~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, January 22, 2018

Novel: Jodohku Jejaka Jelita bab 1



Bab 1
“HAH, kenapa balik tiba-tiba tak bagitahu ni? Kakak tak kerja ke hari ni?” emak yang tersembul di muka pintu, laju menyoal aku yang baru saja tiba di hadapan rumahku itu.
            “Tak kerja.” Aku menyengih sambil menarik beg troliku memasuki ruang tamu.
            “Ini bawak balik beg besar ni cuti berapa hari? Selalu bawak beg galas je.” Emak masih tidak puas hati, membuatkan aku terhenti melangkah. Nafasku kuhela berat sebelum aku berpaling memandang emak yang sedang mengekoriku dari belakang.
            “Tak tahu lagi emak, tengoklah nanti.”
            “Aik, boleh pulak main tengok-tengok?”
            Aku diam. Malas hendak menjelaskan perkara yang masih terasa peritnya di dada.
            “Emak masak apa hari ni? Kakak laparlah.” Aku menekan perut, meminta simpati sambil cuba ubah topik sebaik mungkin.
            “Haih, orang tanya soalan bukannya dia nak jawab. Dah, pergilah tengok dekat dapur tu, emak nak angkat kain dekat ampaian kejap.”
Emak berlalu ke luar rumah, membuatkan aku menarik nafas lega. Selamat sebab tak perlu nak jelaskan apa-apa lagi dekat emak, buat masa ini.
           
AKU meletakkan beg di tepi bilikku sebelum memasuki ruang dapur rumahku itu. Dari pagi sebenarnya aku tak makan, jadi memang aku tersangatlah lapar sampai rasa pedih perut ni. Iyalah dah pukul tiga petang kot.
            Aku terhenti melangkah sebaik melihat kelibat seorang wanita sedang duduk di meja makan di dalam dapur itu. Dari pandangan belakang, wanita yang sedang duduk itu berambut panjang dan diikat tocang. Dia memakai jeans ketat yang menampakkan kakinya yang kurus dan panjang.
            Siapa dia ya? Kenapa dalam minda aku tak pernah ada bayangan wanita macam ni? Kawan-kawan emak dekat kawasan perumahan ni semuanya mak cik mak cik yang lebih kurang baya emak. Mana ada yang muda dan bergaya macam ni.
            Hmmm mungkin jiran sebelah rumah yang baru kot. Aku menggosok-gosok dagu berfikir sendiri.
            “Hah, makan-makan, jangan malu-malu.” Abah yang tiba-tiba masuk ke dalam rumah dari pintu belakang, menegur wanita itu sebelum menepuk-nepuk bahunya dengan senyuman manis, membuatkan aku terlopong.
            “Abah!” aku menjerit kuat, tidak percaya dengan apa yang aku lihat.
            “Hah, apa?” abah terpinga-pinga memandang aku. Mesti abah tak sedar yang aku dah nampak sendiri belang abah ketika itu.
“Abah buat apa tadi?” soal aku laju.
“Petik daun pandan. Mak kamu nak buat kuih ketayap.” Abah menjawab polos. Beberapa helai daun pandan di tangannya yang barangkali dipetik di kebun kecil belakang rumah, abah letakkan di atas meja makan di dalam dapur itu.
“Bukan yang itu, yang baru tadi tu. Abah ingat kakak tak nampak ke?”
“Nampak apanya?”
Aku merengus sebelum melangkah menghampiri meja makan.
“Ni, kenapa abah pegang perempuan ni?” aku menunjuk ke arah wanita di depan abah. Muka abah mula berkerut. Huh, dah kantoilah tu!
 “Abah ada skandal dengan dia ya? Tak sangka abah sanggup main kayu tiga dengan perempuan lain dalam rumah sendiri. Emak!” Aku menyambung bicara sebelum cepat-cepat berlari ke depan tanpa mempedulikan abah lagi, mencari emak yang baru saja masuk ke dalam rumah semula setelah mengangkat kain jemuran di luar.
            “Apa kecoh-kecoh ni, kakak?”
            “Emak tengok abah tu, emak. Dia tepuk-tepuk bahu perempuan kat dapur tu.” Aku laju mengadu, tidak puas hati. Muka dah rasa macam nak menangis bila berjaya kantoikan abah sendiri depan mata.
            “Perempuan, perempuan mana?” Kening emak terjongket membuatkan aku terasa meremang. Takkanlah emak tak nampak perempuan kat dapur tu? Hesy, takkanlah cerita skandal ni dah nak jadi cerita seram pulak. Tak boleh jadi ni, baru pukul tiga petang, cerita seram apa benda!
            Aku menarik tangan emak, memaksa emak untuk mengikutku ke dapur.
            “Tu, emak tengoklah sendiri.”
            “Apa ni, bang? Apa yang kakak merepek ni?” Emak menyoal abah laju.
            “Entah, abang pun tak paham. Tiba-tiba dia meroyan berlari keluar panggil kamu.”
            Aku memeluk lenganku dengan wajah tidak puas hati memandang abah. Dah kantoi masih nak berdalih.
Emak terdiam lama sebelum tiba-tiba emak tergelak, membuatkan aku berpaling memandang emak di sisi.
“Emak ni kenapa? Lawak ke benda ni? Emak suka sangat ke abah ada skandal?” Aku menyoal tidak puas hati.
“Skandal apanya, cuba kakak tengok betul-betul siapa tu.” Emak mengangkat-angkat keningnya membuatkan aku terkedu. Laju aku berpaling ke depan semula dan memandang wanita yang sudah berkalih memandang aku saat itu.
Hah! Takkanlah dia! Biar betul!

