Bab 1
TALQISYA.
Ajda merenung papan tanda butik
vendor itu dengan rasa sedikit gementar. Ini bukan kali pertama dia berurusan dengan
butik vendor tetapi butik yang satu ini terasa lain macam saja debarannya. Hati
rasa tak sedap macam ada awan hitam sedang menyelubungi jiwanya saat itu. Ah,
dah kenapa?
Bismillahitawakkaltua’lallah.
Ajda
mengulang ayat itu beberapa kali sebelum daun pintu utama butik itu dia tolak.
Kepalanya tersembul ke dalam, memerhati dahulu segenap ruang sebelum masuk dengan
gerak perlahan. Senyuman pembantu butik menyambut Ajda membuatkan gadis itu
ikut mengukir senyum.
“Selamat
datang ke Talqisya.” Ucap pembantu butik itu sebaik senyumannya berbalas. Ajda
segera mendekati gadis kecil molek itu sebelum bersuara separa berbisik. Risau
mengganggu pelanggan butik yang boleh tahan ramainya walaupun masih di dalam
waktu pejabat. Tak tahulah dari mana datangnya gadis-gadis hijabista
fashionista ni semua sampaikan waktu begini pun masih boleh melepak di butik.
“Saya
dari The Jida Dessert. Nak apply jadi vendor.”
“Oh
cik dari The Jida Dessert yang call semalam eh?”
Ajda
mengangguk laju.
“Okay,
cik ikut saya ya.”
Pembantu
butik itu melangkah laju membuatkan Ajda pantas mengekorinya dari belakang.
Berjalan ke arah sudut paling hujung di dalam butik yang boleh tahan besarnya
itu. Beg plastik yang dia bawa, dikemaskan dalam genggaman.
Langkah
Ajda terhenti saat pembantu butik itu berhenti di hadapan pintu sebuah bilik.
Kepalanya mendongak memerhati nama yang tertera di situ.
Megat
Talhah bin Megat Harun.
Erk!
Liurnya yang kesat ditelan dengan payah.
Dia
ingat pemilik butik vendor ini seorang perempuan, tapi rupa-rupanya lelaki.
Aduh segannya! Ajda mengetap bibir.
Pintu
itu diketuk.
“Masuk.”
Suara garau kedengaran.
“Encik
Megat, cik...” gadis kecil molek itu bersuara saat membuka pintu bilik itu
sebelum memandang Ajda semula, meminta pengertian.
“Ajda.”
Pendek Ajda membalas. Mengerti.
“Cik Ajda dari The Jida Dessert dah
sampai.” Pembantu butik itu bersuara kembali sebaik dia menjenguk kepalanya ke
dalam.
Dia
berpaling semula ke arah Ajda sesaat kemudian sebelum tersenyum.
“Cik boleh masuk sekarang.” Gadis
itu bersuara lalu melangkah meninggalkan Ajda yang masih terpinga-pinga.
Perlahan Ajda memulas tombol pintu
sebelum melangkah masuk ke dalam bilik itu dengan berhati-hati.
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Lelaki itu
mendongak dan memandang Ajda dengan wajah yang tidak beriak. Senyum pun tidak,
masam pun tidak.
“The Jida Dessert?”
“Ya. Saya Ajda. Saya nak apply
slot untuk peti makanan dekat butik ni.” Ajda tersenyum memulakan bicara.
Dingin. Masih tidak beriak.
“Duduk.” Pelawanya datar.
Ajda terkedu. Perlahan dia tarik
kerusi di hadapannya dan duduk menghadap lelaki itu. Beg plastik yang dia bawa
sedari tadi, dia letakkan di atas meja.
“Ini saya ada bawa sample
pavlova untuk pihak encik rasa.”
“Tak apa, itu kemudian. Sekarang ni
cik ada bawa portfolio tak?” lelaki itu merapatkan tubuhnya ke meja sebelum
menyilangkan jari jemarinya sambil memandang Ajda dengan wajah yang tidak mampu
dibaca.
Kening Ajda terangkat.
“Portfolio?”
“Ya, dekat butik ini setiap vendor
yang mahu menyewa tapak kami harus bawa portfolio.”
Ajda garu kepala.
“Errr maaf bertanya. Portfolio yang
macam mana encik maksudkan?”
