aku tahulah kau tu asyik teringatkan Faiz, sampai semua aku cerita pun masuk telinga kanan keluar telinga kiri ya.” Hajar ketawa mendengar kata-kataku.
“Mana ada, beb. Aku selalu ingatlah apa kau cerita, tapi pasal bos baru kau ni aku terlepas pandang pulak. Kalau pasal mamat muka selenga pujaan hati kau tu semua cerita tu aku dah simpan dalam poket.” Hajar buat muka bangga.
“Eii tolong sikit eh. Bila masa mamat tu jadi pujaan hati aku? Kalau bos baru aku tu kotlah. Aku beritahu kau tak, yang dia tu kacak gila, sebijik macam Lee Min Ho kau tahu. Macam mimpi pulak aku rasa masa jumpa dia mula-mula dulu.”
“Ok bahagian tu aku ingat, tapi aku ingatkan kau tipu saja pasal muka dia macam Lee Min Ho.”
“Ceh tak kuasa aku nak menipu pasal ni.” aku mencebik. Sebal pulak sebab Hajar tak percaya. Mataku aku alihkan keluar food court sebelum mataku menangkap sesuatu. Encik Aydan! Dia sedang berjalan sambil memegang satu beg kertas jenama ternama. Amboi shopping sorang-sorang!
“Eh Hajar, tu... tu... tengok tu cepat!” aku menguis lengan Hajar, meminta dia memandang ke arah yang aku tunjuk.
“Apa?”
“Tengok sajalah.”
“Hah, beb. Tu ke bos baru kau?” mata Hajar kelihatan membulat. Aku ketawa dalam hati, puas rasanya bila Hajar dapat lihat sendiri kekacakan Encik Aydan yang memukau itu.
Of course. Nampak kan, kacak gila!”
“Dia buat apa time orang pergi solat Jumaat ni. Tak solat ke?” soalan Hajar itu buatkan aku terkedu. Aku membelek jam tangan, sudah pukul satu suku. Hmm musykil.
“Kejap lagi dia pergilah tu.” Aku cuba mencari alasan.
“Pergi apanya, dah lambat dah ni. Dan dari cara dia jalan dengan relaks dan bershopping tu tak menunjukkan tanda yang dia tu tengah kalut nak pergi solat Jumaat.” Hajar mendengus.
“Buat apa muka handsome macam tu tapi solat Jumaat seminggu sekali pun tak boleh pergi? Kalau seminggu sekali pun tak boleh pergi, yang lima waktu setiap hari lagilah kelaut.” Hajar menambah. Aku diam, merangka dalam hati cara untuk membackup Encik Aydan.
“Dia ada hal kot Hajar. Bersangka baik.”
“Yelah, aku cuba bersangka baik dan memang tak boleh sangkal yang dia tu handsome, patutlah kau tergoda. Dah la wajah dia iras pelakon Korea favourite kau.” Aku senyum sebab Hajar akhirnya mengakui kata-kataku. Ternyata bukan aku seorang saja nampak Encik Aydan itu persis Lee Min Ho.
“Tapi, entahlah. Aku ni ada sindrom automatik tak suka bila tengok lelaki berkeliaran masa solat Jumaat. Reject terus lelaki macam tu. Kau tu, tak nak reject lagi ke?” Hajar memerli aku baik punya. Dia mengangkat kening kepadaku, membuatkan aku terfikir sendiri.
Reject Encik Aydan? Dia tu yang akan reject aku dulu kalau aku mahukan dia. Haha. Berangan je lebih. Tapi aku boleh je terima keburukan dia dan buat dia berubah baik, tak tinggal solat. Ewah! Tebal sangat iman kau sampai nak bimbing Encik Aydan? Diri sendiri pun tak terbimbing, siap boleh skodeng anak teruna orang lagi. Haha.
“Manusia boleh berubah, Hajar. Mana tahu sekarang dia memang tinggal solat, lepas ni dia jadi lagi baik dari kita.”
“Amboi mentang-mentang dia segak, laju je kau kan. Cuba Fahmi tu yang tak pergi solat Jumaat, mesti dah berbakul kau menyumpah dia.”
Aku ketawa. Terasa. Sebab macam betul je apa yang Hajar cakap tu. Si mamat tu buat apa pun bagi aku tak betul, kalau dia buat benda yang tak betul, lagilah aku rasa berganda tak betul dan tahap kebencian aku meningkat. Oh diskriminasi rupa betul aku ni.
“Dahlah, aku lapar. Nak makan.” Hajar bangun dari duduknya, meninggalkan aku di situ, masih merenung kosong ke depan, macam nampak lagi kelibat Encik Aydan lalu tadi. Haih!

PINTU lif sedang tertutup saat ada tangan yang menghalang ketika itu. Aku tergamam dan memandang ke depan. Fahmi tersengih memandang ke arah kami yang berada di dalam perut lif. Dia mungkin tidak perasankan aku yang berada di belakang.
            “Sorry... sorry...” dia meminta maaf sebelum ikut membolosi lif itu. Aku sekadar memerhati dia sambil memikirkan kata-kata Hajar sewaktu makan tengah hari tadi. Kalau Fahmi tak solat Jumaat? Hmmm. Aku melihat dia atas bawah. Kaki seluarnya dilipat sedikit dan sekadar selipar jepun tersarung di kakinya, baju kemejanya disingsing sampai ke lengan, rambut juga kelihatan sedikit basah. Tanda-tanda dia pergi solat, tapi betul ke? Dia tak berlakon?
            Astaghfirullah, Fatih! Pandai saja kau ajar Hajar bersangka baik tapi kau sendiri fikir bukan-bukan dekat mamat yang sah-sah nampak macam pergi solat Jumaat ni. Apa nak jadi dengan aku ni! Memang aku ni diskriminasi rupa betullah! Yang segak boleh dimaafkan, yang selenga macam mana pun tetap salah. Duhai hati, jangan kejam sangat boleh?
            “Eh Husna, abang tak perasan tadi.”
            Gulp! Aku menelan liur saat Fahmi menegur. Rupanya orang lain dah keluar dari lif kerana turun ke tingkat yang lebih bawah dari kami, menyebabkan cuma tinggal aku dan dia di dalam perut lif ketika itu. Aku sekadar senyum, tak tahu nak cakap apa.
            “Makan dekat mana tadi?” dia ramah seperti kebiasaannya.
            “KLCC.”
            “Wah, abang tak pernah lagi sampai situ. Nampak KLCC dari jauh je.”
            “Nanti pergilah.” Aku menjawab acuh tak acuh.
            “Nanti Husnalah tolong bawakan abang pergi sana.” Dia tersengih sambil memandang aku dengan renungan ala-ala gatal. Rasa nak hempuk je kepala dia dengan fail dekat tangan aku ni. Sempat lagi buat muka gatal.
            “Tak kuasa saya.” Serentak itu juga pintu lif terbuka di tingkat pejabat Laman Murni Construction. Cepat-cepat aku keluar tanpa menunggu Fahmi berkata apa. Selamat! Tepat pada masanya.

            “Bye, Husna!” terdengar suara petir itu saat pintu lif ditutup semula. Sempat lagi dia. Huh!

Suka? =)

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!