“LAMA tak jumpa, Ayesha.” dia bersuara lembut saat dia bangun menghampiri aku. Aku merenung dia lagi dengan mata yang sengaja kubesarkan, cuba memastikan yang aku tidak tersilap orang.
Wajah dia yang cantik, bentuk fizikalnya yang kurus tinggi, rambutnya yang panjang dan lembut beralun. Memang bukan salah akulah kalau aku fikir dia seorang wanita tadi. Padahal dia ni lelaki. Ya, L.E.L.A.K.I!
Andra... Andra... aku menggelengkan kepalaku sendiri.
Dia tersenyum manis, menampakkan giginya yang putih tersusun.
“Awak baru balik ke?” soalnya lembut. Lagi lembut daripada suara aku. Hesy!
“Tak, baru nak keluar.” Aku menjawab selamba membuatkan dia ketawa.
“Awak ni masih suka bergurau macam dulu ya.”
“Awak pulak masih lembut macam dulu.” Aku menjeling separa berbisik.
“Apa?” Dia menyoal dengan wajah teruja.
“Tak ada apa. Dah, saya lapar. Tepilah.” Aku mencebik sebelum berlalu ke arah rak pinggan mangkuk, mahu mengambil pinggan untuk diisi nasi. Lapar teruk!
“Kakak, tak baik layan tetamu macam tu. Dah lama kan, Andra tak datang rumah kita, layanlah dia baik-baik.” Emak bersuara membuatkan aku berpaling memandang emak seketika sebelum beralih ke wajah Andra yang masih memandang aku.
“Yelah, emak. Kakak rasa dia datang rumah kita lagi kerap daripada kakak balik.” Aku memerli baik punya, sambil menjeling ke arah Andra.
Emak kelihatan tergamam. Betul sangatlah tu apa yang aku kata, macamlah aku tak tahu. Walaupun aku tak ada, tapi aku ada pemberi maklumat tau. Aku tahu Andra kerap datang melawat emak dan abah cuma aku selalu tak berselisih dengan dia sebab waktu kami balik rumah ni tak sama.
Dia selalu datang hari aku bekerja, aku balik rumah mestilah masa hujung minggu. Sebab tu dah lama gila aku tak jumpa dia, sampaikan penampilan dia sekarang pun aku dah tak tahu. Kali terakhir aku jumpa dia, rambut dia tak adalah sepanjang sekarang.
Hari ni memang jadi kes spesial pulak aku dapat jumpa dia, mungkin sebab aku balik rumah hari Khamis, bukan hujung minggu macam selalu.
“Adik bagitahu ya?” emak tersengih, rasa bersalahlah tu membohongi anaknya yang tercinta ni.
Aku diam, sambil buat muka tidak puas hati. Saja nak usik emak yang memang nampak cuak.
“Ni Andra balik ni sebab Indra nak bertunang lusa. Itu yang dia singgah kejap ziarah emak dengan abah.” Emak menjelaskan tanpa diminta, sengaja nak pusing cerita.
“Oh Indra nak bertunang ya?” mindaku mula terbayangkan Indra, kembar kepada Andra yang pernah menjadi teman sepermainanku waktu kecil dulu. Dah nak bertunang rupanya dia, kalau aku tahu nasib aku bakal jadi begini, dari awal lagi aku dah mengorat Indra. Untung-untung dapat bersuamikan doktor. Hesy nasib badan!
Okay jangan berangan Ayesha, kau fikir Indra yang segak dan bekerjaya hebat tu nak pandang ke kau yang comot ni? Aku tersengih sendiri memikirkan idea merepek itu.
Tapi Andra ni... aku memandang lelaki yang tidak serupa lelaki di hadapanku itu atas bawah. Kalaulah dia tak lembut dan bergaya perempuan macam ni, mesti dia pun segak macam Indra kan? Okay, tak kelakar Ayesha Humaira, apa yang kau fikir ni?
“Awak pulak bila nak bertunang?” aku menyoal serius setelah lama berjeda.
“Hah?” muka Andra jelas berubah, membuatkan aku ketawa lucu.
“Kakak!” emak merenung aku tajam membuatkan tawaku mati.
“Dah. Baliklah dekat mama awak, sibuk je nak kacau emak orang.” Aku bersuara garang sebelum menjelirkan lidah ke arah Andra.
“Tak baik cakap macam tu, kakak.” Abah bernada tegas membuatkan aku tersedar akan silapku walau Andra kelihatan tidak terkesan.

Sorry.”  Aku tersengih kepada Andra sebelum duduk di meja makan, membawa pinggan yang sudah kuisi nasi dan mula mencedok lauk. Enggan mempedulikan orang lain lagi. Aku lapar kot, silalah bersimpati.

Suka? =)

1 comment:

  1. Garangnye Ayesha 😄 boleh tak sambil baca part Andra, terbygkan Taemin..

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!