~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Sunday, February 18, 2018

Novel Jodohku Jejaka Jelita bab 15



AKU terkesima memandang dua pasang busana pengantin yang tergantung di depan almariku saat itu. Satu busana berwarna putih susu kelihatan ringkas tetapi indah dengan kuntuman bunga merah jambu lembut manakala satu lagi busana berwarna biru firus pula sarat dengan manik dan hiasan namun tidak nampak serabut. Indah! Macam busana artis-artis kahwin tu, serius cantik sangat aku tak tipu.
            Aku tak mampu mengawal diri daripada membelek busana-busana itu bersama mulut yang tak henti memuji, mengagumi keindahan busana tersebut. Sungguh aku langsung tak terbayang apatah lagi nak impikan memakai baju pengantin sebegini. Cantik memang cantik tapi tak kena dengan prinsip aku yang tak suka membazir walaupun untuk perkahwinan sendiri. Busana-busana ni sah-sah mahal harganya kalau tengok pada material kain dan rekaannya. Bukan biasa-biasa beb!
“Emak, Andra ke hantar baju ni?” aku menyoal emak yang melintasi bilik aku ketika itu.
Emak menjenguk mukanya ke dalam bilikku, melihat busana-busana pengantin tersebut sebelum mengangguk selamba.
“Haah, dialah yang hantar.”
“Untuk siapa?” soal aku dengan dahi berkerut.
“Untuk kakak la, takkanlah untuk emak pulak. Bukan emak yang nak kahwin.” Emak mencebikkan bibirnya.
Aku menghela nafas. Memang Andra awal-awal lagi memberitahu yang dia yang akan sediakan busana pengantin untuk aku jadi aku tak perlu fikirkan bab itu. Masalahnya melampau kot baju dia bagi ni.
“Tapi kenapa over sangat baju ni? Mesti mahal. Tak sanggup kakak nak pakai baju mahal macam ni emak!”
“Emak tak nak masuk campur. Kalau kakak tak puas hati, bagitahu Andra sendiri.” Emak terus berlalu tanpa sempat aku berkata apa lagi.
Aku menghela nafas. Emak ni kalau pasal Andra, semua dia ikutkan saja sampaikan tak kisah Andra sediakan baju mewah macam ni dekat aku. Andra ni pun satu, aku tahulah dia tu daripada keluarga kaya tapi tak perlulah sampai membazir macam ni!
            Aku mengeluarkan telefon bimbitku sebelum mendail nombornya. Belum sempat bunyi deringan kedengaran, suara seseorang memberi salam sudah menerpa telingaku.
            “Kenapa awak bagi dekat saya baju pengantin tu?” aku menyoal usai menjawab salamnya.
            “Kan saya memang cakap saya nak sponsor baju pengantin kita.”
            “Ya saya tahu. Kalau boleh saya memang nak cari sendiri baju pengantin kita tapi awak berdegil nak sediakan. Masalahnya sekarang, bila saya bagi awak green light, awak melebih pulak ya. Dah banyak kali kan saya cakap, saya tak nak membazir, tak nak bermewah. Nak majlis yang simple je. Ini baju pengantin pun dah macam ni, segan saya nak pakai.”
            Andra ketawa dari sebelah sana.
            “Apa yang lawaknya? Saya serius ni!” Aku melenting, geram dengan sikapnya yang suka tidak ambil serius dengan kata-kata aku.
            “Saya tahu awak tak suka membazir, tapi percayalah tak mahal pun baju tu.”
            “Ah jangan nak tipulah. Walaupun saya tak pernah ada baju macam ni, tapi saya tak adalah buta fesyen sangat sampai tak tahu yang mana mahal yang mana murah.” Aku mendengus.
            “Okay-okay. Dengar sini, Ayesha Humaira.” Aku terdiam saat dia memanggil nama penuhku, terasa lunak saja didengar.
            “Saya nak awak anggap baju tu sebagai hadiah perkahwinan kita, sebab awak sudi terima saya sebagai suami awak.”
            “Mana aci macam tu.”
            “Awak, saya dah dengar cakap awak untuk buat majlis perkahwinan yang sederhana macam yang awak mahu, jadi saya nak awak dengar cakap saya pulak. Baju tu memang khas untuk awak jadi saya nak awak pakai masa majlis kita nanti. Boleh kan?” lembut dia memujuk aku membuatkan aku kembali memandang busana perkahwinan yang tergantung itu.
            “Okay. Tapi sekali ni saja tau. Jangan harap saya nak pakai dah baju ni lepas ni. Awak nak jual balik baju ni lepas ni, ikut awaklah.” Aku menjuihkan bibirku walau Andra tidak bisa melihatnya.
            “Ya, baiklah sayang.”
            Gulp! Seram dengar suara lembut dia panggil aku macam tu.
             “Nanti awak cubalah pakai ya. kalau ada apa yang tak kena, bagitahu saya cepat-cepat. Tapi saya rasa baju tu memang dah ikut saiz awak dah.”
            Aku mengangkat kening.
            “Macam mana awak tahu saiz saya ni? Awak scan saya ke?” soalku, ragu-ragu. Bahaya lelaki seorang ni.
            Andra tergelak.
            “Awak ingat saya ada kuasa superpower ke nak scan awak? Saya tanya emaklah.”
            “Okay saya patut dah boleh agak.” Aku cuba selindung kebodohan sendiri menyoal dia yang bukan-bukan. Memang sah-sahlah emak yang sogok segala maklumat pasal aku dekat dia. Hesy, dasar anak emak lebih daripada aku!