Lelaki itu bersandar pada kerusinya
semula sambil tangannya dilipat rapat ke dada sebelum dia memandang Ajda tajam,
seolah soalannya tidak molek diajukan.
“Portfolio tentang business
online cik. Berapa ramai follower di media sosial, berapa banyak
sales tiap bulan, dan semua perkara penting yang membuatkan pihak kami berminat
untuk menyewakan tapak kepada pihak cik. You have to buy us.”
Gulp! Ajda menelan liur.
Tak pernah-pernah dia berhadapan
dengan situasi begini, nak mohon jadi vendor pun sampai kena buat portfolio
segala. Dengan butik vendor yang dia pernah berurusan tak adalah strict
begini. Butik Kak Peah tu ok je pun, bagi sample sembang-sembang dah
jadi, butik Ferralicious yang agak gah tu pun senang saja nak apply, tak
banyak songeh.
Ah padan muka kau, Ajda! Siapa suruh
gatal nak try butik berprestij ni. Kan terkena sendiri.
Ajda menggaru kepalanya yang jelas
tidak gatal walau berbalut tudung sedari tadi.
“Maaf, encik. Saya tak tahu pulak
kena bawa portfolio. Kalau esok saya bagi boleh?”
Lelaki di hadapannya itu mendengus.
“Lain kali tanya dahulu sebelum
datang ke sini. Jangan main serbu saja.” Lelaki itu menyindir sinis.
Ajda menggigit bibirnya kuat, menyabarkan
hatinya supaya tidak melawan. Salah dia juga tak tanya dahulu, datang tanpa
usul periksa. Dah dia yang beria sangat nak jadi vendor dekat butik eksklusif
ini, kenalah dia tabahkan hati. Biar sampai jadi perjanjian mereka itu barulah
dia boleh menarik nafas lega.
“Maafkan saya, encik. Esok confirm saya
bawak portfolionya.”
Lelaki itu menjeling.
“Ok, kalau macam tu cik boleh keluar.
Esok datang bawa portfolio.” Lelaki itu bersuara sebelum menunduk kembali,
menyambung kerjanya seolah tidak berminat untuk melayan Ajda lagi.
Ajda menggumam. Dia bangun
lambat-lambat sambil memandang wajah lelaki itu yang langsung tidak memandang
ke arahnya kembali.
“Errr encik. Sample ni?” Ajda
menyoal sambil mengangkat beg plastik yang terisi dua kotak kecil pavlova yang
dia buat sendiri itu.
Lelaki itu menjenguk plastik
tersebut sekali lalu sebelum memandang Ajda semula.
“Saya tak makan benda manis, cik
serahkan dekat kaunter saja.” Lelaki yang dipanggil Encik Megat itu fokus
semula dengan kerjanya, membiarkan Ajda terkulat-kulat.
Ajda menghela nafasnya sebelum
keluar dari bilik itu dengan hati yang sebal.
Kerek betul pak cik ni! Macam la
bagus sangat! Poyo! Ajda menyumpah di dalam hati sambil berlalu ke kaunter
butik.
Pembantu butik tadi kembali
menyambutnya dengan senyuman.
“Macam mana cik? Dah settle?”
Ajda menggeleng.
“Saya tak bawak portfolio. Tak tahu
pulak kena sediakan portfolio segala.” Ajda mendengus.
“Oh cik tak tanya dulu ya sebelum
datang?”
Ajda menggeleng.
“Dekat sini memang itu prosedurnya,
cik. Kena bagi portfolio dulu dan Encik Megat akan tapis sebelum bagi
kelulusan. Tak apa, esok cik bawak ya.”
Ajda tersenyum seraya mengangguk.
“Tapi...” Ajda mendekati pembantu
butik itu sebelum berbisik.
“Encik Megat tu memang serius macam
tu ke?”
Pembantu butik itu ketawa kecil.
“Dia memang tegas sikit cik, tapi
hati dia baik. Dengan staff dia okay saja, tak adalah serius memanjang.”
“Mesti stress kan, kerja
dengan dia.” Ajda memandang ke arah bilik tadi. Macam ternampak saja aura
negatif di sekeliling bilik itu. Huh!
“Biasalah, kalau buat salah memang
menggeletarlah satu badan tunggu kena marah, cik.”
Ajda ketawa. Ramah pula pembantu
butik ni melayan dia.
“Nama saya, Ajda. Panggil Ajda je
tak payah panggil cik.”
“Saya Ati.”
