Bab 2
MINUM kopi o tanpa
gula,
Baru jumpa
sekali dah meluat gila-gila.
“Batu sayang kau tak boleh berkata... semuanya kau lihat walau kau
tak bermata...” bait-bait lagu itu sayup-sayup kedengaran dari rumah sebelah,
malam itu. Telinga Hajar sudah melekap di dinding bilikku, cuba mendengar
dengan jelas.
“Kau dengar tak, Fatih?” Muka Hajar jelas serius menyoal sambil
telinganya masih melekap pada dinding.
“Dengar. Kalau tak lekat telinga dekat dinding tu pun, dah boleh
dengar dengan jelas.” aku menjawab acuh tak acuh sambil mataku masih fokus pada
novel di tangan. Suara macam katak, ada hati nak menyanyi. Huh!
“Sedap jugak suara dia, kan?” Hajar tersengih sebelum bingkas duduk
semula di sisiku.
“Sedap?” mataku membuntang memandang Hajar, novel yang kubaca
sedari tadi, automatik ditutup.
“Aah la. Sedap apa. Unik suara dia, ala-ala Ramli Sarip.”
“Itu bukan macam suara Ramli Sarip, itu dah macam Sarip Dol Kampung
Dusun.”
“Ish, kau ni tak puas hati apa dengan budak tu? Bagi aku, suara dia
boleh tahan apa.”
“Boleh tahan kata kau? Aku yang tak tahan ok. Hilang konsentrasi
aku nak membaca, terganggu!” aku sudah tarik muncung panjang. Baru je sampai
Maghrib tadi, dah pandai melalak malam-malam begini. Mengacau sungguh!
“Ish kau ni kenapa? Sejak jejaka sebelah rumah ni muncul, terus kau
hangin semacam.” Hajar seolah dapat membaca keruh di wajahku.
“Mana ada hangin. Aku cuma rasa terganggu je.” Suaraku kembali
datar. Tidak mahu Hajar syak yang bukan-bukan. Padahal sebenarnya, sejak tengok
mamat muka selenga dekat sebelah ni, terus aku jadi hilang mood. Entahlah
kenapa, kali pertama tengok pun dah rasa menyampah. Bahaya ni!
Tapi memang ada pun kes sebegini kan? Ada orang yang pertama kali
kita tengok pun dah jatuh suka, ada pula yang pertama kali kita tengok pun dah
menyampah gila-gila. Kira aku ni jatuh kes yang kedua la. Bukan salah aku pun
kan.
“Buatlah muka menyampah macam tu, nanti lama-lama jatuh hati dekat jejaka
sebelah rumah ni, baru padan muka kau!” suara Hajar mengejek buatkan mataku
membuntang memandangnya. Nak kena sungguh minah sorang ni kan. Tak habis-habis
nak kenenkan aku dengan jejaka sebelah ni.
“Gila! Doakan aku yang bukan-bukan tu kenapa?” aku mencubit lengan
Hajar, membuatkan Hajar menjerit. Serentak itu, alunan suara dari rumah sebelah,
hilang dari pendengaran.
Aku dan Hajar saling berpandangan, Hajar menyoal aku dengan isyarat
mata, namun aku hanya angkat bahu tanda tidak tahu. Mungkin dia dah masuk tidur
kot, tapi lagu tu macam terhenti tiba-tiba je. Ah buat apa aku fikir sangat
pasal hal mamat tu kan. Abaikan ajelah.
“Assalammualaikum! Assalammualaikum!” suara seseorang
menjengah gegendang telinga. Siapa pula datang malam-malam ni? Baru je nak
fokus membaca novel semula, dah ada yang menganggu konsentrasiku. Takkanlah
Jais buat serbuan pula. Eh apa aku merepek ni?
Aku garu kepala sambil lekas mencari tudung yang tersidai di tepi
katil manakala Hajar menonong masuk ke dalam biliknya. Hajar yang ratu tidur
itu, mesti tak nak tinggalkan katilnya sebaik kepalanya mendarat di bantal.