AKU memakai busana pengantin itu dan memandang refleksi diriku sendiri di dalam cermin. Memang saiz aku dan elok terletak tetapi tidaklah ketat mengikut bentuk tubuh. Rekaannya pun sesuai dengan jiwa aku yang tak sukakan baju yang terlalu menonjol. Just nice orang kata. Pandai Andra pilih, walaupun aku tak suka dia pilih baju yang mahal macam ni.
            Cantik sangat busana pengantin ni tapi betul ke lagi beberapa hari aku bakal jadi isteri orang? Yang lebih pelik lagi, bakal isteri Andra? Teman sepermainan aku sewaktu kecil dan lelaki yang lebih lembut daripada aku yang perempuan ni.
            Aku harap aku tak silap buat keputusan, disebabkan aku dah buat keputusan ni maka aku harapkan memang dialah yang terbaik untuk aku. Walau macam manapun perangai dia, aku kena terima sebab aku dah berjanji nak bersama dia seumur hidup aku.
            Okay kau boleh, Ayesha. Kau boleh bahagia, percayalah!

Bersambung...

-------

Assalammualaikum.

Ini adalah bab terakhir yang saya letak di sini. Untuk membaca kesudahan cerita ini, sila dapatkan novelnya yang sudah berada di pasaran ya.


Terima kasih di atas segala sokongan selama ini. 😘

Suka? =)

Saturday, February 17, 2018

Novel Jodohku Jejaka Jelita bab 14



BANGLO mewah itu masih kelihatan sama seperti dulu, tak banyak benda yang berubah dan tetap terjaga, kemas dan bersih. Aunty Zahirah yang sedang duduk menghadap aku di atas sofa di ruang tamu ketika itu, tampak elegan seperti biasa.
            Sudah lama sepi menemani kami sejak aku datang ke banglo ini tadi, selepas menerima panggilan telefon daripada Aunty Zahirah yang meminta aku bertemu dengannya di rumahnya ini. Aku tahu tujuan Aunty Zahirah memanggilku kerana pasti Andra sudah memberitahu mamanya tentang niat kami untuk berumahtangga setelah aku memberikan persetujuan kepadanya tempoh hari. Namun sampai detik ini, Aunty Zahirah cuma merenungku lama sambil menghirup air teh di dalam cawannya.
            “Aunty dah dengar daripada mulut Rian, sekarang Aunty nak dengar daripada mulut Ayesha sendiri.” Aunty Zahirah bersuara tiba-tiba membuatkan hati aku terasa sedikit kecut. Dah macam menghadiri temuduga saja lagaknya.
            “Betul ke Ayesha nak kahwin dengan anak aunty? Ayesha tak menyesal ke?” soal Aunty Zahirah dengan dahinya yang berkerut.
            Aku menggumam. Menyesal? Belum jadi macam mana aku nak menyesal, tapi aku harap aku tak menyesal dengan keputusan aku ni. Insya-Allah!
            “Ya, betul aunty. Saya memang... nak kahwin dengan... Andra...” Gugup aku berbicara.
            Keluhan kedengaran daripada mulut Aunty Zahirah sebelum dia mendekati aku dan menarik tanganku ke dalam genggamannya.
            “Aunty bukan apa, Ayesha. Aunty tak kisah Ayesha jadi menantu aunty, malah aunty lagi suka. Tapi kenapa mesti Rian?”
            “Kenapa pulak tak boleh, aunty?” soal aku tanpa niat untuk kurang ajar, cuma sungguh aku tak mengerti.
            Aunty Zahirah melarikan pandangannya.
            “Rian... berbeza Ayesha. Dia tak macam Raian. Dia sangat berbeza daripada Raian. Aunty takut Ayesha menyesal nanti. Tolonglah pertimbangkan kembali keputusan Ayesha ni.” Aunty Zahirah bersuara seolah merayu.
            Aku renung wajah Aunty Zahirah yang kelihatan gusar sebelum tangannya aku elus lembut.
            “Insya-Allah saya tak menyesal, aunty. Aunty janganlah risau.” Aku senyum, memujuk hati Aunty Zahirah walau sejujurnya aku sendiri gusar, memikirkan masa depan yang tidak pasti.
            Aunty Zahirah cuma diam, dan aku tahu dia masih tidak bisa menerima hakikat itu.

