~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Tuesday, March 8, 2016

Novel : Mamat Muka Selenga Bab 3



Bab 3
Pergi ke pulau menaiki sampan
Pagi-pagi lagi dah hilang kesabaran.
“JUJURLAH sayang, aku tak mengapa. Biar semua jelas telah berbeda, jika nanti aku yang harus pergi, kuterima walau sakit hati...” suara nyaring seseorang menyanyi riang saat itu mengejutkan aku dari tidur. Jam di sebelah, aku kerling sebaik mataku berjaya dibuka. Cis, baru pukul lapan pagi, cuti hujung minggu begini selalunya aku bangun lambat, almaklumlah nak qadha balik tidurku yang terganggu kerana setiap hari harus bangun awal untuk ke tempat kerja.
            Nyanyian sumbang di luar bersama alunan petikan gitar benar-benar menganggu membuatkan aku tak mampu nak tidur walaupun sudah kupaksa mataku untuk pejam dan menekup telingaku dengan bantal. Hesy, ini memang bikin aku marah. Ingatkan sudah bendera merah, bolehlah aku tidur lebih lama tanpa sebarang gangguan lepas tak payah bangun untuk solat Subuh pagi tadi. Kusangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya dah ada katak puru menyanyi pagi-pagi. Grrrr!
            Bantal  di kepala, aku baling ke dinding sebelum aku bangun dengan sebal di hati. Aku keluar dari bilik dengan wajah yang bengang, rasa macam nak patahkan saja gitar mamat yang memekak pagi-pagi buta itu. Aku jenguk bilik Hajar, dia masih tidur dengan nyenyak sambil mendakap bantal peluknya erat. Haih, memang tak sia-sia orang beri dia gelaran ratu tidur. Suara sumbang punya kuat kat luar, dia boleh tak terkesan langsung.
            Aku mencapai tudung yang tersangkut sebelum menjenguk keluar dengan baju kelawarku. Peduli apa, bukan tak tutup aurat, baju ni kan jenis berlengan panjang. Heh. Sebaik wajahku tersembul di muka pintu, anak saudara Mak Ngah Ana itu terhenti memetik gitar.
            “Eh kak. Selamat pagi.” Dia tersengih ceria sambil bangun dari duduknya tanda hormat kepadaku.
            “Sekarang pukul berapa ya awak?”
            “Hmmm... baru pukul lapan lebih.” Dia bersuara sambil merenung jam di tangan kirinya.
            “Oh tau pun baru pukul lapan. Yang awak dah memekak awal-awal pagi ni kenapa? Awak tau tak saya, kawan saya dan ramai lagi orang dekat flat ni nak tidur. Malam tadi awak dah menyanyi kan? Kenapa pagi ni awak nak menyanyi lagi? Kalau nak menyanyi pun tunggu la petang-petang sikit ke.” Aku dah mula membebel secara senafas. Dia cuma ketawa mendengarkan kata-kataku itu. Aku tak faham, ada ke aku buat lawak tadi?
            “Yang awak gelak ni kenapa?”
            “Tak elok tau anak dara tidur sampai tengah hari.” Pang, rasa macam sesuatu menampar pipi. Baik punya sentap.
            “Suka hati sayalah nak tidur sampai bila, sampai esok ke. Masalahnya awak yang buat bising.”
            “Dah pagi kan, anggap sajalah nyanyian ni untuk kejutkan orang dari tidur, bangun pagi kan bagus, pintu rezeki terbuka luas. Kalau solat dhuha lagi cenggini.” Dia mengangkat ibu jari tangannya tanda bagus.
            “Awak dah dhuha ke?”
            Dia menggaru kepalanya sebelum menggeleng dan tersengih kepadaku.
            “Kalau belum buat, pergi buat. Jangan kacau orang nak tidur dengan nyanyian sumbang tu. Ok selamat pagi.” aku kembali melangkah masuk ke dalam rumahku semula tanpa menunggu reaksi mamat itu. Hati dah sebal, lagi layan lagi macam-macam pulak nanti dia tu.
            “Kau kenapa Fatih? Pagi-pagi dah keluar, pergi beli sarapan ke?” Hajar menyoal sambil menahan kuap, matanya digosok tanda masih mengantuk.
            “Tak ada apa-apalah. Awal kau bangun hari ni.” Aku malas hendak bercerita tentang hal tadi kepada Hajar.
            “Aku belum nak bangun la. Nak pergi tandas je kejap, lepas tu aku nak sambung tidur...” Hajar memejam matanya tanda belum puas tidur.
            “Dah agak dah. Pergilah cepat, karang terburai dekat sini.” Hajar sekadar ketawa sebelum membawa langkahnya ke tandas.
            Aku mengambil dudukku di atas katil, tudung yang tersarung di kepala kubuka sebelum aku letak di atas meja. Aku bersandar di kepala katil dan mencapai novel di atas meja tepi sambil menghela nafasku panjang. Mataku yang mengantuk tadi dah rasa segar lepas sound direct mamat bergitar kapok tu. Nampaknya tak permailah kawasan Flat Seri Permai lepas ni. Haih!