Ajda senyum.
“Ok Ati, esok saya bawak ya
portfolio tu. Hah lagi satu, ini sample pavlova yang saya buat, bos awak
suruh bagi dekat kaunter.” Ajda menghulurkan plastik yang terisi pavlova tadi
kepada pembantu butik bernama Ati itu.
“Wah mesti sedap. Terima kasih.
Nanti kami cuba.” Laju saja Ati menyambut plastik itu sebelum membelek isi di
dalamnya dengan rasa teruja.
“Ok, nanti bagi komen ya. Harap
menepati citarasa.” Ajda tersengih. Senang berbual dengan gadis bernama Ati
itu, ramah. Tak macam bos dia, kerek nak mampus!
“Insya-Allah.”
“Tapi bos awak tu tak suka benda
manis ya?”
“Haah dia tak suka.” Ati tersengih.
Faham sangat dah dengan perangai Encik Megat, cerewet. Itu tak boleh, ini tak
boleh. Sampaikan bab makanan pun dia nak cerewet, manis sangat tak boleh,
berlemak sangat tak boleh. Macam-macam!
“Maaf saya nak tanya sikit, butik ni
memang Encik Megat punya ke? Saya ingat bos butik ni perempuan. Macam biasalah,
butik-butik vendor ni biasanya perempuan yang suka bukak. Kalau ada lelaki pun pemilik
bersama, suami isteri.” Ajda menyoal setelah membiarkan persoalan itu terbuku
sedari tadi.
“Ya, memang Encik Megat pemilik
butik ni. Tapi dia ada sorang lagi share partner, perempuan. Cuma kami
tak kenal, tak pernah datang sini.”
Ajda menggangguk. Dah agak dah,
mesti ada pemilik bersama yang perempuan. Takkan lelaki macam dia, minat nak
bukak butik kecuali dia tu jenis lembut-lembut sikit. Ini bukan main kasar
lagi. Huh!
“Isteri Encik Megatlah kan?”
“Eh tak, dia belum kahwin.” Laju Ati
menafikan.
Mata Ajda membulat.
“Belum kahwin? Berapa umur dia?”
“Tiga puluh tujuh.”
“Hesy, dah tua tak kahwin lagi?”
Dahi Ajda berkerut, tidak puas hati. Dia tengok segak saja Encik Megat tadi, wajahnya
manis walaupun dia tidak senyum, ada janggut sejemput menghiasi wajahnya. Memang
wajahnya nampak matang sikit tapi masih ada sisi yang menawan. Penampilannya
juga nampak kemas bergaya, layak sangat untuk jadi calon pilihan wanita. Ini
mesti sebab perangai kerek dia tu, siapa boleh tahan kan? Huh!
“Belum jodoh kot.” Ati menyengih.
“Haah yelah, kan. Jodoh ni rahsia
Allah, siapa kita nak pertikai, kan?”
“Ya, betul tu.”
Ajda berjeda. Pandangannya lepas ke
arah bilik Megat Talhah semula.
“Eh oklah, Ati. Maaf saya banyak
soal pulak padahal baru pertama kali datang sini.” Ajda tersengih sambil
menggaru kepalanya, saat tersedar dari jedanya. Terasa macam melebih pulak
menyoal Ati pasal bos kerek butik Talqisya ini.
“Tak apa, harap awak dapat slot tu
nanti ya.”
“Amin. Doakan ya. Saya balik dulu.” Ajda
tersenyum sambil menepuk bahu Ati. Langkahnya kembali diatur untuk keluar dari
butik itu.
Ajda
mendongak memandang kembali papan tanda butik itu sebaik dia masuk ke dalam
keretanya semula yang diparkir betul-betul di hadapan butik, memikirkan kembali
situasi yang baru dihadapinya tadi. Satu keluhan berat dia lepaskan sebelum dia
menghidupkan enjin kereta.
Aduh
apalah nasib, tersilap percaturan dia kali ini. Ingat senang nak mohon slot
macam butik vendor lain, rupanya kena berhadapan dengan pemilik kerek yang tak
ada perasaan tu pulak. Hesy, dugaan orang nak berjaya gamaknya. Bertabahlah Ajda!
Kipidap dongibab!
Suka? =)
Bestnyer awaa
ReplyDeleteBest...nk permulaan yg bagus buat hati nk terus baca lg...
ReplyDelete