AJDA melangkah laju, mahu ke hentian
teksi yang terdapat di kawasan hospital itu saat dia terpandangkan Pak Kahar
yang sedang duduk di bangku berdekatan hentian teksi itu.
“Pak
Kahar?” tegur Ajda saat dia menghampiri lelaki itu.
Pak
Kahar laju bangun saat dia melihat Ajda berdiri di hadapannya saat itu.
“Ajda.”
Pak Kahar sengih.
“Apa
Pak Kahar buat dekat sini lagi?” kening Ajda terangkat, tidak mengerti. Ada
urusan apa pulak Pak Kahar ini di sini?
“Pak
Kahar tunggu Ajda. Encik Megat suruh tunggu saja Ajda sampai Ajda siap. Pak
Kahar lupa nak ambil nombor telefon Ajda, Pak Kahar agak mesti Ajda nak ambik
teksi jadi Pak Kahar tunggu dekat sini.”
“Ya
Allah! Kenapa Pak Kahar tunggu jugak? Lama saya kat dalam tadi, kesian Pak
Kahar. Susahkan Pak Kahar saja tunggu saya dan nak hantar saya balik pulak.”
Ajda rasa bersalah apabila lelaki tua itu menunggunya sedari tadi, sudahlah dia
duduk bersembang dengan Qisya dulu tadi.
“Tak
apa, dah memang Encik Megat yang arahkan Pak Kahar tunggu Ajda dan anak saudara
dia. Ajda janganlah khuatir.”
“Anak
saudara?” dahi Ajda berkerut.
“Haah,
anak saudara Encik Megat datang hospital tadi tapi dia dah balik sendiri, itu
yang Pak Kahar tunggu Ajda saja.”
Ajda
mengangguk-angguk. Rasa nak tahu lagi pasal anak saudara Encik Megat tu tapi
rasa tak elok pulak nak tanya lebih-lebih sedangkan dia baru saja kenal Pak
Kahar hari ini.
“Haih,
saya minta maaf ya Pak Kahar. Susahkan Pak Kahar.”
“Tak
ada apalah. Memang tugas Pak Kahar pun.” Pak Kahar senyum sebelum melangkah.
Ajda mengekori langkah lelaki itu walau hatinya masih rasa bersalah dan berat
hati.
AJDA terkedu saat kereta yang
dipandu Pak Kahar itu memasuki perkarangan sebuah hotel lima bintang.
“Eh
kita nak buat apa dekat sini, Pak Kahar?” Ajda cuak. Walaupun muka Pak Kahar tu
baik saja tapi orang zaman sekarang bukan kita boleh percaya sangat. Itulah
Ajda, laju saja naik kereta orang tanpa was-was, kalau jadi apa-apa habislah
masa depan kau!
“Pak
Kahar nak ambik Encik Megat dulu. Dia mesyuarat dekat hotel ni tadi.”
Gulp!
Ajda menelan liur.
Walaupun bukan macam apa yang dia
takutkan tapi tetap menakutkan bila dia fikirkan yang dia akan berada di dalam
satu kereta yang sama dengan Encik Megat yang dingin macam ais batu tu. Ah
canggungnya!
Sebenarnya
tadi dia nak duduk di tepi Pak Kahar saja di sebelah pemandu tapi laju saja Pak
Kahar bukakan pintu tempat duduk belakang. Nak tak nak dia terpaksa duduk di
belakang dan sekarang Encik Megat pulak bakal masuk ke dalam kereta dan duduk
di sebelah dia. Ah mimpi ngeri apakah ini?
Okay
relaks Ajda, yang kau nak takut sangat dengan pak cik kerek tu kenapa? Bukannya
dia nak buat apa-apa dekat kau.
Masalahnya aku tak retilah nak
bercakap dengan orang kerek macam tu. Mesti kekok duduk sebelah dia, jenis
perasan diri high class sampai orang lain nampak lekeh. Eh tapi dia kira
baik apa, siap suruh Pak Kahar hantar dan ambik aku.