Jadi siapa lagi boleh membuka pintu, kalau bukan aku.
“Waa... lai... kumuss... salam...” aku menjawab perlahan-lahan saat
pintu itu juga dibuka perlahan. Mataku membulat sebaik satu lembaga berdiri
tinggi di hadapanku sambil menyeringai menampakkan gigi taringnya.
“Arghhhh!” aku menjerit sekuat hati sebelum pandanganku kelam
tiba-tiba.
“FATIH... Fatih... bangunlah!” suara Hajar yang kedengaran buatkan
aku cuba membuka mata walau dalam kepayahan.
“Apa dah jadi ni? Apa awak buat pada Fatihah?” suara Hajar
kedengaran, sedang menyoal seseorang.
“Eh saya tak buat apa pun. Dia yang tiba-tiba pengsan tengok saya.”
“Fatih, Fatih! Kenapa dengan kau ni? Bangunlah Fatih!” terasa
pipiku ditepuk-tepuk membuatkan aku
memandang Hajar yang sudah merangkulku saat itu.
“Hajar, tadi aku nampak hantu,” aku bersuara dengan wajah yang
pucat, sebaik aku yakin yang orang di hadapanku ketika ini adalah Hajar.
“Hantu?” dahi Hajar berkerut. Matanya sempat dijeling ke arah
lembaga yang masih samar-samar pada pandanganku.
“Ini ‘hantu’ kau?” Hajar menuding ke arah lembaga itu. Lembaga itu
tersengih seraya mengangkat jari telunjuk dan jari hantu, menjadi simbol peace sebaik aku mendongak memandang
dia.
“Arghhh! Hantu! Hantu!” aku menekup muka pada lengan Hajar yang
sedang merangkulku sebaik melihat wajah lembaga itu yang putih dan gigi
taringnya yang menyeringai memandangku.
“Ish kau ni Fatihah, itu kan jiran sebelah rumah kita ni.” Kata-kata
Hajar itu buatkan aku takut-takut melihat ke arah lembaga itu semula. Ya Allah,
betullah mamat muka selenga cuma mukanya dah bertepek bedak sejuk. Mujur aku
tak ada lemah jantung, kalau tidak, tak pasal hilang nyawa hari ni.
“Awak?!?” aku menuding jari ke arah Fahmi dengan wajah bengis.
Perasaan takut ini sudah bertukar menjadi perasaan marah. Sudahlah aku memang
dah jatuh meluat dengan mamat ni, sekali dia terkejutkan aku sampai macam ini
sekali. Geramku membuak-buak.
“Awak buat apa depan rumah kami malam-malam buta begini, hah?”
lekas aku menyoal setelah aku bingkas duduk.
“Kan baru pukul sepuluh, mana ada malam buta lagi...”
“Ah jangan nak buat lawak pulak. Tak lakulah lawak awak tu kat
sini.”
Mamat itu menggaru-garukan kepalanya, memang dia bersalahlah tu.
Entah-entah nak menghendap kami tadi. Hesy mintak simpang la.
“Ala, relakslah Fatih.
Janganlah marah-marah, cuba tanya elok-elok.” Hajar cuba menenangkan aku yang memang
dah bad mood bila menghadap mamat
selenga ni.
“Yang awak ni pun satu.” Hajar bersuara pada lembaga itu pula.
“Kalau ia pun nak pakai bedak sejuk, tak payahlah sampai putih serupa tepung
gomak macam ni sekali.”
Dia terkulat-kulat. Pipinya disapu dengan tangan sebelum dahinya
diketuk.
“Oh sorry kak. Saya tak
sengaja nak terkejutkan kawan akak ni. Saya terlupa. ” Dia menyengih.