“AKU rasa-rasa macam dengar je suara kau dok marah mamat sebelah rumah ni pagi tadi. Betul ke atau aku je yang mengigau eh?” Hajar garu-garu kepalanya sendiri, wajahnya seperti sedang berfikir. Dia yang baru saja selesai mandi setelah bangun tengah hari itu terus saja menyoal aku sebaik dia keluar dari bilik air sambil mengelap rambutnya yang basah dengan tuala. Agaknya air sejuk yang mencurah ke kepalanya tadi dah buat dia segar dan terngiang-ngiang suara aku tadi.
            “Mana ada aku marah dia.” Aku bersuara datar, mataku masih fokus pada rancangan hiburan di televisyen, malas hendak melayan persoalan Hajar.
            “Betul ke?” Hajar berdiri di hadapan aku, menghalang aku dari memandang kaca televisyen.
            “Ish tepilah, Hajar. Aku cakap tak ada, tak adalah. Kau ni dah kenapa?” Hajar menghela nafasnya sebelum duduk di sebelah aku.
“Kau tulah. Bila aku sebut pasal mamat sebelah tu, mesti kau hangin kan? Kenapa eh? Dia ada buat salah dekat kau ke? Aku rasa dia baru je datang sini semalam. Tapi kau menyampah kat dia tu macam kau dah kenal dia bertahun. Entah-entah kau memang dah lama kenal dia, dia tu bekas kekasih kau yang tinggalkan kau. Dia datang sini sebab nak pikat hati kau balik, sebab tu kau menyampah gila dekat dia.”
“Kau ni banyak sangat tonton dramalah, Hajar. Mana ada aku kenal dia.”
“Habis tu kenapa yang kau menyampah sangat kat dia tu?”
Aku diam. Wajah Hajar aku pandang tanpa sebarang riak. Sukar nak jelaskan kepada Hajar, apa yang aku rasa sebab sejujurnya aku sendiri tidak mengerti kenapa aku menyampah sangat dengan mamat muka selenga itu.
“Hmm macam mana nak cakap eh? Senang cerita, macam nilah Hajar. Ada orang yang kali pertama kita jumpa pun kita dah suka, ada pulak yang pertama kali kita jumpa, kita dah meluat gila-gila. Aku dengan mamat tu, kiranya kategori kedualah. Sebab apa, aku sendiri tak tahu tapi memang aku menyampah kat dia.”
“Tak baik kau ni, Fatih. Dia tak buat salah apa-apa pun dekat kau.”
“Aku tahu. Tapi nak ubah rasa menyampah ni susah, tambah-tambah dengan perangai annoying dia tu, dua puluh empat jam melalak dengan gitar kapok dia. Menyampah aku.” Aku menarik wajah cemberut. Asal sebut pasal mamat tu saja, angin aku jadi tak elok. Haih!
Hajar ketawa tiba-tiba sambil menepuk bahuku.
“Kau ni macam-macamlah, Fatih. Menyampahlah dekat dia, esok-esok kau tangkap cintan sama dia aku tak tahu.” Hajar ketawa lagi, macam lawak sangat saja kenyataan dia tu. Aku mencebik geram.
“Ah tak mungkin punya.”
“Ok fine. Kita tengok nanti.”
“Tengoklah. Sampai ke sudah, aku takkan suka mamat tu. Tak mungkin!” aku bersuara dengan yakin, sebab aku percaya yang aku takkan mungkin akan suka dekat mamat sebelah rumah berwajah selenga tu. Ah, so not my taste ok!