“MAMA cakap apa dengan awak tadi? Mama halang kita kahwin ke?” Andra tiba-tiba duduk di sebelahku dan menyoal aku yang baru saja menarik nafas lega setelah melihat Aunty Zahirah yang macam dah reda dengan keputusan aku. Dia membawa dirinya ke atas tanpa berkata apa lagi sebaik melihat kelibat Andra masuk ke dalam rumah.
            Aku menoleh ke arah Andra dan menggeleng perlahan.
            “Taklah. Aunty tak halang pun.” Aku bersuara selembut mungkin, cuba menenangkan hati Andra.
‘Tapi aunty juga tak kata dia sokong,’ aku menyambung sendiri dalam hati.
“Alhamdulillah.” Andra mengukir senyum yang paling manis.
“Dah, tak payah nak seronok sangat. Awak nak kahwin cepat sangat kan? Banyak persiapan kita nak kena buat. Dah tak ada masa nak relaks-relaks ya.” Aku menjegilkan mata ke arahnya membuatkan Andra ketawa.
“Ya saya tahu. Awak jangan risau, insya-Allah saya akan lakukan persiapan sebaik mungkin. Janji awak kahwin saja dengan saya.”
Aku memandang wajah Andra yang masih penuh pengharapan.
“Iyalah, kan saya dah setuju.” Aku mencebik.
“Janji tau. Jangan tiba-tiba tak jadi pulak.”
“Yelah, saya tahulah Encik Andra Arrian oi! Saya ni bukan jenis yang tarik balik keputusan bila saya dah buat. Hergh!”
Andra ketawa lagi. Dia ni tiap benda aku cakap mesti dia nak ketawa. Aku pun tak tahu apa yang lucunya.
“Dah. Saya nak balik. Tak manis pulak kita duduk berduaan macam ni. Mama awak dah naik atas.” Aku bingkas bangun, menyedari kealpaan aku yang boleh bersantai dekat situ dengan dia.
“Iyalah, saya hantar awak ya.”
“Tak payah. Saya boleh drive sendiri. Tu alasan awak nak jumpa emak kan?” aku menuding jari ke arahnya, sengaja menuduh.
“Mana ada!” Dia angkat tangan macam pesalah diacu senapang.
Aku sekadar menjulingkan mata ke atas dan terus berlalu keluar ke keretaku yang diparkir di depan halaman banglo yang luas itu. Andra ikut mengekori langkahku sampai ke kereta.
“Dah. Pergilah masuk, saya balik dulu.” Aku bersuara sebaik membolos masuk ke dalam kereta.
Dia sekadar mengangguk.
Aku menghidupkan enjin kereta sebelum teringatkan sesuatu.
“Eh saya lupa nak tanya, Indra dah tahu ke pasal ni?” aku lekas menyoal sebelum sempat Andra melangkah pergi.
“Dah.” Pendek Andra membalas.
“Dia cakap apa?”
“Kenapa awak nak tahu?” Andra menyoal dengan muka tidak puas hati.
“Lah, saya nak tahulah. Dia terkejut ke, gembira ke, tak suka ke?”
“Dia okay je.”
“Oh... dia tak marah awak nak potong line dia untuk kahwin dulu?” keningku terjungkit. Yelah Indra yang bertunang dulu, tup-tup Andra buat keputusan nak kahwin dalam masa yang terdekat tanpa bertunang. Aku pun tak tahu kenapa Andra nak cepat-cepat sangat kahwin tapi aku pun dah bersetuju sebelum tahu hal ni. Nak buat macam mana, ikut jelah. Janji dia uruskan hal perkahwinan ni sebaiknya.
Andra menggeleng.
“Tak. Dia okay je. Lagipun dia terlalu sibuk untuk fikirkan hal perkahwinan dalam waktu terdekat ni jadi dia tak kisah kalau saya nak kahwin dulu.”
“Bagus kembar awak tu kan? Memahami.” Aku tersengih.
“Dah, jangan tanya lagi pasal dia.” Andra mencebik, membuatkan dahiku berkerut. Dah kenapa dia ni?
“Yelah, saya tak nak tanya apa dah. Awak tu ingat tau, saya nak majlis yang sederhana je. Tak mahu grand-grand macam majlis pertunangan Indra hari tu.” Aku memberikan amaran. Serius aku tak selesa dengan majlis mewah sebegitu, rasa membazir. Aku bukan lahir daripada keluarga yang senang jadi daripada kecil aku dididik untuk tak membazir.
“Ya, saya tahu. Awak jangan risau. Saya dah bincang semua dengan emak.”
“Yelah, saya balik dulu. Assalammualaikum.” Aku menjuihkan bibir sebelum menutup pintu kereta yang kubiar terbuka sedari tadi.
“Bawak kereta elok-elok. Waa’laikumussalam.” Andra melambai ke arahku dengan senyuman manis di bibirnya.

Haih, betul ke dia ni bakal jadi suami aku? Jejaka yang jelita kalah perempuan ni? Aku tak bermimpi kan? 

Suka? =)

Friday, February 16, 2018

Novel Jodohku Jejaka Jelita bab 13



BUNYI nada dering yang kedengaran pagi itu membuatkan aku tersedar daripada tidur dan segera mengambil telefon bimbitku di atas meja tepi katil.
            Mataku membulat. Nama yang tertera di skrin, aku baca semula. Sah, nama Andra yang kelihatan. Apa pulak jejaka seorang ni nak pagi-pagi buta ni? Jam di tepi meja, aku pandang. Okay dah pukul sembilan pagi Ayesha, pagi buta apanya ni. Aduh!
            Okay kawal diri Ayesha. Jangan bunyi macam baru bangun tidur sangat. Aku berdeham berkali-kali untuk menghilangkan serak suaraku.
            “Assalammualaikum.” Aku bersuara setelah yakin serak suaraku sudah hilang.
            “Waa’laikumussalam. Saya ada dekat bawah. Cepatlah turun, sarapan sama-sama.”
            “What?” aku menjerit kecil.
            “Saya ada dekat bawah. Cukup-cukuplah tidur tu, tak elok anak dara tidur sampai tengah hari.” Dia sempat mengomel membuatkan aku mendengus geram. Kenapalah dia selalu datang bila aku nak terlajak tidur sikit? Kacau betullah dia ni.
            Tapi kenapa tiba-tiba, tak ada ribut, tak ada taufan, dia datang sini pulak? Tak pernah-pernah pun dia datang sebelum ni, entah-entah rumah abang Ayim pun dia tak tahu dekat mana. Ini mesti emak yang bagitahu alamat rumah ni. Hesy susah la kalau emak pun menyokong usaha dia nak kahwin dengan aku.
            Okay jangan fikir banyak, Ayesha. Nanti kau turun lambat, lagi kena kecam.

