Bab 1
“HAH, kenapa balik tiba-tiba tak bagitahu ni? Kakak
tak kerja ke hari ni?” emak yang tersembul di muka pintu, laju menyoal aku yang
baru saja tiba di hadapan rumahku itu.
“Tak
kerja.” Aku menyengih sambil menarik beg troliku memasuki ruang tamu.
“Ini
bawak balik beg besar ni cuti berapa hari? Selalu bawak beg galas je.” Emak
masih tidak puas hati, membuatkan aku terhenti melangkah. Nafasku kuhela berat
sebelum aku berpaling memandang emak yang sedang mengekoriku dari belakang.
“Tak
tahu lagi emak, tengoklah nanti.”
“Aik,
boleh pulak main tengok-tengok?”
Aku
diam. Malas hendak menjelaskan perkara yang masih terasa peritnya di dada.
“Emak
masak apa hari ni? Kakak laparlah.” Aku menekan perut, meminta simpati sambil
cuba ubah topik sebaik mungkin.
“Haih,
orang tanya soalan bukannya dia nak jawab. Dah, pergilah tengok dekat dapur tu,
emak nak angkat kain dekat ampaian kejap.”
Emak berlalu ke luar rumah, membuatkan aku
menarik nafas lega. Selamat sebab tak perlu nak jelaskan apa-apa lagi dekat
emak, buat masa ini.
AKU meletakkan beg di tepi bilikku sebelum
memasuki ruang dapur rumahku itu. Dari pagi sebenarnya aku tak makan, jadi
memang aku tersangatlah lapar sampai rasa pedih perut ni. Iyalah dah pukul tiga
petang kot.
Aku
terhenti melangkah sebaik melihat kelibat seorang wanita sedang duduk di meja
makan di dalam dapur itu. Dari pandangan belakang, wanita yang sedang duduk itu
berambut panjang dan diikat tocang. Dia memakai jeans ketat yang menampakkan
kakinya yang kurus dan panjang.
Siapa
dia ya? Kenapa dalam minda aku tak pernah ada bayangan wanita macam ni?
Kawan-kawan emak dekat kawasan perumahan ni semuanya mak cik mak cik yang lebih
kurang baya emak. Mana ada yang muda dan bergaya macam ni.
Hmmm
mungkin jiran sebelah rumah yang baru kot. Aku menggosok-gosok dagu berfikir
sendiri.
“Hah,
makan-makan, jangan malu-malu.” Abah yang tiba-tiba masuk ke dalam rumah dari
pintu belakang, menegur wanita itu sebelum menepuk-nepuk bahunya dengan
senyuman manis, membuatkan aku terlopong.
“Abah!”
aku menjerit kuat, tidak percaya dengan apa yang aku lihat.
“Hah,
apa?” abah terpinga-pinga memandang aku. Mesti abah tak sedar yang aku dah
nampak sendiri belang abah ketika itu.
“Abah buat apa tadi?” soal aku laju.
“Petik daun pandan. Mak kamu nak buat kuih ketayap.”
Abah menjawab polos. Beberapa helai daun pandan di tangannya yang barangkali
dipetik di kebun kecil belakang rumah, abah letakkan di atas meja makan di
dalam dapur itu.
“Bukan yang itu, yang baru tadi tu. Abah ingat
kakak tak nampak ke?”
“Nampak apanya?”
Aku merengus sebelum melangkah menghampiri
meja makan.
“Ni, kenapa abah pegang perempuan ni?” aku
menunjuk ke arah wanita di depan abah. Muka abah mula berkerut. Huh, dah
kantoilah tu!
“Abah
ada skandal dengan dia ya? Tak sangka abah sanggup main kayu tiga dengan perempuan
lain dalam rumah sendiri. Emak!” Aku menyambung bicara sebelum cepat-cepat
berlari ke depan tanpa mempedulikan abah lagi, mencari emak yang baru saja
masuk ke dalam rumah semula setelah mengangkat kain jemuran di luar.
“Apa
kecoh-kecoh ni, kakak?”
“Emak
tengok abah tu, emak. Dia tepuk-tepuk bahu perempuan kat dapur tu.” Aku laju
mengadu, tidak puas hati. Muka dah rasa macam nak menangis bila berjaya
kantoikan abah sendiri depan mata.
“Perempuan,
perempuan mana?” Kening emak terjongket membuatkan aku terasa meremang.
Takkanlah emak tak nampak perempuan kat dapur tu? Hesy, takkanlah cerita
skandal ni dah nak jadi cerita seram pulak. Tak boleh jadi ni, baru pukul tiga
petang, cerita seram apa benda!
Aku
menarik tangan emak, memaksa emak untuk mengikutku ke dapur.
“Tu,
emak tengoklah sendiri.”
“Apa
ni, bang? Apa yang kakak merepek ni?” Emak menyoal abah laju.
“Entah,
abang pun tak paham. Tiba-tiba dia meroyan berlari keluar panggil kamu.”
Aku
memeluk lenganku dengan wajah tidak puas hati memandang abah. Dah kantoi masih
nak berdalih.
Emak terdiam lama sebelum tiba-tiba emak
tergelak, membuatkan aku berpaling memandang emak di sisi.
“Emak ni kenapa? Lawak ke benda ni? Emak suka
sangat ke abah ada skandal?” Aku menyoal tidak puas hati.