HAJAR dah keluar dengan Faiz, biasalah orang dah ada tunang, mana nak lekat dekat rumah. Dia ada ajak aku sekali tadi tapi aku tahu dia cuma ajak-ajak ayam sebab aku selalu bagi dia tazkirah pasal bertunang bukanlah tiket untuk keluar berduaan. Walaupun aku tak suka dia kerap keluar dengan Faiz tapi nak join sekaki tu tak sangguplah pulak aku, sah-sah jadi pengganggu. Tak apalah, aku kasi chance sebab majlis pun dah tak lama lagi. Huh.
            Hari Ahad adalah hari untuk bermalas-malasan, juga untuk berajin-rajinan. Apa maksud aku? Ya malas sebab tidur sampai tengah hari tapi rajin pulak sebab hari ini juga nak kena buat segala kerja rumah yang terbengkalai bila kerja. Nak menyapu rumah yang dah berhabuk, nak basuh baju yang makin menimbun sebab perap seminggu, nak memasak kalau rajin. Hehe.
            Hari ini pulak hari terlebih rajin jadi aku rasa rajin nak memasak. Semalam dah beli barang dapur masa keluar dengan Hajar pergi pasaraya untuk beli barang keperluan rumah. Aku ingat nak buat nasi ayam. Lama tak makan nasi ayam, lagipun nasi ayam adalah menu paling ringkas tapi sedap bagi seorang bujang macam aku. Kejap lagi Hajar balik, dia boleh makan sama dan yang lebih ni boleh bagi pada Faiz buat bekal.
            Ketukan bertalu-talu di pintu buatkan fokusku yang sedang memotong timun dan tomato tergendala. Baru saja siap menggoreng ayam dan nak hidangkan atas pinggan yang berhias tomato, timun dan salad ni, ada pula yang menganggu. Jam di dinding aku kerling, baru pukul dua, takkanlah Hajar dah balik? Ajaib sangat kalau dia balik seawal ini.
            “Siapa?” aku menyoal dari dalam. Harus bersedia takut-takut bukan Hajar.
            “Jiran sebelah.” Suara petir itu menyambar telingaku. Allah! Apa mamat ni nak lagi?
            “Nak apa?” aku menyoal tanpa membuka pintu. Malas hendak layan dia.
            “Err Mak Ngah Ana ada mesej tak?” soalannya buatkan mataku membulat. Mesej? Pantas aku mendapatkan telefon bimbitku di tepi televisyen.
            Salam Fatihah. Maaf ganggu. Mak Ngah terpaksa balik kampung sebab ada kematian, Mak Ngah nak minta tolong tengokkan Fahmi ya. Mak Ngah kelam kabut keluar tadi tak sempat siapkan makanan untuk dia. Maaf susahkan Tihah dan terima kasih.
            Aku menjenguk Fahmi di luar, dia masih tidak berganjak, setia di hadapan pintu rumahku.
            “Kejap.” Aku pantas menyarung tudung sebelum membuka pintu kayu tetapi pintu grill aku masih biarkan terkunci.
            “Nak apa?” aku menyoal walaupun sudah membaca isi mesej dari Mak Ngah Ana.
            “Err, nak mintak tolong. Tunjukkan arah nak ke gerai makan dekat-dekat sini. Perut saya dah berkeroncong dah ni.” Dia menggosok-gosok perutnya tanda meminta simpati namun aku sepicing pun tak rasa apa. Huh!
            “Carilah sendiri. Takkan tak reti cari.” Aku menjawab dingin. Manja betul, nak cari kedai makan pun nak kena tunjukkan arah. Tak ada usaha langsung!
            “Alah kak, nak mintak tanya jalan je pun. Janganlah sombong sangat. Saya tak arif lagi jalan dekat sini, takut sesat je. Kang tak pasal saya sampai ke Danok.” Dia tersengih.
            “Huh, tak lawak pun.”
            “Eh bila masa saya buat lawak. Saya bagitau benda betul ni. Saya dah lapar...” Dia merengek manja, meremang bulu tengkuk aku.
            “Hesy! Dah tak payah susah-susah keluar. Kejap...” aku meninggalkan dia yang mengada itu dan masuk ke dapur. Satu tupperware plastik lutsinar yang aku simpan, segera aku capai sebelum nasi ayam yang aku buat tadi, aku senduk masuk ke dalam bekas itu dan aku letakkan dua ketul ayam, timun, tomato, dan salad di atasnya. Sup, kuah kicap, dan sambal pula aku letak dalam tupperware yang lebih kecil sebelum semua bekas itu kuletak ke dalam plastik.
            Aku membawa plastik itu ke depan, membuka pintu grill dan menghulurkannya kepada jiran sebelahku itu.
            “Apa ni?”
            “Bola pingpong.”
            “Halahhh bergurau pulak. Saya tanya betul-betul ni.” Dia tersengih.
            “Takkan tak nampak. Makanan la.” Aku mencebik geram, saja nak tanya banyak padahal sah-sah aku hulur dekat dia bekas makanan.
            “Yelah, saya tahu ini makanan. Nampak macam ... nasi ayam.” Dia membuka plastik itu sambil menjenguk isi di dalam.
            “Dah tahu, kenapa tanya lagi?”
            “Ok silap soalan. Mana dapat ni? Beli dekat kedai ke? Berapa ringgit ni? kejap saya bayar.” Dia menyeluk poket seluarnya, nampak macam nak ambil duit.
            “Eh tak payah bayar. Saya buat sendiri tadi. Kira rezeki awaklah hari ni, langkah kanan. Dah pergi balik, jangan kacau saya.” Aku menarik pintu grill semula dan menguncinya. Fahmi masih kelihatan terpinga dan tak habis membelek plastik itu.
            “Saya tak letak santau la, dok belek apa lagi?” aku mendengus geram.
            “Err. Tak, bukan saya maksud macam tu. Cuma... rasa terharu. Terima kasih. Tak sangka baru kenal semalam, hari ini dah dapat merasa air tangan.”
            “Dahlah, tak payah merepek. Kata lapar sangat tadi. Pergi balik.” Aku menghalaunya sekali lagi, lebih-lebih pulak dia ni.
            “Ok. Terima kasih, kak. Saya mesti makan!” Dia melangkah sambil mengangkat plastik itu menunjuk ke arahku.
            “Saya bukan kakak awak la!” sempat aku menjerit sebelum menutup pintu semula. Haih! Boleh migrain aku melayan dia ni.

Suka? =)

2 comments:

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!