Argh! Ajda menggosok kepalanya yang
berbalut tudung itu, terasa serabut memikirkan hal itu.
“Encik Megat!” laungan Pak Kahar itu
membuatkan darah terasa menyerbu muka Ajda saat itu. Wajahnya dah jadi merah
padam menahan rasa segan.
Pintu di sebelah kiri Ajda terkuak,
membuatkan gadis itu memandang ke tepi. Megat Talhah memandang dia sekilas
sebelum masuk dan duduk tanpa sebarang bicara.
Dada Ajda rasa macam nak pecah
menahan debaran, sungguh dia tak tahu nak buat apa waktu itu, hatinya terasa
begitu canggung tetapi dia cuba buat-buat biasa.
“Encik Megat...” dia menegur sambil
menundukkan kepalanya sedikit tanda hormat.
“Hmmm...” itu saja yang kedengaran
dari mulut Megat Talhah tanpa dia memandang langsung ke arah Ajda. Matanya fokus
pada tablet di tangannya, khusyuk menatal skrin di hadapannya itu.
“Terima
kasih sebab suruh Pak Kahar hantar dan ambik saya.”
Megat
Talhah berpaling memandang Ajda.
“Tak
ada apalah, bukan susahkan saya pun.”
Ajda
mengetap bibir. Memanglah tak susahkan dia, tapi susahkan Pak Kahar ni. Hesy,
berlagak betul bos Pak Kahar ni.
Diam
kembali, hanya lagu dari radio yang Pak Kahar pasang mengisi kesepian saat itu.
Ajda sudah kehilangan kata untuk berbual apabila Megat Talhah kelihatan seperti
tidak mahu diganggu.
Cepatlah
sampai ke butik! Ajda meminta dalam hati, sungguh dia tidak suka berada dalam
keadaan canggung sebegitu lama-lama. Seksa jiwanya menahan resah. Kalau dia
tahu Pak Kahar akan ambil Encik Megat ni sama, sumpah dia lagi rela balik
sendiri naik teksi dari ikut Pak Kahar. Hesy!
QISYA duduk kaku di dalam keretanya
yang sudah diubahsuai untuk membolehkan dia memandunya tanpa sebarang masalah.
Pertemuannya semula dengan Ajda membuka kembali lembaran ingatannya pada
kenangan silam. Zaman sewaktu mereka masih di universiti, saat dia masih bisa
berdiri tegak, bisa memandang ke depan dengan yakin, zaman dia melangkah tanpa
menoleh ke belakang.
“Qisya,
Jefri ajak kau keluar makan, malam ni dekat NR Cafe.” Ajda menyampaikan pesanan
itu sebaik mereka keluar dari dewan kuliah.
Qisya
berpaling memandang Ajda dengan keningnya yang terangkat.
“What?
Sorang lagi?” Qisya menghela nafasnya.
“Kenapa?
Siapa lagi ajak kau jumpa?” giliran kening Ajda pulak terangkat, pelik dengan
reaksi Qisya itu.
“Tadi
si Amir tu ajak aku temankan dia pergi bandar petang nanti. Tolonglah, rimas
aku wei!” Qisya buat muka tak puas hati.
“Alah,
kau kan lawa, memanglah ramai yang nak mendekat. Lainlah macam aku ni,
biasa-biasa saja. Tolong jadi posmen karat kau bolehlah.” Ajda tersengih.
“Eh
cakap elok-elok sikit ya. Kau pun lawa apa, cuma...” Qisya merenung Ajda atas
bawah.
“Apa?”
Dahi Ajda berkerut, dia ikut merenung dirinya atas bawah. Okay saja, tak ada
yang pelik. Baju kurung cotton, tudung bawal pin dekat tengah dan kasut sneakers.
Okay apa?
“Ni,
stail kau ni... Sempoi sangat. Cuba kau bergaya sikit.”
