“YA Allah, betullah kau! Mana kau
menghilang selama ni? Macam mana kau boleh jadi macam ni, Qisya?”
Qisya menelan liur yang terasa
berpasir saat mendengar soalan yang bertalu-talu keluar dari mulut Ajda,
sahabatnya yang sudah lama dia tidak ketemu. Qisya tersenyum tawar sebelum
melihat dirinya sendiri yang sudah lain benar berbanding empat tahun lepas,
saat mereka sama-sama masih belajar di universiti.
“Panjang ceritanya, Ajda. Aku tak
tahu nak mula dari mana.” Qisya bersuara lirih saat memandang Ajda semula sebelum
dia cuba mengukir senyuman kembali walau sudah terasa kelat.
Ajda mengelus bahu Qisya, cuba
menenangkan gundah di hati gadis itu yang pastinya menyimpan begitu banyak
bebanan sendirian selama ini. Terlalu banyak yang ingin dia tahu daripada
sahabat baiknya dari zaman universiti itu tetapi dia tidak mahu memaksa Qisya
andai gadis itu keberatan untuk bercerita.
Ajda diam memerhati wajah kelam
Qisya dan keadaannya yang memang jauh berbeza dari dulu. Sungguh dia terkejut
melihat keadaan Qisya yang selama ini normal tiba-tiba saja sudah berkerusi
roda. Qisya yang dia kenal dulu adalah seorang gadis cantik yang lincah dan
sentiasa positif, tapi sekarang Qisya kelihatan lemah di atas kerusi roda itu
dan seperti seorang yang sudah pasrah dengan ketentuan hidupnya.
AJDA menghirup teh tarik di dalam
cawannya sebelum matanya beralih ke arah Qisya semula. Gadis itu masih menunduk
sambil tangannya bermain dengan straw di dalam gelasnya. Air laici di dalam
gelas itu masih belum terusik walau sedikit walaupun sudah hampir sepuluh minit
mereka menghadap satu sama lain di dalam kafeteria hospital yang agak lengang
saat itu.
Satu
keluhan berat keluar dari bibir mungil Qisya sebelum dia memandang Ajda.
“Mesti kau terkejut tengok keadaan
aku macam ni kan?”
Ajda terpempan mendengar soalan
Qisya itu. Perlahan dia mengangguk, mengiyakan segalanya. Siapa yang tidak
terkejut kalau kawannya yang normal selama ini tiba-tiba saja sudah berkerusi
roda setelah sekian lama mereka tidak ketemu?
“Apa jadi sebenarnya, Qisya?”
giliran Ajda pula menyoal kerana sedari tadi Qisya masih tidak membuka mulut
mengenai kejadian yang menimpanya hingga menyebabkan dia jadi sebegini.
Qisya menarik nafas, cuba mencari
kekuatan diri untuk menceritakan segalanya walau hatinya terasa berat.
“Kau tahu kan, aku tak datang konvo?”
Ajda laju mengangguk.
“Aku tunggu kau datang, aku call,
mesej semua kau tak jawab. Kawan-kawan semua tanya aku tapi serius aku tak tahu
apa-apa. Lepas konvo pun lama aku cuba contact kau tapi tak dapat.”
“Aku koma masa tu.” Ajda tersentak,
matanya membuntang mendengarkan kata-kata Qisya yang jelas mengejutkannya.
Qisya melemparkan pandangannya jauh
entah ke mana seolah tenggelam dalam memori silam yang sudah lama dia tidak
mahu ungkit.
“Sebenarnya aku memang nak pergi
konvo. In fact, memang aku sedang dalam perjalanan nak ke majlis konvo
masa kejadian tu berlaku.”
“Kau kemalangan ya?” Ajda cuba
menebak apabila Qisya lama berjeda.
“Haah.” Pendek Qisya membalas
sebelum dia menarik nafas semula, rengkungnya terasa tersekat.
“Mak dan ayah aku meninggal dekat
tempat kejadian, Pak su aku yang drive kereta masa tu patah kaki, aku
pulak koma dua bulan, saraf tunjang aku rosak teruk, sebab tu aku jadi lumpuh.”
Qisya menyambung.
“Ya
Allah, berat sangat dugaan kau, Qisya.”
Qisya
menarik senyum walau terasa tawar.