“HAH, turun pun tuan puteri. Ni lama Andra tunggu!” Abang Ayim yang sedang duduk di ruang tamu, menjerit ke arahku macam aku duduk sebatu dari dia.
            “Ye, orang tahulah.” Aku mencebik ke arah abang Ayim dan memandang ke arah Andra pula. Dia sedang memerhatikan aku dengan senyuman di bibirnya.
            “Nak apa datang rumah orang pagi-pagi ni? Selama ni tak pernah pun nak datang sini. Kacau je.” Aku mencebik.
            “Tak baik cakap macam tu dekat Andra. Tengok, dia siap bawak nasi lemak tau untuk kita. Baik bakal adik ipar abang ni.” Abang Ayim tersengih membuatkan Andra menunduk malu.
            “Abang!” mataku mencerlung memandang abang Ayim. Belum apa-apa dah berani panggil Andra, adik ipar ya.
            “Saya nak breakfast sama-sama awaklah. Dan nak jumpa abang Ayim jugak. Lama sangat tak jumpa.” Andra menjelaskan.
            “Haah, banyak abang nak temuramah Andra ni. Kakak jangan sibuk.” Giliran abang Ayim mencebik kepadaku.
            “Sudah, jangan diusik sangat dia orang ni, nanti segan pulak Andra.” Kak Hani, kakak iparku yang baru muncul dari dapur, menegur abang Ayim.
            “Tak apa, kak. Saya tak segan pun.” Andra menjawab. Kemain lagi dia ni ya.
            “Dahlah, jom duduk dekat meja makan. Akak dah hidangkan nasi lemak yang Andra bawak tadi. Jom sarapan.”
            Aku segera membawa langkah ke meja makan berdekatan ruang tamu itu. Malas hendak melayan usikan abang Ayim lagi.
            “Amboi laju sungguh tuan puteri nak makan nasi lemak yang Andra bawak. Tadi jual mahal sangat sampai tak puas hati Andra datang rumah.” Suara abang kedengaran di belakang tetapi aku buat muka toya saja.
            “Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari, abang jangan cakap banyak, nanti ada yang makan kaki.” Aku bersuara membalas sebaik abang Ayim ikut duduk bersebelahanku.
            Andra yang baru mengambil tempat di hadapanku sudah ketawa tanpa suara sambil tangannya yang melentik menutup mulut dengan sopan. Aku pun tak ketawa macam tu, ayu nau!

“SHA! Keluar Sha!” suara seseorang menjerit dari luar rumah ketika itu membuatkan aku terpisat-pisat. Siapa pula yang datang buat kecoh pagi-pagi nan permai ni? Baru je nak tambah nasi lemak lagi sebungkus. Sedap ni, entah dari mana Andra beli. Jangan dia letak mandrem dalam ni sudah. Haha.
            “Kejap abang pergi tengok.” Abang Ayim menawarkan dirinya. Mungkin risau kalau aku yang pergi jenguk dulu.
            Tidak berapa lama kemudian, abang Ayim masuk dengan langkah tergesa-gesa. Mata kami semua tertumpu ke arahnya.
            “Siapa, bang?”
            “Rizwan. Dia kata nak jumpa kakak untuk kali ni je.”
            Aku tersentak. Buat apa dia datang ke sini pulak?
            “Sebelum ni dia pernah jugak datang ke sini tapi kakak tak ada.” Abang Ayim menambah membuatkan aku menggumam.
“Abang halau jelah dia pergi, kakak dah tak nak tengok muka dia. Semak perut je.” Aku bersuara setelah lama berjeda sendiri. Tak ada hati nak tengok muka Rizwan lagi.
“Abang dah suruh dia balik, tapi katanya selagi kakak tak keluar, dia tak nak balik.”
“Eleh, main ugut pulak dia. Kalau macam tu biar jelah dia dekat situ, kakak nak tengok lama mana dia mampu bertahan.” Aku bersuara sebal.
Andra yang berada di hadapanku sekadar diam memerhati dengan wajahnya yang tampak gusar.
“Pergi jelah jumpa dia kejap kakak, lagi lama dia duduk depan rumah kita, lagi tak elok. Nanti jiran fikir yang bukan-bukan pulak.”
Aku mendengus kasar sebelum bingkas bangun. Baik, nak jumpa sangat kan? Mari kita buat perhitungan terakhir. Huh!