“Eh
ni kira bergayalah ni. Gaya aku.” Ajda ketawa.
“Bergayalah
sangat...” Qisya menjulingkan matanya ke atas. Entah apa pemahaman Ajda tentang
bergaya gamaknya, dia sendiri tidak tahu.
“Aku
manalah reti nak mekap-mekap macam kau, pakai shawl dua belas jarum peniti
segala ni. Memang macam ni je stail aku. Mudah, lambat bangun pun still tak
terkejar nak pergi kuliah, semua aku main sarung je.” Ajda tersengih, masih
cuba menegakkan pendiriannya tentang gayanya itu.
Qisya
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Ikut
kaulah, malas aku nak komen apa-apa dah.”
Ajda
memaut bahu Qisya sebelum tersengih kembali.
“Alah
biarlah kau lawa sorang-sorang, nanti orang tengok aku pulak kalau aku pun
melawa macam kau. Habis kau punya spotlight nanti.”
“Ish
perasan! Kalau kau pakai mekap pun, aku still lagi lawa dari kau okay.”
Qisya mencebik sambil mencubit Ajda membuatkan gadis itu kian galak ketawa.
“Yelah
aku akui, memang kau paling lawa dalam universiti ni. Puas hati?”
“Puas!”
Qisya akhirnya tersenyum lebar, suka apabila dipuji sebegitu.
“Dah,
jomlah kita makan. Perut aku dah lapar, ke kau nak makan dengan Jefri atau Amir
tu, atau lelaki-lelaki lain yang sedang mengejar kau tu?”
“Ish
memang taklah. Rimas aku dengan lelaki-lelaki tu, sekali sekala tak apalah.
Kerap sangat, bosan pulak aku rasa. Kau jangan macam-macam ya, jangan berani
tinggalkan aku sorang-sorang. Aku pergi mana mesti kau kena ikut.”
“Yelah
tuan puteri, hambalah bodyguard yang menurut perintah.”
Qisya
ketawa seraya memaut lengan Ajda sebelum mereka berjalan beriringan ke
kafeteria.
Qisya cuba menahan air matanya yang
ingin tumpah sebaik dia mengenang
kembali masa silam. Zaman dia menjadi kegilaan ramai di universiti, masa
tu memang dia terasa dirinyalah yang paling cantik dan laris. Ketika itu
Ajdalah yang menjadi posmen karat menghantar pesanan jejaka-jejaka kampus yang
cuba mendekati Qisya, dan sentiasa ada di samping Qisya macam seorang pengawal
peribadi untuk elakkan Qisya dari diganggu peminatnya.
Qisya merasakan apabila dia habis
belajar di universiti dapatlah dia mengejar impiannya untuk menjadi seorang
model berbekalkan wajahnya yang cantik itu tetapi semuanya punah apabila
kemalangan itu berlaku, bukan saja dia lumpuh separuh badan tetapi wajahnya
juga sudah berparut kesan kemalangan walau sudah semakin kabur.
Seperti mana Ajda yang tidak mahu
melawa dan berhias dahulu hingga dia selalu bising-bising, begitulah juga
dirinya sekarang. Hilang terus rasanya untuk mencalit sebarang mekap di wajah
dek kerana tertekan dengan keadaannya kini.
Walaupun dia sudah reda dengan
keadaan dirinya namun hendak jadi seperti dahulu, memang dia tidak lagi bisa.
Baginya tiada siapa lagi yang sudi menerima gadis cacat sepertinya walaupun dia
cantik seperti dahulu.
Qisya menyeka air matanya yang
tumpah jua sebelum dia menghidupkan enjin keretanya dan berlalu dari
perkarangan hospital itu. Kenangan yang lama walau diingat kembali, takkan bisa
mengubah apa-apa.
Suka? =)
Keep it up AK! Saya dapat rasa perasaan canggung yg Ajda rasa :)
ReplyDelete