“Kau jangan risau. Aku dah lama reda
dan terima keadaan aku ni. Cuma...” Qisya memandang Ajda semula dengan renungan
yang dalam, seolah meminta pengertian.
“Aku minta maaf sebab menyepi. Aku
sebenarnya tak sanggup nak berdepan dengan sesiapa, termasuk kau. Aku buat
keputusan untuk menghilangkan diri sebab aku tak nak sesiapa tahu keadaan aku
ni. Aku tak mahu mengharapkan simpati sesiapa dan aku tak nak orang kasihankan aku. Aku nak dilayan macam orang
normal walau hakikatnya aku dah cacat.” Air jernih merembes dari tubir mata
Qisya.
“Jangan cakap macam tu, Qisya. Kau
tetap Qisya yang aku kenal dulu.” Ajda menggapai tangan Qisya di atas meja dan
dielusnya lembut, cuba memujuk hati sahabatnya itu walau Ajda tahu dia tidak
bisa memahami rawan di hati Qisya selama ini.
“Aku dah tak macam dulu, Ajda. Aku
dah tak boleh berjalan.”
“Jangan patah semangat, Qisya. Kau
mesti boleh sembuh dan berjalan macam dulu balik.”
“Tak, Ajda. Aku dah lumpuh kekal,
aku dah jadi OKU.” Qisya menunduk semula, cuba menyembunyikan pipinya yang
sudah basah dek air mata.
Ajda menggumam, terasa peritnya hati
dia mendengar kata-kata sahabatnya itu. Dia langsung tidak menyangka yang Qisya
selama ini menyepi kerana tidak mahu orang lain tahu tentang kesengsaraan
dirinya.
“Qisya...” lembut Ajda menutur
katanya. Tangan Qisya diraih semula dan ditepuk perlahan, cuba menenangkan jiwa
yang gundah itu.
“Aku mungkin takkan boleh faham
penderitaan kau selama ini tapi sekarang aku boleh jadi tempat kau berpaut di
saat kau rasa nak jatuh, aku boleh jadi bahu untuk kau melepas segala lelah
kau, Qisya. Kalau aku tahu keadaan kau ni dulu, awal-awal lagi aku dah ada di
samping kau tiap masa. Kau tahu kan, aku sayangkan kau dunia akhirat. Kita dah
berjanji nak jadi sahabat selamanya kan?” Ajda lirih bersuara bersama mata yang
sudah terasa panas dek air mata yang bertakung.
“Aku tak nak susahkan sesiapa,
lagi-lagi kau Ajda.”
“Apa gunanya jadi sahabat kalau tak
boleh bersusah sama-sama sedangkan masa senang kita sentiasa bersama? Kau
jangan cakap apa-apa lagi, mulai hari ni aku tak nak kau menghilang lagi dari
aku. Kalau kau perlukan apa-apa, kau cakap je.”
Qisya tersenyum sebelum meraih
tangan Ajda pula.
“Terima kasih, Ajda. Aku tahu kau
sayangkan aku, cuma aku saja buta, takut kau pergi tinggalkan aku bila tengok
keadaan aku macam ni, sebab tu aku tinggalkan kau dulu. Maafkan aku, Ajda.”
“Sudahlah Qisya. Tak payah minta
maaf dan ungkit apa-apa lagi. Sekarang Allah dah temukan kita kembali, kau
jangan sesekali pergi dari hidup aku lagi okay?”
Qisya mengangguk seraya tersenyum
memandang sahabatnya yang dia benar-benar rindukan selama ini.
“KAU balik macam mana ni?” Ajda
menyoal saat mereka bergerak meninggalkan perkarangan kafeteria hospital.
“Aku
drive.” Qisya tersengih. Ajda sedikit tersentak, dahinya berkerut.
“Wah
hebatnya kawan aku ni. Walaupun macam ni, boleh drive kereta. Cool
sangat!” Ajda mengangkat kedua belah ibu jarinya, tanda bagus.
Qisya
ketawa kecil.
“Aku
tak nak susahkan sesiapa sebab tu apa yang mampu aku buat, aku buat sendiri.
Aku nak berdikari walaupun aku macam ni.”
“Baguslah,
Qisya. Aku bangga tengok kau. Bukan semua orang mampu bangkit macam kau tau.