“AWAK nak apa lagi?” aku memeluk tubuhku saat memandang dia yang sedang bersandar di keretanya. Dia membuka kacamata hitamnya dan berjalan mendekati aku.
            “Kita kena bincang, Sha.”
            “Nak bincang apa lagi. Kan semuanya dah jelas dan kita dah putus?”
            “Abang tahu tu tapi kenapa sampai Sha perlu letak gambar pertunangan abang dekat Facebook? Apa yang Sha cuba nak buktikan?”
            Aku terdiam, mengingati tindakanku semalam yang memuatnaik gambar pertunangan Rizwan di timeline Facebooknya dan mengucapkan tahniah kepadanya.
            “Balas dendam.” Aku tersenyum sinis, puas hati aku. Wajah Rizwan berubah riak, aku tahu dia sedang marah.
            “Jadi Sha sengaja nak malukan abang kan?” nadanya sudah naik seoktaf.
            “Awak malu ke bertunang dengan Zarina?”
            Dia terdiam. Pandangannya dilarikan.
            “Saya cuma beritahu kebenaran kepada dunia, terutamanya dekat budak-budak pejabat kita, supaya dia orang tahu siapa benar siapa salah. Awak ingat saya tak tahu awak sebarkan fitnah pasal saya. Awak nak buat macam saya yang bersalah kan?”
            “Dila ke yang bagitahu Sha pasal ni?”
            “Siapa bagitahu tak penting, Encik Rizwan. Tapi sekarang, setelah dua tahun, baru saya nampak belang awak satu persatu. Dulu saya memang bodoh sebab tak sedar langsung awak dah ada perempuan lain walaupun banyak benda awak rahsiakan daripada saya. Sekarang boleh tak awak jangan ganggu lagi hidup saya dan jangan muncul lagi depan muka saya?”
            “Abang minta maaf, Sha. Abang janji takkan buat lagi. Abang cuma geram sebab Sha putuskan hubungan kita macam tu saja lepas dua tahun. Abang masih sayangkan Sha.” Rizwan bernada syahdu dengan matanya yang berkaca.
            Aku sekadar mendiamkan diri. Tidak ada rasa hendak membalas. Hatiku yang selalu rapuh aku cuba kentalkan kali ini.
            “Tolonglah, Sha. Janganlah macam ni. Tolong terima abang balik, abang tak boleh hidup tanpa Sha. Tolonglah!” Rizwan merayu sambil menarik lenganku tiba-tiba.
            “Ish lepaslah! Awak ni dah tak betul ke? Perangai macam gila talak!” aku menjerit, bengang.
            “Ya, abang dah gila talak! Abang sayang Sha. Abang sanggup tinggalkan Zarina kalau itu boleh buat Sha terima abang semula. Tolonglah!”
            “Saya tak boleh terima awak dah. Kalau awak tinggalkan Zarina pun saya takkan terima awak! Tolonglah jangan kacau saya lagi. Saya merayu!” aku bersuara sebak, hampir menangis.
            Melihat Rizwan yang macam hilang akal itu, hampir membuat aku jatuh kasihan kepadanya tetapi aku tidak mahu jadi Ayesha yang dulu, yang lembut hatinya hingga reda dengan apa jua keadaan. Aku takkan biarkan lelaki macam dia permainkan hati aku lagi. Takkan!
            “Tolonglah Sha, jangan macam ni. Abang cuma cinta Sha seorang.” Rizwan sudah terduduk, melutut di hadapan aku sambil tangannya masih kuat memaut lenganku.
            “Sudahlah, jangan jadi bodoh Rizwan. Tolonglah lupakan saya.” Aku menarik lenganku dengan segala kudrat yang ada hingga terlepas dari pautan Rizwan akhirnya.
            “Saya dah boleh terima hakikat yang kita dah tak berjodoh, saya harap awak pun sama.” Aku bersuara untuk kesekian kali sebelum melangkah membelakangi Rizwan, mahu masuk ke dalam rumah semula.
            “Nanti Sha!” Rizwan sempat menarik lenganku kembali membuatkan aku terpaksa berpaling memandanngya.
            “Lepaslah! Sakit!” aku mendengus namun cengkaman tangan Rizwan tetap kuat seperti tadi.
            “Tak nak balik lagi ke?” satu soalan yang kedengaran membuatkan aku dan Rizwan sama-sama berpaling ke arah suara itu. Andra sedang menghampiri kami dengan tangan yang dicekak di pinggangnya. Gaya mak cik-mak cik nak ajak bergaduh.
 “Kau lagi, tak habis-habis kau menyibuk hal orang lain kan?” Rizwan melepaskan lenganku dan berjalan laju ke arah Andra membuatkan aku ikut berlari mendekati keduanya.
“Ya memang aku suka menyibuk. Yang kau tu tak tahu malu kenapa? Orang dah tak nak, kau terhegeh lagi.” Andra memulangkan paku buah keras.
“Kau ni memang nak kenalah, sotong!”
“Sudah. Jangan nak bergaduh macam hari tu. Kalau awak apa-apakan dia kali ni, saya akan call polis. Saya tak main-main Rizwan. Sekarang baik awak balik. Faham tak?” aku bernada separa menjerit apabila melihat Rizwan sudah mencekak kolar baju Andra.
Rizwan melepaskan kolar Andra perlahan sebelum dia berpaling memandangku dengan wajah tidak puas hati.
“Masalahnya, kenapa setiap kali mesti dia ada dengan awak? Siapa dia sebenarnya dan kenapa dia suka sangat menyibuk hal kita?”
“Dia bakal suami saya. Tak lama lagi saya akan kahwin dengan dia. Saya dah move on daripada awak. Harap awak pun macam tu.” Aku menjelaskan tanpa teragak-agak lagi membuatkan kedua Rizwan dan juga Andra terpempan memandang aku.

AKU menghela nafas lega sebaik Rizwan membolos masuk ke dalam keretanya dan memecut laju walau riak wajahnya masih kelihatan tidak puas hati. Lantak dialah, nak emosi kenapa? Dia yang mainkan perasaan aku dulu kan?
 “Apa maksud awak, cakap macam tu dekat Rizwan tadi?” suara lembut Andra yang kedengaran membuatkan aku tersedar yang dia masih tercegat di sebelahku.
Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum berpusing memandang dia.
“Saya betul-betul maksudkan kata-kata saya tadi. Saya setuju nak kahwin dengan awak.”
Andra sekali lagi tercengang memandang aku dengan matanya yang membulat membuatkan aku tidak dapat menahan ketawa. Hari tu beria sangat nak kahwin dengan aku, aku dah setuju dia buat muka macam tak percaya sangat pulak. Lempang nak?
“Betul ke ni, Ayesha? Awak bukan sengaja nak prank saya kan?” Andra menyoal lagi. Tak puas hatilah tu.
“Entah, tadi saya rasa macam dah betul dah. Tapi bila awak tanya banyak kali, saya rasa macam nak tarik balik je keputusan saya tu.” Aku buat muka poyo.
“Hah, okay okay. Saya tak tanya dah. Alhamdulillah.” Andra meraup wajahnya membuatkan aku tersenyum sendiri.
“Terima kasih, Ayesha. Sebab sudi terima saya.” Suara Andra kedengaran begitu ikhlas menerjah gegendang telingaku bersama senyuman manis yang terukir di wajahnya.
Aku ikut tersenyum, walau ada perkara yang mengganggu benakku saat itu.
“Tapi Andra, saya nak awak tahu yang saya bukannya baik sangat.” Aku bersuara setelah berjeda seketika. Andra terdiam memandang aku.
“Saya sendiri hanyut dengan dunia selama ni. Saya tak mampu nak bimbing awak sebab saya sendiri kena perbetulkan banyak perkara tentang diri saya. Kalau awak perlukan pembimbing, memang bukan saya orang yang tepat, Andra.” Sayu aku menjelaskan, mengharapkan dia faham dan tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap aku.
“Saya tak suruh awak bimbing saya, saya cuma nak awak ada di sisi saya, sama-sama beriringan dengan saya dalam perjalanan menuju reda Allah. Kita sama-sama perbaiki diri kita untuk jadi hamba yang lebih baik. Boleh kan?” pintanya dengan senyuman, membuatkan hatiku terasa begitu lapang. Perlahan aku mengangguk bersama senyuman yang ikut terlukis di bibir.