“Ish apa berakak pulak dia. Kami berdua muda lagilah!” Hajar
menukas membuatkan mamat di hadapan kami itu menggaru kepala sambil menyengih
macam kerang busuk.
“Oh maaf, adik. Eh cik, saya tak tahu nak panggil apa. Sebab tu
saya panggil akak je, sebagai rasa hormat.” Dia tersengih-sengih lagi.
“Fahmi!” laungan dari rumah
sebelah membuatkan kami bertiga mengalih pandang ke arah yang sama. Mak Ngah Ana
terjongol di muka pintu rumahnya.
“Apa yang bising-bising tu?” Mak Ngah Ana menyoal dari muka pintu
sebelum langkahnya diatur menghampiri kami.
Aku hanya menggeleng sambil bingkas bangun untuk berdiri, enggan
memanjangkan cerita.
“Kamu berdua tak apa-apa ke? Apa kamu dah buat pada budak berdua
ni, Fahmi?” Mak Ngah Ana kelihatan gusar sebaik melihat aku. Nampak sangat ke
wajah aku ni pucat lesi lepas terlihat lembaga bertepung gomak tadi?
“Fahmi cuma...” mamat itu memandang Mak Ngah Ana dengan pandangan
minta simpati. Macam la aku tak paham kan?
“Tadi si Fahmi ni cakap, dia dengar kamu menjerit, sebab tu dia
datang tengokkan keadaan kamu. Fatihah, kamu ok ke? Pucat semacam Mak Ngah
tengok.” Mak Ngah Ana menerangkan sambil memegang bahuku, buatkan aku lekas
menggeleng. Aduh takkan la jeritan Hajar tadi sampai ke rumah sebelah? Oh
iyalah, rumah flat kan, jiran sebelah bersin pun kami dengar.
“Tak ada apalah, Mak Ngah. Kami ok je. Tadi terperanjat je bila
hantu tepung gomak berdiri depan pintu.” Aku menarik senyum manis pada Mak Ngah
Ana. Walaupun meluat pada tetamunya ni, air muka kenalah jaga. Kena hormat
orang tua.
“La... Fahmi! Kenapa sampai putih macam ni sekali muka kamu tu?”
Mak Ngah Ana pecah tawanya sebaik terperasan akan wajah mamat itu yang penuh
bertempek bedak.
“Kenapa Mak Ngah tak tegur Fahmi, masa Fahmi keluar tadi?” mulut Fahmi
sudah panjang muncungnya.
“Mak Ngah tak pakai spek tadi, Mak Ngah tak perasan.” Mak Ngah
bersuara dengan tawa yang masih bersisa.
“Saja tau, nak bagi Fahmi malu...” nada suara Fahmi sudah berubah,
sengaja dia merengek-rengek. Gedik, menyampah aku rasa. Dah besar panjang pun
manja mengada-ngada. Huh!
“Fatihah, Hajar, jangan dilayan sangat budak ni. Dia memang macam
ni, suka sibuk-sibuk hal orang lain. Dah-dah, jom masuk Fahmi. Janganlah kamu
nak ganggu anak dara dua orang ni. Karang tak pasal-pasal marah buah hati dia
orang.” Mak Ngah sudah menarik tangan lelaki itu ke arah rumah mereka. Mamat
tinggi lampai itu hanya mengikut, namun sempat dia menoleh ke arah kami dan
melambai sebelum mengenyitkan matanya.
“Ish menyampah.” aku bersuara selepas membalas kenyitan mata tadi
dengan jelingan menyampah tahap petala langit ke lapan. Rumah kami segera aku bolosi,
rasa mengantuk terus setelah hampir diserang histeria tadi. Aku menoleh ke
belakang sebaik merasa ada yang mengekori. Hajar masih tersengih saat aku
memandangnya yang sedang berdiri di belakangku.
“Kau ni kenapa? Kena sampuk hantu tepung gomak pulak?” aku menyoal,
sebal. Geram tengok mamat tadi, geram pulak tengok Hajar dok tersengih serupa
ini. Itu adalah tu nak menyakat aku.