“Skandal apanya, cuba kakak tengok betul-betul
siapa tu.” Emak mengangkat-angkat keningnya membuatkan aku terkedu. Laju aku
berpaling ke depan semula dan memandang wanita yang sudah berkalih memandang
aku saat itu.
Hah! Takkanlah dia! Biar betul!
“LAMA tak jumpa, Ayesha.” dia bersuara lembut
saat dia bangun menghampiri aku. Aku merenung dia lagi dengan mata yang sengaja
kubesarkan, cuba memastikan yang aku tidak tersilap orang.
Wajah dia yang cantik, bentuk fizikalnya yang
kurus tinggi, rambutnya yang panjang dan lembut beralun. Memang bukan salah
akulah kalau aku fikir dia seorang wanita tadi. Padahal dia ni lelaki. Ya,
L.E.L.A.K.I!
Andra... Andra... aku menggelengkan kepalaku sendiri.
Dia tersenyum manis, menampakkan giginya yang
putih tersusun.
“Awak baru balik ke?” soalnya lembut. Lagi
lembut daripada suara aku. Hesy!
“Tak, baru nak keluar.” Aku menjawab selamba
membuatkan dia ketawa.
“Awak ni masih suka bergurau macam dulu ya.”
“Awak pulak masih lembut macam dulu.” Aku
menjeling separa berbisik.
“Apa?” Dia menyoal dengan wajah teruja.
“Tak ada apa. Dah, saya lapar. Tepilah.” Aku
mencebik sebelum berlalu ke arah rak pinggan mangkuk, mahu mengambil pinggan
untuk diisi nasi. Lapar teruk!
“Kakak, tak baik layan tetamu macam tu. Dah
lama kan, Andra tak datang rumah kita, layanlah dia baik-baik.” Emak bersuara
membuatkan aku berpaling memandang emak seketika sebelum beralih ke wajah Andra
yang masih memandang aku.
“Yelah, emak. Kakak rasa dia datang rumah kita
lagi kerap daripada kakak balik.” Aku memerli baik punya, sambil menjeling ke
arah Andra.
Emak kelihatan tergamam. Betul sangatlah tu
apa yang aku kata, macamlah aku tak tahu. Walaupun aku tak ada, tapi aku ada
pemberi maklumat tau. Aku tahu Andra kerap datang melawat emak dan abah cuma
aku selalu tak berselisih dengan dia sebab waktu kami balik rumah ni tak sama.
Dia selalu datang hari aku bekerja, aku balik
rumah mestilah masa hujung minggu. Sebab tu dah lama gila aku tak jumpa dia,
sampaikan penampilan dia sekarang pun aku dah tak tahu. Kali terakhir aku jumpa
dia, rambut dia tak adalah sepanjang sekarang.
Hari ni memang jadi kes spesial pulak aku
dapat jumpa dia, mungkin sebab aku balik rumah hari Khamis, bukan hujung minggu
macam selalu.
“Adik bagitahu ya?” emak tersengih, rasa
bersalahlah tu membohongi anaknya yang tercinta ni.
Aku diam, sambil buat muka tidak puas hati.
Saja nak usik emak yang memang nampak cuak.
“Ni Andra balik ni sebab Indra nak bertunang lusa.
Itu yang dia singgah kejap ziarah emak dengan abah.” Emak menjelaskan tanpa
diminta, sengaja nak pusing cerita.
“Oh Indra nak bertunang ya?” mindaku mula
terbayangkan Indra, kembar kepada Andra yang pernah menjadi teman sepermainanku
waktu kecil dulu. Dah nak bertunang rupanya dia, kalau aku tahu nasib aku bakal
jadi begini, dari awal lagi aku dah mengorat Indra. Untung-untung dapat
bersuamikan doktor. Hesy nasib badan!
Okay jangan berangan Ayesha, kau fikir Indra
yang segak dan bekerjaya hebat tu nak pandang ke kau yang comot ni? Aku tersengih
sendiri memikirkan idea merepek itu.
Tapi Andra ni... aku memandang lelaki yang
tidak serupa lelaki di hadapanku itu atas bawah. Kalaulah dia tak lembut dan
bergaya perempuan macam ni, mesti dia pun segak macam Indra kan? Okay, tak
kelakar Ayesha Humaira, apa yang kau fikir ni?
“Awak pulak bila nak bertunang?” aku menyoal
serius setelah lama berjeda.
“Hah?” muka Andra jelas berubah, membuatkan
aku ketawa lucu.
“Kakak!” emak merenung aku tajam membuatkan
tawaku mati.
“Dah. Baliklah dekat mama awak, sibuk je nak
kacau emak orang.” Aku bersuara garang sebelum menjelirkan lidah ke arah Andra.
“Tak baik cakap macam tu, kakak.” Abah bernada
tegas membuatkan aku tersedar akan silapku walau Andra kelihatan tidak
terkesan.
“Sorry.” Aku tersengih kepada Andra sebelum duduk di
meja makan, membawa pinggan yang sudah kuisi nasi dan mula mencedok lauk.
Enggan mempedulikan orang lain lagi. Aku lapar kot, silalah bersimpati.
Suka? =)
Garangnye Ayesha 😄 boleh tak sambil baca part Andra, terbygkan Taemin..
ReplyDeleteUlas lebar apa yang dimakan juga :)
ReplyDelete