Ya Allah, aku berharap keputusan aku menerima jodoh ini adalah tepat. Amin!

Suka? =)

Thursday, February 15, 2018

Novel Jodohku Jejaka Jelita bab 12

AKU meletakkan muk yang terisi jus oren ke atas meja semula setelah menghirupnya sedikit. Pandanganku jatuh ke arah Dila yang masih fokus memandangku.
            “Jadi sebab itulah kau putus dengan Rizwan ya?”
            Aku mengangguk laju.
            “Kurang asam jawa punya Rizwan. Dekat pejabat boleh dia berlakon macam dia mangsa keadaan.” Dila mengomel, tidak puas hati.
            “Mangsa keadaan?” sekarang aku pulak yang rasa tak puas hati. Perkara tak betul apa pulak yang Rizwan sebarkan dekat pejabat tu.
            “Ye, beb. Dia cakap kau putus dengan dia sebab ada kekasih baru. Dia kata kau kantoi dengan dia sebab tu kau tak berani muncul dekat pejabat dah. Aku memang tak percaya langsung dengan apa yang dia cakap. Tapi kau tahulah orang dekat pejabat macam mana, lagi-lagi dengar daripada sebelah pihak. Memang dia orang aci percaya jelah cakap Rizwan tu.”
            “Ular lidah bercabang-cabang punya lelaki! Dia yang ada perempuan lain, dia main tuduh aku pulak?” Muka aku dah berubah merah.
            “Sebab itulah beb, kalau aku jadi kau aku tak berhenti kerja. Lantaklah dekat dia, takkan sebab dia aku sampai hilang punca pendapatan? Tengok sekarang jadi apa, dia fitnah kau macam-macam pulak sedangkan kau tak boleh balas balik kata-kata dia tu.”
            Aku menggumam sebelum menggeleng perlahan.
“Tak bolehlah beb. Bila aku ingat yang dia dah tipu aku dan buat aku bazirkan hidup aku selama dua tahun ni, aku jadi bengang sangat. Perasaan cinta aku dekat dia dulu dah bertukar jadi perasaan marah tau. Aku risau kalau aku masih kerja dekat situ, tak aman pejabat tu aku kerjakan.”
Dila ketawa.
“Kau ni macam-macamlah. Tapi betul jugak, kau yang rasa sakit hati tu, aku tak alami benda tu bolehlah cakap tak nak berhenti. Cuba jadi dekat aku.” Dila tersengih, mungkin dia sudah bisa memahami perasaan aku saat itu.
“Tahu pun.” Aku menjelirkan lidah.
“Habis tu sekarang macam mana? Apa plan kau?”
“Pasal apa? Kalau pasal masa depan, hari ni aku baru saja balik daripada interview, kalau ada rezeki adalah.” Aku menarik senyum.
“Kalau pasal Rizwan, kau tunggu jelah nanti apa aku nak buat. Dia fikir aku tak ada dekat pejabat, dia boleh suka hati burukkan aku? Memang silap besarlah dia sebab cari pasal dengan Ayesha Humaira. Ayesha yang dia kenal tak sama dengan Ayesha yang sebenarnya okay. Depan dia dulu bolehlah aku berlembut, sayang punya pasal. Sekarang sayang dah melayang, siaplah!” aku menggenggam penumbuk, menandakan aku betul-betul bengang.
Dila menepuk lembut pahaku, membuatkan aku kembali fokus memandangnya.
 “Aku lega sebenarnya tengok kau okay macam ni walaupun baru putus cinta.” Kata-kata Dila membuatkan aku termangu-mangu.
“Macam ni kau kata okay? Aku ni tak habis lagi tau sakit hati dekat Rizwan tu, lagi-lagi lepas apa kau cerita ni.” Dila menarik sengih melihat wajahku yang cemberut saat itu.
“Ya aku tahu. Tapi sekurang-kurangnya kau tak adalah nampak merana atau frust menonggeng. Tak semua orang mampu cepat pulih daripada putus cinta macam kau ni tau.”
Aku tergamam. Cepat pulih? Ye ke?
“Jadi aku rasa sama ada kau sebenarnya tak berapa sayang pun Rizwan tu atau kau dah jumpa pengganti. Mana satu betul? Baik kau mengaku cepat!”
Mataku membulat.
“Hesy apa kau merepek ni? Boleh tak kau bagi banyak sikit pilihan jawapan? Contohnya sebab aku ni seorang wanita yang tabah dan kuat ke, atau aku ni dipenuhi sifat-sifat mahmudah ke?”
            Dila ketawa semakin kuat membuatkan aku ikut ketawa dengan jawapanku sendiri. Yelah, tabah sangatlah kau Ayesha kalau berapa hari berkurung dalam bilik, tak lalu makan, menangis bila sendirian. Lama gila nak pulihkan hati ni, okay!