Boleh berdikari dan jalani hidup macam biasa.”
“Alhamdulillah.
Aku dah lalui fasa sedih tu semua, dulu mula-mula memang aku tak boleh terima
kenyataan tapi berkat kesabaran pak su aku pujuk dan bagi semangat dekat aku,
aku dah ok dah sekarang.”
“Kalau
aku ada dengan kau masa tu, mesti aku pun akan cuba bantu kau bangkit semula,
Qisya. Aku rasa kecewa pulak tak dapat tolong kau masa tu.”
“Alah
tak apa, Ajda. Janganlah rasa bersalah, aku dah okay sekarang ni. Serius.”
Qisya tersenyum, kali ini tampak lebih manis.
“Lepas
ni, kalau kau perlukan apa-apa, teman nak bersembang ke kau cakap saja. Masa
aku fleksibel jadi kau boleh harapkan aku kalau kau nak apa-apa okay?”
“Kau
kerja sendiri ke sekarang?” Kening Qisya terangkat.
“Haah,
aku buat business kecil-kecil secara online. Jual kek, pavlova,
benda-benda macam tulah.”
“Wah
bagusnya. Teringat dulu-dulu dekat rumah sewa, kau memang berminat dengan
benda-benda ni. Selalu google resepi keklah, brownieslah.”
“Kau
ingat eh?” Ajda ketawa sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Mestilah
aku ingat.”
“Haah, dari dulu aku minat tapi
manalah ada ketuhar dekat rumah sewa masa tu. Sebab tu aku pendam saja minat
aku. Aku kerja dekat area rumah aku dua tahun sebelum berhijrah ke KL ni ikut
abang aku. Sekarang memang aku fokus business ni sajalah. Bolehlah nak
tampung hidup, yang penting aku gembira buat kerja yang aku suka.” Dia
menyambung.
“Baguslah, Ajda. Memang best buat
benda yang kita suka, macam aku ni pengalaman kerja pun tak ada. Tak sempat nak
rasa zaman bekerja. Nak buat benda yang aku suka pun tak boleh jugak, aku kan
dulu berangan nak jadi model, tapi macam mana nak jadi model kalau duduk atas
kerusi roda ni.” Qisya ketawa, cuba menyembunyikan rasa kecewa dalam hatinya.
“Alah tak apalah, Qisya. Yang
penting sekarang kau kena janji dengan aku yang kau akan hidup gembira dan
bahagiakan diri kau tau! Tak nak sedih-sedih okay.”
Qisya mengangguk perlahan.
“Ya, Insya-Allah. Jangan risau, aku
okay.”
“Baguslah macam tu.” Ajda senyum
lagi.
“Eh, aku balik dululah ya, Ajda. Kau balik
macam mana ni? Nak aku hantarkan?”Qisya meminta diri setelah lama mereka diam.
“Errr... Aku drive jugak. Kau
baliklah dulu, aku ada hal lagi. Nanti aku balik.” Ajda berselindung, tidak
mahu susahkan Qisya untuk menghantar dia kalau Qisya tahu yang keretanya
tersadai di tempat lain.
“Okay macam tu aku balik dululah
ya.” Qisya bersalaman dengan Ajda sebelum Ajda menarik Qisya dalam pelukannya,
erat. Melepas rindu yang lama terbuku terhadap sahabatnya itu.
“Apa-apa contact aku tau,
jangan lupa!” Ajda sempat berpesan saat dia melepaskan pautannya. Mereka sudah
saling bertukar nombor telefon saat duduk berbual di kafeteria tadi.
“Insya-Allah. Assalammualaikum!”
Qisya memberi salam sambil menyorong kerusi rodanya menjauhi Ajda.
“Waalaikumussalam.” Ajda membalas
bersama senyuman yang terpamer di bibir. Hatinya gembira dapat bersatu dengan
sahabatnya semula namun dia juga sedih apabila mengenangkan nasib yang menimpa
Qisya.
Patutlah selama ini Qisya tiba-tiba
saja menghilangkan diri, rupa-rupanya ada peristiwa hitam yang berlaku yang
membuatkan Qisya menyepi dari kawan-kawan dan menanggung deritanya sendiri. Ah
kasihan sungguh sahabatku itu!
Suka? =)
No comments:
Post a Comment
Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!