~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Wednesday, January 24, 2018

Novel: Jodohku Jejaka Jelita bab 3



“KAU kat mana, Ayesha?” Suara Dila yang nyaring kedengaran di tepi telinga pagi itu membuatkan aku laju menjauhkan telefon bimbitku dari telinga. Boleh pekak aku jadinya kalau Dila dah naik suara sebegitu.
“Dari semalam aku cuba call kau tapi tak berangkat. Kenapa kau tak datang kerja?” Dila masih tidak jemu menyoal walau soalan tadi pun aku belum jawab.
Aku diam sambil mengerling ke arah jam di dinding bilikku. Sudah menginjak ke angka sembilan setengah pagi, saat di mana sepatutnya aku berada di pejabat waktu ini.
“Ayesha! Aku cakap dengan kau ni. Kau dengar tak?” nada yang sudah naik beroktaf-oktaf itu membuatkan aku melepaskan keluhan yang paling berat. Lama aku berjeda sebelum cuba menjawab pertanyaan Dila yang masih setia menanti di hujung talian sebelah sana.
“Aku dah berhenti kerja. Notis dua puluh empat jam. Aku dah hantar emel dekat HR semalam.”
What? Kerja gila apa kau buat ni, Ayesha? Kenapa sampai macam ni sekali?”
Aku mengetap bibir bawah dengan kuat. Memang kerja gila tapi kalau aku tak buat benda ni, barangkali aku yang bakal jadi gila.
“Nanti aku jelaskan semuanya. Sekarang bagi aku tempoh untuk bertenang dulu, Dila.”
“Kau nak bertenang dari apa? Serius aku tak faham.”
Aku mengetap bibir, menahan gelora dalam hati.
 “Kau tahu, Rizwan tanya aku banyak kali, mana kau pergi, kenapa tak masuk kerja? Dia call kau katanya tak dapat. Naik stress aku nak melayan dia.” Aku mendengus sebaik mendengar Dila menyebut nama itu. Memanglah dia tak dapat call aku, sebab aku dah block nombor dia dalam telefon bimbit aku ni. Huh!
“Dah, kau tak payah layan dia. Kalau dia tanya apa-apa, kau cakap je tak tahu. Pasal kau dapat cakap dengan aku ni pun, tolong jangan bagitahu dia, Dila. Tolong ya, aku percayakan kau.” Aku bersuara separa merayu.
Dila mendiamkan diri. Mesti dia tak faham, sebab aku pun tak terangkan apa-apa langsung dekat dia pasal hal ni.
“Kau kenapa ni beb? Rizwan ada buat apa-apa ke?” Dila menyoal aku dengan suara yang jelas kerisauan, membuatkan mataku mula terasa panas dan berkaca.
“Aku... aku dah putus dengan dia.” Aku meluahkan dengan susah payah.
What? Serius? Takkanlah? Perkara teruk apa yang Rizwan dah buat sampai kau sanggup putuskan hubungan kau orang yang dah dua tahun ni?”
Aku menghela nafas yang terasa semakin berat saat wajah Rizwan kembali menerjah dalam fikiran.
“Balik nanti aku cerita semuanya dekat kau. Sekarang bagi aku masa ya, Dila.”
Aku terdengar helaan nafas Dila di hujung sebelah sana.
“Okay fine, pastikan kau cerita nanti. Ni kau ada mana? Kau okay tak ni?”
“Aku okay. Kau jangan risau. Aku tak ke mana pun, cuma aku perlukan masa untuk bertenang, Dila.”
“Okay, beb. Kau jaga diri tau. Jangan sedih-sedih. Perlu apa-apa, nak luah perasaan ke, cepat-cepat call aku tau.”
“Terima kasih, Dila. Aku sayang kau.”
“Aku pun sayang kau.”
Aku menekan butang merah sebaik selesai bercakap dengan Dila. Nafas yang terasa berat mencengkam dada, aku hela perlahan-lahan dan air mata yang sudah bertakung, aku seka pantas.
Kau kuat, Ayesha! Kuat!
Aku membisikkan kata semangat kepada diri sendiri sebelum bingkas bangun dan keluar dari bilikku. Tidak mahu terus hanyut dalam emosi dan kesedihan yang berpanjangan. Lagi aku fikirkan pasal ni, lagi susah aku nak teruskan hidup.