SELAMAT malam, Ayesha. Mimpikan saya tau. Saya doakan hati awak terbuka untuk terima saya sebagai suami. Saya tunggu jawapan daripada awak.
Mesej di aplikasi Whatsapp itu aku baca pantas sebelum mataku membuntang. Kenapa aku rasa geli sangat ni? Hesy!
            Selamat malam. Pergilah tidur. Jangan mimpikan saya.
            Aku membalas dengan wajah berkerut. Seram okay!
            Aku sekadar melihat Andra menghantar emoji ketawa dan tidak ada rasa hendak membalasnya lagi.
            Aku tidak mahu memberikannya sebarang harapan di saat aku sendiri buntu hendak menerima lamarannya ataupun tidak. Perkara ni bukannya boleh dibuat main, ini soal hidup aku, masa depan aku. Aku kena berfikir semasaknya, bisakah aku bersama dia sepanjang hayatku? Bisakah aku bahagia?
            Bunyi nada dering telefon membuatkan aku tersedar daripada lamunan. Erk, takkanlah dia telefon pulak? Jangan macam-macam.
            Aku menarik nafas lega sebaik melihat nama lain yang tertera di skrin telefonku. Laju aku mengangkat telefon tersebut.
            “Wardah, tolong aku!” aku menjerit kecil sebelum sempat Wardah berkata apa.

“ANDRA ajak kau kahwin?” suara Wardah kedengaran terkejut. Iyalah, siapa yang tak terkejut, aku sendiri pun terkejut macam apa lagi hari tu.
            “Ya. Gila kan dia?” pendek aku menyoal membuatkan tawa Wardah kedengaran dari sebelah sana.
            “Family kau cakap apa?”
            Aku mengeluh sesaat.
“Dia orang macam tak kisah je. Emak lagilah suka sebab Andra tu kan kesayangan dia. Yang lain-lain macam ikut je apapun keputusan aku, janji aku bahagia. Abang Ayim pun dah tahu pasal apa yang Rizwan buat dekat aku jadi dia pun kalau boleh nak aku cepat-cepat kahwin supaya aku boleh move on.”
“Oh macam tu.”
“Aku tak nak buat keputusan terburu-buru, Dah. Aku tak nak kahwin sebab nak lupakan Rizwan semata. Cara tu tak betul. Perkara ni babitkan masa depan aku kot, dengan siapa aku nak habiskan seumur hidup aku nanti.” Aku melepaskan keluhan lagi, terasa beratnya dadaku ketika itu.
“Aku pun tak mampu buat keputusan untuk kau sebab macam kau cakap, ini masa depan kau kan. Tapi bagi aku, Andra tu walaupun lembut, tapi dia berganda baik daripada lelaki-lelaki keras dekat luar sana. Macam aku pernah cakap dekat kau dulu, orang macam dia tu lebih memahami perempuan tau. Aku rasa beruntung kalau siapa dapat dia.”
Aku terdiam, memang Wardah pernah sebut pasal hal ni dulu. Siap nak kenenkan aku dengan Andra. Tak sangka hal ni jadi kenyataan sekarang. Ironi sungguh!
“Kau cuba solat istikharah, minta petunjuk Allah. Kau kena ingat, kita kena letakkan segala kebergantungan kita dekat Dia, sebab kita ni cuma hamba yang tak tahu apa-apa sedangkan Allah Maha Mengetahui. Aku harap kau dapat jawapan yang kau nak, Sha.”
Aku mengetap bibir. Terasa mencengkam ke hati aku. Betapa aku terlalu memikirkan hal ni sendiri sampai lupa siapa Pencipta aku, siapa yang sepatutnya aku bergantung harap.
“Insya-Allah, Wardah. Terima kasih tau. Aku rasa lega sikit dah cakap dengan kau.” aku bersuara syahdu, benar-benar maksudkan. Terasa dadaku lebih lapang saat itu.


AKU meraup wajahku usai memberi salam kanan dan kiri. Tanganku aku tadahkan untuk berdoa setelah selesai mengerjakan solat istikharah malam itu.
“Ya Allah, aku tahu aku bukanlah hambaMu yang baik. Aku selalu hanyut dengan dunia dan lupa kepadaMu. Tetapi hambaMu ini sedang dalam kesusahan ya Allah. Aku tidak tahu apa lagi yang harus aku lakukan, ya Allah. Dia hadir di saat yang aku langsung tidak duga. Dia ingin menjadikan aku isterinya di saat aku terasa tidak mahu percaya lagi pada sebuah cinta. Andai dia jodoh yang terbaik buatku, Kau bukakanlah pintu hatiku untuk menerimanya ya Allah, namun andai dia bukan yang terbaik, aku reda ya Allah. Amin.”

Aku meraup wajahku untuk kesekian kalinya, usai berdoa dan bingkas bangun untuk tidur. Mengharapkan hari-hari mendatang, akan ada sebuah jawapan yang pasti untuk aku berikan kepada Andra yang masih menanti. Mudah-mudahan.

Suka? =)