“Ehem, ada orang tu dah ada orang yang berkenan...” Hajar tersengih-sengih.
“Siapa?” aku bertanya sambil lewa ketika kembali meneruskan jalan
ke bilikku sebelum melabuhkan punggung di atas katil.
“Kaulah...” Hajar bersuara saat punggungnya juga mencecah katilku.
“Apa kau merepek ni?” datar suaraku menyoal sambil berbaring, novel
yang aku sudah tutup tadi, kubuka semula di tempat yang sudah kutanda dengan
penanda buku. Saja hendak jamu mata sebelum benar-benar terlena. Itulah
tabiatku, baca novel sampai rasa mengantuk hingga kadang-kadang aku terlena
sambil memegang novel.
“Aku nampak la...” Hajar mengangkat-angkat keningnya.
“Nampak apa?”
“Nampak la yang orang tu kenyit mata dekat orang ni...” aku pandang
wajah Hajar semula. Memang nak kena sungguhlah minah ni sorang.
“Mana ada! Dia kenyit mata dekat kau, bukan aku.”
“Eleh tak nak mengaku. Aku nampak la dia pandang kau seorang je
tadi.” Hajar tersengih-sengih lagi.
“Gila! Tak nak aku!”
“Tapi orang tu nak...” Hajar sudah kembali mengusik.
“Pandai-pandai je kau kan. Baru kenal seminit dua, dah boleh baca
fikiran dia eh?”
“Aku kan bomoh cinta.”
“Wekkk! Tak glamour
langsung gelaran bomoh cinta.” aku mencebik.
“Untunglah kau, dah ada yang suka.”
“Ish! Cukup-cukuplah merepek tu, Hajar! Dah-dah, aku nak tidur,
lagi dilayan kau ni, lagi naik tocang kan? Tak habis-habis nak usik aku.” Hajar
ketawa kecil sebelum bingkas bangun dari katilku.
“Aku cuma nak doakan yang baik-baik untuk kau.” Aku buat muka toya.
Tak rasa pun doa itu doa yang baik untuk aku.
“Dari kau buat cubaan untuk doakan aku dengan mamat muka selenga
tu, baik kau doakan aku dengan jejaka kacak berwajah Korea di luar sana.” Aku
berbicara sambil menarik selimut menutupi kaki.
“Hesy, high taste betul
kawan aku ni. Jangan memilih sangat, Fatih. Kang tak pasal-pasal jadi terbalik.
Yang kau nak tak dapat, yang kau tak suka yang kau akan dapat.”
Aku yang baru hendak menyambung pembacaan, memandang Hajar semula
dengan mata membuntang. Novel yang berada di tangan, aku tutup semula. Sudah
hilang selera hendak membaca lepas mendengar usikan Hajar yang tak boleh
diterima akal macam ni.
“Kau ni kenapa? Janganlah mintak yang bukan-bukan dekat aku! Mintak
simpang laaa...”
“Simpang kiri, simpang kanan?”
“Simpang tiga.”
Hajar ketawa bersungguh-sungguh macam aku ni buat lawak tahap
Maharaja Lawak Mega.
“Oklah, selamat malam. Moga mimpikan mamat rumah sebelah tu! Apa
namanya tadi? oh Fahmi.” Hajar ketawa sambil berlalu keluar dari bilikku.
“Cis, kurang asam jawa punya kawan! Grrr!” aku mengetap bibir
sebelum menarik selimut menutupi wajahku dan memejam mata erat-erat, mahu
melupakan segala kejadian tadi dan bayangan wajah mamat muka selenga yang
bertempek bedak sejuk tadi. Tak mahu dapat mimpi ngeri malam ni, tak mahu!
Suka? =)
Menarik
ReplyDeleteADA SAMBUNGAN TAK
ReplyDelete