“EMAK masak sarapan apa hari ni?” aku bersuara malas sebaik menjengah ke dapur dengan tuala berselempang di bahuku, mahu mandi di bilik air bersebelahan dapur itu.
            “Bihun goreng je. Anak dara apa ni bangun lambat?” emak yang sedang membasuh pinggan di sinki, berpaling ke arah aku. Eh tapi kenapa emak bertudung pagi-pagi ni?
            “Haah, anak dara bangun lambat, kan emak?” Suara seseorang yang menerjah telinga membuatkan darahku terasa berderau. Aku menoleh ke arah suara yang sedang duduk di meja makan sebelum sepantas kilat tuala yang tersangkut di bahu, aku tarik ke kepala dan mengemaskan kedudukannya agar kepalaku elok bertutup.
            “Emak! Kenapa tak bagitahu budak ni dah datang rumah pagi-pagi ni?” aku menjerit sebal.
            “Lah, tadi emak dah bagitahu kakak dekat dalam bilik, emak tengok kakak angguk je kepala tu walaupun mata tertutup.”
            Aku mengetap bibir. Sah aku mamai tadi sampai tak dengar apa yang emak cakap.
“Alah, dari kecil la saya tengok rambut awak. Nak risau apa.” Dia tiba-tiba bersuara selamba sebelum menyuap bihun goreng ke dalam mulutnya. Dasar tak malu, sarapan dekat rumah orang. Huh!
“Itu masa saya kecil, belum baligh. Tak ada aurat. Sekarang kita ada batas kena jaga tahu tak?” aku mendengus sebelum membawa langkah ke bilik air, malas hendak melayan lelaki lembut yang seorang ini.

“AWAK tak kerja ke hari ni? Asyik lepak rumah orang saja.” Aku menyoal Andra laju, ketika aku membantu emak menyediakan bahan masakan untuk makan tengah hari di dapur. Andra yang juga sedang sibuk mengupas bawang di meja makan yang sama aku duduki waktu itu pantas mengangkat wajah memandang aku di hadapannya.
            “Saya kan ada business sendiri, partner saya yang tolong handlekan masa saya tak ada.” Dia menjawab sebelum kembali fokus kepada bawang di tangannya.
            “Oh, untunglah.” Aku bersuara datar, cemburu sebenarnya.
            “Yang awak tanya ni, awak tu tak pergi kerja ke? Selalu hujung minggu je awak ada dekat rumah.”
            “Tak. Saya tak kerja.” aku bersuara malas.
            “Kenapa?”
            “Saja, tak boleh?” aku menyoal selamba sebelum menjelir lidah.
            “Haah, semalam pun emak tanya tapi kakak tak jawab. Kakak cuti panjang ke?” emak yang sibuk menyiang ikan di tepi sinki, ikut menyoal sambil berpaling memandang aku.
            Aku terdiam seketika sebelum mengangguk perlahan.
“Haah, kakak ambik cuti.”
“Berapa lama?”
“Tak tahu lagi.”
“Tak tahu? Pelik sangat tu. Kakak ada masalah ke dekat pejabat tu? Kalau ada masalah, bincang elok-elok, jangan buat perangai macam ni. Kakak tu dah besar panjang, nak cari rezeki tak bolehlah ikutkan perasaan sangat. Kalau orang cari pasal dengan kakak, kakak mengadu je dekat bos.” Emak sudah laju mengomel membuatkan aku cepat-cepat menggeleng.
“Eh taklah emak, bukan ada masalah dekat pejabat. Emak janganlah risau.”
“Habis tu?” emak menyoal dengan dahinya yang berkerut.
“Saja cuti nak habiskan baki cuti. Kan kakak jarang cuti selama ni, banyaklah lagi cuti kakak.” Aku tersengih, cuba menenangkan hati emak yang jelas kerisauan saat itu.
“Betul ni?”
Aku mengangguk perlahan, walau rasa bersalah menipu emak. Haih teruk betul kau ni Ayesha, tapi takkan aku nak cerita bab ni dekat emak. Malulah!
Mesti semua orang rasa perangai aku ni macam budak-budak. Disebabkan putus cinta, sampai tak nak masuk pejabat, berhenti kerja terus, langsung tak profesional. Tapi orang takkan paham apa yang aku rasa dan hadap sekarang. Haih!
“Hah alang-alang kamu cuti lama ni, nanti pergilah jenguk Wardah. Dia masih dalam pantang tu. Baby dia pun sihat, gebu je.”
Aku terkedu, terus terbayangkan Wardah, sepupu aku yang paling rapat. Kami dah macam adik beradik sebab aku tak ada adik beradik perempuan, jadi dengan dialah tempat aku berkongsi segala rasa dan cerita selama ini. Hatiku mula dipagut rasa kasihan apabila mengenangkan apa yang terjadi kepada dia. Suaminya curang ketika dia sedang mengandung dan mereka bercerai di saat kandungan Wardah sudah tujuh bulan.
Sekarang dia terpaksa uruskan semuanya sendiri, dan menjaga anaknya tanpa ada suami di sisi. Mujur juga dia masih punya mak ayah yang juga merupakan pak long dan mak long aku, untuk tengokkan dia ketika pantang. Kalau dia orang tak ada, entah apa nasib Wardah. Hesy tak guna punya jantan! Lelaki semuanya sama kan?

“Tu, ajak Andra temankan kakak nanti. Dia pun teringin jugak nak jalan-jalan.” suara emak yang kedengaran membuatkan aku kembali ke alam nyata. Apa? Pergi dengan Andra? Hesy emak ni!

Suka? =)

No comments:

Post a Comment

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!