Wednesday, February 14, 2018

Novel Jodohku Jejaka Jelita bab 11



AKU memandang dia dengan mata mencerlung, tidak puas hati. Kalau naluri dia lain, buat apa dia nak kahwin dengan aku?
“Jadi awak cuma nak jadikan saya isteri atas kertas untuk awak tutup segala perilaku songsang awak tu? Macam tu?” aku menyoal dengan rasa bengang.
Andra tergelak. Okay, aku ada buat lawak ke tadi? Tak ada kan? Sikit punya serius soalan aku tadi, dia boleh bantai gelak. Cheesecake betul!
            “Tak, bukan macam tu. Awak dah salah faham.” Dia mengukir senyum.
            “Apa yang saya salah faham? Awak sendiri cakap naluri awak lain tadi kan?”
            Andra mengangguk.
“Okay, saya tak nafikan yang naluri saya lain sebab awak pun tahu, dari kecil saya lembut dan lebih bersifat keperempuanan. Saya memang lebih mudah tertarik dengan lelaki.” Dia tersengih.
Aku menjeling geram tengok muka tak bersalah dia tu. Jadi, sekarang dah kantoilah kan? Hesy!
“Tapi takkan orang macam saya ni tak ada peluang untuk berubah, Ayesha? Saya pun teringin nak ada kehidupan berumahtangga yang normal, ada isteri dan anak-anak yang boleh saya kongsi hidup saya sampai saya tua.” Wajah Andra berubah riak tiba-tiba membuatkan aku tergamam.
Aku menyandarkan badan di kerusi, cuba meleraikan ketegangan yang aku rasai sedari tadi. Cuba berfikir dengan lebih rasional.
“Kalau betul pun awak nak berubah dan berumahtangga, kenapa saya? Cari sajalah perempuan lain. Ramai lagi kan perempuan dekat luar sana.” Aku masih tidak puas hati tentang perkara itu walaupun jawapan dia tadi aku sudah mampu terima.
Andra terdiam lama, seolah memikirkan sesuatu. Jangan pulak dia bagi jawapan yang bukan-bukan, memang aku jentik jugak telinga dia dekat sini karang!
“Sebab selain mama dan emak, awak orang yang paling saya sayang.”
Mataku membulat dan lidahku kelu untuk membalas.
“Kita dah kenal dari kecil dan awak dah tahu perangai saya luar dan dalam. Saya selesa dengan awak, Ayesha.”
“Tapi itu bukan bermaksud awak sayang saya.” Aku laju membidas.
“Saya tak tahu nak yakinkan awak macam mana tapi walaupun saya kenal ramai perempuan, saya cuma boleh rasa suka dekat awak seorang saja. Saya tak pernah rasa perasaan ni dekat mana-mana perempuan tapi dengan awak, saya boleh rasa. Kalau ini bukan tanda sayang, saya tak tahu apa lagi ertinya semua ni, Ayesha.”
Aku terkedu mendengar kata-kata Andra. Aduh parah ni! Kenapa aku?
“Awak seorang saja yang pandang saya dan layan saya macam seorang lelaki selama ni, Ayesha. Mungkin naluri saya lain, tapi bila saya ada dengan awak, naluri saya jadi normal balik. Saya rasa yakin yang saya seorang lelaki bila saya bersama awak.” Andra menjelaskan lagi, seolah tahu persoalan yang sedang bermain di fikiran aku saat itu.
Aku menghela nafas yang mula terasa berat. Tak sangka begitu besar pengaruh aku kepada Andra.
Andra merapatkan tubuhnya ke meja, menghadap aku di hadapannya.
 “Saya nak berubah, Ayesha. Tapi saya takut naluri saya akan kembali ke asal balik kalau saya tak kahwin dengan awak. Awak nak bertanggungjawab ke kalau naluri saya songsang semula sebab awak tak nak terima lamaran saya?” dia menyoal lagi dengan serius, membuatkan aku semakin kehilangan kata.
Wajah Andra yang penuh pengharapan, aku pandang lama sebelum aku melepaskan keluhan maha berat.
“Bagi saya masa, Andra. Saya perlukan ruang untuk berfikir dan tenangkan diri. Tolong faham keadaan saya.” Aku memberikan jawapan akhirnya walau aku tahu itu bukan jawapan yang Andra mahukan saat itu.
Aku menghirup sehingga habis, latte panas yang dah tak berapa panas di dalam cawanku sebelum aku bangun meninggalkan Andra yang masih tunduk, terdiam memikir sendiri. Walaupun fikiranku tengah serabut, kopi yang mahal haruslah aku habiskan hingga titisan terakhir. Aku beli dengan duit kot! Heh!

AKU menghentikan kereta di hadapan rumah Dila yang masih kelihatan sunyi tidak berpenghuni. Jam di tangan aku belek semula, masih awal lagi. Pasti Dila belum pulang dari kerja. Tak apalah, tunggu sajalah sampai Dila muncul sebab aku pun sengaja tak nak mesej dia beritahu yang aku nak datang. Nak kasi surprise setelah lama aku tak jumpa dia.
Wajah Andra kembali bermain di ingatanku saat itu dan setiap bait kata-kata yang dia ungkapkan di kafe tadi kembali menghantui aku. Serius ke dia nak kahwin dengan aku? Hesy biar betul? Macam mana aku nak percaya perkara yang sama sekali tak pernah terlintas dalam fikiran aku ni? Apa jawapan yang aku nak bagi?
Kalau aku terima, sanggup ke aku nak kahwin dengan lelaki yang lagi lawa daripada aku tu? Tapi kalau aku tak terima, kalau dia kembali jadi songsang, itu dikira salah aku ke? Hesy serabutnya! Aku menggosok kepala yang berbalut tudung.  
Bunyi hon yang kedengaran membuatkan aku tersentak. Sebuah kereta di belakangku, masih membunyikan honnya. Sah kereta Dila sebab aku memang berhenti betul-betul di hadapan pagar rumah dia sampai dia tak boleh masuk ke dalam.
Aku menggerakkan keretaku ke hadapan sedikit sehingga sampai tahap kereta Dila boleh masuk ke dalam rumahnya sebelum aku keluar daripada kereta dan mendekati kereta Dila yang sudah masuk ke tempat parkir rumahnya.
Dila keluar daripada keretanya dan memandang aku dengan wajah terkejut sebelum dia menarik aku ke dalam pelukannya.
            “Ya Allah, lamanya tak jumpa kau. Kau sihat, Sha?” Dila menyoal dengan teruja sambil meleraikan pelukannya.
            “Alhamdulillah, aku sihat je beb. ” Aku tersenyum memandang Dila, sungguh aku rindu dengan dia. Geng yang sekepala dengan aku di pejabat, mesti dia sunyi bila aku dah berhenti kerja ni kan?

            “Dah, jom masuk. Kita sembang dekat dalam. Banyak sangat benda aku nak tanya kau ni.” Dila menarik aku ke dalam rumahnya tanpa sempat aku berkata apa lagi.

Suka? =)

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!